Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hiasi AidilFitri dengan pahala jauhi dosa

Posted by epondok di Julai 20, 2015


Oleh Mohd Hariri Mohamad Daud
MERAIKAN hari raya dengan pakaian cantik dan menutup aurat tepati piawaian pemakaian Islam.
MEMASUKI gerbang 1 Syawal, umat Islam akan kembali kepada fitrah seolah-olah diri mereka bersih umpama bayi baru dilahirkan kerana menunaikan ibadah puasa Ramadan dan ditambah dengan ibadah sunat seperti solat tarawih, bertadarus al-Quran, qiamullail, bersedekah dan berdoa penuh keinsafan kepada Allah SWT. Melebur segala noda dan membersihkan diri daripada dosa yang lalu, maka beruntunglah bagi mereka yang memperolehnya. Daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredaan-Nya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Allah SWT memanggil orang berpuasa dengan panggilan yang sangat baik iaitu ‘wahai orang beriman’. Sewajarnya kita meneruskan ibadah pada Ramadan dan menambahnya pada bulan seterusnya sebagai tanda ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Ibnu Rajab menyebut, tanda ibadah diterima ialah ibadah itu berlanjutan dengan ibadah terbaharu dan tanda ibadah ditolak ialah ibadah itu berlanjutan dengan maksiat. Bergembira dan membesarkan Ilahi Bergembira pada hari raya tidak menjadi satu kesalahan dalam Islam, bahkan disuruh bergembira dan membesarkan Allah SWT. Nabi Muhammad SAW pernah menegur Abu Bakar as-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah dan beberapa orang yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Baginda. Rasulullah SAW bersabda: “Biarkan ia (wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya.” (Riwayat al-Bukhari)
Islam telah memberi garis panduan jelas untuk bergembira pada hari raya melalui dalil al-Quran dan hadis iaitu memperbanyakkan takbir dan memuji Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Gema takbir membesarkan dan tahmid memuji Allah SWT yang dikumandangkan bersama adalah simbol kesatuan umat Islam yang berada di bawah satu panji Islam, menyembah Allah SWT yang esa, membaca serta mengamalkan al-Quran. Masing-masing bergembira menyambut kedatangan hari yang berbahagia ini. Menjadi adat dan amalan masyarakat Islam di Malaysia menyebut ‘Selamat hari raya dan maaf zahir batin’ atau ucapan seumpama dengannya. Ia tidak menjadi kesalahan, bahkan disuruh kita mengucapkan ucapan selamat kepada sesiapa sahaja pada hari mulia ini.
Alangkah baiknya jika dapat ditambah ucapan yang diajar oleh Nabi SAW iaitu ‘Taqabbalallah minna wa minka’ yang bermaksud semoga Allah menerima amalan saya dan kamu. Tiada ucapan yang lebih baik jika datang daripada kekasih Allah SWT, Nabi Muhammad SAW. Berkata Wathilah, aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya dan aku katakan pada Baginda: “Taqabballahu minna wa minka.” Baginda menjawab: “Taqabbalallahu minna wa minka.” (Riwayat Baihaqi)
Salah satu nama Allah SWT ialah al-Jamil (Yang Maha Cantik) dan Islam menggalakkan umatnya memakai pakaian yang cantik dan terbaik pada hari raya, tidak mengira taraf atau kedudukan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan janganlah pula kamu melampau-lampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf, ayat 31)
Sudah menjadi satu kebiasaan bagi umat Islam berpusu pulang ke kampung pada hari raya. Ini satu amalan yang baik bagi meraikan hari raya bersama ibu bapa, keluarga serta sanak saudara. Setelah lama berhijrah mencari rezeki di kota raya, hari raya waktu terbaik untuk menghubungkan silaturahim sesama Islam. Tiada yang membahagiakan jika menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta. Duit boleh dicari namun keluarga tiada galang ganti.
Di sebalik kemeriahan sambutan hari raya, jangan sekali-kali kita menodai hari ibadah umat Islam itu dengan perbuatan yang dilarang agama atau mencacatkan hari raya yang mulia ini. Pelbagai fesyen terkini menjadi pilihan untuk digayakan pada hari raya. Apa juga fesyen, corak dan gaya tidak dilarang, tetapi mesti menepati piawaian pemakaian Islam iaitu menutup aurat, tidak nipis, tidak bersolek berlebih-lebihan serta tidak menampakkan susuk tubuh. Ada juga yang mengenakan pakaian sunah seperti jubah, malangnya jubah dipakai ketat dan nipis atau berjubah, namun tidak berjilbab. Pakailah pakaian yang baik.
Bukankah kita sedang menyambut hari kebesaran Islam? Kurangkan bermain telefon bimbit ketika berziarah pada hari raya. Adalah menghairankan kerana di media sosial dilihat begitu mesra dan gembira, tetapi apabila berkunjung ziarah seperti kera sumbang. Carilah waktu sesuai untuk berinteraksi di media sosial dan utamakan kunjung mengunjung serta bertegur sapa. Seperkara lagi yang menjadi ‘kegilaan’ masyarakat ialah berselfie. Tidak menjadi kesalahan berselfie, namun janganlah berselfie di tempat yang tidak sesuai seperti di pusara atau ketika mendengar khutbah hari raya.
Melancong ke luar negara ketika hari raya, menziarahi keluarga yang berada di luar negara atau belajar di sana, sangat baik jika berkemampuan. Namun, jika melancong kerana ingin mengelak berhari raya bersama keluarga, sanak saudara atau sahabat-handai adalah tidak wajar.
Hilangkan sengketa Hari raya digalakkan kita bermaaf-maafan, hilangkan segala sengketa dan perselisihan faham antara adik-beradik serta keluarga. Bak kata pepatah, air dicincang tidak akan putus. Selain itu, bersederhana menyambut hari raya.
Di kala kita gembira menyambut Aidilfitri, umat Islam di negara lain mungkin berdepan pergolakan politik, peperangan, kemiskinan dan penindasan. Atas semangat persaudaraan umat Islam, sebaiknya kita mendoakan dan saling membantu supaya mereka dapat meraikan hari kemenangan ini. Semoga Allah SWT merahmati umat Islam di seluruh dunia

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: