Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Puasa Syaaban latihan intensif hadapi Ramadan

Posted by epondok di Mei 28, 2015


OLEH ZAMANUDDIN JUSON
Puasa sunat pada bulan Syaaban menambahkan kualiti berpuasa pada Ramadan.
Syaaban antara bulan yang dihormati Baginda Nabi SAW kerana hampirnya ia dengan Ramadan yang jelas mendapat kemuliaan daripada Allah SWT. Baginda SAW pernah bertanyakan sahabat dalam sabdanya bermaksud: “Tahukah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Sahabat menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Kitab Raudatul Ulama).
Ada yang mengatakan bahawa cabang-cabang ganjaran kebajikan dipercambahkan kerana hampirnya Syaaban dengan Ramadan. Bagaimanapun, setiap kebajikan akan tetap mendapat ganjaran tanpa mengira masa dan tempat ia dilakukan. Bagaimanapun, perkara rasional yang perlu diterima pakai ialah berkaitan latihan intensif kepada sesuatu amalan yang mana ia adalah wajar kerana dengan latihan akan menjurus kepada laluan kejayaan yang cemerlang. Amalan Rasulullah Pengarang kitab Duratun Nasihin menceritakan amalan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan laut dari sinar di bawah Arasy, lalu menciptakan satu Malaikat yang mempunyai dua sayap, satu sayapnya di timur dan sayapnya yang lain di barat, sedang kepalanya di bawah Arasy dan kedua kakinya di bawah lapis bumi ke tujuh. Apabila seseorang hambanya membaca selawat untukku pada bulan Syaaban, maka Allah SWT menyuruh Malaikat itu, supaya menyelam di air. Malaikat itupun menyelam, kemudian keluar dari dalam air serta mengibas-ngibaskan kedua sayapnya, sehingga bertitisanlah air daripada bulu-bulu yang sangat banyak. Maka Allah SWT menciptakan dari tiap-tiap titis air itu, satu Malaikat yang memohonkan ampunan bagi orang yang membaca selawat, sampai Hari Kiamat.”
Baginda SAW adalah ikutan yang baik dan kita dapat melihat perubahan yang ada pada Baginda SAW apabila tibanya bulan Syaaban. Aisyah berkata maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami menyangka dia tidak berbuka. Baginda SAW berbuka sehingga kami mampu melihat dan mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi SAW berpuasa penuh satu bulan melainkan pada Ramadan. Aku tidak pernah melihat Nabi SAW berpuasa lebih banyak selain daripada Syaaban, ” (Riwayat al-Bukhari).
Ini menunjukkan bahawa Baginda SAW memberi gambaran kepada umat-Nya bahawa banyak berpuasa pada Syaaban akan menambahkan kualiti puasa Ramadan kita kerana didikkan pada jiwa kita sudah diasuh sebelumnya. Melakukan ibadah puasa sunat dan qiamullail. Inilah ibadah yang paling diutamakan oleh Rasulullah SAW pada bulan yang mulia ini. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah puasa sunat pada hari 15 terakhir Syaaban. Ambillah peluang ini untuk membiasakan diri kita dengan ibadah puasa supaya ia tidak menjadi keberatan apabila tibanya Ramadan.
Ibadah sunat pada Nisfu Syaaban
Mendirikan solat tahajud dan solat sunat taubat amatlah ditekankan terutama pada malam pertengahan bulan Syaaban (Nisfu Syaaban). Inilah masa sesuai untuk diperbanyakkan berdoa memohon supaya diberi keampunan dan kerahmatan daripada Allah SWT. Pengakuan ini juga telah diungkapkan oleh isteri Baginda SAW sendiri iaitu Aisyah mengenai kehebatan puasa Baginda SAW pada bulan Syaaban. Aisyah berkata maksudnya, “Nabi SAW tidak pernah berpuasa dalam satu bulan lebih banyak dari bulan Syaaban. Baginda SAW juga pernah berpuasa bulan Syaaban semuanya. ( al-Bukhari).
Bagaimanapun, dalam mengimbangi kekuatan Baginda SAW selaku manusia terulung dengan ibadah umat-Nya, maka Baginda SAW meletakkan kemampuan sebagai kayu pengukur kepada amalan sunat. Nabi SAW bersabda, “Beramallah kamu dengan mengikut kemampuan kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu sendiri yang akan menjadi jemu.” Aisyah menyambung, “Solat yang paling disukai Nabi SAW ialah solat yang dikerjakan berterusan walaupun sedikit. Adalah Nabi SAW apabila solat, dia mengerjakannya secara konsisten” (Riwayat al-Bukhari).
Maka, terjawablah persoalan bahawa apakah ibadah puasa sahaja yang dituntut pada bulan Syaaban sedangkan Baginda SAW melafazkan ibadah dalam lafaz yang umum. Jelaslah kepada kita bahawa manusia diciptakan di atas kemampuan yang berbeza antara satu sama lain. Oleh itu, kepelbagaian dalam melakukan ibadah adalah fitrah dalam penciptaan manusia kerana semua jenis ibadah akan disukai oleh Allah dan malaikat. Saranan kepada solat malam juga pernah diucapkan oleh Baginda SAW. Dari Abu Hurairah sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Allah SWT akan turun ke langit dunia setiap malam bila tiba sepertiga akhir malam dan berfirman: Mana orang yang berdoa kepada Aku, untuk Aku memperkenankan doanya? Mana orang yang meminta kepada Aku, untuk Aku berikan kepadanya? Di manakah orang yang memohon keampunan dari-Ku untuk Aku ampuninya?” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Bagi yang bijak menyelami ungkapan Baginda SAW, akan terus beribadah walaupun berada di mana-mana bulan sekalipun tanpa menafikan bahawa Syaaban memang menjadi tumpuan Baginda SAW. Kita juga tidak harus meninggalkan sebuah hadis yang pernah disabdakan Baginda SAW bermaksud: “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).
Ibadah pada bulan Syaaban kesukaan Rasulullah Maka, kita dapat menyimpulkan bahawa ibadah pada bulan Syaaban adalah kesukaan Baginda SAW.Ibnu Majah meriwayatkan mengenai pengampunan daripada Allah SWT yang dikaitkan dengan malam Nisfu Syaaban. Sabda Rasulullah SAW menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah daripada Abu Hurairah bermaksud: “Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban lalu mengampuni makhluk-Nya kecuali orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan.” (Riwayat Ibn Majah).
Apa yang jelas kepada kita ialah amalan puasa yang menjadi tumpuan Baginda SAW pada bulan Syaaban. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW apabila ditanya apakah terdapat bulan selain Ramadan yang terbaik untuk berpuasa? Maka, Baginda Nabi SAW menjawab bermaksud, “Bulan Syaaban, kerana untuk mengagungkan Ramadan”. Nabi SAW ditanya lagi, “Sedekah apakah yang paling afdal?”. Nabi SAW menjawab, “Sedekah pada bulan Ramadan.” (Riwayat Tirmizi).
Ini menunjukkan bahawa Baginda SAW gemar berpuasa pada Syaaban dan banyak bersedekah pada bulan Ramadan. Kita boleh menyimpulkan bahawa Syaaban juga dianjurkan bersedekah. Berpuasa boleh dianggap amalan yang agak sukar kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan pada bulan Syaaban kerana ia mendorong kepada ibadah sunat yang lain.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: