Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ramadan masa didik diri, bukan hamba hawa nafsu

Posted by epondok di Jun 22, 2015


Oleh Nik Hasnah Ismail
Amal ibadah sepanjang Ramadan pastinya dibuat sebaik-baiknya dengan harapan setiap amal ibadah itu mendapat pandangan tertinggi di sisi Allah SWT. Dalam keghairahan melaksanakan amal ibadah, ada kala kita tergelincir daripada syariat yang dipandu oleh al-Quran dan hadis.
Menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm yang bersiaran setiap Jumaat, jam 10.15 pagi, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang mengingatkan umat Islam supaya mengambil peluang keemasan pada bulan mulia ini untuk memperhebatkan amal ibadah kepada Allah SWT dengan ikhlas.
Katanya, tidak dinafikan ketika melaksanakan ibadah pada bulan mulia ini, ada segelintir umat Islam terlepas pandang perkara dituntut agama sehingga tanpa sedar melakukan amalan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar. “Walaupun bulan puasa sering dikaitkan dengan lapar dan dahaga, seorang Mukmin tidak sewajarnya menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk makan sebanyak-banyaknya ketika berbuka sehingga ia disalah faham sebagai bulan pesta makanan.
“Sungguhpun ada budaya pasar Ramadan yang memberi kesempatan untuk berniaga pelbagai juadah berbuka puasa, ia bukanlah alasan untuk kita berbelanja sehingga amalan berpuasa yang mulia itu dipenuhi aktiviti berbelanja yang menyebabkan pembaziran,” katanya.
Tingkat ketakwaan
Beliau berkata, umat Islam harus menggunakan kesempatan Ramadan ini sebagai bulan dipenuhi amalan baik yang akan meningkatkan ketakwaan di sisi Allah SWT. Ketika berpuasa kita menahan diri daripada lapar dan dahaga, apabila tiba waktu berbuka kita makan seolah-olah tidak mampu menahan nafsu. Ia adalah satu perbuatan yang dikeji di sisi agama dan pastinya falsafah serta erti berpuasa itu tidak memberi apa-apa makna buat kita.
Kata-kata hikmah menyebut, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati, justeru sebaiknya kita mengelak perbuatan yang sia-sia. Jangan biarkan bulan puasa yang sepatutnya melatih dan mendidik nafsu akhirnya menjadi bulan menahan lapar serta dahaga semata-mata. Oleh itu, umat Islam hendaklah sentiasa mengenal pasti perkara yang dianjurkan oleh agama dan meninggalkan perkara dilarang. Begitu juga bagi sesetengah umat Islam yang ghairah merebut ganjaran pahala pada Ramadan dengan melaksanakan amalan bertadarus atau membaca al-Quran. Amalan itu amat dituntut dan membaca sebaris ayat sekali pun akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.
Syed Mohd Norhisyam menyarankan kepada mereka yang bertadarus al-Quran pada bulan mulia ini supaya bukan sekadar membaca ayat al-Quran, malah turut bertadabur dengan ayat Allah SWT itu. Dalam erti kata, bukan hanya membaca, tetapi benar-benar menghayati inti pati al-Quran. Memahami kandungan ayat suci al-Quran sudah pasti akan meningkatkan pemahaman terhadap agama dan menambah ketakwaan kepada Allah SWT kerana kita bukan hanya mahu merebut pahala membaca al-Quran, malah pada masa sama turut mendapat ilmu daripada kalam Allah SWT. Beliau turut membangkitkan soal amalan bersahur sebelum tidur oleh mereka yang tidak bangun untuk makan pada waktu sepatutnya. Katanya, anjuran bersahur dan barakah amalan itu adalah pada awal pagi sebelum masuknya waktu imsak. Bersahur akan membawa keberkatan bagi mereka yang berpuasa seperti dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda Baginda: “Bersahurlah, kerana sesungguhnya pada sahur (makanan) itu ada keberkatan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bagi yang mungkin berasa sukar bangun pada awal pagi untuk bersahur dinasihatkan berlatih membiasakan diri melaksanakan amalan yang dituntut oleh ajaran agama. Latih anak berpuasa Menyentuh sikap sesetengah ibu dan bapa yang teruja melatih anak kecil untuk berpuasa sepanjang Ramadan ini, mereka menjanjikan pelbagai ganjaran sebagai dorongan atau sokongan moral kepada anak yang berpuasa. Malangnya, mereka terlupa melatih anak menunaikan solat sedangkan ia adalah amalan pertama yang dihitung pada hari akhirat nanti. “Ibu bapa yang melatih anak berpuasa adalah satu perbuatan amat baik, tetapi pada masa sama ibu bapa tidak harus lupa untuk melatih anak melaksanakan solat. Jika ibadah puasa dan solat ditekankan seiring, ia akan menjadi satu pendidikan lengkap yang memberi kesan besar kepada anak,” katanya.
Beliau turut mengingatkan golongan dewasa yang berpuasa, tetapi tidak solat kerana puasa tidak memberi ganjaran jika tidak dilengkapkan dengan solat. Apabila seseorang tidak solat, amalan lain tidak memberi erti kerana amalan lain dihitung selepas solat terlaksana. Jika begitu keadaannya, puasa dilihat sebagai adat bukan ibadah yang memerlukan seseorang itu memastikan kesempurnaan pelaksanaannya dengan memberi perhatian kepada setiap aspek yang perlu dipenuhi bagi mendapatkan puasa sempurna.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: