Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Julai 2015

KPI Taqwa Selepas Ramadhan

Posted by epondok di Julai 31, 2015

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

 

Sambutan Aidilfitri terus meriah. Di sana sini, makin banyak penganjuran rumah terbuka hari raya. Ternyata ramai yang mengunjungi rumah-rumah terbuka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Di sebalik kemeriahan itu, masjid dan surau nampaknya kini makin lengang. Pesta ibadat dalam bulan Ramadan nampaknya berlalu bersama-sama berakhirnya bulan mulia itu. Kalau dalam Ramadan, ada 10 saf jemaah yang solat Subuh di masjid dan surau kini hanya tinggal satu saf atau dua. Rumah Allah jadi sepi.

Allah SWT sudah memberikan peringatan, tujuan puasa adalah melahirkan orang yang bertakwa. Ini bukanlah semudah kita menyebutnya tetapi ia adalah proses yang rumit. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa kepada Allah SWT. (al-Baqarah-183)

Kalimah la’alla yang dijadikan sendi firman-Nya dalam tersebut sudah sedia melontarkan konotasi ‘mudah-mudahan’, tanda tidak semua daripada kita berhasil mencapai takwa di hujung Ramadan.

Erti takwa adalah seperti yang digambarkan oleh Ubai bin Kaab, apabila ditanya oleh Saidina Umar mengenainya. Takwa kata Ubai: “seperti seorang yang sedang melalui jalan yang penuh duri”. Maksudnya sangat berhati-hati agar tercegah daripada memijak duri.

Oleh itu, orang yang bertakwa amat berhati-hati menjaga hukum Allah selain berusaha mencegah dirinya daripada melakukan perbuatan yang diharamkan. Bagi menilai sama ada mencapai takwa atau sebaliknya, ada beberapa ciri yang boleh kita perhatikan.

Pertama, bagaimana sikap individu itu terhadap kefarduan solat. Jika sebelum Ramadan, dia seorang yang tidak pernah meninggalkan solat, selepas Ramadan pastinya dia akan cuba istiqamah untuk solat jemaah lima waktu pula.

Solat jemaah bukan sahaja mendapat ganjaran pahala lebih 27 kali ganda daripada solat bersendirian. Lebih penting, solat jemaah itu hukumnya fardu kifayah. Maknanya, jika dalam sesuatu kawasan perumahan atau pejabat itu jika tidak didirikan solat jemaah maka seluruh penduduknya berdosa.

Kedua, bagaimana sikap kita terhadap penjagaan masa. Jika dalam Ramadan kita amat menjaga masa terutama waktu sahur dan berbuka adakah kita melakukan perkara yang sama kini? Waktu sahur diperhatikan agar tidak melanggar batas waktunya manakala waktu berbuka atau Maghrib pula ditunggu-tunggu. Ia selari dengan anjuran menyegerakan waktu berbuka puasa.

Soalnya, adakah kita kini memerhatikan masa-masa tersebut. Adakah kita sentiasa menunggu-nunggu waktu untuk solat Subuh dan waktu solat lima waktu yang lain? Atau adakah kita kini semakin dilalaikan dengan keseronokan dunia yang sementara.

Ketiga, bagaimana pula akhlak kita sebagai Muslim. Adakah selepas Ramadan kita masih mengulangi tabiat lama suka mengata orang, mengumpat, bercakap bohong, menyakiti orang dan sebagainya? Jika perangai buruk itu masih melekat pada diri kita, maka besar kemungkinan kita belum mencapai tahap takwa.

Mana mungkin mencapai tahap takwa jika kita gagal mempertahankan segala amal baik yang dilakukan sepanjang Ramadan. Sebabnya dalam Ramadan syaitan diikat dan nafsu kita lemah. Dalam bulan Syawal kita sudah kembali kepada fitrah dan realiti berhadapan pelbagai cabaran dan dugaan untuk melakukan kebaikan.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka belum diuji? (al-Ankabut: 2)

Justeru, marilah kita mempertahankan amalan yang baik sepanjang Ramadan. Terutamanya dalam bab solat berjemaah. Hayatilah pesan Saidina Ali, beruntunglah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam, rugilah orang yang hari ininya sama dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk daripada semalam

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Usah abai wasiat Ramadan lipat ganda amal

Posted by epondok di Julai 30, 2015

Oleh Syafiq Zulakifli
Betapa sukar melepaskan anak meneruskan perjuangan belajar ke luar negara, begitulah halnya dengan sukarnya meninggalkan Ramadan tahun ini. Namun, waktu yang berganti tidak dapat dihitung dengan ketetapan ditentukan. Itulah gambaran sebenar sejauh mana Syawal yang sudah ditempuhi lebih daripada seminggu ini menjadi penyebab dan kewajaran kita terus istiqamah dengan apa yang dilaksanakan.
Rancangan Ibrah Isnin minggu lalu membawa perkongsian berkenaan wasiat Ramadan. Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman melorongkan idea mengenai wasiat yang telah ditinggalkan oleh bulan yang mulia itu dengan sikap kita pada hari ini. Apakah amalan praktikal yang telah dilatih sepanjang Ramadan itu menjadi rutin harian kita meneruskan kehidupan selepas menyambut Aidilfitri atau sekadar satu bulan yang dihimpunkan pelbagai hikmah, tetapi tidak memberi apa-apa kesan dalam jiwa. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 28)
Orang yang benar-benar mengingati setiap amal perbuatan baiknya, tentu akan menikmatinya. Mereka yang benar-benar menginsafi perjalanan Ramadan tentu akan mengingati saat-saat indah berpuasa, bangun sahur, sanggup berlapar dahaga. Namun, semua itu boleh berubah dalam sekelip mata selepas Syawal menjelma. Justeru, Muhammad Syaari mengingatkan mengenai wasiat yang tidak harus diabaikan selepas kita berjaya merasai nikmat yang ada pada bulan itu.
Tidak memberikan alasan
Pertama, keazaman dan niat yang kental seperti kita berada pada Ramadan. Orang yang benar-benar merancang dengan niat betul akan menghasilkan keputusan betul. Katanya, berapa ramai di antara kita sehingga hari ini masih lagi belum melaksanakan puasa enam yang dituntut ketika Syawal. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa sebulan Ramadan, kemudian diikuti oleh enam hari Syawal, pahalanya seperti berpuasa selama setahun.” (Riwayat Imam Muslim)
Perkara itu menjadi wasiat utama supaya tindakan dilakukan adalah berdasarkan niat yang betul. Ada ramai yang sanggup berlapar dahaga sejak daripada sahur sehingga berbuka kerana tahu niat mereka adalah menunaikan ibadah puasa. Keazaman yang kuat dan telah diniatkan sejak dari awal akan menjadikan kita bersedia melakukan setiap amal perbuatan itu. Oleh itu, merencana sesuatu perkara itu penting supaya amal yang kita lakukan mempunyai sebab pelaksanaannya.
Wasiat kedua ditinggalkan kepada kita supaya tidak memberikan alasan dalam melaksanakan apa sahaja perkara. Orang yang berjaya menempuh sebulan Ramadan tidak mempertikaikan apa sahaja perlakuan yang dilakukannya pada bulan itu. Mereka sanggup berpuasa walaupun dalam tempoh masa yang lama. Ada pula yang bermusafir tinggal di luar negara mampu berpuasa lebih daripada 12 jam dan berlanjutan sehingga 20 jam.
Perkara itu menjadikan kita hamba yang mampu melakukannya jika mempunyai perancangan diurus dengan baik dan mengharapkan keredaan Allah SWT. Lihatlah bagaimana nabi dan rasul sentiasa berdoa memohon kepada Allah SWT untuk terus ditetapkan kebenaran walaupun berhadapan kerenah kaumnya sendiri. Mereka segera memohon ampun kepada Allah SWT jika melakukan kesilapan dan kesalahan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan segeralah kamu (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.” (Surah Ali-Imran, ayat 133)
Wasiat ketiga, suasana yang baik menghasilkan kehidupan baik. Suasana dan persekitaran sepanjang Ramadan tentulah indah. Kita berada dalam masjid untuk menunaikan solat tarawih, bergaul dengan orang baik dan bercerita hal keagamaan juga mengenai bulan yang mulia. Bentuk jati diri Muslim Oleh itu, suasana juga memainkan peranan utama membentuk jati diri sebagai Muslim untuk berubah. Kita memilih persekitaran untuk berubah walaupun sukar melakukan perubahan, tetapi setiap perbuatan yang sukar itu mempunyai kesenangan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka sesungguhnya setiap kesulitan (kesusahan) itu ada kemudahan.” (Surah Insyirah, ayat 5)
Ayat itu diulangi pada ayat seterusnya untuk menyedarkan manusia apa sahaja perlakuan yang difikirkan sukar itu akan dapat ditempuh dengan mudah jika benar-benar kita menggapainya. Ramadan telah meninggalkan pelbagai wasiat kepada kita sebagai hamba untuk terus melipatgandakan amal kebajikan. Dalam sejarah Islam, orang Muhajirin dan Ansar juga melaksanakan segala kebaikan untuk mendapatkan kemenangan mutlak kerana penghijrahan mereka. Rasulullah SAW juga telah mengingatkan kita untuk terus melaksanakan amal salih dengan melakukan kebaikan dan diganjari pahala berterusan. Justeru, biarlah wasiat yang ditinggalkan terus menjadi satu landasan supaya kita berjaya membawa bekal kebaikan sehingga akhirat nanti.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Istiqamah dalam beramal

Posted by epondok di Julai 29, 2015

DR. AMINUDIN MANSOR

 

SETIAP amalan yang baik yang dilakukan oleh seseorang Muslim di dunia ini akan mendapat balasan yang setimpal di akhirat kelak. Dengan berpandukan al-Quran segala amalan dan kewajipan telah dijelaskan kepada manusia supaya beriman dan beramal kepada Allah SWT.

Sebagai orang yang beriman, melakukan amalan yang baik bermula daripada percakapan dan perbuatan. Bercakap baik dengan mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni adalah amalan yang baik. Begitu juga segala perbuatan amal kebajikan, terutamanya selepas puasa dan hari raya Aidilfitri.

Memetik kata-kata ahli tasawuf, Ibrahim Adham, kami perbaiki bahasa kami, maka kami tidak akan mengalami kesalahan dalam bertindak. Dan jika perbuatan kami salah kami baiki kesalahan itu.

Sesungguhnya, segala kemewahan, kenikmatan, kemegahan yang ada di dunia ini jika tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya tidak boleh membantu kita untuk ke jalan yang diredai Allah, melainkan amal ibadah sahaja yang dapat membantu kita untuk memperoleh segala nikmat di alam akhirat nanti. Tiap nikmat kesenangan dunia, pasti akan rosak dan lenyap.

Allah SWT mengingatkan dalam firman-Nya yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, bertakwa kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya. (Ali Imran: 102)

Ketakwaan bermaksud ketaatan mengerjakan perintah Allah dengan penuh kesolehan. Amalan-amalan tersebut adalah solat lima waktu, solat-solat sunat yang lain, mengeluarkan zakat, berpuasa bulan Ramadan dan berpuasa sunat, menunaikan haji dan umrah serta amalan-amalan lain seperti bersedekah dan melakukan amal jariah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah), Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan. (at-Taubah: 105)

Hal ini jelas membuktikan bahawa amalan yang baik yang dilakukan dengan penuh keimanan akan mendapat balasan pahala di akhirat nanti. Beriman kepada Allah SWT, tauhid dan penghambaan diri dengan tidak menyekutukan-Nya akan mengukuhkan keimanan dalam jiwa setiap Muslim.

Berkaitan dengan syurga, daripada Jabir ra, beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Kunci syurga adalah solat dan kunci solat itu adalah wuduk.” (riwayat Tirmizi dan Ahmad)

Istana Allah

Jannah atau syurga menurut etimologi bererti taman yang terdiri daripada pohon kurma atau pohon-pohon lain. Syurga dimaksudkan tempat kediaman atau istana yang disediakan oleh Allah SWT untuk hamba-hamba-Nya yang bertakwa kepada-Nya sebagai balasan kepada mereka atas keimanan yang jujur dan benar serta amal perbuatannya yang soleh.

Sesungguhnya, solat itu amalan yang utama kepada umat Islam selain daripada amalan-amalan yang lain. Tiada siapa yang boleh menentukan seseorang itu masuk syurga atau neraka.

Sementara itu, dalam satu hadis yang lain, daripada Abdullah bin Amar ra, beliau bertanya Rasulullah SAW berkata, “ Wahai Rasulullah! Apakah keuntungan majlis zikir itu? Baginda menjawab: Keuntungan majlis zikir itu adalah syurga, syurga.” (riwayat Ahmad)

Dalam hadis lain, yang diriwayatkan daripada Tasuban ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mati dalam keadaan bebas daripada tiga perkara, iaitu kesombongan, dendam dan hutang, nescaya dia akan masuk ke syurga.” (riwayat Tirmizi dan Syaibani)

Sifat sombong, menyimpan dendam dan berhutang patut dielakkan oleh umat Islam. Perbuatan ini jika diamalkan akan menyebabkan seseorang itu menjurus kepada sesuatu yang tidak baik. Amalan yang baik yang dilakukan secara berterusan sangat digalakkan dalam Islam. Oleh itu, lakukan segala amalan yang baik dalam kehidupan ini bagi mendapat keredaan Allah SWT. Hubungkan silaturahim, ziarah-menziarahi semasa hari raya Aidilfitri.

Oleh itu, sifat yang baik dan amalan yang mulia yang dilakukan oleh seseorang Islam itu yang diterima oleh Allah SWT akan membawa ke syurga. Jadikan keimanan dan ketakwaan selepas puasa dah Hari Raya Aidilfitri ke arah amalan baik hanya kerana Allah SWT untuk menuju ke syurga-Nya. Kuat atau lemah iman seseorang dapat diukur dan diketahui daripada perilaku akhlak seseorang. Akhlak yang buruk tanda iman yang lemah

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Daftar baru Pondok-pondok Kelantan mula dibuka minggu ini

Posted by epondok di Julai 28, 2015

Makluman bahawa daftar baru kemasukan kebanyakan Pondok-pondok Kelantan bagi  sesi baru 1436/1437H telah bermula minggu ini kecuali Pondok Pasir Tumboh pada Sabtu 16 Syawal 1436H / 1 Ogos 2015M ini.

 

Antara syarat kemasukan pelajar baru 

1. Bersih daripada sebarang jenayah dan kes polis seperti dadah, mencuri dan sebagainya

2. Datang bersama ibubapa/penjaga atau waris terdekat

 

3. Berumur atas 13 tahun

4. Tidak merokok atau sanggup meninggalkan tabiat merokok

5. Sanggup mematuhi segala peraturan madsarah sepanjang masa

 

Kelengkapan pendaftaran pelajar baru L/P 

1. Sila fotostat kad pengenalan atau passport antarabangsa

2. Fotostat kad pengenalan ibubapa pelajar

3. Sediakan gambar berukuran passport sebanyak 3 keping

4. Diwajibkan menyerah surat berhenti sekolah atau tempat pengajian terakhir ketika mendaftar diri ( sebarang proses pendaftaran tidak akan dibuat sehingga syarat ini dipenuhi)
– Bagi pelajar semntara dari kalangan siswa IPT boleh fotostat sjil SPM atau seumpamanya

5. Diwajibkan menghantar surat jaminan mengenai akhlak pelajar samada daripada Tuan Imam atau penghulu kampung ketika mendaftar diri

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Antara puasa 6 bulan Syawal dan rumah terbuka

Posted by epondok di Julai 27, 2015

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

Sudah menjadi budaya umat Islam di negara ini meng­adakan rumah terbuka Syawal untuk merapatkan lagi silaturahim dalam kalangan sahabat handai dan kaum keluarga. Tempoh mengadakan rumah terbuka itu pula bermula pada 1 syawal hinggalah 30 Syawal. Begitulah meriah­nya sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia.

Dalam masa yang sama, rumah terbuka adalah antara ‘halangan utama’ sebahagian besar umat Islam menyempurnakan puasa sunat Syawal atau lebih dikenali sebagai puasa enam. Ramai yang terpaksa mencongak sempat atau tidak melengkapkan puasa enam. Sebabnya setiap hujung minggu pasti ada jemputan makan di rumah terbuka.

Di pejabat-pejabat pun suasananya serupa. Ada sahaja jabatan atau bahagian-bahagian tertentu yang bergilir-gilir mengadakan rumah terbuka.

Hendak berpuasa enam ini memerlukan semangat dan kekuatan mental. Yalah, kalau dalam Ramadan semua umat Islam berpuasa. Sebaliknya, dalam bulan Syawal, lebih ramai yang makan daripada yang puasa. Justeru, cabarannya lebih hebat. Jika lemah semangat, mahu sahaja kita berbuka apabila melihat pelbagai jenis hidangan dalam rumah terbuka.

Puasa enam hari dalam bulan Syawal walaupun hukum­nya sunat tetapi ganjaran pahalanya amat besar. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa berpuasa penuh di bulan Ramadan lalu menyambungnya dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama setahun.” (Riwayat Muslim)

Dikatakan begitu kerana orang yang melakukan satu kebaikan akan mendapat 10 kebaikan yang semisal. Berpuasa selama sebulan Ramadan bererti puasanya adalah ibarat puasa selama 10 bulan. Berpuasa selama enam hari di bulan Syawal pula seumpama dengan 60 hari berpuasa.

Soalnya, apa yang perlu dilakukan apabila menghadiri majlis rumah terbuka sedangkan kita puasa sunat Syawal?

Abu Hurairah r.a meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang daripada kalian dijemput untuk makan sedangkan dia berpuasa, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa.” (Riwayat Muslim)

Justeru apa yang boleh dilakukan bagi orang yang puasa tadi untuk tuan rumah? Dalam hal ini, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kalian dijemput, hendaklah dia memenuhi jemputan itu. Jika dia berpuasa, hendaklah dia berdoa, jika dia tidak berpuasa, hendaklah dia makan.” (Riwayat Muslim)

Namun, ada juga hadis yang membolehkan kita membatal­kan puasa sunat untuk meraikan jemputan tuan rumah. Abu Sa’id al-Khudri RA berkata: “Aku menyediakan makanan untuk Rasulullah SAW, lalu baginda dan sahabat-sahabatnya datang kepada aku. Apabila makanan telah dihidangkan, salah seorang daripada mereka berkata: Sesungguhnya aku berpuasa. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Saudara kalian te­lah menjemput kalian dan bersusah payah untuk kalian. Lalu baginda berkata kepada lelaki itu: Berbukalah, dan gantilah pada hari lain jika engkau mahu.” (Riwayat al-Baihaqi)

Oleh itu, dapat disimpulkan:

# Puasa sunat boleh dibatalkan jika ada jemputan makan.

# Apakah yang lebih afdal? Bergantung kepada keadaan. Jika puasa kita itu mengguris hati tuan rumah, maka lebih elok berbuka. Jika tidak, lebih elok teruskan puasa.

#  Jika meneruskan puasa, hendaklah kita mendoakan tuan rumah.

#  Bagi kaum wanita, mereka perlu membuat perkiraan yang tepat agar tidak terlepas pahala puasa sunat Syawal. Dibimbangi jika membatalkan puasanya, mereka tidak sempat melakukan puasa enam kerana bulan Syawal akan tamat atau haidnya akan datang lagi.

# Satu lagi alternatif adalah mengadakan majlis rumah terbuka pada waktu malam. Ini memberi peluang kepada rakan-rakan yang berpuasa enam memenuhi jemputan serta menikmati juadah yang disediakan.

 

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Puasa sunat 6 bulan Syawal tingkat takwa, baik untuk kesihatan

