Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Berbuka dengan makanan seimbang

Posted by epondok di Jun 28, 2015


DR. AMINUDIN MANSOR
DALAM kehidupan seharian apa yang penting diberi perhatian adalah makanan yang berkhasiat dan senaman yang kerap. Semua ini akan membentuk badan yang sihat, ceria dan bahagia dalam kehidupan. Dalam melaksanakan ibadah berpuasa selama sebulan dalam bulan Ramadan mengawal nafsu makan sangat penting. Iaitu berbuka dengan makanan yang seimbang.

Amalan pemakanan yang sihat dan seimbang mestilah bermula daripada kesedaran diri sendiri dan diikuti dengan kefahaman tentang kesihatan diri. Makan dengan kadar yang sederhana serta seimbang dan lebihkan makan sayur-sayuran, ulam-ulaman, ikan dan sebagainya. Selain itu, kurangkan mengambil daging merah.

Oleh sebab itu, dalam bulan puasa kita digalakkan makan sahur untuk mengekalkan kesihatan pada masa berpuasa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Makanlah waktu sahur. Sesungguhnya, makan waktu sahur menyebabkan barkah (keberkatan).” (Riwayat Mutafaq ‘alaih).

Sebagai manusia, kita mendapatkan bekalan tenaga daripada bahan makanan. Sumber makanan utama adalah daripada haiwan, sayur-sayuran dan buah-buahan. Setiap sumber makanan ini mengandungi nutrien yang diperlukan untuk membantu proses biokimia di dalam tubuh badan.

Jelaslah pengambilan makanan yang seimbang akan menjamin tahap kesihatan yang baik yang berterusan serta membantu pertumbuhan badan yang sempurna. Apabila kesihatan baik dan terjamin semua kerja dapat dilakukan de­ngan baik dan cemerlang. Kurangkan pengambilan gula dan lemak dalam makanan dan minuman terutama dalam bulan Ramadan.

Pengambilan makanan yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan obesiti. Tabiat makan yang keterlaluan semasa berbuka akan menyebabkan pelbagai pe­nyakit seperti darah tinggi, serang­an jantung dan kencing manis. Tiga penyakit ini adalah penyakit yang sering menyerang mereka yang tidak mengawal tabiat makan. Kajian menunjukkan kebanyakan kuih-muih Melayu manis dan mempunyai gula yang tinggi.

Kajian menunjukkan kes kege­mukan atau obesiti di negara ini berada di tahap serius dengan anggaran setiap tiga daripada 10 penduduk Malaysia mengalami masalah tersebut. Masalah kegemukan adalah berpunca daripada sikap dan tabiat makan yang tidak terkawal.

Berdasarkan kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak lama dulu, sebanyak 27 peratus penduduk di negara ini gemuk atau obes. Masalah ini dikatakan berpunca daripada perubahan gaya hidup rakyat yang semakin senang ekoran pertumbuhan pesat ekonomi negara serta tabiat terlalu kerap makan.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin tentang amalan gaya hidup sihat mestilah mengubah tabiat makan dan sering melakukan senaman. Hal ini penting bagi kesejahteraan hidup dan mewujudkan masyarakat yang sihat. Apabila rakyat sihat akan menyumbang kepada pembangunan negara.

Untuk membentuk gaya hidup sihat pengambilan nutrien tambahan juga penting. Bahan makanan terdiri daripada pelbagai jenis nutrien seperti protein, karbohidrat, lemak, vitamin dan mineral untuk membentuk badan yang sihat.

Kajian menunjukkan, nutrien tambahan dapat membantu mengekalkan kesihatan optimum. Setiap nutrien ini pula mempunyai fungsinya yang tersendiri, sebagai contoh, vitamin dan mineral amat diperlukan oleh badan kita untuk membantu proses biokimia di dalam sel-sel badan. Walaupun kuantiti vitamin dan mineral diperlukan dalam jumlah yang sangat kecil, namun kekurangannya akan menyebabkan beberapa komplikasi kesihatan.

Pengambilan vitamin juga pen­ting. Vitamin juga dikenali sebagai mikro nutrien kerana badan kita memerlukan bahan ini dalam kuantiti yang kecil. Vitamin adalah bahan kimia yang diperlukan bagi mengawal metabolisme badan serta mencegah penyakit. Cara terbaik untuk mendapat sumber vitamin adalah melalui bahan makanan segar daripada sumber daging haiwan, sayuran dan buah-buahan.

Kekurangan vitamin dan mine­ral biasanya berlaku di kalangan penduduk di negara-negara miskin dan mundur. Penduduk di negara tersebut sering mengalami kekurang­an vitamin dan mineral kerana tidak mendapat sumber makanan yang mencukupi.

Kini, kekurangan vitamin dan mineral juga di katakan berlaku dalam kalangan penduduk negara maju dan membangun. Keadaan ini adalah disebabkan mereka mengamalkan diet yang tidak seimbang.

Kajian juga mendapati dengan amalan gaya hidup sihat jangka ha­yat penduduk di negara ini semakin meningkat. Sebelum merdeka, purata jangka hayat lelaki di negara ini ialah 52 tahun. Bagaimanapun, 51 tahun kemudian, jangka hayat lelaki meningkat kepada 72 tahun, dan perempuan 76 tahun.

Bagaimanapun, pada masa kini cabaran penyakit daripada gaya hidup yang telah berubah menyebabkan pelbagai jenis penyakit berbahaya. Amalan makan de­ngan makanan yang tidak seimbang mengundang penyakit pada tubuh badan seseorang. Oleh itu, memilih makanan yang seimbang dan berbuka dengan sederhana adalah langkah yang terbaik.

Rasulullah SAW bersabda: “ Hidangan makanan untuk dua orang seharusnya cukup untuk tiga orang dan makanan untuk tiga orang cukup untuk empat orang.” (Riwayat Al Bukhari).

Selain pengambilan makanan yang tidak seimbang, cara mengawal tekanan perasaan atau stres juga amat penting. Tekanan pe­rasaan atau stres berpunca daripada faktor luaran dan dalaman. Faktor luaran berlaku akibat tindak balas rangsangan persekitaran manakala faktor dalaman berlaku akibat tindak balas emosi yang tidak terkawal.

Dalam kehidupan yang sibuk dan mencabar kita digalakkan mengawal tekanan perasaan atau stres dengan fikiran terbuka, selalu bersenam, mempunyai hobi yang terbaik, mengamalkan teknik relaks, rehat dan tidur yang cukup. Menguruskan diri dengan baik, melaksa­nakan ibadah dengan berkesan serta mempunyai matlamat hidup akan dapat mengurangkan tekanan.

Langkah yang paling utama, mengawal nafsu makan dan cegah segala penyakit, lebih utama daripada mengubatinya. Dalam keadaan sekarang terutama ketika berbuka puasa seharusnya mengawal nafsu makan, iaitu makan dengan kadar yang sederhana begitu juga apabila hari raya digalakkan supaya mengawal nafsu makan dengan hanya memakan apabila terasa lapar dan berhentilah sebelum kenyang.

Nabi SAW berpesan dalam sabda baginda: “Orang yang paling kenyang makan di dunia akan menjadi paling lama lapar pada hari akhirat.” (Riwayat Al Hakim).

Kesimpulannya, mengamalkan gaya hidup sihat akan meningkatkan jangka hayat seseorang. Selain itu, elakkan kegemukan atau obesiti yang boleh mengundang pelbagai penyakit berbahaya seperti kencing manis, darah tinggi, dan penyakit jantung yang boleh membawa kepada kematian. Sebelum diserang oleh pelbagai penyakit tersebut mencegahnya dan mengawalnya adalah lebih baik. Mengawal nafsu makan itulah tujuan utama yang terkandung dalam fadilat dan falsafah berpuasa sebenarnya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: