Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Puasa sunat 6 bulan Syawal tingkat takwa, baik untuk kesihatan

Posted by epondok di Julai 26, 2015


Oleh Nik Hasnah Ismail
Syawal disambut tanda meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa. Walaupun Ramadan sudah berlalu bukan bermakna segala rutin dan amal ibadah terhenti. Justeru, amalan baik seperti menjaga adab, tatasusila ketika beraya, bersolat pada awal waktu, bersabar dan berpuasa sunat enam Syawal tanda amalan Ramadan terkesan dalam hati.
Kebanyakan umat Islam di negara ini menyambut Aidilfitri secara besar-besaran dan cukup meriah. Kebanyakan mereka bukan sekadar meraikan kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa, tetapi ramai bercuti panjang untuk pulang di kampung berkumpul bersama keluarga serta mengunjungi sanak saudara. Ziarah-menziarahi adalah amalan mulia yang dituntut agama kerana dapat mengeratkan silaturahim. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang ingin rezekinya diperluas dan umurnya ditambah, maka hendaklah ia menyambung silaturahim.” (Riwayat Anas bin Malik)
Tuntutan menghubung silaturahim ditekankan kerana dengan cara itu akan dapat membentuk perpaduan dan ukhuwah sesama Islam. Kesempatan berada pada Syawal yang mulia amatlah dituntut untuk kita terus menjalin perhubungan yang mungkin tidak dapat dilakukan sebelum ini.
Jaga adab, tatasusila di rumah orang
Dalam kegembiraan menyambut lebaran dengan kunjung mengunjung, jangan dilupa adab dan tatasusila ketika berada di rumah orang. Pelihara akhlak dan percakapan kerana itu melambangkan nilai serta tarbiah diri sepanjang Ramadan. Elak daripada bercakap perkara sia-sia apatah lagi perbualan yang boleh mengguris hati tuan rumah atau tetamu lain. Barangkali kerana bertemu sekali sekala kita terlalu ghairah bercerita pelbagai topik sehingga boleh melukakan hati orang lain dengan soalan atau kata-kata yang sensitif. Begitu juga ketika menjamu juadah disediakan tuan rumah, jangan sesekali kita mengambil makanan berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran. Amalan membazir bukan sahaja perbuatan yang tidak manis, tetapi ditegah oleh agama. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27)
Selesai beribadah pada Ramadan, bukan bermakna telah selesai rutin dan amalan ibadah kita pada bulan lain. Walaupun ganjaran pahala yang Allah SWT kurniakan tidak setinggi ganjaran pahala pada Ramadan, tetapi itu adalah kualiti nilai tarbiah diri ketika kita menjalani ibadah bulan mulia itu.
Syawal juga dilihat sebagai medan untuk menentukan sama ada amalan Ramadan benar-benar terkesan dalam hati dan perbuatan kita. Sekiranya kita masih mengekalkan rutin ibadah seperti membaca al-Quran, bersolat pada awal waktu, sabar dengan ujian, tidak mengumpat atau menjauhi perbuatan maksiat, bererti madrasah Ramadan kita benar-benar mengukuh dalam diri. Jika kita meninggalkan amalan pada bulan mulia itu, bererti kita hanya sekadar beribadah mengikut adat dan budaya sahaja, tetapi tidak melaksanakan amalan itu kerana Allah SWT.
Amal ibadah lain yang boleh kita terus laksanakan pada Syawal ialah puasa sunat enam. Seperti kata Abu Ayyub Al-Ansari, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari pada Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim)
Ganjaran puasa sunat enam Syawal Rasulullah SAW menyatakan puasa enam hari selepas Ramadan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Ganjaran pahala ini hanya terdapat pada puasa sunat enam Syawal dan ia adalah satu kelebihan bagi umat Islam untuk meningkatkan ketakwaan di sisi Allah SWT.
Menyingkap hikmah berpuasa enam jika dilihat dari sudut kesihatan, ia baik bagi sistem pencernaan yang berehat lama pada Ramadan. Jika kita dapat meneruskan puasa pada Syawal, tidak dapat tidak ia seperti satu latihan secara beransur-ansur untuk sistem penghadaman kembali kepada keadaan biasa. Sesungguhnya kita hendaklah sentiasa istiqamah beribadah kepada Allah SWT supaya terus dapat membina hubungan dengan Allah SWT dan mengekalkan hubungan baik sesama manusia seperti dilakukan pada Ramadan.
Kata ulama, betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada Ramadan, sedangkan pada bulan lain Allah SWT dilupai. Rugi bagi kita jika tidak mengambil kesempatan dan peluang yang Allah SWT berikan ini untuk menambah amal ibadah kepada Allah SWT. Jadikanlah Syawal ini ruang untuk kita meneruskan momentum beramal salih kepada Allah SWT, mudah-mudahan kita menjadi hamba yang mendapat pandangan tertinggi di sisi-Nya dan penghuni syurga Allah SWT yang kekal abadi.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: