Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Wahai manusia, usah lalai dengan dunia

Posted by epondok di Jun 12, 2015


USTAZ IDRIS SULAIMAN

 

ISLAM menegah umatnya daripada lalai, alpa dengan kesenangan dan kemanisan dunia. Sebaliknya, umat Islam dituntut supaya bersiap sedia untuk kehidupan abadi di akhirat.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya janji ALLAH adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang memperdayakan kamu dengan (kemurahan) ALLAH. Sesungguhnya syaitan adalah musuh kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni neraka.” (Surah Fathir: 5-6)

ALLAH SWT menjelaskan dalam ayat di atas, Dia memanggil manusia dan mengingatkan kita mengenai apa yang pasti berlaku sebagaimana yang dijanjikan iaitu kedatangan hari kebangkitan manusia dari kubur untuk urusan hisab dan pembalasan.

ALLAH SWT juga mengingatkan perihal dua ujian yang boleh menghalang manusia daripada bersiap sedia untuk hari kebangkitan ini. Dua ujian ini ialah fitnah dunia dan fitnah syaitan.

Usah mudah terpedaya

Banyak ayat al-Quran menegah manusia daripada terpedaya dengan dunia ini bahkan mencelanya dengan mengingatkan mengenai betapa cepatnya nikmat dunia itu hilang. Al-Quran memberi beberapa perumpamaan perihal dunia agar menjadi pedoman buat hati yang sedar.

Celaan tidaklah ditujukan ke atas dunia itu sendiri kerana dunia boleh menjadi sebab dan perantara yang menghubungkan seseorang dengan syurga (atau menjerumuskannya ke neraka). Apa yang dicela adalah perbuatan manusia yang sibuk dengan memuaskan nafsunya sehingga lalai dan berpaling daripada ALLAH dan hari akhirat.

Maka, dunia boleh menjadi ladang untuk kita bercucuk tanam dan beramal sebagai bekalan bagi menuju ke syurga.

Sebaik-baik kehidupan di syurga adalah hasil daripada apa yang ditanam dan diamalkan di dunia. Dan sebaik-baik bekalan syurga adalah takwa. Takwa menjurus kepada erti berlindung daripada azab ALLAH dan neraka-Nya dengan melaksanakan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Imam Ibnu Al-Qayyim berkata: “Apa yang dimaksudkan adalah ALLAH mencipta kekayaan dan kemiskinan sebagai satu wasilah dan ujian; dan ALLAH tidak menurunkan kekayaan untuk kesenangan semata-mata.”

Tidak pernah puas

Adapun manusia secara umumnya, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jika anak Adam mempunyai dua lembah emas, nescaya dia akan mengharapkan yang ketiganya; dia tidak akan berasa puas sehingga dia penuh dengan pasir (mati); dan ALLAH akan mengampuni siapa yang bertaubat.” (Riwayat Ahmad, sahih)

Maka harta yang ALLAH kurniakan bukan untuk bersenang-lenang sehingga lalai dengan dunia. Ia adalah untuk digunakan dalam ketaatan kepada ALLAH; untuk mendirikan solat, menunaikan zakat dan amalan ibadah yang lain. Sama sekali bukan untuk tujuan kesenangan dan kelazatan semata-mata sepertimana haiwan ternakan makan.

Bagaimana mungkin seorang manusia berasa cukup dengan dunia berbanding dengan nikmat yang ALLAH janjikan di syurga? Bagaimana mungkin manusia disibukkan dengan harta dan anak pinak sehingga lupa ingat berzikir kepada ALLAH? Berapa lama pun manusia itu hidup dan sebanyak mana pun dia mengumpul harta, akhirnya dia akan meninggalkannya semua. Segala yang ada di tangan akan hilang manakala apa yang akan tinggal hanya amalan.

Sebagaimana kita tiba di dunia tanpa membawa apa-apa, kita akan  meninggalkan dunia ini pun begitu tanpa membawa apa-apa kecuali amalan kita.

Firman ALLAH: “Kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah Kami kurniakan kepada kamu.” (Surah Al-An’aam: 94)

Sesungguhnya dunia adalah persinggahan untuk menuju akhirat. Di dunia, manusia diberi kesempatan untuk mengumpul sebanyak mungkin bekalan untuk perjalanan ini. Dunia adalah ibarat musafir yang singgah ke pasar untuk mendapatkan bekalan yang diperlukan sebelum dia meneruskan perjalanannya.

Akhirnya, hasil dunia ini tidak lebih daripada apa yang diambil sebagai bekalan untuk ke akhirat.

Perlu kita ingat, apa yang halal di dunia akan dihisab dan dipertanggungjawabkan. Apa yang haram pula akan dihukum manakala  kesudahannya adalah kesengsaraan. Tidak ada sesiapa yang berasa senang dengan yang haram kecuali mereka yang gelap hatinya dan hilang panduan.

Berapa ramai yang pergi tanpa kembali. Berapa ramai orang yang dicintai meninggalkan orang yang mencintainya dalam kalangan keluarga dan rakan taulan. Sungguh ia adalah perjalanan ke akhirat yang berterusan setiap hari tanpa henti. Mereka yang pergi individu dan kumpulan, ibu dan bapa, raja dan rakyat, kaya dan miskin, Muslim dan kafir, orang baik dan jahat.

Semua akan beransur ke akhirat dengan diucapkan selamat tinggal di kubur sementara mereka menunggu kebangkitan dan tiupan sangkakala.

Firman ALLAH: “Pada hari mereka keluar dari kubur masing-masing menuju (ke padang mahsyar) dengan keadaan seolah-olah mereka berkejaran ke (tempat) berhala (yang mereka sembah dahulu). Pandangan mereka tunduk, diliputi kehinaan; itulah hari yang telah dijanjikan kepada mereka.” (Surah Al-Ma’arij: 43-44)

Sungguh ALLAH mencela mereka yang mendahulukan kehidupan dunia atas akhirat dalam banyak ayat Al-Quran. Firman ALLAH: “Merekalah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia atas  akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka dan tidak akan diberikan pertolongan.” (Surah Al-Baqarah: 86)

Firman ALLAH: “Kamu mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi).” (Surah Al-Qiyamah: 20-21)

Firman ALLAH: “Kamu mengutamakan kehidupan dunia; padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’ala: 16-17)

Firman ALLAH: “Adapun orang yang melampau; yang mengutamakan kehidupan dunia semata-mata; maka neraka jahanamlah tempat kediamannya.” (Surah Al-Naazi’at: 37-39)

Semakin Alpa, lalai

Mengutamakan dunia jelas pada perbuatan manusia. Mereka bersesak-sesak di kedai dan pasar raya tetapi tidak di masjid. Mereka berpusu-pusu keluar mencari kekayaan dunia tetapi tidak begitu dalam menuntut ilmu agama.

Mereka sanggup menanggung jerih penat mencari wang ringgit tetapi tidak sanggup menanggung susah payah ibadah walaupun sedikit. Mereka marah jika habuan dunia mereka berkurang tetapi tidak kisah jika hal sama berlaku pada ibadah mereka.

Ramai manusia akibat terlalu cinta dengan dunia sampai berasa tidak cukup dengan apa yang halal dan sanggup berurusan dengan yang haram seperti riba, rasuah, menipu dalam jual beli bahkan bersumpah dusta dengan nama ALLAH untuk memakan harta saudaranya tanpa hak.

Firman ALLAH: “Sesungguhnya orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji ALLAH dan mencabuli sumpah mereka; mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, ALLAH tidak akan berkata-kata dengan mereka serta tidak akan memandang mereka pada hari kiamat, tidak akan membersihkan mereka (daripada dosa), dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Ali Imran: 77)

Ramai dalam kalangan manusia diselubungi dengan perasaan cinta dunia sehingga seluruh masa mereka digunakan untuk urusan dunia sehingga tiada masa untuk akhirat. Solat fardu dilewatkan atau tidak dilakukan secara berjemaah.

Jika mereka solat, hati mereka terus memikirkan dunia, mengira-ngira harta, memeriksa kiraannya dan cuba mengingat kembali urusan yang sedang dilakukan sebelum solat.  Sebahagian lain menjadi bakhil dan kedekut untuk mengeluarkan nafkah yang wajib dan sunat. Zakat yang menjadi salah satu rukun Islam pun menjadi berat untuk ditunaikan.

Dia berfirman: “Bagaimana jika Kami berikan mereka menikmati kesenangan dunia bertahun-tahun, kemudian mereka didatangi azab seksa yang dijanjikan kepada mereka, (tentulah) kesenangan yang mereka nikmati bertahun-tahun itu tidak dapat memberikan mereka sebarang pertolongan.” (Surah Asy-Syu’ara: 205-207)

Semoga kita tergolong kalangan mereka yang istiqamah pada jalan ALLAH dan tidak tergolong dalam kalangan mereka yang menggadaikan akhirat semata-mata untuk bersenang lenang di dunia.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: