Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Puasa patut didorong keimanan, bukan warisan adat

Posted by epondok di Julai 7, 2015


Oleh Norhayati Paradi
Kita akan teliti dalam memilih rumah kerana tahu tujuan pemilikan serta fungsi rumah itu. Jika atap atau lantainya rapuh, maka akan diperbaiki mahupun diganti dengan kadar segera bagi memastikan ia mampu terus melengkapkan peranannya sebagai kediaman. Tamsilan itu dijadikan mukadimah pertemuan menerusi program Islam Itu Indah bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang bersiaran Rabu lalu di IKIMfm.
Namun beliau berkata, ironinya ia tidak berlaku kepada ibadah puasa. Walaupun tidak tahu peranan ibadah puasa, kita tetap melaksanakan tanpa punya perasaan untuk membaikinya. Menerusi usia yang telah di pinjamkan Allah SWT ini, adakah sudah memenuhi tuntutan dan tujuan sebenar ibadah puasa dilaksanakan? Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)
Matlamat ibadah puasa
Matlamat ibadah puasa adalah untuk melahirkan insan yang bertakwa yang menjaga hukum-hakam Allah SWT dan sebagai ganjaran, mendapat pembelaan serta keberkatan hidup daripada Allah SWT. Jika puasa tidak memberi impak takwa seperti melahirkan akhlak mulia, secara tidak langsung ia boleh dijadikan kayu ukur tahap ibadah puasa yang telah dilaksanakan. Hadirnya takwa dalam diri sewajarnya akan meningkatkan kualiti itqan dalam kerja dengan sifat cekap, berkesan serta produktif. Imbas kembali ibadah puasa yang dilaksanakan, adakah buah takwa sudah menampakkan putiknya atau masih tiada bayangan?
Jika pohon puasa tidak berbuah, Pahrol menyarankan untuk kita melakukan dua perkara. Pertama, selidik kembali benih yang digunakan dan periksa dengan teliti keadaan pohon itu. Teliti kembali jenis benih dan tahap kesuburannya, dibimbangi benih itu sebenarnya sudah tercemar dengan ulat. Lihat proses ia membesar dan menjadi pohon. Berdasarkan firman Allah SWT mengenai kewajipan berpuasa dan dikaitkan dengan tamsilan pohon, maka benih itu ibarat iman kerana dengan iman akan membuahkan takwa seperti sabda Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah: “Barang siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Imam Nasai’e, Ibn Majah, Ibn Habban dan Baihaqi)
Ini bermakna, bagi yang benar-benar melaksanakan ibadah puasa akan keluar daripada Ramadan dalam keadaan bersih daripada segala dosa menepati maksud sebenar ‘fitrah’ (Aidilfitri) dengan syarat menjalani ibadah puasa penuh keimanan serta keikhlasan kerana Allah SWT. Ibadah puasa hendaklah dilakukan atas dorongan iman dan kepatuhan pada perintah-Nya, rasa takut serta kecintaan yang hakiki kepada Allah SWT. Akur dan patuh kepada sumber yang tidak terlihat pada mata, tapi tahu wujud-Nya.
Umat Islam perlu muhasabah diri tatkala berbicara mengenai puasa. Semak kembali tujuan puasa dilaksanakan sama ada kerana iman, ibadah atau adat. Jika berpuasa kerana adat, bermakna ia hanya diwarisi yang diterima daripada nenek moyang serta keturunan terdahulu. Maka akan lahir umat yang menjaga ketepatan waktu puasa, tetapi mengabaikan ketepatan waktu solatnya. Sedangkan solat itu lebih utama berbanding puasa kerana puasa mengikut adat kebiasaan yang dididik orang terdahulu dan bukannya mengikut iman yang memberi kefahaman jelas kedudukan ibadah puasa. Terkadang masyarakat Islam lebih berat menitikberatkan ibadah puasa kepada anak berbanding solat. Ibu tidak akan keberatan mengetuk pintu bilik anak mengejutkan untuk bersahur berbanding mengetuk pintu bilik bagi tujuan bersolat Subuh. Ibadah warisan dalam solat tarawih Selain itu, ibadah warisan ini dapat dilihat tatkala bersolat sunat tarawih yang serius dilakukan berbanding solat Subuh secara berjemaah.
Berpuasa juga ada kalanya dilakukan atas keinginan meraih hikmah berpuasa bukan sebagai salah satu cara pengabdian diri kepada Ilahi. Tidak dinafikan, ibadah puasa secara tidak langsung dapat membantu dalam pengurusan kesihatan termasuk penurunan berat badan selain dapat merasakan kelaparan orang miskin. Tetapi hikmah di sebalik ibadah puasa itu tidak boleh diletakkan sebagai sandaran atau dasar dalam beribadah. Jika ibadah dilakukan atas dasar hikmah semata, natijahnya pohon ibadah itu akan goyah dan tidak kukuh. Ibadah yang didorong hikmah adalah tidak konsisten.
Puasa itu menahan dalam erti kata mendidik dan menundukkan nafsu, bukannya sekadar menyekat nafsu. Sesungguhnya nafsu dan kejahatan manusia berpunca daripada dua elemen iaitu perut dan kemaluan. Jika mampu menjaga perut, bererti berjaya mendidik diri untuk mengawal nafsu seks. Sesungguhnya ujian hawa nafsu itu tidak pernah terhenti. Justeru, hadirnya Ramadan ini dapat mendidik diri untuk 11 bulan seterusnya atas kehebatan serta kemuliaan yang dikurniakan Allah SWT padanya serta memahami realiti kehidupan sebagai hamba yang Esa. Pada Ramadan ini, setiap individu sebenarnya dapat melihat warna sebenar diri sama ada kebaikan mahupun kejahatan yang wujud pada diri. Jika pada bulan yang sungguh kondusif untuk melihat dan memperbaiki diri masih tegar melakukan kejahatan bermakna diri berada pada situasi berbahaya dan kritikal.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: