Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 16 Jun 2015

Akademi Pondok Sempena Ramadhan 1436H di Pondok Pasir Tumboh

Posted by epondok di Jun 16, 2015

Sempena kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak 1436H maka pihak Pondok Pasir Tumboh akan mengadakan suatu program ilmu tahunan bagi menghayati bulan yang penuh keberkatan itu. Program ini bertujuan memberi peluang kepada seluruh umat Islam samada dalam negeri atau luar Kelantan untuk mendalami ilmu agama sepanjang bulan Ramadhan. Ini merupakan program untuk tahun ke-7 setelah program yang sama pada tahun-tahun sebelum ini  berjaya diadakan dengan sambutan menggalakkan daripada peserta dalam dan luar Kelantan terutama siswa/wi yang sedang cuti semester.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan program ini bolehlah menghubungi Ustaz Ahmad Shairazi di talian
09-7657786 / 019-9388902

Pendaftaran dibuka sepanjang masa

Pengajian secara berulang alik atau menginap di pondok

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Terbuka kepada seluruh muslimin dan muslimat tanpa had umur
  • Pendaftaran RM 5 sahaja (tanpa kitab) dengan berulang-alik setiap hari
  • Harga Kitab Majmu’ Thalatha Rasail Edisi jawi  RM 4.00
  • Harga kitab Hidayah Salikin edisi jawi RM4.00
  • Harga Kitab Misbahul Munir edisi jawi RM3.00
  • Bagi peserta muslimin yang ingin menetap di pondok yuran daftar RM20.00 dan bil elektrik RM10.00. Datang daftar mulai 3 Ramadhan nanti
  • Perbelanjaan makan minum tanggungan sendiri (majlis berbuka puasa disediakan di Masjid pondok setiap petang manakala pelajar muslimat bujang makanan berbuka disedia di madrasah tempat mereka menginap)
  • Bagi muslimat yang ingin tinggal kawasan pondok yuran daftar, tempat tinggal dan bil elektrik RM58.00. Terus datang daftar mulai 3 Ramadhan nanti dengan Ustazah Fadhilah (0145429086)
  • Bagi pasangan kelamin atau warga emas kena cari pondok atau bilik sewa sendiri jika mahu tinggal kawasan pondok kerana pihak pejabat tidak menguruskan urusan tersebut

 

Tarikh & Masa Mula Daftar Diri

Mulai 3 Ramadhan 1436H bersamaan 20 Jun 2015M (Sabtu)
jam 8.30 pagi

 

Kelengkapan peribadi

sila bawa perkara tersebut :

1. Pelajar lelaki kena bawa Jubah sekurang sehelai(jika ada) / banyakkan baju melayu n kain atau kemeja lengan panjang
2. Pelajar perempuan kena bawa Jubah
2. Pakaian tidur/selimut/toto@tilam/bantal
3. alat tulis
4. Fotostat kad pengenalan
5. Gambar ukuran passport sekeping

 

JADUAL AKADEMI PONDOK 1436H

TARIKH Masa Kitab

Mulai

9.00– 11.30 am Kitab : Thalatha Rasail

20 Jun 2015M

3 Ramadhan 1436H

 2.00 – 3.00 pm  Kitab : Hidayah Salikin
hingga 12 Julai 2015M bersamaan 25 Ramadhan 1436H 3.30 – 4.30 pm Kitab : Misbahul Munir

Setiap Jumaat cuti

# Kitab Thalathah Rasil melibatkan beberapa bab daripada ilmu Feqah

# Kitab Hidayah Salikin pula menyentuh ilmu tasawwuf

# Kitab Misbahul Munir berkenaan ilmu Tauhid

Tempat Program

Madrasah Diniah Bakriah,
Pondok Pasir 
Tumboh,

16150, Kota Bharu, Kelantan

Hubungi :

Tel :09-7657786 H/P :019-9388902

(Ust. Ahmad Shairazi )

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Pertahankan akidah biarpun nyawa diancam musuh Islam

Posted by epondok di Jun 16, 2015

Oleh Ahmad Shukri Yusoff
Hikmah al-Quran:
Huraian Surah al-Baqarah, ayat 217. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah, peperangan pada bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang Islam) daripada jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya dan juga perbuatan menyekat (orang Islam) ke Masjidil Haram (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang pada bulan yang dihormati).” (Surah al-Baqarah, ayat 217).
Allah SWT dalam banyak ayat sentiasa mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berwaspada terhadap sikap orang Musyrikin yang berazam untuk meneruskan cita-cita jahat mereka menindas dan memurtadkan orang Islam daripada ajaran Islam. Menerusi ayat ini Allah SWT mendedahkan penindasan terhadap kaum Muslimin adalah matlamat tetap bagi musuh Islam, matlamat itu tidak berubah di mana sahaja dan dalam sebarang generasi. Satu fakta yang tidak boleh diperdebatkan lagi ialah orang Islam tidak pernah memulakan peperangan atau pencerobohan, malah yang selalu memulakannya ialah kaum Musyrikin. Mereka menahan orang daripada mendekati agama Allah SWT, kufur terhadap Allah SWT dan menghalang orang dari Masjidil Haram.
Perbuatan mengusir penduduk Tanah Haram adalah lebih besar dosanya daripada berperang pada bulan haram dan perbuatan menindas orang Islam kerana agama mereka adalah lebih besar dosanya di sisi Allah SWT daripada membunuh. Kaum Musyrikin telah melakukan dua dosa yang besar ini. Menjadi kewajipan kaum Muslimin jangan membiarkan mereka berselindung di sebalik tabir kesucian palsu yang tidak dihormati dan dipandang suci dalam hati mereka. Perbuatan mereka menyebut kehormatan bulan haram adalah semata-mata tabir palsu untuk berselindung di sebaliknya bagi memburukkan kedudukan kaum Muslimin dan menonjolkan mereka dengan sifat penceroboh, sedangkan sebenarnya merekalah sejak awal yang telah mencabul kehormatan Baitullah.
Sesungguhnya perbuatan mengganas, mengusir dan menindas penduduk Tanah Haram Makkah lebih besar daripada berperang pada bulan haram yang dilakukan beberapa orang Islam di bawah pimpinan Abdullah bin Jahsh di Batn Nakhlah itu. Oleh itu, hujah Nabi SAW dan sahabatnya yang dikatakan tidak menghormati bulan haram ini tidak timbul lagi kerana kaum musyirikinlah sebenarnya yang memulakan pencerobohandan tidak memuliakan kehormatan Tanah Suci serta Baitullah.
Perkataan fitnah yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah menyekat kebebasan manusia untuk hidup beragama dan memaksa mereka supaya terus kufur kepada Allah SWT. Mereka menyeksa sebahagian sahabat seperti Ammar Yasir, Bilal dan Khabbab Al-Arat. Mereka menyeksa Ammar dengan besi panas supaya beliau kembali ke agama asalnya dan menyeksa saudara serta ibu bapanya. Ketika Nabi SAW lalu di hadapan mereka, Baginda berhenti, kemudian bersabda: “Sabarlah keluarga Yasir, sabarlah, sesungguhnya syurga telah dijanjikan buatmu.” Berikutan itu, Yasir meninggal dunia dalam seksaan manakala ibunya pula disula pada kemaluannya sehingga beliau menemui ajalnya.
Bilal pula diseksa oleh Umayyah Ibn Khalaf dengan dibiarkan kelaparan dan kehausan. Dadanya ditindih dengan batu besar di tengah terik matahari, lalu dikatakan padanya: “Kamu akan tetap dibiarkan begini sehingga mati atau kamu kafir kepada Muhammad dengan kembali menyembah Al-Lata dan Al-Uzza. Namun Bilal tidak mahu dan bertahan bagi memelihara agamanya.
Ancaman paling berbahaya kepada umat Islam ialah murtad atau berpaling tadah daripada akidah dan ajaran Islam. Islam memandang berat gejala murtad kerana perubahan mereka daripada asalnya menjadi mata dan telinga kepada Islam lalu dengan tiba-tiba menjadi mata dan telinga kepada pihak musuh. Murtad boleh berlaku sama ada melalui ucapan atau perbuatan. Murtad melalui ucapan apabila seseorang mengingkari sesuatu yang diketahui secara pasti bahawa itu termasuk dalam ajaran agama. Menerusi perbuatan seperti bersujud kepada matahari, berhala dan meremehkan al-Quran. Umat Islam hendaklah berpegang teguh dengan agama Islam, walaupun digoda oleh orang kafir dengan pelbagai ancaman. Mereka tidak harus murtad setelah mengecapi kemanisan iman dan Islam. Sesiapa mati dalam keadaan murtad, maka seluruh amalan kebajikannya yang lalu akan gugur dan sia-sia.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Syarat fidyah jika tinggalkan puasa

Posted by epondok di Jun 16, 2015

Anan C Mohd
Ibadah niyabah wajib disempurnakan

Fidyah berkait rapat dengan ibadah puasa di mana ada beberapa sebab dalam puasa wajib yang jika ditinggalkan akan dikenakan fidyah iaitu meninggalkan puasa kerana tua atau lanjut usia, sakit kronik berpanjangan dan tiada harapan untuk sembuh. Wanita hamil dan yang menyusukan anak terpaksa meninggalkan puasa serta menangguhkan qada puasa sehingga tiba Ramadan berikutnya.

Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum menyempurnakan ibadah yang tidak sempurna adalah wajib, maka justeru itu hukum fidyah adalah wajib seperti ditentukan syarak.

Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum menyempurnakan ibadah yang tidak sempurna adalah wajib, maka justeru itu hukum fidyah adalah wajib seperti ditentukan syarak.

Firman Allah SWT bermaksud: “…Dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 184).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan yang belum diqadanya, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari ditinggalkan bagi pihaknya.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Terdapat beberapa keadaan di mana seseorang itu dikenakan fidyah apabila meninggalkan puasa atau sebaliknya:
Seseorang yang meninggalkan puasa kerana bermusafir atau sakit, maka wajib ke atasnya mengqada’ puasa sebelum datangnya Ramadan tahun berikutnya dan jika dilaksanakan dalam keadaan sedemikian maka tiada dikenakan fidyah.

Seseorang yang menangguhkan qada puasanya sehingga tiba Ramadan berikutnya kerana cuai atau tidak mengambil berat, maka dia dikira berdosa dan diwajibkan membayar fidyah berserta qada puasa mengikut bilangan hari ditinggalkan.

Seseorang sakit berterusan hingga masuk Ramadan yang lain, dia wajib mengqada puasanya saja tanpa dikenakan fidyah.

Sekiranya seseorang itu mati sebelum berkemampuan atau berkesempatan mengqada puasanya bukan disebabkan cuai atau sebagainya, maka dia tidak berdosa dan tidak perlu meminta orang lain mengqada bagi pihaknya serta tidak diwajibkan membayar fidyah bagi puasa ditinggalkannya.

Sesiapa yang mati selepas mampu mengqada puasanya, maka walinya (bapa, datuk atau ahli keluarganya) disunatkan mengqada hari-hari ditinggalkan bagi pihaknya.

Orang lain yang berpuasa bagi pihaknya adalah sah apabila mendapat keizinan salah seorang ahli keluarga terdekatnya. Jika dia berpuasa tanpa mendapat keizinan dan wasiat daripada si mati, maka puasa ganti itu tidak sah.

Jika tiada seorang pun berpuasa bagi pihak si mati, maka hendaklah dikeluarkan satu cupak makanan bagi setiap hari ditinggalkannya. Makanan itu wajib dikeluarkan daripada harta pusaka ditinggalkannya, sama seperti hutang. Sekiranya dia tidak memiliki harta, maka orang lain boleh mengeluarkan bagi pihaknya dan terlepaslah dosanya.

Seseorang meninggalkan puasa kerana tua atau lanjut usia, sekiranya dengan berpuasa akan membawa kesulitan kepadanya, maka wajib membayar fidyah saja berdasarkan kesepakatan ulama.

Seseorang yang tidak berkemampuan untuk berpuasa, sekiranya dia tidak berkemampuan juga untuk membayar fidyah maka tiada apa-apa dikenakan ke atasnya.

Seseorang yang mengalami sakit kronik berpanjangan dan tiada harapan untuk sembuh, maka wajib membayar fidyah dengan kesepakatan ulama, kerana puasa tidak lagi diwajibkan ke atasnya.

Wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak, jika meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan anaknya, maka wajib membayar fidyah berserta dengan qada puasa mengikut jumhur ulama.

Sebaliknya, jika dia meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan dirinya sendiri, maka dia boleh berbuka puasa dan diwajibkan qada’ puasa saja tanpa perlu membayar fidyah.

Menurut pandangan paling sahih dalam Mazhab Syafii, bayaran fidyah berganda dengan bergandanya tahun. Manakala menurut Mazhab Maliki dan Hanbali, bayaran fidyah tidak berganda mengikut tahun kerana ia dikira sekali gus saja.

Bayaran fidyah boleh ditunaikan sepanjang hidup. Namun, lebih baik mempercepatkan pembayarannya sekadar termampu dan seboleh-bolehnya ditunaikan dalam Ramadan kerana pahala pada bulan itu lebih banyak berbanding bulan lain.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »