Mengapakah sesetengah belia tidak menghayati Islam lagi sehingga terjebak ke kancah kerosakan?

Ajaran Islam tidak membenarkan penganutnya mengganggu harta milik orang lain atau mencederakan fizikal mereka dengan memukul, apatah lagi membunuh, menjatuhkan maruah dengan memalukan atau menceroboh kehormatan. Perbuatan tersebut juga adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Amalan beragama masyarakat kita masih berteraskan penyebaran kedamaian dan kesejahteraan, seperti yang difahamkan daripada galakan memberi salam semasa bertemu. Ia bukan sekadar kalimat ‘salam’ yang dilafazkan, tetapi menghendaki agar lafaz itu dihayati dalam seluruh kehidupan, tidak terbatas kepada masyarakat sendiri tetapi juga pada masyarakat majmuk dan global.

Demikian juga lafaz salam yang diucapkan setelah melakukan ibadah solat, dengan berpaling ke kiri dan ke kanan. Ia adalah lambang yang menunjukkan bahawa seorang yang beriman hendaklah terus memberikan sumbangan kepada kesejahteraan hidup dan bernegara.

Meskipun kesejahteraan merupakan asas utama hidup bermasyarakat, masih terdapat ramai yang melakukan jenayah daripada kalangan masyarakat Islam. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia merupakan satu cabaran bagi semua, bagaimana kadar jenayah ini dapat dibendung yang akhirnya menjadikan masyarakat kita bebas jenayah.

Mereka yang terlibat dalam kes jenayah berat semakin bertambah, peratusan anak Melayu yang ditahan di pusat pemulihan akhlak juga agak tinggi jika dibandingkan dengan jumlah peratusan masyarakat Melayu di negara kita.

Masyarakat lain akan bertanya, apakah agama Islam sebagai agama ‘salam’ atau sejahtera yang dianuti gagal menanamkan nilai kedamaian dan keharmonian kepada pengikutnya?

Tiada agama di dunia yang bertolak ansur dengan jenayah yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan boleh menjerumuskan negara ke jurang kebinasaan.

Tidak juga ada sebab mengapa seseorang terlibat dengan jenayah. Kemiskinan tidak menghalalkan orang yang susah mencuri atau merompak, kerana ada skim bantuan yang boleh dimanfaatkan mereka yang memerlukan.

Kemarahan yang meluap bukan sebagai alasan untuk memukul atau membunuh orang lain. Kalau pun kemarahan berpunca daripada sikap seseorang yang memalukan atau mengugut, ada saluran undang-undang yang boleh menjadi penyelesaian.

Masyarakat harus dibentuk agar mengikut acuan yang betul berdasarkan nilai keyakinan mereka dan tidak boleh melakukan sesuka hati sehingga boleh menggugat ketenteraman awam dan menjadi ancaman.

Perbuatan tidak bertanggungjawab harus dibanteras dari peringkat akarnya, iaitu dari kecil sewaktu asuhan ibu bapa.

Pakar psikologi jenayah berusaha sungguh-sungguh mencari punca yang mendorong perlakuan jenayah. Mereka akan cuba melihat latar belakang keluarga dan kaitannya dengan tabiat antisosial.

Mereka juga akan menyelami jiwa pelaku jenayah untuk mengenal pasti motif dan dorongan yang menyebabkannya bertindak liar.

Dapatan atau hasil kajian pakar harus menjadi iktibar yang boleh mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan membina persekitaran yang baik sehingga jenayah dapat dikekang atau dibanteras.