Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Jaga silaturahim tanda kesempurnaan iman

Posted by epondok di Ogos 19, 2015


Ikatan persaudaraan sesama Muslim umpama sebuah bangunan yang saling menyokong antara satu sama lain bagi memastikan kekuatan sesebuah bangunan itu terus terpelihara. Begitu juga diibaratkan silaturahim sesama Muslim yang harus dipelihara supaya dapat menguatkan perpaduan umat Islam.
Program Tarbiah bersama Ustazah Muzayyanah Abdullah yang bersiaran setiap Jumaat, jam 10.15 pagi di radio IKIMfm, membicarakan mengenai kepentingan menjaga silaturahim kerana hubungan baik sesama manusia mendatangkan barakah serta rahmat Allah SWT.
Katanya, walaupun secara zahirnya manusia akan kembali menemui Allah SWT dalam keadaan keseorangan, tetapi seorang Mukmin tetap bergantung kepada doa daripada saudara Islam untuk mendapat tempat yang baik di akhirat nanti. Islam juga mendidik umatnya untuk saling menyayangi antara satu sama lain kerana dengan persaudaraan itulah yang akan menguatkan hubungan ukhuwah umat Islam. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang ingin dimudahkan (Allah) rezekinya atau dipanjangkan (Allah) umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim (hubungan kasih sayang).” (Riwayat Bukhari)
Peroleh rezeki berkat Pentingnya seorang Mukmin menjaga hubungan antara satu sama lain kerana kelebihan memelihara silaturahim akan mendatangkan kebaikan serta rezeki yang murah. Justeru, umat Islam yang memandang remeh hubungan silaturahim pastinya tidak mendapat keberkatan rezeki yang baik. Bahkan, orang yang tidak mengendahkan menjaga hubungan sesama manusia umpama tidak mengendahkan seruan Nabi Muhammad SAW dan suruhan Allah SWT.
Sebagai seorang Islam, menjadi tuntutan untuk kita mengeratkan hubungan persaudaraan kerana apa sahaja perbuatan dan perlakuan di dunia ini ada kaitannya dengan akhirat. Seorang yang membina persaudaraan kerana Allah SWT juga akan dipelihara hubungan kesatuan sesama manusia di akhirat. Hubungan persaudaraan sesama Muslim hakikatnya bukan hanya berlaku di dunia, ia juga berterusan hingga ke akhirat. Manusia yang memutuskan silaturahim bukan hanya berada terasing di dunia, malah berseorangan di akhirat kelak.
Ustazah Muzayyanah berkata, setiap manusia tidak pernah lari daripada melakukan salah dan silap, pertelingkahan dan perbezaan pendapat. Pertelingkahan dan permusuhan itu biarlah yang boleh mendatangkan muhasabah diri kepada manusia untuk memperbaiki kesilapannya. Pergaduhan sesama manusia biarlah berlaku hanya sementara sahaja, bukan mendatangkan mudarat seperti hasad dengki, amarah dan lebih parah lagi permusuhan yang boleh mendatangkan dendam membara dalam diri.
Beliau juga mengingatkan umat Islam sentiasa mengukur kekurangan diri dengan selalu melakukan tarbiah supaya dapat memperbaiki kekurangan. Seorang yang hidup mewah di dunia, tetapi penuh permusuhan dan pergaduhan, dibimbangi menjadi manusia paling ‘miskin’ di akhirat nanti. Katanya, jangan dibiarkan kehidupan dilingkari api kebencian kerana setiap perasaan benci tidak akan membawa manusia ke mana melainkan ia menjadi penyakit hati yang akan memusnahkan. Perasaan benci dalam hati akan memusnahkan diri dan merosakkan ibadah selain hubungan sesama manusia. Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kalian saling dengki, menipu, marah dan memutuskan hubungan. Dan janganlah kalian menjual sesuatu yang telah dijual kepada orang lain. Jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lainnya, (dia) tidak menzaliminya dan mengabaikannya, tidak mendustakannya dan tidak menghinanya. Takwa itu di sini (seraya menunjuk dadanya sebanyak tiga kali). Cukuplah seorang Muslim dikatakan buruk jika dia menghina saudaranya yang Muslim. Setiap Muslim atas Muslim yang lain, haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.” (Riwayat Muslim)
Hayati seruan Rasulullah Oleh itu, umat Islam harus menghayati seruan Nabi Muhammad SAW supaya menjadi Mukmin yang benar-benar mendapat keredaan Allah SWT di dunia dan akhirat. Sifat saling menyayangi, memelihara ukhuwah dan sentiasa membina tautan hati dengan kasih pasti mendapat barakah serta rahmat Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: “Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al Hujurat, ayat 10)
Umat Islam yang bermasam muka, tidak bertegur sapa dengan saudara, jiran tetangga atau sesiapa sahaja hendaklah membuka jendela hati bermohon taubat kepada Yang Maha Esa dan berdoalah kepada Allah SWT semoga dilembutkan hati untuk membina kembali tautan ukhuwah sesama manusia. Hakikatnya, kesempurnaan iman seseorang tidak hanya setakat beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, bahkan menjaga hubungan sesama Mukmin juga menjadi kayu pengukur terhadap kesempurnaan iman. Allah SWT sangat menyukai hambanya yang memanjangkan ukhuwah serta sentiasa bertaubat di atas khilaf dan salah. Perbuatan yang baik tidak perlu ditunggu kerana kehidupan yang singkat ini haruslah diisi dengan amal perbuatan yang akan meningkatkan ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: