Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Tuntutan berilmu & beramal

Posted by epondok di Mei 26, 2015


USTAZ IDRIS SULAIMAN

 

MASYARAKAT Islam dituntut mendalami hukum-hakam syarak dengan mempelajari ilmu bermanfaat. Ilmu adalah cahaya manakala kejahilan pula adalah kegelapan.
Sebagai orang Islam kita perlu mendalami wahyu yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW. Golongan ulama pula adalah pewaris nabi dan nabi tidak mewariskan wang dinar atau dirham. Sebaliknya mereka mewariskan ilmu. Barang siapa mengambil ilmu yang ditinggalkan nabi, dia telah mendapat bahagian yang lumayan.
Dengan ilmu seseorang itu mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat di samping pahala yang berterusan sehingga ke hari kiamat. Sabda Nabi SAW: “Sekiranya hamba itu meninggal dunia akan terputuslah amalannya kecuali dalam tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau doa anak soleh terhadapnya.” (Riwayat Muslim)
Lihat sahaja peninggalan ulama rabbaniyyin sebelum ini. Sehingga ke hari ini kita terus mengambil manfaat daripada ilmu yang mereka tinggalkan. Mereka meninggalkan pusaka yang bermanfaat menyebabkan mereka terus dihormati dan disanjung generasi umat Islam yang datang kemudian.
Buktinya, setiap kali nama mereka disebut dalam majlis ilmu, ia disusuli dengan doa kerahmatan buat mereka. Begitu juga dengan amalan soleh dan adab Islam di mana ulamalah yang menjadi contoh ikutan sesudah Nabi SAW.
Budaya menuntut ilmu agama perlu disuburkan dalam masyarakat kita. Kefahaman dalam agama adalah memahami hukum-hakam yang ALLAH turunkan ke atas Rasul-Nya berserta dalilnya, di samping mengetahui ganjaran pahala pelakunya dan hukuman atas orang yang meninggalkannya.
Dengan kefahaman ini, seorang hamba itu dapat beribadah kepada ALLAH dengan ilmu dan bukti yang jelas dan memperoleh manfaat daripada ibadah yang dilakukan sama ada ibadah kecil ataupun besar.
Tidak dinafikan ini adalah suatu kebaikan dan kelebihan yang besar buat penuntut ilmu. Kefahaman dalam agama memudahkan jalan seseorang itu ke syurga. Dengan kefahaman agama seseorang itu akan tergolong dalam kalangan mereka yang tunduk takut kepada ALLAH dan berbuat baik sesama manusia.
Orang yang keluar dari rumahnya untuk menuntut ilmu dinaungi malaikat yang meletakkan sayapnya atas mereka tanda reda dengan usaha mereka. Sabda Nabi SAW:”Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, ALLAH memudahkan baginya jalan ke syurga dan sesungguhnya malaikat membentangkan sayapnya buat penuntut ilmu kerana meredai apa dilakukannya dan sesungguhnya penghuni langit dan bumi sampai ikan di laut akan meminta keampunan buat orang yang berilmu, dan kelebihan orang yang berilmu atas ahli ibadah adalah seperti kelebihan bulan atas semua bintang. Sesungguhnya ulama adalah pewaris nabi dan sesungguhnya nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barang siapa yang mengambilnya, dia mendapatkan bahagian yang banyak.” (Riwayat Abu Daud, Sahih)

Hadis ini menunjukkan kelebihan menuntut dan mengajar ilmu agama. Masakan tidak sedangkan hanya dengannya agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW akan terus terpelihara. Bahkan hanya dengannya Muslim itu akan memperoleh ganjaran kebaikan yang diinginkan.
Perlu diingatkan tidaklah seseorang yang menghadiri satu majlis ilmu lalu dia memperoleh satu faedah lalu faedah ini diajar kepada orang lain melainkan orang tersebut akan memperoleh manfaat kebaikan yang banyak. Dan manfaat kebaikan ini akan berterusan selagi mana ada beramal dengan ilmu yang diajar itu sehinggalah ke hari kiamat.
Maka jangan kita sangka kelebihan ilmu hanya akan diperoleh oleh mereka yang banyak menuntut ilmu dan mengajarnya. Tetapi hakikatnya ALLAH memberi ganjaran atas semua orang yang beramal dengan ilmunya dan menyampaikan ilmu tersebut walaupun sedikit. Mereka sama sekali tidak akan dizalimi. Sabda Nabi SAW: “Sampaikan tentangku walaupun sepotong ayat.” (Riwayat Bukhari)
Beramal dengan ilmu
Dalam masa yang sama penting untuk diingatkan menuntut ilmu tidak hanya menjurus kepada mengumpul sebanyak ilmu yang mungkin, sebaliknya apa yang lebih penting adalah beramal dengan ilmu yang dipelajari itu.
Ini kerana menuntut ilmu ibarat pokok manakala amal pula adalah hasil buah pokok tersebut. Oleh itu ilmu tanpa amal adalah ibarat pokok yang tidak menghasilkan buah. Akhirnya tuannya hanya mendapat penat lelah menanam pokok tersebut tanpa memperoleh manfaat hasil buah yang diharapkan daripada pokok tersebut.
Justeru, tujuan menuntut ilmu adalah untuk beramal dan merealisasikan perhambaan diri kepada ALLAH dengan beribadah kepada-Nya semata-mata. Sebab itu ulama mengatakan seorang yang berilmu tetapi tidak beramal dia tidak merealisasikan perhambaan kepada ALLAH. Begitu juga orang yang beramal tanpa ilmu juga tidak merealisasikan perhambaan kepada ALLAH.
Maka perhambaan kepada ALLAH hanya dapat direalisasikan dengan kedua perkara ini: ilmu yang bermanfaat dan amal yang soleh. Firman ALLAH: “Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan petunjuk dan agama yang benar.” (Surah At-Taubah: 33)
Apa yang dimaksudkan dengan ‘petunjuk’ adalah ilmu yang bermanfaat manakala ‘agama yang benar’ pula adalah amal yang soleh.
Tuntutan ilmu adalah amal
Hal ini jelas memandangkan keduanya adalah maksud di sebalik penciptaan manusia. Firman ALLAH: “ALLAH menciptakan tujuh petala langit dan bumi seperti itu; perintah ALLAH berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya ALLAH Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-Talak: 12)
Ayat di atas menjelaskan kepada kita menuntut ilmu (supaya kamu tahu) menjadi tujuan penciptaan.
Adapun amal, hal ini disebutkan dalam firman ALLAH: ” Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada Aku.” (Surah Al-Zariayaat: 56)
Berdasarkan kedua ayat ini ulama menyimpulkan kedua tuntutan berilmu dan beramal menjadi matlamat utama di sebalik penciptaan manusia.
Makanya, orang yang berilmu dan beramal dialah yang merealisasikan matlamat penciptaannya. Bagi orang yang berilmu tetapi tidak beramal, dia akan tergolong dalam kalangan mereka yang dimurkai ALLAH kerana tidak merealisasikan matlamat ilmu tersebut. Bagi yang beribadah dengan bersungguh-sungguh dan semangat tetapi tanpa ilmu pula, dia tergolong kalangan mereka yang sesat daripada jalan ALLAH yang lurus.
Atas dasar ini, kita disyariatkan membaca dalam Surah Al-Fatihah doa yang sangat agung yang menjadi doa paling penting buat kita iaitu: “Tunjukkan kepada kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang yang Engkau berikan mereka nikmat; bukan jalan orang yang Engkau murkai mahupun jalan mereka yang sesat.” (Surah Al-Fatihah: 6-7)
Golongan yang diberi nikmat adalah golongan yang berilmu dan beramal. Golongan yang dimurkai adalah golongan yang berilmu tetapi tidak beramal. Adapun golongan yang sesat pula adalah golongan yang beramal tanpa ilmu.
Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang berilmu dengan ilmu yang bermanfaat dan beramal soleh kepada ALLAH sejajar dengan ilmu yang bermanfaat itu.
Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: