Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Berbuat baik kepada rakan

Posted by epondok di Ogos 17, 2015


UNGKAPAN sebahagian daripada syair ini diolah oleh seorang Pendeta Melayu terkenal, Pendeta Zaaba yang mempunyai fikrah Islami yang baik.Secara lengkapnya syair ini berbunyi, “Berbuat baik ayuhai rakan. Kalau tidak dikenal insan. Ke dalam laut ia dicampakkan. Kalau tidak dikenal ikan. Tuhan tahu iakah bukan”.

Syair ini reflektif terhadap kualiti ihsan yang menjadi jalan terbaik kehidupan manusia. Keikhlasan kita dalam melakukan amal bukan untuk digahkan kepada orang lain supaya dapat pujian dan sanjungan tetapi ianya terjadi kerana ALLAH.
Meski dalam hidup kebaikan itu tidak diketahui oleh orang lain ia dikiaskan seolah-olah dicampakkan ke laut dan ikan juga tidak mengenali kebaikan itu tetapi ALLAH mengetahuinya. Perbuatan baik daripada manusia walaupun sebesar zarah tetap diketahui oleh ALLAH.Janganlah manusia bimbang dan gundah-gulana bahawa walaupun orang lain tidak tahu dan mengiktirafnya tetapi ALLAH tahu dan mengakui yang baik itu tetap baik.

Syair ini memberi pedoman kepada manusia selalu berlaku ikhlas, jujur, telus dan tulus seperti manusia terus melakukan kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain supaya kita berjiwa ubudiyyah kepadaNya, tawaduk selalu dan bersifat merendah diri supaya diri ada contoh teladan yang baik untuk dijadikan sumber ikutan.
Memang bagi manusia yang kelupaannya tinggi sikap berbangga-bangga malah ego yang tinggi menjadi tabiat dan amalan.Hal yang sama terdapat manusia yang suka dipuji dan disanjung bila melakukan sesuatu. Ia menyebabkan sikap riak dan angkuh terjadi.

Amalan ini tidak baik bagi orang Islam kerana ego boleh membawa diri kepada lupakan ALLAH kerana jiwa rukuk dan sujud tidak dihayati.

Ada orang mempunyai ilmu yang banyak dan kelulusan yang tinggi tetapi suka berbangga-bangga dengannya menyebabkan berilmu disalahtafsirkan.Orang-orang berilmu seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu kepada padi, semakin berisi semakin tunduk. Dalam bahasa mudah orang-orang berilmu harus memiliki sifat tawaduk kerana hakikatnya ilmu itu datang daripada ALLAH.

Ada orang yang mempunyai kedudukan dan pangkat dan berbangga-bangga dengannya. Pangkat dan kedudukan dalam Islam adalah amanah atau taklif. Pangkat dan kedudukan adalah peluang yang terbaik melakukan khidmat yang terbaik, adil, amanah dan bijaksana.
Ada orang mempunyai harta dan kekayaan dan menyebutnya di mana-mana. Harta dan kekayaan adalah amanah ALLAH dari sumber rahmah dan nikmah yang ALLAH kurniakan.Pada harta  dan kekayaan kita ada hak orang lain yang perlu ditunaikan. Menunaikan hak orang
lain ibarat menunaikan hak ALLAH.

Terdapat suami yang bersikap kasar dan sombong kepada isteri dengan menyebut-nyebut rezeki yang dicari dan menyebabkan isteri terkedu selalu.Ia adalah tidak baik kerana isteri adalah pasangan yang perlu disantuni kerana isteri adalah pasangan hidup yang seharusnya digembirakan kerana peranannya adalah besar iaitu mengurus rumah tangga dan mendidik anak-anak.

Sebab itu syair di atas memberi peringatan kepada kita penting jiwa tawaduk yang mengembalikan diri kepada ALLAH dengan jiwa ihsan yang tinggi, bersifat menyantuni dengan pekerti kasih sayang dan belas kasihan yang baik.
Kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi sesama Islam dan umat manusia adalah anjuran Islam. Antara faktor kejayaan dakwah Rasulullah SAW ialah Baginda amat merendah diri, tidak sombong dan amat bertimbang rasa kepada manusia khususnya orang miskin. Pekerti ini yang meruntun jiwa para sahabat untuk taat dan menghormatinya dan menyebabkan ramai umat manusia kembali kepada agama fitrah iaitu Islam.
Sayangnya sifat kasih sayang dan belas kasihan semakin hilang dari diri umat Islam sendiri.Akibat pengaruh kebendaan dan nafsu-nafsi watak Islami yang mampu mempengaruhi orang lain semakin pupus dan Islam dilihat sebagai agama ganas dan suka berseteru malah lebih dahsyat lagi agama berbunuhan sesama sendiri, sengketa yang tidak pernah terlerai dan sebahagiannya melihat kuasa politik adalah segala-gala.

Umat Islam harus kembali kepada maksud dan risalah Islam yang sebenar. Risalah nubuwah menanamkan rasa persaudaraan (innamal mukminu na’ikwah) yang tinggi sesama seagama dan pekerti teladan yang baik kepada yang tidak seagama supaya ketertarikan kepada Islam terjadi.Islam tidak dibina dengan sikap sombong dan serakah kerana ia boleh menimbulkan perpecahan dan permusuhan.

Keadaan ini adalah bencana bagi umat. Ini yang sedang terjadi kini dan sifat ihsan amat penting disuburkan supaya keyakinan kepada ALLAH dan ajaranNya mengatasi segala-galanya.

* Prof Dr Sidek Baba
Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: