Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for September 2015

Rezeki berkat hidup tenang

Posted by epondok di September 30, 2015

Oleh Mohd Hassan Adli Yahya
Keberkatan rezeki antara perkara utama yang mesti dan perlu dititikberatkan dalam hidup. Rezeki bukan sekadar wang, harta, makanan dan minuman. Sebaliknya jodoh, anak, pangkat, nama baik, kedudukan dan sebagainya juga boleh disebut sebagai rezeki.
Namun, dalam artikel ini saya merujuk rezeki pada pendapatan yang kita peroleh sama ada dengan bekerja sendiri, mengambil upah atau makan gaji.
Rezeki yang dicari dan diusahakan itu pula dibuat belanja untuk beli makanan atau bagi yang sudah berkeluarga dibawa pulang ke rumah untuk diberi makan anak isteri.
Ada orang memandang ringan isu keberkatan rezeki ini. Pada mereka ia hanya isu kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Mereka tidak sedar wujudnya hubungan langsung antara keberkatan rezeki dan setiap aspek kehidupan kita.
Ada beberapa sebab yang boleh menyebabkan rezeki tidak berkat. Pertama adalah yang kita nampak akan hukumnya dalam Islam iaitu rezeki yang datang daripada sumber pendapatan yang haram seperti berjudi, rasuah, mencuri, menipu dan seumpamanya.
Tidak kurang juga bahayanya adalah apabila kita tidak menyedari bahawa secara halus rezeki itu boleh hilang keberkatan apabila kita yang dibayar upah atau digajikan untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau memikul sesuatu tugasan tetapi tidak melakukannya dengan bersungguh-sungguh atau melakukannya dengan tidak sempurna.
Lazimnya ia berlaku di tempat kerja seperti curi tulang, datang lewat, malas, menipu majikan, kerja tidak bersungguh-sungguh, melakukan kerja lain dalam waktu bekerja, tidak serius ketika bekerja, dengki, iri hati dan seumpamanya.
Minggu lalu ketika bertemu dengan seorang teman, beliau sempat meluahkan rasa kecewanya terhadap hasil kerja seorang tukang rumah yang dipanggil untuk membetulkan lampu dan memasang langsir di rumahnya.
“Bila nak caj, laju je letak harga. Bukan main mahal pulak tu, nak kurang sikit pun tak boleh. Tapi kerja buat cincai je. Tak sempat aku nak gantung langsir dah tercabut relnya. Nak panggil datang balik betulkan semula, memang susahlah.”
Ini perkara yang perlu kita muhasabah dalam kehidupan setiap hari. Adakah caj bayaran atau gaji yang kita terima setimpal dengan kerja yang kita lakukan? Adakah hasil kerja yang kita lakukan seperti apa yang orang atau majikan harapkan?
Persoalan lebih utama adalah, adakah berkat hasil wang daripada upah atau gaji yang kita terima? Oleh itu eloklah dalam artikel kali ini kita lihat apakah antara tanda keberkatan rezeki bagi membolehkan kita sama-sama melakukan audit diri atau muhasabah.
1. Hati semakin dekat dengan Allah dan jiwa tenang
Tanda yang pertama rezeki itu berkat ialah hati semakin dekat dengan Allah. Kita bukan sahaja menjaga solat lima waktu sebaliknya ditambah dengan amalan sunat. Mulut juga sentiasa berzikir dan suka pula membaca dan menelaah al-Quran.
2. Pemurah
Kita mudah untuk memberi sedekah dan menunaikan zakat. Tidak lokek untuk berkongsi rezeki sesama manusia bahkan juga sesama haiwan.
3. Jauh daripada bala bencana
Allah menarik sebahagian rezeki itu dengan pelbagai ujian dan masalah dalam hidup yang datang bertimpa-timpa seolah-olah kita memang bernasib malang. Bulan ini duit hilang, bulan depan kereta pula dipecah orang.
Wang gaji pula tak tahu ke mana perginya. Tak nampak apa yang dibeli, tiba-tiba poket kering sehingga terpaksa meminjam. Kalau begitulah keadaannya maka eloklah kita audit gaji yang diterima setiap bulan sebab bimbang jika ia punca kepada segala masalah berkenaan.
4. Keluarga harmoni dan anak cemerlang
Wang kadangkala tidak menjadi pengukur kebahagiaan sesebuah institusi keluarga. Wang yang banyak belum tentu menjamin kebahagiaan sesebuah keluarga.
Apa yang penting adalah keberkatan wang yang diperoleh. Rezeki yang berkat walaupun tidak banyak akan membahagiakan keluarga dengan rahmat Allah SWT.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jamuan Laksa dan Kutipan Derma Tabung Kebakaran Pondok Tunjung

Posted by epondok di September 30, 2015

tunjung

Posted in Pondok Tunjung, Program Terbaru | Leave a Comment »

3 Senjata musuh perangi umat Islam

Posted by epondok di September 29, 2015

Rakyat menjadi mangsa akibat pergolakan, peperangan di beberapa negara Islam ketika ini.
Melihat zaman jahiliah dahulu, manusia hidup tanpa pedoman dan petunjuk. Cara hidup mereka ketika itu penuh kemaksiatan, kezaliman terhadap golongan lemah dan miskin, perhambaan, penindasan, riba dalam jual beli, telah mewujudkan suasana kehidupan yang jauh dari norma kehidupan sebenar manusia.
Maka, kedatangan Islam telah memberikan satu kesan besar sehingga berjaya menolak corak hidup jahiliah dan mengeluarkan masyarakat Arab dari zaman kegelapan kepada petunjuk, dari kezaliman kepada keadilan serta dari penindasan kepada pembelaan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)
Perutusan Rasulullah bawa kebahagiaan Perutusan Nabi Muhammad SAW kepada umat manusia membawa kebahagiaan yang besar. Baginda SAW menyelamatkan manusia dari kesengsaraan. Baginda menjadi sebab tercapainya pelbagai kebaikan di dunia dan akhirat. Baginda memberi pencerahan kepada manusia yang sebelumnya berada dalam kejahilan, membawa hidayah kepada manusia yang sebelumnya berada dalam kesesatan yang nyata. Inilah rahmat Allah SWT bagi seluruh manusia.
Suatu ketika dahulu umat Islam pernah menguasai dua pertiga dunia yang memimpin dengan iman, berpandukan al-Quran dan sunah. Mereka memerintah dengan penuh keadilan dan telah menunaikan segala amanah dipikulkan di atas bahu mereka. Mereka juga telah menjadi pembawa obor hidayah dan petunjuk ke jalan kebenaran. Tamadun Islam pernah sampai ke kemuncak ketinggian yang menghimpunkan antara ilmu dan iman, menyambungkan langit dan bumi, menghubungkan dunia dan akhirat, mempertemukan akal dan hati serta menyeimbangkan hak individu dengan kepentingan masyarakat.
Namun, hari ini keadaan umat Islam bertukar sebaliknya. Kita menjadi umat yang mundur sedangkan suatu ketika dahulu kitalah yang menerajui kemajuan. Lihatlah bagaimana nasib umat Islam di beberapa negara Islam yang sedang bergolak menghadapi peperangan saat ini. Lebih memeritkan, apabila rakyat di negara-negara itu tidak terbela, mereka menjadi mangsa disebabkan kerakusan manusia berhati batu. Berbeza keadaannya dengan kita di negara bertuah ini, walaupun merasai nikmat keamanan dan kesejahteraan, namun kita sebenarnya menghadapi serangan musuh Islam.
Antara bentuk serangan ditujukan mereka kepada kita ialah serangan terhadap iman. Hanya dengan iman yang mantap dapat menyelamatkan manusia daripada kebinasaan di dunia sampai akhirat. Musuh Islam sememangnya sentiasa berusaha menghancurkan iman dan akidah kita. Lihat sahaja bagaimana mereka memesongkan pegangan umat Islam dari petunjuk al-Quran dan al-Hadis.
Apabila iman dan akidah semakin lemah, maka umat Islam semakin jauh dari petunjuk jalan hidup yang sebenar. Akhirnya, mereka akan tersungkur daripada jalan orang Mukmin sejati menuju jalan yang dimurkai. Segala agenda dan dakyah mereka akan mudah meresapi ke jiwa umat Islam. Bahkan umat Islam juga akan dijangkiti penyakit ‘wahan’ iaitu cintakan dunia dan bencikan kematian. Renungkanlah firman Allah SWT yang bermaksud: “Ramai di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW).” (Surah al-Baqarah, ayat 109)
Kedua, serangan terhadap pemikiran. Musuh Islam telah berjaya mewujudkan aliran pemikiran jelas bercanggah dengan Islam seperti pemikiran liberal yang menyamaratakan dan mencampuradukkan semua agama di dunia ini dan sekular yang memisahkan agama daripada urusan seharian. Kebanyakan pemikiran itu berjaya mempengaruhi umat Islam.
Hakikat yang mesti difahami, hanya pemikiran Islam yang berpandukan kepada petunjuk wahyu Ilahi sahaja wajib dipegang. Jika kita tidak mempertahankan cara pemikiran Islam, maka aliran pemikiran yang terpesong mudah mempengaruhi kita. Golongan liberal nafi aturan, syariat Lihat bagaimana golongan liberal berani menafikan aturan dan syariat Allah SWT seperti menganggap perintah menutup aurat salah satu bentuk diskriminasi terhadap wanita Islam. Bahkan menganggap mereka yang mengamalkan cara hidup Islam sebagai jumud dan menentang hak asasi manusia.
Ketiga, serangan terhadap ibadah. Realiti hari ini, aktiviti maksiat telah dimanipulasikan oleh musuh Islam menjadi simbol kemajuan dan kemodenan. Ia semakin mempengaruhi umat Islam sehinggakan tidak lagi berkesempatan untuk berfikir amal baik apakah yang perlu dipersiapkan untuk hari esok. Apa yang ada di benak mereka hanyalah perkara sia-sia dan melalaikan dalam menghabiskan sisa baki umur mereka. Inilah yang menimpa sebahagian daripada kita kerana nafsu dan syaitan telah berjaya menguasai jiwa. Keperibadian mereka larut dalam budaya dan cara hidup Barat yang bercanggah dengan Islam. Apa-apa yang dibawa oleh Islam dianggap sebagai kuno dan ekstrem sedangkan setiap yang datang dari mereka pula dianggap sebagai maju dan bertamadun.
Persiap bekalan amalan baik
Lihatlah betapa liciknya musuh Islam, tanpa senjata pun berjaya mengalahkan umat Islam. Justeru, marilah kita bulatkan tekad, beristiqamah melaksanakan perintah Allah dan Rasul, berusaha mempersiapkan bekalan amalan baik dengan ibadah sebanyak-banyaknya di samping ikhlas mengabdikan diri kepada Allah SWT. Jangan sekali-kali mengabaikan ibadah wajib seperti solat fardu kerana solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.
Renungkan pesanan Nabi SAW menerusi hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah: “Islam muncul dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang yang terasingkan itu.”
Setiap kita mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk berjihad mempertahankan kesucian Islam di negara ini. Mulakan dengan diri sendiri dan ahli keluarga masing-masing. Persiapkan senjata ilmu agama yang mantap serta sematkan dalam jiwa dengan iman dan takwa.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Usah salahguna Gajet untuk keburukan

Posted by epondok di September 28, 2015

Oleh Mohd Ariff Adika Mohd Zain
Setiap Muslim perlu berhati-hati dalam menggunakan saluran media sosial untuk berdakwah.
Sejak akhir-akhir ini, gajet komunikasi banyak disalahgunakan apabila aplikasi yang sepatutnya memudahkan perhubungan dijadikan medan menyebar maklumat mengelirukan, berbaur fitnah, gambar serta berita tidak dipastikan kesahihannya. Segelintir pengguna semakin teruja dan seronok menulis, mengubah suai, menghantar gambar berunsur negatif, yang dikongsi dengan tujuan mencari keseronokan tanpa mengambil kira sensitiviti agama, bangsa, masyarakat atau individu terbabit.
Rantaian penyebaran sesuatu berita secara salin dan hantar, diubah suai dengan fakta tambahan. Tindakan itu boleh dikira sebagai menyebarkan berita yang tidak benar dan membawa fitnah. Menyiarkan sesuatu berita tanpa dasar kebenaran, bertujuan mencemarkan nama baik seseorang adalah fitnah. Perbuatan tercela itu dilarang oleh Allah SWT dan orang yang membuat fitnah akan ditimpa azab yang amat pedih. Dakwah media elektronik Allah SWT berfirman bermaksud: “Sesungguhnya orang yang mendatangkan fitnah kepada orang Mukmin lelaki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab jahanam dan bagi mereka azab (neraka) yang sangat pedih.” (Surah al-Buruj, ayat 10)
Memaparkan berita berunsur keagamaan dianggap sebagai dakwah alam siber bagi sesetengah pengguna. Penyebaran berita seperti nasihat, larangan dan suruhan berlandaskan tuntutan agama serta hadis, kerap diterima malah sudah menjadi amalan. Tidak dapat dinafikan, banyak kebaikan berdakwah menerusi media elektronik, namun seseorang itu haruslah berhati-hati dengan lambakan hadis palsu dikaitkan dengan Nabi Muhammad SAW. Hadis itu sengaja direka untuk menimbulkan kekeliruan terhadap agama Allah SWT. Penyebaran hadis palsu adalah dusta terhadap nama Nabi SAW dan hukumnya berdosa. Daripada al-Mughirah bin Syu’bah, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya berdusta kepadaku tak sama dengan orang yang berdusta atas orang lain. Barang siapa berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah dia bersiap-siap (mendapat) tempat duduknya di neraka.” (Riwayat al-Bukhari)
Firma Allah bermaksud: “Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Allah SWT melarang hamba-Nya yang beriman percaya kepada khabar angin. Allah SWT menyuruh Mukminin memastikan kebenaran berita yang sampai kepada mereka kerana tidak semua berita itu benar. Islam telah meletakkan syarat bagi mengelakkan kesan buruk akibat berita yang disampaikan. Pastinya kita biasa menerima mesej, ‘Sila sebarkan SMS ini. Jika tidak kamu akan ditimpa bencana daripada Allah Subhanahu wa Taala’ atau ‘Jika anda mahukan kejayaan yang akan dikurniakan Allah SWT maka jangan tunggu lama-lama untuk sebarkan e-mel ini kepada 20 orang. Sudah pasti akan datang ganjaran tanpa anda duga.’ Mesej berkenaan boleh membuatkan seseorang berasa ragu-ragu untuk tidak melakukan apa yang diugut oleh penghantar. Kepercayaan terhadap perkara itu boleh menjejaskan akidah.
Kini dosa bukan hanya dilakukan secara bersendirian, tetapi secara perkongsian (berantai) hingga menjadi fitnah secara meluas. Jalinan perkongsian itu kemudian disebarkan secara lebih luas lagi melalui prinsip tolong-menolong oleh orang yang tersangkut dalam rantaian terbabit. Sedar atau tidak, pengguna mungkin terjerat dengan penyebaran hadis palsu. Untuk mengelak perkara itu, tindakan pertama adalah merujuk kepada teks hadis yang diiktiraf sahih. Amalan sedemikian dapat menyelamatkan seseorang dari jatuh ke jurang kehinaan.
Tindakan mendatangkan dosa
Sekalipun tidak menyebarkan cerita palsu, namun jika cerita yang sebarkan itu berniat jahat, untuk mengadu domba atau memburukkan pihak lain tanpa sebarang sebab dibolehkan syarak, maka ia sudah cukup untuk mendatangkan dosa. Masing-masing ghairah ingin menjadi ‘yang pertama’ menyebarkan berita baharu diterima. Selain menjejaskan kredibiliti, ia mendedahkan tahap pemikiran seseorang pelaku yang kerap menonjolkan tindakan negatif. Pemantauan tidak dapat mengawal perbuatan suka ‘menyalin dan menghantar’.
Sehingga kini, pelbagai cara dilakukan pihak berkuasa, namun perkara negatif itu tetap berleluasa. Berhati-hatilah menggunakan saluran media sosial dan gunakan dengan cara berhemah dan mengikut landasan ditentukan syarak. Jangan kita cemari kemudahan disediakan dengan perkara yang hanya akan mendatangkan dosa kepada kita semua

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Berkorban demi masa depan ummah

Posted by epondok di September 27, 2015

omar osman

 

HARI Raya Aidiladha, Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban mempunyai makna yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia. Sambutan ini mengambil sempena umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah.

Antara keistimewaan Aidiladha ialah ibadah korban yang hanya boleh dilakukan dalam empat hari bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah. Korban yang dibuat amat besar maknanya sebagai simbolik untuk kita mendekatkan diri kepada-Nya dalam menjalankan perintah agama untuk taat kepada perintah Allah

Sambutan Aidiladha ini juga mengingatkan kita kepada sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang diperintah menyembelih anaknya Nabi Ismail AS selepas menerima wahyu daripada Allah SWT melalui mimpinya dan diberitahu kepada anakanda kesayangannya dan isteri baginda, Siti Hajar.

Tanpa berbelah bahagi hatinya, Ismail AS menerima perintah itu dengan reda dan bersedia agar ayahandanya menunaikan wahyu Allah SWT terhadapnya dan kita tahu apa yang terjadi selepas peristiwa itu apabila Allah SWT menggantikannya dengan seekor kibas. Nabi Ibrahim AS taat dalam kasih sayangnya terhadap anakanda dan patuh kepada perintah Allah SWT walaupun dikritik dan ditohmah dengan pelbagai kata oleh masyarakat sekelilingnya.

Peristiwa ini sebenarnya mengajar kita tentang erti ketaatan kepada perintah Allah SWT yang mengatasi pandangan manusia biasa. Yang juga mengajar dan mendidik kita erti pengorbanan yang perlu dilakukan demi mencapai keredaan Allah SWT pengorbanan yang mengatasi sikap pentingkan diri sendiri, kasih sayang termasuk dalam hubungan kekeluargaan dan perasaan yang sering membelenggu dan menghalang kita terhadap keperluan berkorban.

Bertolak dari sini, dalam semangat yang sama sebagai warga pendidikan tinggi, amanah berat yang ada memerlukan pengorbanan dan semangat yang kental untuk dipikul bersama-sama. Amanah yang terletak di bahu para ilmuan dan cerdik pandai negara amat besar. Begitu juga amanah yang dipegang oleh para mahasiswa dan penuntut ilmu yang sering menuntut pengorbanan untuk terus memacu kecemerlangan demi masa hadapan ummah.

Amanah yang berdasarkan ajaran agama yang mengkehendaki ilmu yang dimiliki yang hanya bagai setitis air di lautan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan ummah dan manusia seluruhnya dalam menegakkan agama dan syiar Allah SWT di muka bumi. Bagaimana nanti setiap orang dipertanggungjawabkan di akhirat terhadap amanah yang dipegang. Amanah ilmu yang sepatutnya berupaya mendekatkan lagi manusia dengan Tuhannya, mendekatkan manusia dengan kebenaran terhadap setiap anugerah yang diberikan-Nya kepada manusia dan amanah terhadap bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung.

Bagaimana kesanggupan mereka yang bergelumang dengan ilmu untuk berkorban dalam mendidik anak-anak bangsa dan dapat menggunakan ilmu yang ada untuk mengeluarkan bangsa dan ummah dari belenggu kejahilan dan kemiskinan. Bagaimana untuk menunaikan amanah dengan menggunakan setiap sen yang dilabur untuk faedah dan kemashlahatan agama dan manusia seluruhnya. Bagaimana dapat manfaatkan kekuatan ilmu yang ada untuk membantu orang lain serta mengeluarkan masyarakat dari sifat-sifat yang merosakkan diri dan orang lain, apatah lagi untuk mendidik agar sentiasa bersyukur dan mendekatkan diri lagi dengan Tuhannya.

Banyak yang boleh dipelajari dari semangat dan pengorbanan dalam memanfaatkan ilmu pengetahuan dan memartabatkan pendidikan tinggi di persada dunia. Bahawa perjuangan mendaulatkan pendidikan tinggi yang masih jauh jalannya tetapi telah bermula dari jalan yang dirintis oleh para pendidik pejuang ilmuan yang hasilnya dinikmati sekarang ini.

Mengambil semangat perjuangan dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS anakandanya Nabi Ismail AS serta isteri baginda, Siti Hajar yang sentiasa patuh dan tawaduk terhadap perintah Allah SWT maka umat Islam dan seluruh warga pendidikan tinggi terutamanya di universiti harus berpegang kepada prinsip dan asas yang sama, iaitu sanggup berkorban demi generasi masa hadapan dengan memartabatkan dan memanfaatkan ilmu demi menegakkan syiar agama, bukan sekadar untuk bersaing dan menempa nama.

Usaha perlu dibuat secara berterusan untuk memanfaatkan ilmu melalui penggabungan pelbagai disiplin, merentasi pelbagai perbezaan dan bidang, menghormati kepelbagaian dan menjadikan kekuatan ilmu untuk masa hadapan pendidikan tinggi yang dihormati dan dipandang tinggi. Semua ini perlu bertolak daripada kesanggupan untuk berkorban dan menunaikan perintah Allah SWT dan amanah besar yang ada kepada setiap cendekiawan, setiap ilmuan dan setiap mahasiswa yang sedang menguasai ilmu untuk menjadi seorang yang hebat pemikirannya, unggul akhlaknya dan sedia berkorban demi masyarakat, ummah dan dunia seluruhnya.

Untuk menghadapinya kita perlu keluar dari zon selesa, menggunakan segenap ilmu pengetahuan yang ada untuk menghadapinya, bersatu tenaga, memerah keringat dan minda untuk mengembalikan martabat dan maruah ummah yang sedang diduga di mana sahaja. Kita perlu berkorban untuk kecemerlangan masa hadapan dengan mengetepikan kepentingan dan perasaan sendiri demi matlamat jangka panjang seperti mana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Siti Hajar.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Manusia lali diselimuti dosa, tetapi alah berdepan jerebu

Posted by epondok di September 26, 2015

Oleh Norhayati Paradi

 

“Maka sesungguhnya tidak hina orang yang Engkau pimpin, dan tidak mulia orang yang engkau memusuhinya.” Saban pagi doa qunut ini dibaca memberi penghayatan keindahan belas kasih yang Maha Kuasa dalam menentukan segala. Sesungguhnya mulia dan hinanya seseorang hamba terletak pada reda Penciptanya. Jerebu di balik jendela lumrahnya menggusarkan jiwa, namun jerebu dosa terlalu jarang meresah rasa. Itu antara perkongsian Ustaz Mohd Meeftah Anuar menerusi Islam Itu Indah, Rabu lalu di IKIMfm.
Kata bijak pandai, dosa apabila sudah terlalu banyak, maka orang tidak perasan. Dosa diumpamakan seperti bau busuk apabila terlalu banyak dilakukan, ia akan lali dan tidak terasa kewujudan dosa itu. Ustaz menggambarkan situasi insan yang harinya bergelumang sampah. Lali bau busuk, jerebu Mereka sudah lali dengan bau busuk yang menusuk hidung sehingga tidak memberi sebarang kesan terhadap aktiviti harian berbanding individu yang tidak berada dalam situasi pekerjaan seumpama itu. Mereka akan menutup hidung melintasi kawasan pembuangan kerana bau busuknya. Begitu juga bagi individu yang terbiasa tinggal atau bekerja dalam suasana berdebu, pasti jerebu tidak memberi implikasi teruk, tetapi yang alah dengan debu, kehadiran jerebu memberi kesan kepada tahap kesihatannya. Mereka yang terbiasa melakukan dosa, serasa tiada perkara yang perlu dikhuatirkan, ia ibarat menghalau lalat yang hinggap di hidung.
Berbeza hamba yang peka bahana dosa dilakukan, akan gentar dan bimbang dosa itu merosakkan amalan baiknya seperti gunung yang akan menghempap bahu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Jika kamu menjauhkan dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).” (Surah an-Nisaa’, ayat 31)
Itu tawaran daripada Allah SWT bagi hamba-Nya yang mampu mencegah diri daripada melakukan dosa. Allah SWT memberi jaminan penghapusan dosa yang lalu dan dimasukkan ke tempat mulia iaitu syurga. Tawaran hebat untuk semua tanpa mengira keperibadian dan sejarah silamnya. Syaratnya, tidak melanggar sempadan yang telah Allah SWT tentukan.
Setiap kisah tercatat dalam al-Quran hendaklah dihayati supaya kita melakukan perkara disukai serta menjauhi perbuatan dimurkai-Nya. Dosa biasa membawa kepada kefakiran. Contohnya, penzina, pengamal rasuah, riba dan peminum arak berasa tidak cukup dengan apa yang ada dan takut kepada kemiskinan walau hidup dilimpahi kemewahan. Mereka fakir dari sudut ketenangan hati dan ketenteraman fikiran. Punya harta untuk membeli makanan yang lazat tetapi tidak mampu menikmatinya kerana berpenyakit. Miliki harta yang banyak untuk membahagiakan keluarga, tetapi asbab dosa akhirnya membawa kepada perpecahan keluarga.
Tanpa disedari, kemungkaran yang dilakukan secara berleluasa akan mengakibatkan bencana dan malapetaka tidak berpenghujung. Jika menyedarinya pula, adakah bersedia untuk melakukan pembetulan demi menyelamatkan diri, masyarakat dan dunia daripada terkena musibah yang tidak terjangka? Sudah menjadi kebiasaan, tatkala berlaku malapetaka, musibah dan bencana alam, ia dipandang dari sudut fizikal kejadian sahaja. Masyarakat sudah lali dengan suasana sehingga tidak menerobos maksud tersirat atas setiap kejadian. Jarang melihat setiap fenomena sebagai teguran daripada Allah SWT. Manusia alpa bahawa bencana akibat dosa itu boleh tiba tanpa mengira masa.
Umpama kaum ‘Ad yang ditimpa bencana ketika sedang berarak menuju syurga ciptaan raja mereka. Bala terhadap kaum ‘Ad, Sadom Sehinggakan Rasulullah SAW dan sahabat menundukkan muka, takut untuk memandang langit serta melangkah pantas kala melalui lokasi kejadian. Sedangkan Rasulullah SAW dan sahabat berada jauh dari zaman Allah SWT menurunkan bala kepada kaum ‘Ad dan kaum Sadom itu. Baginda faham dan mengambil ibrah daripada peristiwa yang Allah SWT terangkan dalam firman yang bermaksud: “Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang yang terdahulu dari mereka? Orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan orang itu juga telah didatangi oleh rasulnya dengan membawa keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Sesudah dibinasakan di dunia maka akibat orang yang melakukan kejahatan itu ialah seburuk-buruk azab (di akhirat kelak), disebabkan mereka mendustakan ayat keterangan Allah dan sentiasa mempersendakannya.” (Surah ar-Ruum, ayat 9-10)
Justeru, jadikanlah setiap musibah dan bencana yang berlaku sebagai suatu peringatan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Jerebu, jika diteliti dari sudut ilmu alamnya ia akibat daripada pembakaran terbuka yang besar sehingga menyebabkan berlakunya jerebu. Tetapi, jika di lihat daripada mata hati seperti firman-Nya yang bermaksud: “Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau (asap tebal) yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat).” (Surah ad-Dukhaan, ayat 10)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Puji si pemberi atas nikmat-Nya

Posted by epondok di September 25, 2015

USTAZ IDRIS SULAIMAN

 

SEBAGAI umat Islam, kita disuruh supaya bertakwa kepada ALLAH SWT. Firman-Nya: “Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat ALLAH yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu; tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada ALLAH; Dia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi; Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (daripada menyembahnya)?” (Surah Fathir: 3)

Sesungguhnya ALLAH mencurahkan nikmat-Nya dan menyuruh supaya kita bersyukur terhadap-Nya. ALLAH berjanji sesiapa mensyukuri nikmat-Nya nescaya Dia akan menambahkan nikmat tersebut. Adapun mereka yang tidak bersyukur, ALLAH mengancam mereka dengan azab-Nya yang sangat pedih.

Kerana itu, hendaklah lihat kedudukan kita dalam mensyukuri nikmat ALLAH di samping mengambil pengajaran daripada apa yang menimpa umat sebelum ini (tidak mensyukuri) nikmat ALLAH kerana sikap sombong mereka; bagaimana bencana ALLAH telah menimpa mereka. Akhirnya nikmat ALLAH bertukar menjadi azab, keamanan bertukar menjadi ketakutan, kekayaan dan kekenyangan bertukar menjadi kepapaan dan kelaparan. Oleh yang demikian, hendaklah kita berjaga-jaga agar balasan yang demikian tidak menimpa kita.

Sesungguhnya ALLAH melimpahkan nikmat-Nya kepada kita dengan kurniaan yang tidak pernah dirasai oleh manusia sebelum ini daripada sudut makan minum, pakaian, tempat tinggal dan kenderaan yang berbagai dan serba mewah; ditambah lagi kehidupan yang aman damai dan sejahtera.

Apa pun, nikmat ALLAH yang paling besar dan yang berharga adalah nikmat diberikan hidayah Islam dalamnya terkandung segala pengajaran dan panduan yang diperlukan manusia untuk kehidupan di dunia dan akhirat.

Kerana itu, kita perlu bersyukur kepada ALLAH dan tidak bersikap kufur menafikan nikmat tersebut. Hendaklah kita sentiasa mengingati ALLAH; jangan kita lupakan-Nya. Kita juga perlu sentiasa taat kepada-Nya; jangan berlaku maksiat dan derhaka. Jangan kita menjadi seperti manusia sebelum ini yang telah menukar nikmat ALLAH dengan kekufuran sehingga mengakibatkan mereka ditimpa kebinasaan.

Himpun tiga asas

Hakikat syukur ialah memuji si pemberi atas pemberian-Nya. Adapun syukur manusia kepada ALLAH, ia kembali kepada tiga asas di mana seorang manusia itu tidak akan dikira bersyukur kecuali dengan menghimpunkan ketiga-tiga asas ini iaitu:

Pertama: Mengakui nikmat ALLAH dalam hati dengan mengiktiraf nikmat tersebut datang daripada ALLAH atas sifat rahmat dan pemurah-Nya; bukan kerana kemampuan dan kekuatan manusia itu.

Kedua: Menceritakan perihal nikmat ALLAH tersebut secara zahir dengan memuji ALLAH, bertahmid dan bersyukur kepada-Nya. Dan sama sekali tidak menisbahkan nikmat tersebut kepada selain ALLAH.

Jangan jadi seperti Qarun ketika mana kaumnya menasihatinya sebagaimana dalam firman ALLAH SWT: “Ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang yang bermegah-megah.

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan ALLAH kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba ALLAH) sebagaimana

ALLAH berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di atas muka bumi; sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Surah Al-Qashash: 76-77)

Ternyata, Qarun mengingkari nikmat ALLAH atasnya kerana beranggapan harta kekayaan yang diperolehnya itu adalah hasil daripada kepintaran dan kebijaksanaannya.

Apa akibatnya? Sangat buruk. Ternyata ALLAH membuatkan bumi menelan Qarun berserta rumah dan hartanya itu. Kita berlindung dengan ALLAH daripada kemurkaan dan seksaan-Nya yang sangat pedih.

Ketiga: Menggunakan nikmat yang ALLAH berikan itu pada jalan diredai ALLAH. Adapun mereka yang menggunakan nikmat yang ALLAH berikan kepada mereka pada hal maksiat, sesungguhnya mereka telah kufur terhadap nikmat ALLAH itu.

Maka golongan yang mengerah tenaga dan harta bendanya dalam maksiat, mereka mengkufuri nikmat ALLAH atas mereka. Ini menyebabkan mereka layak mendapat azab seksa daripada ALLAH.

Sesungguhnya golongan rasul adalah contoh teladan yang sempurna buat manusia. Mereka adalah manusia yang paling sempurna dalam mensyukuri nikmat ALLAH.

Iktiraf nikmat-Nya

Dalam al-Quran, ALLAH SWT memuji rasul pertama iaitu Nabi Nuh AS: “Sesungguhnya dia seorang hamba yang bersyukur.” ALLAH menyebut mengenai Nabi Daud dan Sulaiman AS yang dikurniakan ilmu pengetahuan.

Kedua mereka mengiktiraf nikmat ALLAH atas mereka dan berkata: “Segala puji bagi ALLAH yang dengan limpah kurnia-Nya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-Nya yang beriman.” (Surah Al-Naml: 15)

Maka keduanya menyatakan kesyukuran mereka kepada ALLAH atas nikmat ilmu yang diberikan kepada mereka.

Seterusnya ALLAH menyebut mengenai Nabi Sulaiman AS yang memuji Tuhannya dan mengakui kurniaan yang diberikan kepadanya ketika mana dia mewarisi kenabian ayahnya dan ALLAH mengajarkannya bahasa pertuturan burung serta diberikan kepadanya segala yang diperlukan oleh seorang raja.

Ketika Nabi Sulaiman mengerahkan bala tenteranya dalam kalangan manusia, jin dan burung, dan baginda mendengar pertuturan antara semut yang menyebut mengenai bala tenteranya yang melewati rumah semut itu, Nabi Sulaiman menyatakan pengiktirafannya atas nikmat ALLAH dalam Surah Al-Naml ayat 19.

Begitu juga apabila perintahnya supaya dibawakan singgahsana Puteri Balqis kepadanya dilaksanakan dalam masa yang begitu pantas, Nabi Sulaiman mengakui bahawa hal tersebut tidak berlaku kerana kelebihan dan kekuatannya.

Sebaliknya ia adalah hasil kurnia ALLAH atasnya. Firman ALLAH: “Ini ialah daripada limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku sama ada aku bersyukur atau aku mengkufuri nikmat pemberian-Nya. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang kufur (nikmat), sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.” (Surah Al-Naml: 40)

Demikianlah sifat nabi yang sentiasa mengakui nikmat ALLAH dan mensyukuri kurnian-Nya. Merekalah adalah contoh teladan buat kita semua.

Oleh itu hendaklah kita meneladani mereka dengan mensyukuri segala nikmat ALLAH atas kita dengan hati, lidah dan amalan kita.

Bukan dengan sekadar melafazkan kalimah alhamdulillah syukur dengan lidah semata-mata sedangkan hati kita lalai ingkar dan bersikap takbur sombong manakala perbuatan kita pula menyalahi apa yang diredai ALLAH.

Sifat bersyukur kembali kepada hati, lidah dan anggota badan. Hati mengiktiraf nikmat tersebut dengan perasaan sayang kepada ALLAH. Lidah pula bertahmid memuji-muji ALLAH, manakala anggota badan pula menggunakan nikmat itu dalam mentaati ALLAH dan menjauhi maksiat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Membentuk jiwa yang muttaqin

Posted by epondok di September 24, 2015

DALAM al-Quran Surah al Hujurat ayat 13, ALLAH mengungkapkan ayat Inna aqramaqum ‘indalla hi atqaqum – karamah insan (kemuliaan diri) berada pada orang yang berjiwa muttaqeen. Piawai ALLAH ini sesuatu yang amat tepat, adil dan benar.

Ukuran terhadap manusia tidak terletak pada bangsa, warna kulit dan keturunan tetapi diukur dari “Insaf-keTuhanan”nya (God-Conciousness) yang tinggi.

Meyakini ALLAH sebagai Pencipta, berkuasa atas segala, pemberi roh dan rahmat kepada manusia, memberi pedoman dan petunjuk supaya manusia terselamat daripada kesesatan, membangun jiwa rukuk dan sujud supaya rasa kehambaan terjadi dan rasa kekhalifahan berlaku.

Sifat ubudiyyah ini menjadi terlalu penting untuk mendapat status muttaqeen yang bersandar kepada aqidah tauhid yang kental, melakukan ibadah dengan istiqamah, mematuhi hukum feqah dan syariah yang mentertibkan diri dan amalan serta cerminan akhlak karimah yang menjadikan Islam dan pemeluknya indah dalam teladan dan sumber ikutan.

Hari ini ramai yang ingkar kepada titah-perintah ALLAH akibat dukungan hawa nafsu yang terpengaruh dengan hasutan iblis dan syaitan. Nafsu haiwani mengambil tempat dan nafsu manusiawi hilang daripada pertimbangan dan amalan.

Ia menyebabkan manusia terlalu hubbud dunya – cintakan dunia. Penyakit cintakan dunia ini menyebabkan lupa kepada diri, amanah, tanggungjawab dan mati. Manusia berasakan apa yang ada padanya, kekayaan yang dimiliki, kesenangan yang dinikmati adalah miliknya semata-mata bukannya kurnia ALLAH yang patut disyukuri.

Akibat lupa diri akhirnya manusia akan menyesal dan penyesalan datang terlalu lewat dan kadang-kadang tidak sempat bertaubat.

Membangun jiwa muttaqeen adalah suatu proses membangun iman yang kental, ilmu yang benar dan bermanfaat, amal yang telus dan tulus. Ia boleh membawa kepada maqam muhsin di mana kualiti ihsan seseorang adalah tinggi.

Ihsan seorang hamba kepada Pencipta diungkapkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW – bila kita melakukan amal kebaikan, meski tidak melihat ALLAH, tapi wujud keyakinan ALLAH melihat kita.

Dalam melakukan kebaikan wujud rasa ikhlas yang tinggi ibarat tangan kanan memberi tangan kiri tidak nampak. Ia terungkap dalam sebuah syair pendeta Zaaba menyebut, “Berbuat baik ayuhai rakan, kalau tidak dikenal insan, dalam laut ia dicampakkan, kalau tidak dikenal ikan, Tuhan tahu iakah bukan”.

Keihsanan sebagai landasan jiwa muttaqeen yang membezakan seseorang itu beriman atau sebaliknya. Bila berjanji ia menepati janji, bila diberi amanah ia melaksanakan amanah, bila bercakap ia tidak berdusta, bila berjual beli ikut kaedah syariah, bila berkarya ilmunya ibarat cahaya dan penuh dengan makna, bila melakukan dakwah dan tarbiyyah penuh dengan kesabaran, kebijaksanaan dan kasih sayang.

Tunjang membangun jiwa muttaqeen hingga manusia memiliki kualiti ihsan yang tinggi ialah keyakinan yang kuat bahawa Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Melihat apa saja yang kita lakukan dalam hidup ini baik zahiri dan batini kita.

Landasan itu menyebabkan jiwa kehambaan terbina supaya sifat patuh, taat, akur dan tunduk sentiasa menjadi pedoman. Ia berkembang dalam jiwa kekhalifahan dalam melaksana dan mengurus sesuatu.

Natijah akhirnya ialah terlihat pola-pola amal soleh dalam percakapan, perbuatan dan ia menjadi sumber ikutan kepada yang lain.

Orang-orang yang tidak mempunyai jiwa muttaqeen dan keihsanan yang tinggi kerana ikatan ubudiyyahnya longgar dan tidak kuat.

Keimanannya dalam batas antara yakin dan tidak, ibadah yang diamalkan tidak terhubung dengan niat “Kerana ALLAH” (ikhlas), amalan syariah tidak mantap dan cerminan akhlaknya tidak menggambarkan sesuatu yang Islami. Akhirnya pola-pola kegiatan diri cenderung ke arah penyimpangan malah tidak Islami.

Sebab itu dalam Islam asas ketauhidan menjadi perkara pokok. ALLAH tidak sekadar dipercayai sebagai asas syahadah tetapi diyakini sebagai landasan amalan.

Keimanan kepada ALLAH sebagai Pencipta, berkuasa atas segala dan pemberi rahmat dan nikmat kepada umat manusia dan makhluk menjadi asas sandaran lalu pola-pola kegiatan manusia dipedoman dengannya dan mencetuskan jiwa muttaqeen.

Jiwa muttaqeen adalah matlamat yang dicari oleh setiap warga Mukmin dan Muhsin. Jiwa muttaqeen memberi pedoman mengapa kita menjadi Islam dalam erti kata yang setulennya supaya terlihat watak mithali yang hidup dan memberi pedoman kepada yang lain.

Inilah watak Rasulullah SAW yang Qurani dan menjadi sumber ikutan sepanjang zaman. Khuluq al-Quran yang dimiliki oleh Rasulullah SAW menjadi sumber kekuatan Islam sebagai Suatu Sistem Kepercayaan dan juga Cara Hidup.

*  Prof Datuk Dr Sidek Baba

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

MENGHAYATI WUKUF DI PADANG ARAFAH

Posted by epondok di September 23, 2015

SYED NAZMI TAUFEK

PADAT... Jemaah haji dari seluruh dunia kini berada di Arafah PADAT… Jemaah haji dari seluruh dunia kini berada di Arafah untuk melaksanakan rukun haji kedua iaitu berwukuf yang bermula dari gelincir matahari pada 9 Zulhijah iaitu apabila masuk waktu Zuhur . BERNAMA

PARA fuqaha (ahli fikah) bersepakat bahawa ibadah wukuf di Padang Arafah telah ditentukan dengan masa dan waktu yang jelas iaitu pada hari kesembilan Zulhijah setiap tahun yang bermula dari waktu gelincir matahari (zuhur) sehingga sebelum waktu fajar (subuh) pada hari kesepuluhnya. Ia tidak sah jika digantikan oleh orang lain.

Sesiapa yang sempat berwukuf pada waktu tersebut, dia telah memperoleh ibadat haji manakala yang tidak sempat berwukuf pasti tidak akan mendapat haji tersebut. Justeru, ibadat wukuf adalah tiang asas kepada haji dan nadinya.

Para jemaah haji akan bertemu sesama mereka di Padang Arafah untuk menunaikan ketaatan kepada Allah dan pada masa sama di samping menghadiri muktamar agung tersebut saban tahun, perhimpunan itu juga mengingatkan umat Islam bahawa mereka adalah umat yang satu, taraf mereka adalah sama sahaja di sisi Allah SWT melainkan bagi orang yang me­ningkatkan amalan ketakwaan dan ketaatan yang banyak kepada Allah.

Setiap tahun umat Islam yang menghadiri perhimpunan ini akan mengingati dan merenungi pertemuan seumpamanya yang telah dihadiri sendiri oleh Baginda Rasulullah SAW di samping mengetuai dan memimpinnya. Mereka seolah-olah berada di dalam kelompok ratusan ribu para sahabat yang membanjiri Arafah untuk sama-sama menjejaki cara ibadat haji yang dikerjakan oleh Nabi SAW yang dikenali sebagai Hajjatul Wada’.

Di sanalah Allah menurunkan sebuah ayat yang menyatakan ketuanan agama Islam dan penerimaan-Nya terhadap wadah yang dibawa (al-Maidah 3). Di situlah juga Nabi SAW yang sedang menaiki unta, berdiri di antara bongkahan batu-batu besar di kaki Bukit Arrahmah memberikan peringatan, nasihat dan amanat kepada para jemaah haji ketika itu.

Baginda SAW mengajak mereka supaya berpegang kepada tali agama Allah dan menyatakan kerugian akibat perpecahan sesama sendiri, menerangkan kepada mereka tentang dasar-dasar keunggulan agama dan peranan umat yang bakal bertanggungjawab terhadap penye­baran risalah keamanan kepada sekalian manusia. Umat yang memikul tanggungjawab dan amanat tersebut telah dikurniakan dengan wahyu al-Quran yang dijamin-Nya terpelihara daripada sebarang perubahan, penambahan, kekurangan sehinggalah sampai hari kiamat.

Baginda SAW di dalam khutbahnya (pada tanggal 9 Zulhijah tahun ke-10 Hijrah) telah menjelaskan dasar-dasar agama Islam, menghapuskan ciri-ciri kesyirikan dan jahiliah, menyatakan tentang kehormatan darah manusia, harta dan maruah mereka di samping pengharaman menumpahkan darah, merampas harta dan menjatuhkan maruah sebagaimana yang telah disepakati oleh kesemua ajaran agama langit.

Turut dijelaskan di dalam khutbahnya tentang amalan yang berhubung dengan perkara jahiliah telah dibuang dan dihapuskan. Baginda SAW juga mengharamkan dan membatalkan perbuatan riba, selain memberikan amanat dan wasiat kepada kaum lelaki (suami) supaya memelihara wanita (isteri), di samping menyatakan tanggungjawab dan hak-hak yang perlu dilaksanakan untuk kebaikan mereka seperti pemberian makanan dan pakaian selain menjelaskan tanggungjawab para isteri untuk ditunaikan terhadap para suami mereka.

Nabi SAW juga memberikan amanatnya supaya semua umat berpegang teguh dengan kitab al-Quran dan menyatakan bahawa akan mereka sentiasa berada di dalam petunjuk Ilahi selagi kitab Allah itu diamalkan dan dihayati.

Antara sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya darah dan harta sesama kamu adalah mulia dan haram (dicerobohi) seperti mulianya hari ini (‘Arafah), bulan ini (Zulhijah) dan negeri ini (Mekah). Ketahuilah bahawa setiap perkara jahiliah diletakkan di bawah kakiku ini (dibatalkan). Segala tuntutan (bayaran) darah di zaman jahiliah dahulu juga dibatalkan. Tuntutan darah pertama yang dibatalkan adalah tuntutan darah anak kepada Rabi‘ah bin Al-Harith {yang telah menyusu di kampung Bani Saad yang kemudiannya dibunuh oleh Huzail}. Tuntutan terhadap harta riba di zaman jahiliah juga dibatalkan, tuntutan pertama yang dibatalkan adalah harta riba yang menjadi hak kepada Al-Abbas bin Abdul Muttalib, kesemuanya telah dibatalkan.”

Takutilah kamu kepada Allah dalam (menguruskan) para wanita (isteri), kerana kamu mengambil mereka (sebagai isteri) dengan amanah (yang diwajibkan oleh) ­Allah serta kamu dihalalkan untuk mereka dengan kalimah Allah (akad nikah). Adalah menjadi kewajipan mereka (wanita) tidak membenarkan sesiapa pun yang kamu tidak gemari duduk di hamparan (masuk ke rumah) kamu. Jika mereka melakukan demikian (memberi keizinan untuk orang lain) maka kamu pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. Kamu hendaklah memberikan perbelanjaan rezeki dan pakaian untuk mereka dengan cara yang baik. Daku tinggalkan untuk kamu suatu perkara yang kamu tidak akan sesat sekira­nya kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Quran).”

Dengan khutbah yang amat padat itu, Baginda SAW menggariskan kepada umat Islam dasar perjalanan yang berketrampilan dan membawa kepada ketamadunan manusia yang sewajibnya diikuti dan dituruti sepenuhnya dengan rasa kemuliaan dan penuh bangga.

Ketamadunan terdahulu yang tersasar dari prinsip agama dan akhlak, menjual segala asas budi pekerti untuk dilelong di pasar-pasar perdagangan dan kilang-kilang pengeluaran bahan. Insan telah dimanupulasikan untuk menjadi ganas dan kasar, membentuk jiwa yang sentiasa menginginkan penumpahan darah dan merampas harta orang lain. Ke­rana itu, kemajuan setempat walaupun amat menarik dan mengagumkan pada pandangan mata, pasti tidak dapat dinikmati dalam keadaan jiwa yang tenang dan hati yang tenteram bahkan segala kegusaran dan penderitaan terus menerus menghantui minda dan jiwa raga manusia setempat.

Rasulullah SAW seolah-olah pa­da Hari Arafah tersebut dipertunjukkan keadaan umat mendatang setelah zaman Baginda yang berada di dalam keadaan perpecahan dan perseteruan yang amat berkecamuk. Tiada penyatuan dalam kalangan mereka, silih berganti generasi yang datang dan pergi tetapi sama tanpa penambahbaikan, permasalahan masih tidak dapat diselesaikan, kesulitan dan kecelaruan yang menimpa tiada tindakan dan kajian terperinci yang boleh mengatasinya.

Justeru, sampailah ketika dan saatnya di mana umat Islam sewajibnya menyedari dan memahami makna kefarduan haji ini yang bukan sahaja dilaksanakan melalui beberapa perkara ibadah secara praktikalnya malahan mereka sewajarnya dapat menyelami segala kemanfaatan yang dipaparkan oleh Allah menerusi rukun Islam yang kelima ini.

Sejarah umat Islam terdahulu yang amat panjang tidak pernah menyaksikan sebarang serangan musuh di dalam pelbagai situasi sepertimana yang dihadapi oleh mereka ketika ini. Seluruh kekuatan musuh dan taktik peperangan saraf telah dilancarkan demi membantutkan keserlahan umat daripada meng­ungguli dunia kemanusiaan.

Justeru, bagi menghadapi ancaman musuh dan mempertahankan diri serta prinsip yang teguh, umat Islam perlu kembali kepada ajaran Islam sebenar, membuang segala kekalutan minda, menjernihkan kembali perseteruan dan perbalahan sesama sendiri, membina kem­bali rasa kemuliaan diri serta menambah baik strategi dan amali demi menyelamatkan diri daripada terus berada di bawah tekanan musuh dan kata dua mereka.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hari Arafah yang istimewa

Posted by epondok di September 23, 2015

SAIFULIZAM MOHAMAD

HARI ini, dianggarkan tiga juta umat Islam seluruh dunia yang dijemput sebagai tetamu Allah untuk musim haji kali ini berhimpun di Padang Arafah untuk menunaikan rukun haji paling utama iaitu berwukuf.

Dari segi susunan rukun haji, wukuf adalah rukun kedua selepas niat kemudiannya diikuti dengan bertawaf, saie, bercukur atau bergunting dan tertib di kebanyakan rukun. Persoalannya, mengapa wukuf dianggap sebagai rukun utama atau kemuncak dalam manasik (kerja-kerja) haji?

Bagi menjawab persoalan itu perlu dilihat apakah yang dimaksudkan dengan berwukuf di Padang Arafah? Wukuf adalah rukun yang wajib dilaksanakan oleh setiap jemaah haji dengan cara berada di Padang Arafah walaupun seketika bermula Zuhur 9 Zulhijah sehingga sebelum fajar 10 Zulhijah.

Inilah cabaran yang terpaksa dihadapi oleh jemaah haji apabila mereka perlu berada di Padang Arafah terletak kira-kira 18 kilometer dari Mekah dalam tempoh ditetapkan. Meskipun kedudukannya hampir dengan kota Mekah, pernah berlaku dalam satu musim haji bas yang membawa jemaah haji sesat kerana pemandunya tidak tahu jalan, namun dengan pertolongan Allah dan keizinan-Nya mereka sempat tiba di Padang Arafah sebelum tempoh waktunya berakhir.

Mungkin itu satu bentuk ujian kepada semua jemaah terbabit tetapi mesej penting yang mahu disampaikan adalah kesan jemaah yang gagal berada di Padang Arafah pada waktu ditetapkan.

Sebenarnya, implikasi dari segi hukum cukup besar ke­rana mereka yang gagal berwukuf di Padang Arafah haji­nya tidak sah pada tahun tersebut dan perlu mengerjakannya pada tahun berikut jika mampu.

Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Haji itu adalah Arafah (wukuf di Arafah).” Begitulah besarnya kesan yang diterima oleh mana-mana jemaah yang gagal berada di Padang Arafah pada waktu yang ditetapkan itu.

Bagaimanapun situasi seumpama itu mungkin tidak akan berlaku kerana sistem pengangkutan yang disediakan oleh pihak muassasah Arab Saudi terutama bas semakin bersistematik dari tahun ke tahun, malah penggunaan Makkah Metro yang kini dikendalikan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) juga menjadikan pengangkutan untuk jemaah haji semakin cekap.

Berdasarkan pe­nga­laman penulis (ketika mengerjakan haji pada 2008), kebiasaannya bas-bas yang membawa jemaah haji Malaysia akan tiba di tempat perkhemahan di Padang Arafah antara 4 hingga 5 petang pada 8 Zulhijah (sehari sebelum hari wukuf pada 9 Zulhijah).

Ketika itu semua yang mengerjakan haji tamattuk telah memakai ihram selepas berniat haji di penginapan ma­sing-masing di Mekah dan bagi yang mengerjakan haji ifrad mereka telah berniat haji sejak dari tanah air lagi.

Di Padang Arafah, bermulalah cabaran bagi para jemaah kerana tiada lagi keselesaan seperti mana yang mereka nikmati sepanjang berada di Mekah mahupun di Madinah.

Di Mekah dan Madinah masing-masing berada dalam bilik berhawa dingin sambil dilengkapi dengan bilik air serta tandas yang sempurna namun di Padang Arafah para jemaah akan tidur di khemah dengan jumlah tandas yang agak terhad.

Pada masa inilah para jemaah perlu lebih bertoleransi sesama rakan-rakan dengan tidak mudah mementingkan diri bagi mengelakkan sebarang perbalahan yang sudah tentu akan mencacatkan kesempurnaan menunaikan ibadat haji.

Cuba fahami maksud firman Allah SWT ini dalam ayat 197 surah al-Baqarah; “Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) haji itu maka tidak boleh mencampuri isteri, tidak boleh berbuat maksiat dan tidak boleh bertengkar ketika mengerjakan haji.”

Allah telah memberi satu perintah yang cukup jelas kepada semua jemaah haji berhubung larangan ketika menunaikan ibadat tersebut apatah lagi dengan suasana umat Islam yang begitu ramai hingga mencecah jutaan orang.

Begitu juga dengan pelbagai ragam sama ada dalam kalangan rakan sebilik, sekhemah mahupun daripada ahli keluarga dan itu semua ujian yang perlu ditempuhi dengan sabar, pada masa sama sentiasa mengharapkan pertolo­ngan Allah.

Sesungguhnya rahmat Allah yang diturunkan pada hari Arafah (ketika wukuf) terlalu banyak dan tarikh 9 Zulhijah adalah hari paling istimewa buat semua jemaah haji yang berhimpun di padang itu.

Pada hari berkenaan langit dibuka seluas-luasnya dan itulah masa terbaik untuk para jemaah memperbanyakkan solat, membaca al-Quran, berdoa, berzikir, bermunajat dan memohon keampunan terhadap dosa-dosa yang pernah dilakukan sebelum ini.

Keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah kepada Padang Arafah itu perlu digunakan sebaik-baiknya oleh para jemaah kerana tempoh yang diberikan hanya beberapa jam, paling afdal semua amalan hendaklah dilakukan secara berseorangan atau bersama ahli keluarga di luar khemah.

Menangislah di hadapan Allah sebagai tanda penyesalan terhadap semua keingkaran serta kesalahan yang pernah dilakukan dan bukannya berbual-bual kosong dengan rakan-rakan lain di dalam khemah sementara menunggu bas untuk ke Muzdalifah.

Sesungguhnya Allah sangat memuliakan hari wukuf bahkan Allah berada sedekat-dekatnya dengan jemaah yang sedang berwukuf di Padang Arafah untuk mende­ngarkan ungkapan dan keluhan hati mereka, oleh itu alangkah rugi jika hari tersebut diisi dengan perbuatan yang sia-sia.

Dalam pada itu takziah juga diucapkan kepada ahli keluarga dua lagi jemaah haji Malaysia yang disahkan terkorban dalam tragedi kren tumbang di Masjidilharam 11 September lalu iaitu Shahidan Saad, 52 dan Abdul Habib Lahman, 68.

Mereka menemui Maha Pencipta di tempat paling suci dan sememangnya Shahidan serta Abdul Habib bersama lima lagi jemaah negara ini tergolong dalam kalangan mereka yang dipilih oleh Allah daripada jutaan jemaah haji lain untuk menghembuskan nafas terakhir di Masjidilha­ram.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »