Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Elak jadi umat muflis sepanjang Ramadan

Posted by epondok di Julai 1, 2015


Oleh Fairuz Nordin

SALING bermaafan amat dituntut dalam Islam supaya kedua-dua pihak tidak menyimpan perasaan kurang senang.

Penegasan daripada Nabi Muhammad SAW bahawa orang yang muflis daripada kalangan umat Baginda ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa solat, puasa, zakat, dan pada masa sama datang dengan dosa melakukan kezaliman terhadap orang lain. Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: “Tahukah kamu siapakah dia orang muflis?” Sahabat Baginda menjawab: “Orang muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.” Nabi SAW bersabda: “Sebenarnya orang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu dan juga memukul orang. Maka akan diambil daripada amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu, kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan orang yang dianiayakannya serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim)

Fahami falsafah Ramadan Sesungguhnya puasa dan solat yang kita lakukan hari ini bukan untuk menjadikan kita orang yang muflis. Namun, penting untuk kita fahami falsafah Ramadan sebagai suatu tarbiah dan latihan menahan diri daripada lapar dan dahaga serta melakukan sesuatu yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Bukan mudah untuk melunakkan hawa nafsu atau menundukkan anak didik syaitan namun, dengan sifat penyayang Allah SWT memberikan satu program khusus dengan tatacara ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sebagai bantuan untuk menjadikan kita hamba-Nya yang salih.

Menyambung perkongsian menerusi slot Usrati yang bersiaran pada jam 5.15 petang, setiap Khamis di IKIMfm, Ustazah Norhafizah Musa menyatakan kehebatan niat terletak kepada tiga perkara iaitu benarnya niat, kuatnya nekad dan azam serta keikhlasan. Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amal itu bergantung pada niatnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Baginda SAW lagi: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya daripada sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga tujuh ratus kali ganda.” Namun Allah SWT berfirman: “Kecuali puasa adalah untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Dia sudah meninggalkan makan minumnya dan hawa nafsunya kerana Aku, maka serahkan pada-Ku, Aku yang memberikan ganjaran kepadanya.” (Hadis Qudsi)

Oleh itu harus dipastikan bahawa sesuatu niat itu benar dan disertai dengan ilmu supaya tidak terpesong. Kita juga perlu tanamkan niat segala ibadah sepanjang Ramadan ini dilakukan hanya untuk mendekat diri dengan Allah SWT. Ada beberapa kaedah untuk menguatkan niat supaya sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT antaranya bermonolog dengan Allah SWT dan berniat untuk berada dekat dengan-Nya serta memperbaiki diri melalui ibadah dilakukan.

Apabila kita menjalani ibadah puasa Ramadan, ia seolah-olah melihat diri melalui cermin yang mampu memperlihatkan kekotoran serta kecacatan dalam hati. Semakin terserlah kelemahan diri, pada ketika itulah kita mengharapkan diri diperbaiki oleh Allah SWT. Waktu inilah kekuatan niat diperlukan dengan saling ingat mengingati antara satu sama lain supaya sentiasa dekat kepada Allah SWT.

Pastikan Ramadan kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya. Adalah sesuatu yang mengecewakan jika kita tidak benar-benar mengenali Allah SWT dan menganggap Allah SWT hanya akan mengurniakan sesuatu setelah kita meminta saja. Persepsi itu akan menyebabkan kita sentiasa berada dalam kegusaran. Allah SWT Maha Kaya dan Maha Berkuasa. Cuba renungkan alam yang diciptakan-Nya, ditadbir dalam keadaan yang tersusun rapi kejadian dan pergerakannya. Jika kita hayati bagaimana al-Quran menggambarkan kebesaran Allah SWT, masalah yang membelenggu kita sebenarnya terlalu kecil.

Persiap diri terima ujian Kuasa Allah SWT mampu menarik kembali segala kesulitan itu pada bila-bila masa. Jika Allah SWT belum menarik kembali kesukaran dan ujian yang dihadapi, ia berkemungkinan kerana ada banyak hikmahnya untuk diri kita. Justeru, kita perlu mempersiapkan diri untuk menerima sesuatu ujian dengan hati yang lapang dan penuh kesabaran. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pemberi Pertolongan, bermula sejak kita lahir ke dunia sehingga kita kembali menemui-Nya. Walau dalam apa juga situasi, seperti berada dalam kesesakan jalan raya, adalah wajar untuk kita sentiasa mengingati dan bertawakal kepada Allah SWT, secara tidak langsung ia mampu memberikan ketenangan kepada diri. Renungilah firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya lelaki dan perempuan Muslim, lelaki dan perempuan Mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab, ayat 35)

Semoga kita beroleh segala kelebihan ini melalui tarbiah Ramadan yang Allah SWT kurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: