Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Lakukan sesuatu kerana ALLAH

Posted by epondok di Ogos 20, 2015


SERING diungkapkan  lafaz lakukan sesuatu kerana ALLAH. Bercakap, berderma, beramal, bekerja, beribadat  dan melakukan apa saja kerana ALLAH. Ia adalah ungkapan yang mulia dan murni.
Kerana ALLAH bukan bermakna ALLAH perlukan sesuatu daripada kita kerana ALLAH itu Maha Sempurna dan tidak memerlukan sesuatu daripada manusia. ALLAH adalah Pencipta dan Pemberi Rahmat kepada manusia. ALLAH sebagai Khaliq tidak bergantung kepada
manusia sebaliknya manusia bergantung kepadaNYA.
Tetapi ALLAH mempedoman kita melakukan sesuatu ikut perintah dan pedoman-Nya supaya amalan kita terbimbing. Lakukan sesuatu keranaNya membayangkan jiwa ikhlas yang kita miliki dan hikmah amalan itu adalah untuk manusia juga. Keikhlasan terhadap apa saja yang
kita lakukan atas sandaran ALLAH Maha Melihat dan Mengetahui menjadikan kita insaf bahawa ia dalam rangka pedoman dan titah-perintah ALLAH jua.
Contohnya apabila kita bercakap, pertimbangan ALLAH yang Maha Melihat, Memerhati dan Mengetahui kita jadikan pedoman. Bila pedoman itu ada dalam diri kita, kita akan bercakap jujur dan tidak berdusta lantaran “Insaf Ketuhanan” (God-Conciousness) ada dalam diri kita.
Kejujuran ini memberi hikmah kepada yang lain. Menjadikan kita taqarrub Ilallah atau hampir kepada ALLAH ialah dengan mengikut suruhanNya dan menjauhi larangan-Nya. Dalam Surah al-Imran ayat 110, ALLAH memberikan pedoman untuk menjadi umat terbaik (khayra ummah) iaitu melakukan yang makruf, mencegah diri dari kemungkaran dan beriman kepada ALLAH.
Bercakap benar, berlaku adil, sentiasa amanah, bersikap telus dan tulus, bertimbang rasa, bijaksana adalah antara perkara yang makruf. Sifat mahmudah ini adalah sesuatu yang terpuji.Berbohong, sikap munafik, pecah amanah, zalim dan kejam adalah perkara yang mungkar. Sifat mazmumah ini adalah sesuatu yang terkeji.

Pedoman ini akan dipatuhi sekiranya keimanan kita mantap dan teguh dengan ALLAH SWT. Keteguhan iman dengan ALLAH menjadikan kita orang yang berjiwa rukuk dan sujud. Jiwa rukuk dan sujud membina asas kehambaan yang tinggi dan menjadikan kita orang yang patuh, akur, taat dan tunduk kepada pedoman-Nya supaya kita terus berada di landasan siratul mustaqeen iaitu jalan yang lurus.

Gambaran orang yang mukmin dan muttaqeen dibina atas aqaid atau ikatan yang teguh dengan ALLAH SWT. Sekiranya ikatan ini longgar kemungkaran mudah menerpa.Ikatan yang kuat atau aqidah yang telus kepada ALLAH menjadikan kita memiliki ihsan yang tinggi seperti yang terungkap dalam hadis Rasulullah SAW, “Dalam melakukan amal meski kita tidak melihat ALLAH tetapi wujud keyakinan ALLAH melihat kita”.

Ihsan dalam melakukan amal ibarat tangan kanan memberi, tangan kiri tidak nampak. Wujud keikhlasan yang nyata bahawa apa saja yang kita lakukan kerana ALLAH. Ia diungkap juga oleh Pendita Melayu, Zaaba dalam syairnya, Berbuat baik ayuhai rakan, kalau tidak dikenal insan, dalam laut ia dicampakkan, kalau tidak dikenal ikan, Tuhan tahu iakah bukan. Kebaikan atau kemakrufan walaupun sebesar zarah kita lakukan, ALLAH mengetahuinya walaupun manusia tidak tahu.
Melakukan sesuatu kerana ALLAH membentuk watak dan tabiat yang jujur. Jujur kepada diri, jujur kepada orang lain akibat jujur kita kepada ALLAH.Timbal baliknya baik untuk diri kita dan baik untuk orang lain. Rasulullah SAW mempunyai pekerti yang sedemikian. Sebab itu akhlak karimah yang dimilikinya menggambarkan akhlak al-Quran yang hidup dan menjadi sumber ikutan kepada manusia sehingga ke hari ini.

Kekacauan dan krisis yang berlaku dalam kalangan umat manusia ialah kerana mereka hidup tanpa ALLAH.Kalau ada pun kepercayaan kepada Tuhan tetapi keyakinan tidak terbina. Keimanan dalam Islam mesti dikuti dengan amal soleh (illallazi na’amanu waamniluss saalihat).

Tanpa asas yang selari dengan keimanan amalan manusia menjadi hambar dan kosong. Orang yang beriman dan beramal soleh memiliki pedoman dan panduan.

Pedoman daripada ALLAH yang dipatuhi dan panduan daripada ALLAH yang dikuti menjadikan manusia memiliki jiwa muttaqeen.

Jiwa muttaqeen menjadi landasan terbinanya karamah insaniah. Maksud al-Quran Inna aqramaqum ‘indalla hiatqaqum menjadi pengukur tentang kemuliaan diri insan di sisi ALLAH.ALLAH jadikan manusia berpasang-pasangan dan berbangsa-bangsa. Bukan pasangan dan berbangsa itu menjadi pertimbangan kemuliaan tetapi pasangan dan bangsa yang beriman dan bertaqwa kepada ALLAH menjadi ukuran mengenai karamah dan kemurniaan dirinya (maksud Surah Al Hujurat : 13). Inilah asas kemuliaan insan di sisi Penciptanya.

* Prof Dr Sidek Baba
Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: