Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Perkahwinan sekufu, antara bahagia atau dilema?

Posted by epondok di Mei 30, 2015


AHMAD NASHRIQ MOHD ASRI

PERKAHWINAN merupakan satu jalinan kasih sayang atau hubungan antara lelaki dan perempuan yang sah di sisi Islam. Perkahwinan juga menjadi satu ibadah dan kewajipan kepada semua umat Islam apabila seseorang itu mampu untuk memikul tanggungjawab sama ada bergelar seorang suami atau isteri.

Apabila seseorang itu sudah berkahwin, maka telah sempurna separuh agamanya. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW mafhumnya: Apabila seorang hamba menikah, maka sungguh dia telah menyempurnakan separuh agamanya.

Maka hendaklah dia bertaqwa kepada ALLAH pada separuh yang selebihnya. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi. Hal ini jelas menggambarkan bahawa perkahwinan ini merupakan satu tuntutan kepada umat Islam.

Selari dengan peredaran zaman pada masa kini, perkahwinan sekufu menjadi satu trend dalam menentukan jodoh sama ada bersesuaian dengan kedudukan atau pangkat seseorang.

Sekufu pada amnya hanyalah ungkapan orang tua yang mahu cari persamaan, pasangan yang sepadan dari segi pendidikan ,kecantikan, pangkat, keturunan, agama dan lain-lain. Dalam erti lain kufu bermaksud sama atau setaraf.

Dari sudut istilah pula Kufu bermaksud satu aspek yang ketiadaannya akan mencacatkan kedua mempelai. Aspek kufu dalam mazhab syafei ada enam iaitu, Islam, merdeka, agama, keturunan, kerjaya dan sejahtera dari sebarang kecacatan.

Sebahagian ahli-ahli feqah pada masa kini yang mengikut mazhab Shafei mengambil kira usia juga termasuk ke dalam aspek kufu. Mereka menghukumkan seorang gadis remaja tidak sekufu dengan seorang lelaki tua.

Dalam masa yang sama, Imam Shafei juga menegaskan bahawa perkahwinan mereka yang tidak sekufu tidaklah haram. Oleh sebab itu,sekiranya persetujuan antara pengantin perempuan dan walinya telah dicapai maka perkahwinan itu dihukumkan sah meskipun tidak sekufu antara bakal pengantin.

Selain itu, dalam perkahwinan sekufu juga,faktor pembentukan keluarga memainkan peranan penting dalam agama Islam. Jadi apabila Islam menggalakkan sekufu, ini bermakna Islam melihat lebih jauh lagi mengenai peranan sesuatu keluarga itu.

Ini kerana perbezaan yang terlalu banyak dan ketara di antara pasangan suami dengan isteri dalam pelbagai perkara kemungkinan akan menimbulkan pelbagai masalah untuk meneruskan kehidupan berkeluarga yang akan dibina kelak. Bahkan sekiranya tiada sekufu antara kedua-duanya, maka isteri atau walinya berhak menuntut fasakh selepas perkahwinannya.

Ia berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: Tidak berhak mengahwinkan seorang anak perempuan kecuali dengan wali, dan tidak berhak mengahwinkan wanita kecuali dengan lelaki yang sekufu dengannya. Sekiranya seorang lelaki itu mengambil seorang isteri yang lebih rendah pendidikannya atau yang lebih sedikit hartanya dan sebagainya, ia biasanya tidak menimbulkan sebarang masalah kemudian hari.

Berlainan pula seandainya seorang isteri bersuamikan seorang lelaki yang jauh lebih rendah daripadanya dalam semua perkara. Sebagai contoh si suami merupakan seorang pekebun biasa malahan si isteri merupakan seorang doktor perubatan.

Terdapat perbezaan yang begitu ketara antara pasangan tersebut dari sudut pangkat, pendidikan, pendapatan dan selainnya. Hal ini berkemungkinan akan menimbulkan masalah besar seperti si suami akan berasa rendah diri terhadap isteri.

Dalam hal inilah, Islam melihat “kafaah” sebagai satu aspek yang perlu dijaga. Menurut ulama fiqah, keseluruhan mereka mengambil kira kepentingan sekufu, sehingga di dapati mazhab Shafie meletakkan sekufu sebagai hak seorang perempuan dan hak walinya.

Sementara bagi mazhab Hanafi, walaupun tidak ada wali mujbir (wali yang boleh memaksa anaknya untuk berkahwin atau tidak berkahwin, misalnya ayah dan datuk) seorang perempuan itu boleh mengahwinkan dirinya tanpa wali.

Namun wali mujbirnya iaitu bapanya contohnya, masih berhak untuk membubarkan perkahwinan itu sekiranya mendapati pasangan tersebut tidak sekufu. Sebagaimana dijelaskan di atas bahawa sekufu merupakan hak kepada wanita dan walinya, maka sekiranya salah seorang daripada orang yang berhak ini menghalang perkahwinan disebabkan tidak sekufu, maka perkahwinan itu tidak boleh dilangsungkan.

Contohnya, seorang perempuan membawa calon suaminya tetapi tidak dipersetujui oleh bapanya sebagai seorang wali mujbir dengan alasan lelaki tersebut tidak sekufu dengan anaknya, maka alasan itu dianggap munasabah dan hak bapanya sebagai wali tidak boleh dipindahkan kepada wali hakim atau wali selepasnya.

Begitu juga sekiranya seorang perempuan yang dipaksa berkahwin oleh wali mujbirnya, sama ada bapa ataupun datuk tetapi dia menolak dengan alasan bahawa perkahwinan ini tidak sekufu, maka dia berhak untuk menghalang perkahwinan ini.

Jelas di sini, mazhab Shafei meletakkan sekufu sebagai satu perkara yang penting. Jumhur mengatakan, sekufu adalah syarat untuk meneruskan perkahwinan, bukannya syarat sah perkahwinan.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: