Sederhana dalam konsep ini adalah dalam berbelanja bagi mengurangkan kos sara hidup yang tinggi dan sederhana dalam mencari rezeki di bulan Ramadan iaitu berniaga di bulan Ramadan tetapi melebihkan melakukan ibadah.

Dalam ibadat berpuasa kita digalakkan bersungguh-sungguh tekun dan taat melakukan puasa, amalan-amalan lain seperti bersedekah, bersolat tarawih, berzikir, bertasbih, berdoa dan qiamullail yang perlu diutamakan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila masuk bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatkan semua syaitan. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebelum Rasulullah SAW wafat, baginda sempat berpuasa sebanyak sembilan kali Ramadan. Di samping puasa Ramadan, Rasulullah SAW banyak mengerjakan puasa sunat sehingga ibadat puasa ini menjadi antara amalan utama baginda.

Namun sebagaimana biasa, Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan konsep sederhana dalam kehidupan baginda. Pada hari-hari tertentu baginda berpuasa sunat dan pada hari-hari biasa baginda tidak berpuasa dan menikmati makanan.

Tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa setiap hari kecuali bulan Ramadan sahaja. Isteri baginda Saidatina Aisyah r.a. pernah menceritakan: Rasulullah SAW berpuasa sehingga aku katakan beliau tidak berbuka. Beliau berbuka sehingga aku katakan beliau tidak berpuasa. Aku tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh kecuali bulan Ramadan. Aku tidak melihat beliau berpuasa setiap bulan lebih banyak dari di bulan Syaaban. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Elak boros

Dalam hadis ini dijelaskan konsep sederhana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW terutama ketika berbuka. Hal inilah yang patut diikuti oleh umat Islam sebagai panduan dalam berbuka dan berpuasa terutama di bulan Ramadan. Elakkan daripada makan terlalu banyak dan boros berbelanja.

Puasa-puasa sunat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah puasa hari Isnin dan Khamis. Puasa tiga hari dalam sebulan (iaitu hari ke-13, 14 dan 15 pada setiap bulan Islam di mana dinamakan sebagai hari-hari putih kerana bulan mengambang pada malam-malam hari tersebut).

Baginda Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah, hari Asyura iaitu pada 10 Muharam dan puasa enam hari dalam bulan Syawal.

Puasa Ramadan wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam mukalaf (berakal dan cukup umur) dan tiada keuzuran. Meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja adalah fasik dan berdosa besar.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa berpuasa Ramadan dengan keimanan dan mengharap pahala (keredaan) Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu. (riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, setiap umat Islam digalakkan berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala serta keampunan daripada Allah SWT.

Begitu juga mereka yang mendirikan solat tarawih. Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang mendirikan solat tarawih pada malam hari di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu. (riwayat al-Bukhari)

Semoga Ramadan tahun ini umat Islam akan dapat menggandakan pahala dan melakukan pelbagai ibadat wajib dan sunat dalam bulan yang penuh berkat dengan tenang dan tabah bagi mendapatkan pengampunan Allah dan penghapusan daripada segala dosa.