Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hiasilah agamamu sebaiknya

Posted by epondok di Jun 11, 2015


APABILA disebut perhiasan, jelas terbayang di ruang mata ini emas permata berkerdipan di jari, di lengan, di telinga dan terpampang di dada wanita.

Lihatlah situasi apabila pasangan itu berpindah  ke rumah baru, maka antara perkara yang membuatkan kita ‘sibuk’ ialah bagaimana menghias rumah supaya sesuai dengan status penghuninya, lokasi dan jenis rumahnya.

Hinggakan kadangkala perbelanjaan perhiasan sahaja separuh daripada harga rumah. Begitu sekali kita taksub dengan perhiasan di dunia ini. Begitu hebatnya kita menghias diri dan menghias rumah kita.

Sibukkan perhiasan dunia

Pakar motivasi dan kaunseling keluarga, Dr Robiah K Hamzah berpandangan, kita menyibukkan diri dengan berhias itu dan ini, tetapi terfikirkah kita mengenai perhiasan yang mampu menghiasi agama kita.

Renunglah sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ALLAH memilih agama ini bagi Zat-Nya, maka tiadalah sesuai lagi bagi agamamu  itu, melainkan dengan sifat murah hati dan berbudi pekerti luhur. Ingatlah supaya kamu menghiasi agamamu dengan kedua sifat tersebut.” (Petikan daripada Buku bimbingan Mukmin, ms 418)

“Berpandukan pesanan Baginda SAW ini jelas menyatakan pada kita agama akan kelihatan usang dan tidak menarik jika penganutnya tidak menghiasi agamanya dengan budi pekerti yang luhur.

“Hari ini kita amat mudah untuk mencari apa sahaja barang yang kita mahukan tetapi amat sulit untuk bertemu dengan mereka yang berbudi pekerti luhur, walaupun berkelulusan bidang agama yang tinggi, mengaku sebagai penganut agama Islam, berpakaian menepati ciri-ciri pakaian Muslim dan Muslimah, dan berjawatan. Baik di bandar mahupun di kampung,” katanya.

Menurutnya, kelompangan budi pekerti luhur ini paling jelas kelihatan terutama dalam kalangan generasi muda Muslim kita. Di mana silapnya didikan dan sentuhan kita pada mereka. Adakah benar ungkapan keramat orang tua kita yang berbunyi “bagaimana acuan begitulah kuihnya”, “jika guru kencing berdiri anak murid kencing berlari” atau ungkapan “bapa borek anak rintik”.

Kesemua ungkapan ini menggambarkan  peranan orang tua sangat besar pengaruhnya pada anak yang dididiknya.

Mari kita teliti pesanan yang di tinggalkan oleh Rasulullah SAW melalui al-Quran dan hadis mampu menjentik hati dan minda kita untuk melihat ke dalam diri adalah aku sudah menghias agamaku melalui perlakuanku.

Contohnya ketika Rasulullah SAW ditanya: “Siapakah di antara kaum mukmin yang paling utama keimanannya”. Baginda SAW menjawab: “Mereka yang paling baik budi pekertinya.” (Imam Ghazali dalam Bimbingan Mukmin, m/s 418)

Budi pekerti teras iman

Bayangkan satu daripada ukuran tahap keimanan seseorang itu akan diukur daripada sejauh mana halusnya budi pekerti yang di miliki seseorang terhadap dirinya dan sama ada mereka itu ahli keluarga sendiri atau sesiapa sahaja yang ditemui.

Ini bermakna tanpa budi pekerti yang baik kita belum layak mengaku beriman yang sebenarnya. Oleh kerana itu, Rasulullah SAW berkali-kali mengingatkan kita agar menjaga budi pekerti sebagai tanda orang beriman.

Baginda SAW menegaskan ungkapan wajah yang manis dan budi pekerti yang baik ini mampu mengalahkan harta dan kuasa dalam usaha membaiki hubungan dengan masyarakat.

Kerana itu, ALLAH mempersiapkan Rasulullah SAW sebagai insan yang berbudi pekerti luhur dengan sesiapa sahaja. Sebagaimana firman ALLAH yang bermaksud: “Sesungguhnya engkau mempunyai budi pekerti yang luhur”. (Surah al-Qalam: 4)

Ia diperkuatkan lagi dengan penjelasan sendiri oleh Rasulullah SAW: “Sebenarnya aku diutus untuk menyempurnakan kemuliaan budi pekerti.” Malah diperkemaskan dengan penegasan oleh Baginda SAW: “Agama itu adalah kemuliaan budi pekerti”. Ini bermakna jika kita belum baik budi pekerti belum lengkap untuk mengaku sebagai pengikut Rasulullah SAW.

Cermin penampilan kita daripada wajah dan tindakan harian sebagai ibu ayah, guru, pembuat keputusan, rakan dan majikan. Berapa kerap kita mempamerkan wajah yang manis dan budi pekerti luhur pada anak dan pasangan kita di rumah sebagai penanda kita beriman dengan sepenuhnya kepada apa yang dibawa Rasulullah SAW.

Periksa pula berapa ikhlas senyuman yang berikan pada orang lain. Jika ini belum mampu kita lakukan bermakna kita belum mampu menghias agama kita. Jika kita tidak mampu menghias agama dengan baik, maka kesannya pada diri sendiri yang tidak mampu mempamerkan karakter orang beragama.

Berapa ramai yang kita temui mengaku beragama tapi tidak terserlah keindahan iman yang diamalkan sebagai pegangan. Ini juga yang mendorong pihak musuh Islam untuk mendakwa Muslim itu penjenayah.

Jaga adat didiklah budi pekerti

Betapa jauhnya kesan budi pekerti mulia ini kepada cara pandang orang lain pada kita. Begitu juga pandangan anak pada kita sebagai orang tua dan gurunya. Hingga berasa betapa nipisnya pengaruh budi pekerti luhur ini dalam generasi kita sekarang.

Robiah berkata, sehinggakan orang bukan Islam pula yang berasa untuk mengamalkan kesantunan dan budi pekerti yang halus ini. Seperti mana yang diamalkan dalam budaya di negara Jepun dan Korea.

“Saya sendiri terpesona dengan gaya kesantunan yang ditunjukkan dan diamalkan dalam budaya dua negara tersebut. Dapat dilihat dengan jelas dalam pergaulan mereka seharian dalam acara rasmi dan tidak rasmi, apa lagi di dalam bas, semua penumpang lelaki akan bangun untuk memberikan tempat duduk kepada penumpang perempuan secara suka rela. Jelas kelihatan kesantunan dan budi pekerti luhur ini sudah membekas secara kental dalam sahsiah mereka.

“Bagaimana dengan diri kita? Kita adalah umat Islam. Terlalu banyak pendidikan yang diwariskan Rasulullah SAW perihal menjaga adab. Sebagaimana sabda Baginda SAW memperingatkan Abu Zar: “Tidak akan sempurna akal, melainkan dengan pengurusan yang baik dan tidak sempurna keturunan tanpa budi pekerti yang mulia.” Bayangkan kesan mendalamnya pesanan Rasulullah SAW ini bagi menjamin keturunan yang baik bermula dengan kesempurnaan budi pekerti,” ulasnya panjang.

Menurut beliau, semaklah penampilan dan sahsiah kita masa kini, mampu atau tidak mewariskan budi pekerti yang baik ini kepada anak sebagai perhiasan pada pegangan agama mereka?
Sebagai semakan, mari kita lihat pesanan hukama berhubung dengan budi pekerti yang luhur ini.

Al-Hasan berkata: “Orang yang buruk akhlaknya samalah seperti orang yang menganiaya diri sendiri”. Ini bermakna jika seseorang itu hilang perhiasan diri maka dia tidak mungkin mampu menghias agamanya dan menghias kehidupannya. Manakala Al-Fudhail berkata: “Berkawan dengan orang yang derhaka tetapi baik budi pekertinya, lebih utama daripada berkawan dengan orang yang alim (ahli ibadah) yang buruk budi pekertinya”.

Renungkan pesanan ini agar kita dapat merawat diri agar tidak termasuk dalam kategori tersebut hingga kita hilang perhiasan diri lalu gagal menghias agama sedangkan itulah panduan hidup yang amat penting. Akibatnya anak tidak berasa hebat dan teruja untuk ke majlis-majlis agama dan tidak berperwatakan seperti orang yang sayang agama.

Hilang jiwa agama?

Kita seolah-olah kehilangan jiwa agama dan pupuslah budi pekerti luhur berteraskan agama. Sebelum kita kehilangan keindahan pekerti luhur ini yang dibekalkan agama, mari kita berusaha bersungguh-sungguh, mengkaji dan menghias diri sebagai penganut agama suci kita melalui akhlak dan budi pekerti yang baik dan luhur agar kita layak berjumpa Rasulullah SAW.

Dengan penegasan yang jelas ini Rasulullah SAW tetap juga memberi amaran kepada umatnya agar sentiasa menghias diri dengan budi pekerti yang luhur agar mampu menghiasi agama, menunjukkan karakter budaya agama hingga menjadi contoh lalu agama kita tetap suci, disanjung, diikuti dan dijadikan panduan, pegangan dan amalan hidup utama.

Rasulullah SAW bersabda: “Takutlah kepada ALLAH di mana sahaja engkau berada, ikutilah segala kejelikan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskan semua kejelikan itu.” (Riwayat At-Tirmidzi)

Dan pergaulan sekalian manusia dengan budi pekerti yang baik. Jangan sampai kita hilang alat perhiasan dan tidak mampu menghias agama. Jangan menjadi orang tua  yang dipersalahkan apabila belia muda-mudi tidak lagi ghairah untuk mencintai agama yang semakin hilang indahnya!

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: