Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Ayat ini menonjolkan matlamat agung ibadat puasa iaitu bagi mencapai takwa. Takwa itulah yang bersemarak dalam hati ketika mengerjakan fardu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredaan-Nya. Takwa itu juga yang mengawal hati daripada merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik dalam hati.

Selain itu, banyak keberkatan yang boleh kita peroleh sepanjang Ramadan baik dari segi individu ataupun masyarakat. Antara yang paling ketara, masjid dan surau penuh berbanding sebelum bulan puasa. Jika dahulu hendak mengumpulkan 50 orang untuk jemaah solat Subuh amat payah, kedatangan Ramadan menyaksikan ramai ‘muka baharu’ turut hadir solat Subuh berjemaah.

Demikian juga dalam solat-solat fardu lain. Jangan kiralah bab solat Isyak dan tarawih. Kalau minggu pertama puasa, masjid dan surau seolah-olah ‘kecil’ kerana jemaahnya yang melimpah ruah. Inilah antara keberkatan Ramadan di mana hati-hati manusia lebih terdorong melakukan ibadat berbanding dilalaikan dengan lain-lain perkara duniawi.

Antara yang menjelaskan perkara ini adalah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila datangnya Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan. (riwayat Bukhari dan Muslim) ‘Syaitan’ ini merujuk kepada sifat. Manusia atau jin yang mempunyai sifat-sifat buruk tertentu dikenali sebagai syaitan.

Dalam surah an-Naas ada disebut ayat Minal jinnati wan naas yang menyatakan bahawa para penghasut yang timbul tenggelam (yang ditafsirkan oleh para ulama sebagai ‘syaitan’) itu terdiri daripada bangsa jin dan bangsa manusia. Maka istilah ‘syaitan’ itu bukanlah merujuk kepada jin, tetapi kepada manusia dan jin yang mempunyai sifat-sifat tertentu.

Berbalik kepada hadis di atas, yang dirantai atau dibelenggu itu bagi setengah Ulama’ bukanlah bermaksud jin tetapi sifat-sifat kesyaitanan yang ada dalam diri manusia dan jin. Digunakan istilah ‘dirantai atau dibelenggu’ untuk menyatakan ‘ketidakbebasan’. Sifat-sifat kesyaitanan pada diri manusia dan jin sepanjang bulan Ramadan ini tidak bebas seperti dalam bulan-bulan lain.

Contohnya, sifat syaitan pada diri kita sendiri. Antara sifat kesyaitanan yang kita rai pada bulan-bulan selain Ramadan adalah seperti banyak makan, memandang kepada perkara yang haram, suka mengumpat, marah-marah, berfikiran jahat dan sebagainya.

Namun apabila masuk bulan Ramadan dan umat Islam berpuasa, sedikit-sebanyak kita berusaha mengekang sifat-sifat ini pada siang hari agar puasa kita menjadi puasa yang berkualiti.

Pada waktu malam pula kesempatan kita untuk keluar rumah juga terhad. Natijahnya, sifat-sifat kesyaitanan ini seolah-olah terbelenggu, terantai dan tidak bebas seperti dalam bulan-bulan yang lain. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘syaitan-syaitan dirantai’.

Dengan demikian, marilah kita merebut peluang melipat-gandakan amal ibadat dalam kesempatan umur yang Allah berikan kali ini. Penuhilah diari kehidupan harian kita dengan membaca al-Quran, membanyakkan sedekah, melakukan solat malam dan sebagainya.