Satu bulan istimewa di mana ganjaran bagi me­nu­naikan amalan sunat adalah seumpama amalan fardu dan sesiapa yg menunaikan amalan fardu adalah se­um­pama menunaikan 70 fardhu pada bulan lain.

Bulan Ramadan adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah syurga. Bulan itu adalah bulan sim­pati, bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman. Dalam bulan Ramadan sesiapa yang mengingati Allah SWT akan diampunkan dosanya dan sesiapa yang meminta sesuatu daripada Allah SWT tidak akan dihampakan (dalam satu hadis yang lain, dengan syarat tidak berdoa untuk memutuskan silaturahim dan tidak berdoa untuk sebarang dosa).

Namun terdapat dalam satu hadis mengenai kisah dua orang Islam yang bergaduh dan penentuan Lailatul Qadar telah diangkat. Ulama memberitahu bahawa pergaduhan atau perbalahan adalah satu perkara yang sangat buruk sehinggakan penentuan Lailatul Qadar diangkat, bahkan pertelingkahan sentiasa menjadi se­bab kehilangan berkat.

Sabda Nabi, “Sukakah aku beritahu kamu satu perkara yang lebih afdal dari solat, puasa, sedekah dan ibadat-ibadat lain?” Para sahabat RA berkata “Bahkan Ya Rasulullah”. Rasulullah SAW bersabda, “HUBUNGAN baik sesama kamu adalah perkara yang paling afdal dan pergaduhan sesama sendiri adalah perkara yang mencukur agama”. Rasulullah SAW juga bersabda iaitu menjatuhkan maruah seseorang Islam adalah riba yang paling buruk dan keji.

Manakala dalam Surah Al Anfal ayat 46, Allah ber­firman: dan janganlah kamu berbantah-bantah, kalau tidak nescaya kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu

Berdasarkan hadis dan ayat di atas, dapat kita sim­pulkan mengenai kemurkaan Allah Taala dalam perbalahan, tidak kira sama ada pemimpin ataupun yang dipimpin dan Allah Taala memberi jaminan ke­kuatan akan hilang dan semangat akan lemah apabila wujudnya perbalahan.

Demi Allah yang menurunkan bulan rahmat ini, sempena Ramadan yang diberkati, marilah kita meng­hulurkan tangan perpaduan lambang penyatuan umat Islam di negara ini, agar kesan daripada per­balahan ini dapat kita sama-sama jauhi.

Kita khuatir per­ba­la­han yang berpanjangan akan mengundang ke­mur­kaan Allah Taala dan Allah me­nu­runkan azab-nya yang amat pedih se­perti yang telah sedang kita rasai asbab dari rah­mat (kasih sayang) Allah yang berkurangan.

Marilah kita semua me­mainkan peranan ma­sing-masing agar yang keruh dapat dijernihkan, yang kabur dan samar da­pat dijelaskan dan yang ma­sam dapat dima­nis­kan.

Menyatukan

Para pemimpin dapat duduk semeja, sama-sa­ma berperasaan ingin sa­ling memperbaiki bukan me­­nuding jari, berbuka ber­sama sambil meneliti jaringan perpaduan umat Is­lam yang dapat di­­per­kemaskan dan ke­ku­su­tan dalam penyatuan dapat dileraikan.

Manakala rakan-rakan di sekeliling membantu me­nunaikan hak sesama Islam yang amat dituntut dalam agama, tanpa menuntut hak diri sendiri dan inilah amalan para sahabat RA yang sentiasa sedia mengorbankan diri masing-masing untuk kesenangan saudara seislam yang lain.

Masing-masing berperanan agar penyatuan pemimpin dan umat Islam terhasil dan bukannya menambah parah luka di pihak masing-masing dengan mencadang atau membuka aib pihak lain demi untuk mengangkat pemimpin atau pihak yang disukainya.

Atau sekurang-kurangnya kita diam sekiranya tidak dapat membantu menjernihkan keadaan dengan kata-kata dan pendapat kita kerana kita perlu menjaga lidah sendiri agar perkataan yang kita ucapkan tidak menjadi asbab kepada perbalahan pemimpin dan perpecahan umat. Rasulullah SAW dan para sahabat RA telah menyatukan umat yang terdiri dari ratusan malah ribuan kaum, bangsa dan negara menjadi satu sahaja iaitu sebagai umat Muhammad.

Mereka telah berkorban untuk menyatukan umat ini dengan darah dan air mata dan janganlah kita menjadi penyebab kepada perbalahan pemimpin yang akhirnya merugikan rakyat dan akhirnya menjadi asbab kepada perpecahan umat, yang amat dimurkai Allah SWT.

Demi Allah yang nyawa saya dan tuan-tuan dalam genggaman-Nya, sempena bulan Ramadan yang hanya datang setahun sekali ini, yang di dalamnya terdapat keberkatan dan rahmat Allah, marilah sama-sama kita berazam untuk melupakan pertelingkahan dan perbalahan demi untuk melihat penyatuan umat Islam dan generasi seterusnya merasai nikmat perpaduan yang terhasil.

Apabila pemimpin bersatu-padu, yang longgar di­pa­datkan, yang kusut dileraikan, yang rosak dipu­lih­kan, maka kekuatan akan terhasil, semangat akan bersemarak, dengan izin Allah, negara kita akan di­berkati dan rahmat Allah mencurah-curah ke atas bumi Malaysia dan terzahir ke seluruh alam.