Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Usah anggap beban jaga ibu bapa

Posted by epondok di Julai 25, 2015


Oleh Rohidzir Rais

KOS Sara hidup, kesuntukan masa bukan alasan abai tanggung jawab terhadap orang tua.
KISAH ibu bapa diabaikan anak pasti menjadi isu yang menyayat hati siapa sahaja. Tidak hairan saban tahun iklan perayaan sering menggunakan sentimen ini bagi meraih simpati dan perhatian masyarakat. Hakikatnya, dalam kehidupan terlalu mencabar dan sukar ini, kebaktian terhadap orang tua acap kali diabaikan. Secara sengaja atau tidak, memelihara orang tua menjadi beban kepada anak sama ada yang masih bujang, malah yang sudah berkeluarga.
Yang bujang akan beralasan, mereka baru bekerja dan tidak mempunyai pendapatan cukup bagi memelihara ibu bapa yang tua. Anak yang berkeluarga juga memberikan alasan kos sara hidup semakin mencengkam dan rumah yang sempit tidak memungkinkan mereka memelihara ibu bapa. Lebih sukar apabila pasangan tidak sukakan ibu bapa mentua bersama mereka. Lalu episod luka ibu bapa yang disisihkan anak ini berterusan saban tahun tanpa ada kesudahannya.
Benar sebagaimana bidalan menyatakan, ibu bapa mampu mengasuh sepuluh anak, tetapi sepuluh anak belum tentu mampu menjaga ibu bapa. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu tidak menyembah kecuali kepada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baik kebaktian. Sekiranya salah seorang atau kedua-duanya telah tua dalam peliharaanmu, jangan sesekali kamu berkata kepada mereka ‘ah’, dan jangan kamu membentak mereka. Bercakap dengan mereka perkataan yang mulia. Rendahkan diri kamu di hadapan mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkan, ‘Wahai Tuhan! Kasihilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua mengasihi daku semasa kecilku.” (Surah al-Isra, ayat 23-24)
Kewajipan memelihara ibu bapa Ayat Allah SWT menyebutkan keimanan kepada-Nya diikuti kebaktian terhadap orang tua, menunjukkan memelihara ibu bapa adalah kewajipan besar selepas ketaatan kepada Allah SWT. Ia juga membuktikan bahawa hanya orang yang beriman kepada Allah SWT akan memelihara ibu bapa mereka dengan baik. Baginda Rasulullah SAW menegaskan, keredaan Allah SWT kepada seorang hamba bergantung keredaan ibu bapanya. Sabda baginda: “Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua orang tua, dan murka Allah juga terletak pada murka mereka.” Bererti ibu bapa kita adalah penyebab kita ditempatkan di syurga atau dihumban ke neraka.
Rasulullah SAW berkata apabila ditanya mengenai hak ibu bapa terhadap anak mereka: “Mereka berdua (ibu bapa) adalah syurgamu dan nerakamu.”
Sebagai ibu bapa, pernahkah merasakan anak yang baru meningkat remaja mula bersikap biadap dan enggan mendengar kata. Anda mungkin tertanya bagaimana anak yang diasuh dengan penuh kasih sayang itu tega memperlakukan ibu bapa mereka sedemikian rupa. Masalah biasa yang dialami oleh ibu bapa ini mungkin berpunca daripada kederhakaan mereka terhadap emak dan ayah mereka.
Penderhakaan yang dilakukan anak terhadap ibu bapa mereka menyebabkan anak mereka juga menjadi biadap dan menderhakai mereka. Ini jelas berdasarkan sabda Baginda SAW yang dilaporkan oleh At-Thobari, “Berbaktilah kepada kedua orang tua kamu, nescaya anak kalian juga akan berbakti kepada kalian.”
Baginda juga berkata, “Lakukan apa sahaja yang kamu mahu, tetapi apa sahaja yang kamu lakukan kepada orang lain, kamu juga akan diperlakukan perkara yang sama.”
Kelapangan rezeki, masa Justeru, bagi ibu bapa yang berhadapan dengan anak luar biasa degil dan biadap terhadap mereka, mungkin perlu muhasabah kembali hubungan dengan ibu bapa mereka. Jika mereka masih hidup, mohon ampun dan berbaktilah kepada mereka sebagaimana mereka pernah berbakti kepada kita. Dalam psikologi pendidikan, anak yang melihat ibu bapa menghormati dan menjaga datuk serta nenek mengajar mereka untuk melakukan perkara sama kepada ibu bapa mereka. Berbeza dengan pandangan zahir yang melihat ibu bapa sebagai beban yang menyusahkan anak dan menyempitkan kewangan mereka, sebaliknya ibu bapa adalah sumber rezeki Allah SWT. Rasulullah mendedahkan perkara ini dalam sabdanya, “Siapa yang mahu dipanjangkan usianya dan ditambahkan rezekinya, hendaklah dia berbakti kepada kedua orang tuanya dan menyambung silaturahim.”
Begitu juga dalam laporan Tsauban, Baginda SAW bersabda, “Seorang itu tidak memperoleh rezeki kerana dosa yang dilakukannya. Takdir tidak akan tertolak melainkan dengan doa. Tiada yang dapat menambah usia melainkan dengan berbakti kepada kedua ibu bapa.”
Justeru, bagi anak yang berasa sukar berbakti kepada orang tua kerana kewangan yang sempit, percayalah rezeki itu datangnya daripada Allah SWT. Kebaktian seorang anak kepada ayah dan ibunya tidak bergantung kepada kekayaan dan kelapangan masa. Ia manifestasi kasih sayang anak kepada orang tua yang pernah berbakti dengan penuh kasih sayang. Kebaktian kepada ibu bapa juga menjadi asbab Allah SWT mengampunkan dosa. Salah satu cara untuk bertaubat atas kesalahan dilakukan kepada Allah SWT adalah berbakti kepada ibu bapa yang masih hidup.
Dicatatkan, seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan mengaku telah melakukan dosa dan meminta cara bertaubat. Baginda bertanya jika dia masih mempunyai ibu, tetapi ibunya telah meninggal dunia. Lalu baginda bertanya jika dia mempunyai ibu saudara dan dia mengakuinya. Baginda mengarahkannya berbakti kepada ibu saudaranya sebagai taubat kepada Allah SWT.
Dilema pilih isteri, ibu bapa
Dilema biasa bagi lelaki sepanjang zaman apabila terpaksa memilih antara isteri dan ibu bapa, siapa perlu didahulukan? Dalam banyak keadaan, lelaki akan lebih berpihak kepada isterinya dibandingkan dengan ibu bapa yang sudah tua. Dilema seperti ini berlaku sejak zaman Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail dan malah pada zaman Nabi Muhammad SAW. Dilaporkan, anak Umar al-Khattab pernah mempunyai seorang isteri yang tidak disenangi oleh ayahandanya, lalu diarahkan menceraikan isteri itu, tetapi dia enggan. Lalu Umar menceritakan perkara itu kepada baginda dan dia mengarahkan anak Umar menceraikan isterinya. Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai siapa lebih berhak ke atas seorang wanita, lalu dia menjawab, suaminya. Aisyah bertanya pula mengenai lelaki, lantas Rasulullah menjawab, ibunya. Ia tidak bererti seorang lelaki perlu membuat pilihan antara dua wanita yang disayanginya. Sebaiknya dia sepatutnya bijak membimbing isterinya bagi menghormati ibunya dan memberikan tumpuan lebih kepada ibunya tanpa perlu meninggalkan tanggungjawab terhadap isteri.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: