Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Usah abai wasiat Ramadan lipat ganda amal

Posted by epondok di Julai 30, 2015


Oleh Syafiq Zulakifli
Betapa sukar melepaskan anak meneruskan perjuangan belajar ke luar negara, begitulah halnya dengan sukarnya meninggalkan Ramadan tahun ini. Namun, waktu yang berganti tidak dapat dihitung dengan ketetapan ditentukan. Itulah gambaran sebenar sejauh mana Syawal yang sudah ditempuhi lebih daripada seminggu ini menjadi penyebab dan kewajaran kita terus istiqamah dengan apa yang dilaksanakan.
Rancangan Ibrah Isnin minggu lalu membawa perkongsian berkenaan wasiat Ramadan. Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman melorongkan idea mengenai wasiat yang telah ditinggalkan oleh bulan yang mulia itu dengan sikap kita pada hari ini. Apakah amalan praktikal yang telah dilatih sepanjang Ramadan itu menjadi rutin harian kita meneruskan kehidupan selepas menyambut Aidilfitri atau sekadar satu bulan yang dihimpunkan pelbagai hikmah, tetapi tidak memberi apa-apa kesan dalam jiwa. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 28)
Orang yang benar-benar mengingati setiap amal perbuatan baiknya, tentu akan menikmatinya. Mereka yang benar-benar menginsafi perjalanan Ramadan tentu akan mengingati saat-saat indah berpuasa, bangun sahur, sanggup berlapar dahaga. Namun, semua itu boleh berubah dalam sekelip mata selepas Syawal menjelma. Justeru, Muhammad Syaari mengingatkan mengenai wasiat yang tidak harus diabaikan selepas kita berjaya merasai nikmat yang ada pada bulan itu.
Tidak memberikan alasan
Pertama, keazaman dan niat yang kental seperti kita berada pada Ramadan. Orang yang benar-benar merancang dengan niat betul akan menghasilkan keputusan betul. Katanya, berapa ramai di antara kita sehingga hari ini masih lagi belum melaksanakan puasa enam yang dituntut ketika Syawal. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa sebulan Ramadan, kemudian diikuti oleh enam hari Syawal, pahalanya seperti berpuasa selama setahun.” (Riwayat Imam Muslim)
Perkara itu menjadi wasiat utama supaya tindakan dilakukan adalah berdasarkan niat yang betul. Ada ramai yang sanggup berlapar dahaga sejak daripada sahur sehingga berbuka kerana tahu niat mereka adalah menunaikan ibadah puasa. Keazaman yang kuat dan telah diniatkan sejak dari awal akan menjadikan kita bersedia melakukan setiap amal perbuatan itu. Oleh itu, merencana sesuatu perkara itu penting supaya amal yang kita lakukan mempunyai sebab pelaksanaannya.
Wasiat kedua ditinggalkan kepada kita supaya tidak memberikan alasan dalam melaksanakan apa sahaja perkara. Orang yang berjaya menempuh sebulan Ramadan tidak mempertikaikan apa sahaja perlakuan yang dilakukannya pada bulan itu. Mereka sanggup berpuasa walaupun dalam tempoh masa yang lama. Ada pula yang bermusafir tinggal di luar negara mampu berpuasa lebih daripada 12 jam dan berlanjutan sehingga 20 jam.
Perkara itu menjadikan kita hamba yang mampu melakukannya jika mempunyai perancangan diurus dengan baik dan mengharapkan keredaan Allah SWT. Lihatlah bagaimana nabi dan rasul sentiasa berdoa memohon kepada Allah SWT untuk terus ditetapkan kebenaran walaupun berhadapan kerenah kaumnya sendiri. Mereka segera memohon ampun kepada Allah SWT jika melakukan kesilapan dan kesalahan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan segeralah kamu (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.” (Surah Ali-Imran, ayat 133)
Wasiat ketiga, suasana yang baik menghasilkan kehidupan baik. Suasana dan persekitaran sepanjang Ramadan tentulah indah. Kita berada dalam masjid untuk menunaikan solat tarawih, bergaul dengan orang baik dan bercerita hal keagamaan juga mengenai bulan yang mulia. Bentuk jati diri Muslim Oleh itu, suasana juga memainkan peranan utama membentuk jati diri sebagai Muslim untuk berubah. Kita memilih persekitaran untuk berubah walaupun sukar melakukan perubahan, tetapi setiap perbuatan yang sukar itu mempunyai kesenangan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka sesungguhnya setiap kesulitan (kesusahan) itu ada kemudahan.” (Surah Insyirah, ayat 5)
Ayat itu diulangi pada ayat seterusnya untuk menyedarkan manusia apa sahaja perlakuan yang difikirkan sukar itu akan dapat ditempuh dengan mudah jika benar-benar kita menggapainya. Ramadan telah meninggalkan pelbagai wasiat kepada kita sebagai hamba untuk terus melipatgandakan amal kebajikan. Dalam sejarah Islam, orang Muhajirin dan Ansar juga melaksanakan segala kebaikan untuk mendapatkan kemenangan mutlak kerana penghijrahan mereka. Rasulullah SAW juga telah mengingatkan kita untuk terus melaksanakan amal salih dengan melakukan kebaikan dan diganjari pahala berterusan. Justeru, biarlah wasiat yang ditinggalkan terus menjadi satu landasan supaya kita berjaya membawa bekal kebaikan sehingga akhirat nanti.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: