Dalam keghairahan umat Islam berebut-rebut melakukan ibadat, kadangkala perkara yang ditumpukan adalah kuantiti amalan bukan kualiti. Ibadat yang banyak adalah baik tetapi perlu dilakukan dengan memelihara tertib dan rukun-rukunnya. Ini perlu dilakukan dengan itqan agar matlamat amalan untuk mencari keredaan Allah SWT tercapai. Itqan di sini membawa erti ketelitian, kesungguhan dalam melakukan ibadat.

Faktor yang dapat menyumbang kepada itqan dalam ibadat adalah dengan menghayati niat iaitu tujuan asal ibadat dilakukan.

Ibadat ada yang khusus dan umum. Ibadat khusus adalah se­perti puasa, sembahyang dan me­ngeluarkan zakat manakala ibadat umum adalah meliputi semua amal kebaikan Muslim dengan syarat dilakukan kerana Allah SWT. Ini menjadikan umat Islam sebagai umat yang bertuah kerana setiap amalan baik mereka adalah ibadah. Niat ialah menghadirkan dalam hati bahawa amalan yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredaan Allah SWT.

Jadi pada awal ibadat lagi, Muslim sudah berikrar untuk melakukan ibadat kepada Tuhan yang Maha Esa, maka di situ mereka sudah pun mempunyai matlamat agung dalam ibadat yang dilakukan. Maka penghayatan kepada niat ini akan membawa kepada ke­telitian, kesungguhan dan keikhlasan. Seterusnya, sifat mazmumah seperti riak, buruk sangka, bangga diri, lalai akan menjadi terhakis ketika melakukan ibadat.

Niat adalah perkara paling asas dalam menentukan amal ibadat. Dalam satu hadis, Saidina Omar al-Khattab r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hasilnya, dengan niat yang betul serta dihayati, ibadat yang dilakukan akan diterima Allah SWT, mendapat ganjaran pahala serta mendekatkan Muslim kepada pencipta-Nya. Ini akan menghasilkan ketelitian di tahap tertinggi dalam ibadat.

Faktor lain yang membawa kepada itqan ialah memahami hukum ibadat yang dilakukan. Ibadat solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, zakat dan haji adalah wajib ke atas setiap individu Muslim mukalaf. Jika tidak dilakukan maka akan menjadi suatu dosa. Sebaliknya pula, maka mendapat pulangan pahala. Apabila seorang Muslim sedar ia adalah tuntutan wajib, maka mereka akan bertekun melaksanakannya.

Ibadat sunat memerlukan kepada kefahaman cara-cara pelaksanaan yang betul dan bertepatan dengan Sunnah Nabi Muhammad SAW. Dengan kefahaman ini, bukan sahaja dapat mengelak daripada amalan yang terpesong daripada Sunnah, bahkan mewujudkan rasa kesungguhan ketika melakukannya.

Amalan perlu dilakukan secara berterusan. Ini seperti dijelaskan dalam satu hadis nabi SAW riwayat Aisyah r.a. yang bermaksud: “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Dengan itu, walaupun Ramadan sudah berada di penghujungnya, maka ibadat malam seharusnya diteruskan se­perti juga ketika di awal Ramadan.

Ibadat perlu dilakukan dengan penuh ihsan. Ihsan yang dimaksudkan ialah menyedari bahawa segala gerakan dan amalan yang dilakukan dicatat para malaikat dan disaksikan oleh Allah SWT. Ini bertepatan dengan hadis nabi SAW di mana Jibril bertanya kepada Nabi SAW: “Beritahukan kepadaku tentang ihsan”. Nabi SAW menjawab,”Hendaklah engkau ber­ibadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya. Kalaupun eng­kau tidak melihat-Nya, sesungguh­nya Dia melihatmu.”

Faktor Muslim muhasabah dirinya adalah penting. Setiap amalan yang dilakukan perlu dilihat semula untuk mencari sebarang kelemahan dan kesilapan. Ini dapat dibaiki pada masa akan datang. Muhasabah diri akan memberi inga­tan kepada kita untuk melakukan ibadat dengan teliti.

Sebagai satu contoh ibadat, membaca al-Quran boleh dibaca berseorangan atau pun beramai-ramai dengan cara bertadarus. Perkara yang perlu diutamakan adalah menghayati niat membaca al-Quran. Ia adalah untuk beribadat kepada Allah SWT. Sebagai satu ibadat maka pembaca sudah tentu akan melakukannya dengan itqan secara ikhlas mencari keredaan Allah SWT dan bukan menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Membaca dengan menjaga hukum tajwid sejauh kemampuan masing-masing. Bagi mereka yang membaca secara beramai-ramai, maka masing-masing boleh saling tegur-menegur membaiki bacaan. Ini dilakukan secara berterusan walaupun sedikit dan dengan penuh ihsan. Mudah-mudahan penghujung Ramadan yang masih berbaki ini dapat kita manfaatkan dengan melakukan ibadat dengan itqan dan menjadi pendorong kepada amalan kebajikan dalam kehidupan harian kita seterusnya.