Dilaporkan bahawa kini terdapat lebih 500 juta pengguna facebook dan lebih 100 juta pengguna twitter di seluruh dunia. Di negara kita direkodkan lebih 12 juta rakyat di negara ini mempunyai akaun facebook, majoritinya berusia antara 16 hingga 35 tahun.

Oleh itu, sebagai umat Islam kita berkewajipan sebagai menjadi jurucakap Islam, iaitu berperanan sebagai seorang pendakwah dan dipertanggungjawabkan menyampaikan mesej mengikut kadar keupayaan. Firman Allah SWT di dalam Surah Yunus, ayat 25, yang bermaksud:

“(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).”

Ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT menyeru manusia supaya patuh dan taat kepada-Nya agar memperoleh tempat yang selamat iaitu syurga. Oleh itu, dengan cara berdakwah dapat mengajak kepada seluruh manusia agar berbuat baik dan mematuhi segala perintah Allah.

Sehubungan itu, dalam usaha ini, ia perlu bergantung kepada medium tertentu mengikut peredaran zaman. Oleh itu, kemunculan media baharu khususnya media sosial pada masa kini dilihat sebagai satu wadah penting untuk berdakwah.

WADAH DAKWAH

Usaha dakwah melalui Internet perlu diperluaskan seiring dengan penggunaan media tradisional. Ini kerana penyampaian mesej dakwah itu, boleh merentasi sempadan seterusnya mampu mensasarkan kepada segenap lapisan bangsa. Dengan itu, penggunaan media dalam Islam seharusnya lebih menekankan konsep ketakwaan dan menjadikan Islam sebagai acuan kehidupan.

Ingin ditegaskan bahawa media sosial, diibaratkan seperti sebilah pisau yang dapat memberi kebaikan dan dalam masa yang sama dapat mendatangkan kemudaratan. Justeru, kadang-kala dalam keghairahan ini, kita lupa akan batas-batas agama, dosa dan pahala sehingga kita sanggup melanggar prinsip-prinsip Islam dengan menjatuhkan, mendedahkan keaiban seseorang termasuklah melakukan fitnah.

Lebih dahsyat lagi, ada yang sanggup mencipta berita, dokumen, gambar palsu dan disebarkan demi tujuan tertentu. Sebagai seorang Muslim yang takutkan Allah dan percayakan hari akhirat kita hendaklah menjaga akhlak serta adab-adab semasa menggunakan media sosial.

Ingatlah, niat tidak boleh menghalalkan cara sebagaimana yang disarankan dalam firman Allah dalam Surah al-Hujurat, ayat 11, maksudnya:

“Wahai orang-orang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan yang mencemuh dan merendah-rendah puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebik baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”