Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Jadikan al-Quran sentiasa bersemi dalam hati

Posted by epondok di Julai 21, 2015


Oleh Fairuz Nordin
GENERASI muda perlu dididik menjadi ahli al-Quran.
RAMADAN benar-benar menyedarkan bahawa tidak ada yang lebih dekat dengan kita kecuali Allah SWT. Sebaliknya, kita sering menjauhkan diri daripada Allah SWT dengan melakukan pelbagai maksiat dan dosa. Seharusnya Ramadan membantu kita menilai diri.
Ustazah Norhafizah Musa dalam program Usrati yang bersiaran pada Khamis di IKIMfm berkata, sepanjang menjalani ibadah puasa serta ibadah sunat yang digalakkan, kita boleh tahu adakah diri semakin dekat dengan Allah SWT atau sering tertewas dalam pertarungan melawan hawa nafsu. Daripada Aisyah: “Rasulullah SAW jika sudah masuk 10 malam terakhir, tidak lagi mendekati tempat tidurnya. Baginda terus menghidupkan malam dengan mengejutkan ahli-ahli keluarganya.” (Riwayat Bukhari)
Hakikatnya, Ramadan adalah landasan untuk melakukan transformasi kerana padanya terdapat faktor pendorong yang boleh mencetuskan semangat melakukan perubahan. Al-Quran diturunkan pada Ramadan dan kebanyakan kita memperbanyakkan membaca serta bertadarus al-Quran pada bulan itu. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bagi Allah ada ahlinya daripada kalangan manusia. Apabila sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW siapakah ahli Allah itu, Baginda menjawab: Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah ahli Allah, dan mereka itulah orang yang khusus di sisi Allah Azza wajalla.”
Diangkat jadi ahli al-Quran Oleh itu marilah kita banyak membaca al-Quran, bertadabbur dan cuba menghafaz sambil berdoa serta berharap supaya kita diangkat darjatnya sebagai ahli Allah SWT dan ahli al-Quran. Menurut al-Hakim al-Tirmizi , orang yang disebut sebagai ahli Quran itu adalah yang membaca al-Quran dalam keadaan hatinya bersih, jauh daripada sifat lalai dan berusaha menghilangkan dosa pada dirinya dengan jalan taubat. Maka ahli al-Quran yang seumpama itulah yang disebut sebagai ahli Allah SWT.
Tidak termasuk orang khusus kecuali bagi orang yang membersihkan dirinya daripada dosa yang nampak mahupun tersembunyi lalu menghiasi dirinya dengan ketaatan, ketika itu dia termasuk orang khusus di sisi Allah SWT. Seeloknya kesempatan mendekatkan diri dengan al-Quran tidak terhenti apabila berakhirnya Ramadan tetapi ia menjadi medan latihan membentuk diri menjadi ahli Quran, memahami maknanya dan mengimpikan dikurniakan pengiktirafan serta dinobatkan sebagai ahli Allah SWT.
Ulama Alhafiz Muhammad Hussein al-Ajuri berkata, seseorang itu harus menjadikan al-Quran sentiasa bersemi dalam hatinya, menghidupkan kembali kerosakan hati dengan al-Quran, serta beradab dan berakhlak dengan al-Quran. Beliau berkata, hendaklah diwujudkan untuk ahli al-Quran iaitu ketakwaan kepada Allah SWT, baik dalam keadaan sunyi mahupun nampak, berhati-hati makan minum, pakaian, tempat tinggal, memahami fenomena zaman, kerosakannya dan dapat merawatnya, berhati-hati terhadap agamanya serta urusan agama.
Katanya, ahli al-Quran jarang melakukan sesuatu yang tidak perlu, dia sangat takut kepada Allah SWT, takut sekiranya mulutnya mengeluarkan perkataan yang membawa kemurkaan Allah SWT dan seluruh pancaindera dijaga dengan baik. Itulah orang yang hidupnya terkesan daripada al-Quran. Kita perlu memahami untuk menjadi ahli al-Quran bukan hanya dengan membacanya sahaja, tetapi benar-benar mengharap kepada Allah SWT supaya membantu dalam azam dan niat untuk menjadi ahli al-Quran.
Dua golongan membaca al-Quran Mereka yang membaca al-Quran ini terdiri daripada dua golongan iaitu yang membaca, memahaminya, bertadabbur dan menghayati kandungannya. Golongan kedua terdiri daripada mereka yang membaca al-Quran dalam keadaan hati yang lalai. Seharusnya kita membaca al-Quran dalam keadaan hati yang boleh mengambil pengajaran dan memahami ayat al-Quran. Selain itu, amalan membaca al-Quran perlu dilakukan secara bersungguh dan paling utama diteruskan sepanjang masa. Bertuahnya mereka yang termasuk dalam golongan ahli al-Quran dan sepatutnya kita juga berusaha ke arah itu.
Justeru, momentum yang merapatkan kita dengan kitab suci Allah SWT pada Ramadan ini perlu diteruskan dengan semangat lebih membara. Jika ketika berpuasa mudah bagi kita meluangkan masa membaca al-Quran, lebih lagi sepatutnya pada bulan lain. Alangkah rugi jika perasaan tenang, damai dan pahala diperoleh tatkala kita menjalin hubungan dengan al-Quran tiba-tiba lenyap begitu sahaja kerana berakhirnya Ramadan.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: