Aidilfitri adalah hari untuk umat Islam bersuka ria dan menzahirkan kegembiraan, iaitu kembali kepada fitrah (yakni bersih) dan yang bersih itu adalah hati yang sudah dididik melalui tarbiah (pendidikan) Ramadan. Justeru, matlamat kita berhari raya adalah bagi meraikan kejayaan kita berpuasa di bulan Ramadan dan dalam masa sama berusaha mengekalkan momentum tarbiah Ramadan yang tujuan utamanya ialah menjadi insan bertakwa kepada Allah SWT.

Justeru, sambutan hari raya yang menginjak 4 Syawal pada hari ini seharusnya terus menjadi kesinambungan rahmat dengan menjaga adab (tingkah laku dan tutur kata) ter­utamanya ketika tetamu berkunjung ke rumah kita dan semasa menziarahi sanak-saudara dan juga sahabat handai.

Sambutan Aidilfitri seusai berakhirnya madrasah Ramadan seharusnya menjadi lambang kejayaan mendidik jiwa manusia mencapai martabat takwa sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183).

Anugerah takwa yang diraih melalui tarbiah Ramadan seharusnya menjadi pembimbing kepada umat Islam dalam mengekalkan momentum Ramadan bagi menempuhi kehidupan sepanjang hayat.

Oleh yang demikian, umat Islam diwajibkan menyambut Aidilfitri dalam kerangka takwa mengikut panduan Islam. Sebarang sambutan yang boleh merosakkan amalan baik yang sudah dikerjakan sepanjang bulan Ramadan seharusnya dihindari agar momentum Ramadan terus dapat dikekalkan bukan sahaja sepanjang bulan Syawal, tetapi juga pada bulan-bulan yang berikutnya.

Jika sepanjang Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah ter­utamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), amalan ini seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajud. Antara amalan lain mengikut sunnah yang disarankan selepas bulan Ramadan adalah mengerjakan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.

Begitu juga dengan amalan membaca al-Quran. Jika sepanjang bulan Ramadan amalan ini begitu subur sama ada membaca secara berseorangan mahupun secara tadarus di surau atau masjid, bagaimana pula selepas 1 Syawal? Adakah amalan ini terus ditinggalkan atau sebaliknya? Sedangkan, sewajarnya diteruskan dan dipertingkatkan de­ngan meneliti tafsir ayat-ayat yang dibaca atau menghafalnya, khususnya pada surah-surah atau ayat-ayat yang tertentu.

Sementelah, al-Quran adalah mukjizat Allah SWT. Walaupun mungkin kita tidak memahami isi kandungannya, namun kita tetap tidak akan jemu membacanya. Malahan, de­ngan membacanya akan membawa perubahan kepada diri kita baik secara luaran mahupun dalaman tanpa kita sedari.

Selain amalan membaca al-Quran, amalan bersedekah juga menjadi budaya pada bulan Ramadan. Persoalannya, adakah amalan ini juga terhenti setelah berakhirnya Ramadan? Alangkah malangnya jika berlaku sedemikian kerana Allah SWT meletakkan amalan ‘infaq’ atau sedekah sebagai salah satu daripada ciri-ciri seorang Muslim.

Justeru, amalan ini sewajarnya diteruskan pada bulan-bulan lain mengikut kemampuan kita. Lebih-lebih lagi umat Islam dianjurkan bersedekah dan Allah SWT amat membenci sifat bakhil. Bahkan harta kita setelah meninggal dunia adalah hasil daripada amalan sedekah jariah yang kita lakukan semasa hayat yang dapat memberi manfaat kepada kita kelak.

Oleh yang demikian, Syawal seharusnya menjadi medan penerus kepada maqasid puasa dan juga ibadah-ibadah serta amalan-amalan lain dalam bulan Ramadan. Dalam konteks ini, umat Islam sewajarnya meneruskan kesinambungan Syawal dalam keadaan tunduk, patuh, penuh keinsaf­an dan bertakwa kepada Allah SWT. Ini sebahagian daripada amalan yang disunatkan selepas berakhirnya Ramadan yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam.