Dalam masa yang sama, rumah terbuka adalah antara ‘halangan utama’ sebahagian besar umat Islam menyempurnakan puasa sunat Syawal atau lebih dikenali sebagai puasa enam. Ramai yang terpaksa mencongak sempat atau tidak melengkapkan puasa enam. Sebabnya setiap hujung minggu pasti ada jemputan makan di rumah terbuka.

Di pejabat-pejabat pun suasananya serupa. Ada sahaja jabatan atau bahagian-bahagian tertentu yang bergilir-gilir mengadakan rumah terbuka.

Hendak berpuasa enam ini memerlukan semangat dan kekuatan mental. Yalah, kalau dalam Ramadan semua umat Islam berpuasa. Sebaliknya, dalam bulan Syawal, lebih ramai yang makan daripada yang puasa. Justeru, cabarannya lebih hebat. Jika lemah semangat, mahu sahaja kita berbuka apabila melihat pelbagai jenis hidangan dalam rumah terbuka.

Puasa enam hari dalam bulan Syawal walaupun hukum­nya sunat tetapi ganjaran pahalanya amat besar. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa berpuasa penuh di bulan Ramadan lalu menyambungnya dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama setahun.” (Riwayat Muslim)

Dikatakan begitu kerana orang yang melakukan satu kebaikan akan mendapat 10 kebaikan yang semisal. Berpuasa selama sebulan Ramadan bererti puasanya adalah ibarat puasa selama 10 bulan. Berpuasa selama enam hari di bulan Syawal pula seumpama dengan 60 hari berpuasa.

Soalnya, apa yang perlu dilakukan apabila menghadiri majlis rumah terbuka sedangkan kita puasa sunat Syawal?

Abu Hurairah r.a meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang daripada kalian dijemput untuk makan sedangkan dia berpuasa, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa.” (Riwayat Muslim)

Justeru apa yang boleh dilakukan bagi orang yang puasa tadi untuk tuan rumah? Dalam hal ini, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kalian dijemput, hendaklah dia memenuhi jemputan itu. Jika dia berpuasa, hendaklah dia berdoa, jika dia tidak berpuasa, hendaklah dia makan.” (Riwayat Muslim)

Namun, ada juga hadis yang membolehkan kita membatal­kan puasa sunat untuk meraikan jemputan tuan rumah. Abu Sa’id al-Khudri RA berkata: “Aku menyediakan makanan untuk Rasulullah SAW, lalu baginda dan sahabat-sahabatnya datang kepada aku. Apabila makanan telah dihidangkan, salah seorang daripada mereka berkata: Sesungguhnya aku berpuasa. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Saudara kalian te­lah menjemput kalian dan bersusah payah untuk kalian. Lalu baginda berkata kepada lelaki itu: Berbukalah, dan gantilah pada hari lain jika engkau mahu.” (Riwayat al-Baihaqi)

Oleh itu, dapat disimpulkan:

# Puasa sunat boleh dibatalkan jika ada jemputan makan.

# Apakah yang lebih afdal? Bergantung kepada keadaan. Jika puasa kita itu mengguris hati tuan rumah, maka lebih elok berbuka. Jika tidak, lebih elok teruskan puasa.

#  Jika meneruskan puasa, hendaklah kita mendoakan tuan rumah.

#  Bagi kaum wanita, mereka perlu membuat perkiraan yang tepat agar tidak terlepas pahala puasa sunat Syawal. Dibimbangi jika membatalkan puasanya, mereka tidak sempat melakukan puasa enam kerana bulan Syawal akan tamat atau haidnya akan datang lagi.

# Satu lagi alternatif adalah mengadakan majlis rumah terbuka pada waktu malam. Ini memberi peluang kepada rakan-rakan yang berpuasa enam memenuhi jemputan serta menikmati juadah yang disediakan.