Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Jiwa kembali kepada Ilahi tenang hadapi masalah

Posted by epondok di Ogos 7, 2015


Oleh Norhayati Paradi

NIAT mencari rezeki kerana Allah mampu tangani masalah di tempat kerja.

KEHIDUPAN di dunia seperti pengembara atau musafir yang penuh ujian dan perlu menyediakan bekalan secukupnya. Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerangkan, kehidupan ini adalah perjalanan yang bermula dari Allah SWT dan menuju kepada Allah SWT. Pencerahan itu dikongsikan dalam program Islam Itu Indah pada Rabu lalu, di IKIMfm. Beliau memetik hadis daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang pengembara atau perantau di jalan.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Katanya, dari Allah SWT kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Ketika bermusafir itu akan ada penderitaan dalam usaha membawa diri keluar daripada kebiasaan bagi membina hasil yang luar biasa. Ia juga menuntut kerja keras yang membangkitkan keletihan, kepedihan, rasa jemu serta kesusahan. Sesungguhnya kehidupan sinonim dengan ujian menepati firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Hidup berdepan masalah silih berganti Pahrol berkata, hidup ini adalah untuk menghadapi dan menangani masalah. Perjalanan hidup itu akan menempuh pelbagai masalah silih berganti sehingga bertemu dengan suatu ketentuan bernama mati. Sering berlaku, kewujudan masalah akan menimbulkan tekanan selagi masalah itu tidak ditangani dengan tuntas dan penuh kebijaksanaan. Sebab itu, kehidupan dicipta dengan masalah yang tidak putus untuk melihat cara individu itu merungkainya. Manusia dicipta sempurna dengan watak dan personaliti berbeza. Begitu juga dengan cara menanganinya berbeza. Terkadang timbul rasa berat untuk bersolat, sukar menghulur sedekah, malas menyelak lembaran al-Quran apatah lagi membacanya, suami susah memberi sayang pada isteri, isteri culas menyerah taat pada suami dan banyak lagi masalah lain.

Mereka yang sedar wujudnya masalah harus bersyukur, tetapi ada sesetengah individu tidak melihat permasalahan itu sebagai masalah. Mereka menganggap miliki kereta kecil, rumah tidak mewah, pakaian tidak mengikut peredaran masa sebagai masalah yang sebenar dan merumitkan kehidupan. Masalah hadir silih berganti dan terkadang bertimpa-timpa umpama sampah dan kotoran yang dibuang ke dalam sungai, tidak pernah berhenti selagi arus sungai mengalir. Masalah juga terkenal dengan tamsilan benang yang sangat kusut dan bersimpul. Sememangnya adat kehidupan, masalah datang dan pergi dalam skala kecil mahupun besar sehingga masalah itu membelenggu hati, emosi serta fikiran.

Masalah ini perlu dirungkai perlahan-lahan dan penuh kesabaran kerana ada waktu meleraikannya mengambil masa yang panjang. Jika tidak miliki kesabaran pasti benang direntap dan natijahnya benang akan putus serta tidak dapat memberi faedah bukan sahaja pada orang lain, malah diri individu itu sendiri. Orang tua ada memperturunkan petua, “jika benang kusut, cari puncanya. Dari puncanya, maka ungkailah perlahan-lahan sehingga terlerai keseluruhannya”. Justeru, jika berlaku masalah yang bertimpa-timpa kembalilah kepada teras dan asas.

Pahrol berkata, dengan pendekatan kembali kepada asas akan mendorong diri membina keikhlasan yang menemukan mereka kepada Allah SWT. Saat itu Allah akan titipkan kekuatan, maka berbekalkan kekuatan itulah langkah dapat diteruskan dengan lebih tabah dan gagah. Apabila kembali kepada teras, masalah kewangan yang tidak berpenghujung walaupun gaji sudah bertambah dapat diatasi. Saat itu kita sedar tujuan asal bekerja untuk mencari sumber rezeki. Begitu juga masalah di tempat kerja akan dapat diatasi. Melihat kembali tujuan bekerja akan mengembalikan semula ketenangan dalam urusan kehidupan kerana segala dilakukan adalah kerana Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh.” (Surah adz-Dzariyaat, ayat 56-58)

Bentuk niat baharu Perkahwinan, kekeluargaan, pekerjaan, persahabatan dan banyak lagi aktiviti dalam ruang lingkup kehidupan adalah wadah untuk mencapai tujuan menjadi hamba Allah SWT. Semua ada kaitan dengan niat kerana Allah SWT. Justeru, pada saat diri tersedar kesilapan maka bentuk niat yang baharu. Selain itu, ada individu memasang niat yang betul dari awal, tetapi lama-kelamaan niat itu mula tersasar, hanyut dan hilang jejak. Maka, kembalilah kepada jalan yang benar. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bandingan orang yang menjadikan benda yang lain daripada Allah sebagai pelindung adalah seperti labah-labah yang membuat sarang, sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, sekiranya mereka orang yang mengetahui.” (Surah al-Ankabut, ayat 41)

Allah SWT itu sentiasa ada, tetapi masalahnya adakah Allah ada di hati, rumah tangga dan pekerjaan kita? Susun kehidupan kita dengan meletakkan Allah SWT dari awal permulaan supaya tidak sangkut pada pertengahan dan tersungkur pada pengakhiran

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: