Saban tahun rakyat Malaysia berganding bahu memajukan negara mengikut acuan yang telah dipersetujui. Laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sudah pasti tidak akan terpadam daripada lipatan sejarah negara dan sentiasa diperingatkan setiap kali negara menyambut kemerdekaan. Detik keramat lebih lima dasawarsa lepas itu pasti akan diingati saban tahun bagi menaikkan semangat kecintaan terhadap negara bertuah ini.

Angka 58 tahun kemerdekaan adalah tempoh singkat berbanding dengan tempoh 446 tahun negara dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Tentulah di dalam tempoh yang begitu lama kesan penjajahan itu agak sukar untuk dihapuskan walaupun setelah merdeka. Namun itu bukanlah alasan untuk tidak membebaskan diri kita daripada minda penjajah.

Kemajuan negara berbanding zaman pramerdeka amatlah ketara.

MASIH BERGANTUNG UNDANG-UNDANG INGGERIS

Namun dalam kita menikmati kebebasan ini ada beberapa aspek yang mana kita masih terus ‘dijajah’ khususnya dalam aspek perundangan.

Umpamanya kebergantungan mahkamah sivil di Malaysia terhadap undang-undang lazim (common law) Inggeris melalui seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956 masih lagi merupakan aspek penting di dalam penghakiman di mahkamah walaupun kita telah merdeka. Kita masih lagi meminggirkan budaya, adat resam, norma dan agama kita dengan mengimport tata budaya dan norma yang begitu asing di dalam undang-undang kita iaitu undang-undang lazim Inggeris.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz pernah menyarankan supaya undang-undang lazim Malaysia digarap dan menyuntik elemen undang-undang dan jurisprudens Islam. Ia ditambah pula dengan kenyataan tegas bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa undang-undang Syariah adalah undang-undang terbaik.

Kenyataan dua tokoh kehakiman dan perundangan ini merupakan satu manifestasi betapa perlunya undang-undang Islam dilaksanakan di Malaysia. Tambatan kepada undang-undang Inggeris ini perlulah dihentikan dan keutamaan kepada prinsip undang-undang Islam yang lebih mencerminkan kehendak majoriti rakyat Malaysia direalisasikan.

Namun masih terdapat golongan ultra sekular yang tidak mendalami hakikat sejarah negara dengan menentang proposisi yang dinyatakan di atas. Begitu juga beberapa pertubuhan bukan kerajaan bukan Islam yang mendakwa undang-undang lazim Inggeris selama ini telah berperanan baik. Tentangan sebegini seolah-olah mahu membawa negara ke era prakemerdekaan. Mereka masih mengutamakan norma dan budaya penjajah berbanding dengan norma dan budaya masyarakat di Malaysia sendiri. Jelaslah kongkongan pemikiran penjajah masih amat menebal dalam diri mereka dan menolak budaya arus perdana rakyat Malaysia.

TIDAK MEMAHAMI ROH UNDANG-UNDANG ISLAM

Sikap ini sebenarnya timbul akibat kedangkalan ilmu undang-undang Islam yang adil tanpa mengira bangsa dan agama, bukan hanya kepada manusia sahaja malah kepada sekalian alam semesta. Contohnya, di dalam undang-undang Islam begitu mengambil berat tentang pemeliharaan dan tanggungjawab manusia terhadap alam sekitar. Ia lebih mementingkan aspek tanggungjawab manusia manakala undang-undang Barat seperti undang-undang Inggeris pula lebih mengutamakan hak. Itulah sebabnya golongan ini terlalu mementingkan hak asasi manusia berbanding dengan tanggungjawab asasi manusia.

Mereka begitu angkuh terhadap Pencipta dan menuntut pelbagai hak tanpa melunaskan tanggungjawab mereka terlebih dahulu. Natijahnya ialah masyarakat menjadi terlalu mementingkan diri sendiri dan mengabaikan tanggungjawab bersama. Masyarakat juga menjadi terlalu individual dan tidak memandu kudrat bagi mempertahankan identiti dan sahsiah diri.

Kenapakah kita lebih mudah menerima perkara asing untuk diterapkan kepada nilai kita oleh penjajah tanpa persetujuan kita berbanding dengan jurisprudens Islam yang mana sebahagian besar rakyat Malaysia mengamalkannya dan pernah suatu ketika dahulu dipraktikkan secara menyeluruh di negara ini.

Sikap tidak menyenangi orang Islam mengamalkan agama mereka secara sepenuhnya adalah berpaksikan kepada ketidakfahaman tentang ajaran Islam sendiri dan kekeliruan berhubung dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Tiada siapapun boleh mempertikaikan kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan. Apa yang diusahakan oleh orang Islam sekarang hanyalah untuk mengembalikan Islam pada kedudukannya yang sebenar sebagaimana sebelum penjajahan. Orang Islam perlu menerangkan keadaan ini kepada rakan bukan Islam agar syak wasangka ini akan terpadam