Bagaimana pun, tentunya manusia yang lemah tidak terhindar daripada kehidupan; kerana siapakah di antara manusia yang tidak pernah berbuat dosa? Jawapan kepada persoalan ini hanya kita sendiri yang perlu memikirkannya.

Umat Islam masa kini banyak mengalami pelbagai gejala penyakit rohani sehingga menimbulkan keresahan dan kegelisahan di hati dan jiwa.

Kesannya, fizikal atau jasmani manusia mengalami seksaan dan penderitaan jiwa. Penyakit rohani seperti keluh kesah apabila ditimpa keburukan dan tidak mahu bersedekah apabila mendapat rezeki dan harta ini juga boleh membawa kepada keresahan hidup. Hanya dengan hati dan jiwa yang istiqamah dapat merawat hati dan jiwa.

Dari segi istilah ‘istiqamah’ membawa maksud ketaatan menjalankan sesuatu suruhan secara sederhana tetapi terus menerus (termasuk urusan agama). Oleh itu, pendidikan sejak kecil mestilah sentiasa diarahkan untuk selalu taat dan dekatkan hati dan diri kepada Allah.

Istiqamah menurut bahasa bererti tegak, tetap dan lurus. Dalam istilah syarak, istiqamah bererti berdiri teguh pada jalan yang benar, lurus, berpegang kepada akidah Islam dan mengamalkan syariatnya dengan tekun tanpa berubah.

Apa yang haram hukumnya tetap haram di sisi Allah dan Islam. Hanya dengan iman segala-galanya ini dapat mengelakkan seseorang itu menyimpang jauh, serta terbabit dengan pelbagai gejala sosial, penyalahgunaan dadah, meminum minuma alkohol, membuang masa, terlibat dengan lumba haram sehingga meninggalkan solat.

Sifat istiqamah juga dapat menahan diri daripada ujian. Firman Allah yang bermaksud, “Apakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji lagi.” (Surah Al-Ankabut:2)

Oleh hal yang demikian, ketaatan kepada Tuhan akan dapat diuji keimanan seseorang manusia.

Firman Allah bermaksud, “ Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa (pengikut) dan buah-buahan (biji-bijian). Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadanya Kami kembali” (Surah al-Baqarah:155-156)

Manusia yang dijadikan di atas maka bumi ini akan diuji oleh Allah dengan berbagai-bagai bentuk ujian. Barang siapa yang beriman dan taat akan sabar dengan bermacam-macam-macam bentuk ujian itu. Allah akan memberi pahala kepadanya. Sementara itu, barang siapa tidak sanggup menerima ujian daripada Allah yang bermacam-macam-macam itu, maka Allah akan murka dan balasannya ialah neraka.

Hakikat ujian itu didatangkan bertujuan penghapusan dosa. Menguji tahap keimanan hamba. Selain itu, sebagai peningkatan darjat di sisi Tuhan sebagai peningkatan darjat di sisi Tuhan.

Allah hendak beri pahala tanpa hisab. Ini juga adalah tarbiah dari Allah. Tanda kasih sayang dari Allah.

Berkaitan tentang istiqamah Allah berfirman yang maksudnya, “Sesungguhnya orang yang mengatakan: Allah Tuhan kami, kemudian mereka berpendirian teguh (istiqamah), maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (berkata): Jangan kamu takut dan berdukacita, dan terimalah berita gembira memperoleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kami menjadi pelindung kamu dalam kehidupan di dunia ini dan pada hari akhirat.

Di sana kamu memperoleh semua apa yang menjadi keinginan jiwamu (hatimu), dan di sana kamu memperoleh semua apa yang kamu minta. Sebagai kehilangan dari Tuhan yang Pengampun dan Penyayang”. (Surah Fussliat: 30-32).

Manusia juga diminta supaya sentiasa tegah daripada Allah, firman-Nya yang bermaksud, “Bersikap teguhlah (istiqamah) seperti yang diperintahkan kepada kamu, demikian pula orang-orang yang kembali (kepada Tuhan) bersama kamu. Janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Tuhan melihat apa yang kamu kerjakan”.( Surah Hud:112)

Jelaslah orang yang sentiasa istiqamah akan menuju ke jalan yang lurus dan diredai Tuhan. Allah berfirman yang maksudnya “Dan barang siapa berpegang dengan Allah, mala sesungguhnya akan dipimpin dia ke jalan yang lurus” (Surah Ali-Imran:101).

Istiqamah menurut pengajaran agama Islam ialah berdiri teguh pada jalan yang benar dan lurus tanpa sedikit pun berubah sikap atau pendirian dalam apa keadaan sekali pun.

Inilah satu-satunya ciri orang yang benar-benar beriman terhadap Allah. Sesudah mereka menyatakan diri memeluk agama Islam seseorang itu lantas berpegang teguh dengannya, mengerjakan apa yang diperintah serta menjauhi apa yang dilarang.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Daripada Abi ‘Amr (ada yang menyebutnya Abi Amran) Sufyan bin Abdullah al-Tsaqafi RA berkata: Wahai Rasulullah SAW, katakanlah kepadaku suatu ungkapan tentang Islam, yang saya tidak memintanya kepada seseorang pun kecuali kepadamu. Rasulullah SAW bersabda: Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian istiqamah. (Hadis Riwayat Muslim).

Istiqamah juga adalah sikap tidak mudah putus ada walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran. Istiqamah adalah merujuk kepada perkara-perkara berikut;

– Cita-cita yang murni untuk berjaya di dunia dan akhirat.

– Cabaran yang dihadapi, iaitu sanggup berdepan dengan pelbagai masalah dan ujian.

– Prinsip yang menjadi pegangan iaitu kebenaran (ajaran Islam berterap ilmu ibadah, solat, iman dan akhlak mulia.

– Berjihad melawan pengaruh hawa nafsu.

– Sentiasa berpendirian teguh dan tidak terpengaruh keseronokan.

Selain itu, istiqamah juga bererti berpendirian teguh atas jalan yang lurus, berpegang kepada akidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah dan berpaling walau dalam apa keadaan sekali pun.

Dapat dirumuskan unsur-unsur utama istiqamah adalah:

– Berpegang pada akidah yang benar, akidah ahli sunah wal-jemaah.

– Melaksanakan tuntutan syariat Islam berpandukan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

– Mempunyai prinsip dan keyakinan yang tidak akan berubah atau goyah.

– Tidak terpengaruh dengan diayah dan godaan hawa nafsu dan godaan syaitan.

– Tidak tunduk pada tekanan demi melaksanakan tanggungjawab dan mempertahankan kebenaran.

Sungguh indah sekali sifat istiqamah ini. Oleh itu, setiap orang yang mengakui dirinya Muslim, wajiblah memiliki sifat istiqamah ini. Orang yang bersikap istiqamah adalah orang yang sangat dikasihi oleh Allah dan akan beroleh ganjaran yang besar di akhirat kelak.

Justeru, istiqamah ini akan melahirkan sifat akhlak yang lain yang terpuji seperti menyukai kebenaran, berlaku sabar, amanah dan sebagainya.

Kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah agar dijadikan kita semua orang yang beristiqamah dalam kehidupan di dunia demi kebaikan di akhirat.