Posted by epondok di Julai 26, 2015

Oleh Nik Hasnah Ismail
Syawal disambut tanda meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa. Walaupun Ramadan sudah berlalu bukan bermakna segala rutin dan amal ibadah terhenti. Justeru, amalan baik seperti menjaga adab, tatasusila ketika beraya, bersolat pada awal waktu, bersabar dan berpuasa sunat enam Syawal tanda amalan Ramadan terkesan dalam hati.
Kebanyakan umat Islam di negara ini menyambut Aidilfitri secara besar-besaran dan cukup meriah. Kebanyakan mereka bukan sekadar meraikan kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa, tetapi ramai bercuti panjang untuk pulang di kampung berkumpul bersama keluarga serta mengunjungi sanak saudara. Ziarah-menziarahi adalah amalan mulia yang dituntut agama kerana dapat mengeratkan silaturahim. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang ingin rezekinya diperluas dan umurnya ditambah, maka hendaklah ia menyambung silaturahim.” (Riwayat Anas bin Malik)
Tuntutan menghubung silaturahim ditekankan kerana dengan cara itu akan dapat membentuk perpaduan dan ukhuwah sesama Islam. Kesempatan berada pada Syawal yang mulia amatlah dituntut untuk kita terus menjalin perhubungan yang mungkin tidak dapat dilakukan sebelum ini.
Jaga adab, tatasusila di rumah orang
Dalam kegembiraan menyambut lebaran dengan kunjung mengunjung, jangan dilupa adab dan tatasusila ketika berada di rumah orang. Pelihara akhlak dan percakapan kerana itu melambangkan nilai serta tarbiah diri sepanjang Ramadan. Elak daripada bercakap perkara sia-sia apatah lagi perbualan yang boleh mengguris hati tuan rumah atau tetamu lain. Barangkali kerana bertemu sekali sekala kita terlalu ghairah bercerita pelbagai topik sehingga boleh melukakan hati orang lain dengan soalan atau kata-kata yang sensitif. Begitu juga ketika menjamu juadah disediakan tuan rumah, jangan sesekali kita mengambil makanan berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran. Amalan membazir bukan sahaja perbuatan yang tidak manis, tetapi ditegah oleh agama. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27)
Selesai beribadah pada Ramadan, bukan bermakna telah selesai rutin dan amalan ibadah kita pada bulan lain. Walaupun ganjaran pahala yang Allah SWT kurniakan tidak setinggi ganjaran pahala pada Ramadan, tetapi itu adalah kualiti nilai tarbiah diri ketika kita menjalani ibadah bulan mulia itu.
Syawal juga dilihat sebagai medan untuk menentukan sama ada amalan Ramadan benar-benar terkesan dalam hati dan perbuatan kita. Sekiranya kita masih mengekalkan rutin ibadah seperti membaca al-Quran, bersolat pada awal waktu, sabar dengan ujian, tidak mengumpat atau menjauhi perbuatan maksiat, bererti madrasah Ramadan kita benar-benar mengukuh dalam diri. Jika kita meninggalkan amalan pada bulan mulia itu, bererti kita hanya sekadar beribadah mengikut adat dan budaya sahaja, tetapi tidak melaksanakan amalan itu kerana Allah SWT.
Amal ibadah lain yang boleh kita terus laksanakan pada Syawal ialah puasa sunat enam. Seperti kata Abu Ayyub Al-Ansari, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari pada Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim)
Ganjaran puasa sunat enam Syawal Rasulullah SAW menyatakan puasa enam hari selepas Ramadan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Ganjaran pahala ini hanya terdapat pada puasa sunat enam Syawal dan ia adalah satu kelebihan bagi umat Islam untuk meningkatkan ketakwaan di sisi Allah SWT.
Menyingkap hikmah berpuasa enam jika dilihat dari sudut kesihatan, ia baik bagi sistem pencernaan yang berehat lama pada Ramadan. Jika kita dapat meneruskan puasa pada Syawal, tidak dapat tidak ia seperti satu latihan secara beransur-ansur untuk sistem penghadaman kembali kepada keadaan biasa. Sesungguhnya kita hendaklah sentiasa istiqamah beribadah kepada Allah SWT supaya terus dapat membina hubungan dengan Allah SWT dan mengekalkan hubungan baik sesama manusia seperti dilakukan pada Ramadan.
Kata ulama, betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada Ramadan, sedangkan pada bulan lain Allah SWT dilupai. Rugi bagi kita jika tidak mengambil kesempatan dan peluang yang Allah SWT berikan ini untuk menambah amal ibadah kepada Allah SWT. Jadikanlah Syawal ini ruang untuk kita meneruskan momentum beramal salih kepada Allah SWT, mudah-mudahan kita menjadi hamba yang mendapat pandangan tertinggi di sisi-Nya dan penghuni syurga Allah SWT yang kekal abadi.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Usah anggap beban jaga ibu bapa

Posted by epondok di Julai 25, 2015

Oleh Rohidzir Rais

KOS Sara hidup, kesuntukan masa bukan alasan abai tanggung jawab terhadap orang tua.
KISAH ibu bapa diabaikan anak pasti menjadi isu yang menyayat hati siapa sahaja. Tidak hairan saban tahun iklan perayaan sering menggunakan sentimen ini bagi meraih simpati dan perhatian masyarakat. Hakikatnya, dalam kehidupan terlalu mencabar dan sukar ini, kebaktian terhadap orang tua acap kali diabaikan. Secara sengaja atau tidak, memelihara orang tua menjadi beban kepada anak sama ada yang masih bujang, malah yang sudah berkeluarga.
Yang bujang akan beralasan, mereka baru bekerja dan tidak mempunyai pendapatan cukup bagi memelihara ibu bapa yang tua. Anak yang berkeluarga juga memberikan alasan kos sara hidup semakin mencengkam dan rumah yang sempit tidak memungkinkan mereka memelihara ibu bapa. Lebih sukar apabila pasangan tidak sukakan ibu bapa mentua bersama mereka. Lalu episod luka ibu bapa yang disisihkan anak ini berterusan saban tahun tanpa ada kesudahannya.
Benar sebagaimana bidalan menyatakan, ibu bapa mampu mengasuh sepuluh anak, tetapi sepuluh anak belum tentu mampu menjaga ibu bapa. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu tidak menyembah kecuali kepada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baik kebaktian. Sekiranya salah seorang atau kedua-duanya telah tua dalam peliharaanmu, jangan sesekali kamu berkata kepada mereka ‘ah’, dan jangan kamu membentak mereka. Bercakap dengan mereka perkataan yang mulia. Rendahkan diri kamu di hadapan mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkan, ‘Wahai Tuhan! Kasihilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua mengasihi daku semasa kecilku.” (Surah al-Isra, ayat 23-24)
Kewajipan memelihara ibu bapa Ayat Allah SWT menyebutkan keimanan kepada-Nya diikuti kebaktian terhadap orang tua, menunjukkan memelihara ibu bapa adalah kewajipan besar selepas ketaatan kepada Allah SWT. Ia juga membuktikan bahawa hanya orang yang beriman kepada Allah SWT akan memelihara ibu bapa mereka dengan baik. Baginda Rasulullah SAW menegaskan, keredaan Allah SWT kepada seorang hamba bergantung keredaan ibu bapanya. Sabda baginda: “Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua orang tua, dan murka Allah juga terletak pada murka mereka.” Bererti ibu bapa kita adalah penyebab kita ditempatkan di syurga atau dihumban ke neraka.
Rasulullah SAW berkata apabila ditanya mengenai hak ibu bapa terhadap anak mereka: “Mereka berdua (ibu bapa) adalah syurgamu dan nerakamu.”
Sebagai ibu bapa, pernahkah merasakan anak yang baru meningkat remaja mula bersikap biadap dan enggan mendengar kata. Anda mungkin tertanya bagaimana anak yang diasuh dengan penuh kasih sayang itu tega memperlakukan ibu bapa mereka sedemikian rupa. Masalah biasa yang dialami oleh ibu bapa ini mungkin berpunca daripada kederhakaan mereka terhadap emak dan ayah mereka.
Penderhakaan yang dilakukan anak terhadap ibu bapa mereka menyebabkan anak mereka juga menjadi biadap dan menderhakai mereka. Ini jelas berdasarkan sabda Baginda SAW yang dilaporkan oleh At-Thobari, “Berbaktilah kepada kedua orang tua kamu, nescaya anak kalian juga akan berbakti kepada kalian.”
Baginda juga berkata, “Lakukan apa sahaja yang kamu mahu, tetapi apa sahaja yang kamu lakukan kepada orang lain, kamu juga akan diperlakukan perkara yang sama.”
Kelapangan rezeki, masa Justeru, bagi ibu bapa yang berhadapan dengan anak luar biasa degil dan biadap terhadap mereka, mungkin perlu muhasabah kembali hubungan dengan ibu bapa mereka. Jika mereka masih hidup, mohon ampun dan berbaktilah kepada mereka sebagaimana mereka pernah berbakti kepada kita. Dalam psikologi pendidikan, anak yang melihat ibu bapa menghormati dan menjaga datuk serta nenek mengajar mereka untuk melakukan perkara sama kepada ibu bapa mereka. Berbeza dengan pandangan zahir yang melihat ibu bapa sebagai beban yang menyusahkan anak dan menyempitkan kewangan mereka, sebaliknya ibu bapa adalah sumber rezeki Allah SWT. Rasulullah mendedahkan perkara ini dalam sabdanya, “Siapa yang mahu dipanjangkan usianya dan ditambahkan rezekinya, hendaklah dia berbakti kepada kedua orang tuanya dan menyambung silaturahim.”
Begitu juga dalam laporan Tsauban, Baginda SAW bersabda, “Seorang itu tidak memperoleh rezeki kerana dosa yang dilakukannya. Takdir tidak akan tertolak melainkan dengan doa. Tiada yang dapat menambah usia melainkan dengan berbakti kepada kedua ibu bapa.”
Justeru, bagi anak yang berasa sukar berbakti kepada orang tua kerana kewangan yang sempit, percayalah rezeki itu datangnya daripada Allah SWT. Kebaktian seorang anak kepada ayah dan ibunya tidak bergantung kepada kekayaan dan kelapangan masa. Ia manifestasi kasih sayang anak kepada orang tua yang pernah berbakti dengan penuh kasih sayang. Kebaktian kepada ibu bapa juga menjadi asbab Allah SWT mengampunkan dosa. Salah satu cara untuk bertaubat atas kesalahan dilakukan kepada Allah SWT adalah berbakti kepada ibu bapa yang masih hidup.
Dicatatkan, seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan mengaku telah melakukan dosa dan meminta cara bertaubat. Baginda bertanya jika dia masih mempunyai ibu, tetapi ibunya telah meninggal dunia. Lalu baginda bertanya jika dia mempunyai ibu saudara dan dia mengakuinya. Baginda mengarahkannya berbakti kepada ibu saudaranya sebagai taubat kepada Allah SWT.
Dilema pilih isteri, ibu bapa
Dilema biasa bagi lelaki sepanjang zaman apabila terpaksa memilih antara isteri dan ibu bapa, siapa perlu didahulukan? Dalam banyak keadaan, lelaki akan lebih berpihak kepada isterinya dibandingkan dengan ibu bapa yang sudah tua. Dilema seperti ini berlaku sejak zaman Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail dan malah pada zaman Nabi Muhammad SAW. Dilaporkan, anak Umar al-Khattab pernah mempunyai seorang isteri yang tidak disenangi oleh ayahandanya, lalu diarahkan menceraikan isteri itu, tetapi dia enggan. Lalu Umar menceritakan perkara itu kepada baginda dan dia mengarahkan anak Umar menceraikan isterinya. Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai siapa lebih berhak ke atas seorang wanita, lalu dia menjawab, suaminya. Aisyah bertanya pula mengenai lelaki, lantas Rasulullah menjawab, ibunya. Ia tidak bererti seorang lelaki perlu membuat pilihan antara dua wanita yang disayanginya. Sebaiknya dia sepatutnya bijak membimbing isterinya bagi menghormati ibunya dan memberikan tumpuan lebih kepada ibunya tanpa perlu meninggalkan tanggungjawab terhadap isteri.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Istiqamah didik jiwa beribadah selepas Ramadan

Posted by epondok di Julai 24, 2015

Oleh Syafiq Zulakifli
Membaca al-Quran pada Ramadan patut diteruskan untuk menghayati kandungan kitab suci sebagai panduan hidup
Genap sebulan menyingkap tabir Ramadan, umat Islam menyambut kemenangan pada 1 Syawal lalu. Bagi yang benar-benar menghayati kehadiran Ramadan, tentulah merasai kehilangan bulan mulia itu. Sebaliknya, yang masih lalai dan leka tentu tidak merasai apa-apa dalam hidupnya. Ini diakui melalui hadis Rasulullah SAW: “Berapa ramai daripada orang berpuasa yang tiada mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga dan berapa ramai yang berjaga malam tiada mendapat apa-apa daripada bangunnya kecuali letih kerana berjaga.” (Riwayat Imam Ahmad)
Di sebalik kemeriahan menyambut Syawal, bagaimana kita seharusnya menyelami erti istiqamah dalam setiap pekerjaan dan amalan dilakukan. Masihkah ingat lagi sepanjang Ramadan kita bersungguh-sungguh bangun seawal pagi untuk bersahur. Kemudian, mengambil ruang masa untuk menunaikan solat sunat tahajud dan solat sunat yang lain. Selepas waktu solat pula, masa diluangkan untuk membaca kalam Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran al-Karim yang menjadi petunjuk.
Tingkat jiwa ‘abid’
Satu penilaian tepat yang harus diukur, bagaimana Ramadan dapat menjadikan kita benar-benar mampu mempertingkatkan jiwa sebagai seorang ‘abid (hamba). Jika kita selesa menunaikan ibadah khusus dan umum pada Ramadan, mengapa tidak selepas itu. Diriwayatkan daripada Aisyah, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Justeru, istiqamah untuk terus beramal adalah perkara penting supaya jiwa kita terus dididik melakukan perkara baik dan berterusan biarpun sedikit demi sedikit. Jika setiap malam mengunjungi masjid dan surau untuk menunaikan solat sunat tarawih pada malam Ramadan, wajar amalan itu terus dilaksanakan. Kita perlu melihat makna istiqamah dengan lebih mendalam. Andai pada Ramadan kita melazimi membaca al-Quran, maka kenapa tidak kita meneruskan usaha menghayati makna dan tafsiran serta mengkaji cerita yang Allah SWT rakamkan. Allah SWT menjadikan al-Quran petunjuk dan hidayah serta keteguhan hati untuk orang beriman. Firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) dari Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, untuk meneguhkan iman orang yang beriman, dan untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang menggembirakan bagi orang Islam.” (Surah an-Nahl, ayat 102)
Bergaul dengan orang salih
Selain itu, menjadi kewajaran untuk terus bergaul dengan orang salih, sama ada di masjid atau surau yang telah dijadikan lokasi musafir dan iktikaf kita sepanjang Ramadan itu. Hal ini diperakui melalui ayat Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar.” (Surah at-Taubah, ayat 119)
Istiqamah bukanlah sesuatu yang mudah jika kita tidak benar-benar menghayatinya. Orang yang ingin teguh dengan pendiriannya tentu sahaja berhadapan ujian dan cabaran di sebalik niat itu. Ujian ini satu proses mentarbiah diri untuk mendidik jiwa supaya sabar walaupun ditimpa musibah dan dugaan. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari masa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” (Surah Fussilat, ayat 30)
Beri khabar gembira
Ayat itu memberi gambaran betapa Allah SWT tidak mahu melihat hamba-Nya bersedih jika berlaku musibah tetapi meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa Allah SWT akan memberi khabar gembira bagi mereka yang terus tetap teguh (terus istiqamah) menjalankan amal ibadah sehingga mendapat syurga. Orang yang benar-benar istiqamah dan tidak putus asa berharap keampunan daripada Allah SWT, akan menerima kemenangan yang sebenar. Begitulah sandaran melalui kisah Nabi Musa dan Nabi Haron yang istiqamah walaupun berhadapan cabaran daripada kaum Bani Israel serta Firaun. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintah-Ku seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang yang tidak mengetahui (peraturan janji-Ku).” (Surah Yunus, ayat 89)
Istiqamah adalah hadiah paling besar bagi mereka yang tetap dengan pendirian untuk meneruskan amalan baik biarpun Ramadan telah berlalu. Mereka yang benar-benar ikhlas mengharapkan kehidupannya hanya untuk Allah SWT akan terus berusaha mencapai kejayaan dan kemenangan yang dijanjikan di akhirat nanti.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ziarah asas bina ukhuwah

Posted by epondok di Julai 23, 2015

SYAWAL menemukan kita dengan tradisi ziarah. Ziarah sesama keluarga, handai-taulan jauh dan dekat adalah tradisi murni. Amalan ini merapatkan ukhuwah dan hubungan persaudaraan serta persahabatan sesama insan.

Ziarah membolehkan kita bertanya khabar secara langsung, menjalin pengertian mendalam dan bermakna akan maksud kekeluargaan dan saling memohon maaf atas kesilapan dan ketelanjuran lalu. Ziarah dengan niat ikhlas mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan dan persahabatan supaya jiwa muafakat terbina.

Sepanjang Syawal lazimnya rumah terbuka sering terjadi. Kita diundang oleh sahabat dan teman. Ini kesempatan yang baik untuk ditunaikan kerana hari-hari biasa kita disibukkan dengan kerja dan urusan. Ziarah menemukan sahabat dan rakan yang lama tidak bertemu, teman sekampung dan setaman supaya hubungan saudara seagama menjadi erat dan kuat.

Dalam kalangan umat Islam di Malaysia, ziarah amat dituntut terjadi. Menziarahi jiran di hari raya ini adalah suatu keperluan, menziarahi yang tua dan uzur pula amat digalakkan.

Ziarah mesti dilakukan dengan niat yang ikhlas. Di tengah-tengah pengaruh kebendaan dan faham individualistik yang tinggi ada orang enggan melakukan ziarah atau melakukan ziarah berpilih-pilih lantaran status atau kedudukan. Tradisi begini tidak menepati anjuran dalam Islam kerana tujuan ziarah ialah mendekatkan diri kita dengan orang lain tanpa mengira status dan kedudukan kerana Islam itu agama jamaah, muafakat dan masyarakah.

Apabila ziarah terjadi sama ada menghadiri rumah terbuka atau ziarah secara langsung, adab berziarah kena dijaga. Pergaulan antara yang bukan mahram harus dipelihara, penyediaan makanan jangan sampai membazir, dan kalau ada hiburan mengiringi jangan sampai membawa lagha dan lalai, supaya ziarah yang berlaku adalah dalam barakah Allah. Barakah Allah penting supaya tradisi ini mendatangkan pahala.

Budaya ziarah yang dipupuk masyarakat Islam di Malaysia adalah suatu amalan yang baik. Amalan ini tidak terbatas kepada umat Islam bahkan melibatkan masyarakat bukan Islam. Budaya ziarah ini boleh menjadi saluran merapatkan hubungan orang Islam dan bukan Islam supaya wujud persefahaman dan menimbulkan pengertian mendalam mengenai perayaan dan kemanusiaan sejagat.

Kehidupan bermasyarakat dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia boleh dirapatkan lagi dengan budaya ziarah antaranya ketika perayaan Aidilfitri.

Di Malaysia, budaya ziarah ini harus dijadikan agenda sosial supaya peningkatan kesatuan umat terjadi. Tidak harus berlaku dan berlegar dalam kalangan status yang sama, anggota jamaah yang serupa atau sifatnya berpilih-pilih kerana hanya akan mengukuhkan faham “kabilah” dan “kelompok” yang sifatnya tidak merentasi.

Budaya ziarah harus sifatnya merentasi dan terbuka supaya pendekatan menyantuni terjadi. Manfaatnya haruslah memperluaskan lagi horizon pergaulan dan kemesraan menerusi pendedahan kepada kelompok yang pelbagai supaya wujud titik persaudaraan yang lebih luas dan mencakupi.

Inilah maksud Aidilfitri yang ingin mengembalikan corak hidup yang lebih fitrah

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Istiqamah kekal momentum Ramadan

Posted by epondok di Julai 22, 2015

Rosmidzat ul Azila Mat Yamin

SAMBUTAN hari raya adalah anugerah Allah yang amat besar kepada umat Islam lantaran telah melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Aidilfitri adalah hari untuk umat Islam bersuka ria dan menzahirkan kegembiraan, iaitu kembali kepada fitrah (yakni bersih) dan yang bersih itu adalah hati yang sudah dididik melalui tarbiah (pendidikan) Ramadan. Justeru, matlamat kita berhari raya adalah bagi meraikan kejayaan kita berpuasa di bulan Ramadan dan dalam masa sama berusaha mengekalkan momentum tarbiah Ramadan yang tujuan utamanya ialah menjadi insan bertakwa kepada Allah SWT.

Justeru, sambutan hari raya yang menginjak 4 Syawal pada hari ini seharusnya terus menjadi kesinambungan rahmat dengan menjaga adab (tingkah laku dan tutur kata) ter­utamanya ketika tetamu berkunjung ke rumah kita dan semasa menziarahi sanak-saudara dan juga sahabat handai.

Sambutan Aidilfitri seusai berakhirnya madrasah Ramadan seharusnya menjadi lambang kejayaan mendidik jiwa manusia mencapai martabat takwa sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183).

Anugerah takwa yang diraih melalui tarbiah Ramadan seharusnya menjadi pembimbing kepada umat Islam dalam mengekalkan momentum Ramadan bagi menempuhi kehidupan sepanjang hayat.

Oleh yang demikian, umat Islam diwajibkan menyambut Aidilfitri dalam kerangka takwa mengikut panduan Islam. Sebarang sambutan yang boleh merosakkan amalan baik yang sudah dikerjakan sepanjang bulan Ramadan seharusnya dihindari agar momentum Ramadan terus dapat dikekalkan bukan sahaja sepanjang bulan Syawal, tetapi juga pada bulan-bulan yang berikutnya.

Jika sepanjang Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah ter­utamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), amalan ini seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajud. Antara amalan lain mengikut sunnah yang disarankan selepas bulan Ramadan adalah mengerjakan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.

Begitu juga dengan amalan membaca al-Quran. Jika sepanjang bulan Ramadan amalan ini begitu subur sama ada membaca secara berseorangan mahupun secara tadarus di surau atau masjid, bagaimana pula selepas 1 Syawal? Adakah amalan ini terus ditinggalkan atau sebaliknya? Sedangkan, sewajarnya diteruskan dan dipertingkatkan de­ngan meneliti tafsir ayat-ayat yang dibaca atau menghafalnya, khususnya pada surah-surah atau ayat-ayat yang tertentu.

Sementelah, al-Quran adalah mukjizat Allah SWT. Walaupun mungkin kita tidak memahami isi kandungannya, namun kita tetap tidak akan jemu membacanya. Malahan, de­ngan membacanya akan membawa perubahan kepada diri kita baik secara luaran mahupun dalaman tanpa kita sedari.

Selain amalan membaca al-Quran, amalan bersedekah juga menjadi budaya pada bulan Ramadan. Persoalannya, adakah amalan ini juga terhenti setelah berakhirnya Ramadan? Alangkah malangnya jika berlaku sedemikian kerana Allah SWT meletakkan amalan ‘infaq’ atau sedekah sebagai salah satu daripada ciri-ciri seorang Muslim.

Justeru, amalan ini sewajarnya diteruskan pada bulan-bulan lain mengikut kemampuan kita. Lebih-lebih lagi umat Islam dianjurkan bersedekah dan Allah SWT amat membenci sifat bakhil. Bahkan harta kita setelah meninggal dunia adalah hasil daripada amalan sedekah jariah yang kita lakukan semasa hayat yang dapat memberi manfaat kepada kita kelak.

Oleh yang demikian, Syawal seharusnya menjadi medan penerus kepada maqasid puasa dan juga ibadah-ibadah serta amalan-amalan lain dalam bulan Ramadan. Dalam konteks ini, umat Islam sewajarnya meneruskan kesinambungan Syawal dalam keadaan tunduk, patuh, penuh keinsaf­an dan bertakwa kepada Allah SWT. Ini sebahagian daripada amalan yang disunatkan selepas berakhirnya Ramadan yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »