Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Berusaha dalam jayakan misi dakwah

Posted by epondok di Ogos 11, 2015


RASULULLAH SAW melakukan asbab (sebab-musabab dalam dakwah) terhadap bapa saudaranya Abu Talib tetapi hidayah itu adalah milik ALLAH. Meski seluruh hujah bijaksana digunakan oleh Rasulullah SAW dikatakan ia tidak dapat mengubah aqidah Abu Talib.

Ia memberi perisyaratan kepada dai dan murabbi, pendakwah dan pendidik boleh berusaha sebaik mungkin tetapi hidayah atau pertunjuk untuk mengubah hati manusia datangnya daripada ALLAH.

Al-Quran memberi pedoman, watawasaubil haq watawasaubissabr – kebenaran (haq) itu disampaikan dengan kesabaran. Sejak di Makkah Rasulullah SAW melakukan dakwah untuk membawa kaum musyrikin kepada aqidah tauhid dengan ujian yang perit. Ada yang menerima dan ramai juga yang menentang.

Di Taif Rasulullah SAW dibaling dengan bantu tanda kebencian mereka terhadap seruan Rasulullah. Rasulullah SAW tidak berpaling kepada mereka mendoakan kebinasaan kepada mereka. Rasulullah tetap bersabar dengan ujian itu kerana mereka belum tahu akan keindahan Islam itu lagi.

Al-Quran dalam Surah An Nahl ayat 125 menjadi dustur atau pedoman dakwah Rasulullah SAW – bil hikmah waumau izatil hasanah, wajadilhum biilati hiya ahsan – dengan bijaksana, nasihat yang baik dan berhujah dengan hujah terbaik. Dustur ini menjadi pegangan Rasulullah SAW dalam melakukan dakwah dan ternyata jangka panjang ia terbukti baik bagi pengembangan Islam.

Mad’u atau sasaran dakwah adalah dari latar belakang yang berbeza. Setengahnya sudah ada kepercayaan agama masing-masing. Setengahnya tidak ada kepercayaan terhadap Tuhan (ateis) yang memerlukan pendekatan tersendiri menyantuninya. Setengahnya tidak mempunyai asas agama yang kuat dan cenderung murtad semula.

Sasaran yang berbagai ini memerlukan pendekatan yang tidak serupa. Di samping hikmah yang digunakan para da’i dan murabbi harus mampu memberi nasihat yang baik dan tentunya memiliki peribadi yang baik.

Ada ketikanya para dai’ berdepan dengan hujah akal, logik dan rasional terhadap hal-hal yang ghaib.

Para pendakwah harus mempunyai ilmu Islam yang baik, ilmu berbanding yang seimbang dan mampu melakukan analisis yang boleh meyakinkan mereka tentang kebenaran Islam.

Pokoknya asbab dalam dakwah perlu ada pada dai. Tanpa ilmu dan pendekatan dan memahami latar sasaran yang ingin disantuni keberkesanan terhadap mad’u mungkin kurang. Tetapi jika sentuhan rohani menjadi fokus harus dilakukan dengan sebaik mungkin.

Jika sentuhan akliah yang diperlukan banyak hujah yang boleh diberikan untuk menyatakan kebenaran terhadap Islam.

Usaha yang diiringi dengan doa dan tawakal yang tinggi harus dikuti dengan usaha yang berterusan dan tidak ada istilah putus asa dalam menyampaikan kebenaran dengan harapan ALLAH bakal memberi hidayah kepada mereka.

Bila hidayah sampai kepada mereka peranan melakukan tarbiah harus berlaku. Ia adalah pendekatan Rasulullah dan para sahabat kerana yang baru diberi hidayah memerlukan pedoman dan bimbingan supaya aqidahnya mantap, binaan imannya teguh, takwanya semakin kuat dan ilmu Islamnya bertambah.

Asbab yang ada pada da’i dan murabbi ialah kasih sayang dan belas kasihan. Kasih sayang sesama Islam dan umat manusia membina keyakinan bahawa orang yang menentang Islam akibat mereka tidak tahu Islam itu agama yang cantik dan sesuai untuk umat manusia.

Masa kini dakwah tidak saja berlegar dalam kerangka dakwah bil lisan dan dakwah bil hal (teladan) tetapi lebih mencabar lagi tekno-da’i iaitu bagaimana teknologi langit terbuka kini menjadi satu saluran berpengaruh dalam melakukan komunikasi.

Tekno-da’i juga harus dijadikan asbab dalam menghasilkan perisian, modul yang serasi dengan cita rasa Islami. Jumlah responden yang ramai dalam Facebook, Twitter, Instigram, WhatsApp, YouTube  dan cabang media maya yang lain harus dimanfaatkan dengan  bahan-bahan yang Islami.

Amat penting para da’i dan murabbi memiliki darjah kesabaran dan kebijaksanaan yang tinggi dan mempunyai tekad perancangan yang strategik dan sentiasa yakin dengan niat yang ikhlas, jiwa menyantuni yang berhemah, kalimah nasihat yang baik, hujah ilmu dan akliah yang bernas bakal membawa manusia berfikir dan merenung dengan doa ALLAH akan memberi hidayah kepada mereka.

Jalan yang dipilih oleh da’i dan murabbi bukan jalan jangka pendek. Jalan dakwah penuh cabaran dan ujian. Rasulullah SAW dan para sahabat memilih jalan jangka panjang dan penyambung binaan risalah hari ini dan masa depan bergantung kepada istiqamah kita.

* Profesor Dato’ Dr Sidek Baba

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: