Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 25 Mei 2015

Penentuan arah kiblat guna matahari

Posted by epondok di Mei 25, 2015

Oleh Hazirah Che Sab


Kaedah melihat matahari terbenam tidak tepat

SUDAH semestinya umat Islam perlu menghadap Kaabah yang menjadi kiblat apabila mendirikan solat dan ketika dikebumikan selepas meninggal dunia.

Walaupun dengan kedudukan Kaabah di Makkah menjangkau ratusan ribu kilometer, menetapkan arah kiblat sebenarnya tidak menjadi persoalan kerana ilmuwan Islam benar-benar menguasai ilmu falak untuk menyelesaikan masalah itu sekadar berpandukan kedudukan cakerawala seperti bintang dan matahari.

Bagaimanapun, kekurangan orang Islam yang benar-benar memahami ilmu falak ketika ini menimbulkan persoalan bagaimana untuk menentukan arah kiblat yang tepat.

Ini kerana, ada umat Islam masih menggunakan kaedah menentukan kiblat berpandukan arah matahari terbenam, sedangkan cara itu tidak tepat dan salah di sisi Islam kerana hanya dua hari dalam setahun arah kiblat boleh berpandukan kepada arah matahari terbenam.

Menyedari kesilapan itu, sewajarnya umat Islam di seluruh dunia tidak lagi menentukan jadual atau takwim solat, waktu berbuka puasa dan hari raya berpandukan kaedah matahari terbenam. Malaysia sudah tidak lagi menggunakan kaedah ini, sebaliknya berpandukan ilmu falak syarie seperti yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Arah kiblat menggunakan matahari boleh diukur dua kali setahun.

Dengan kepesatan teknologi, perkara sebegini tidak sepatutnya menjadi masalah sehingga membawa kepada timbulnya pertelingkahan kerana sudah ada pelbagai peralatan canggih yang boleh digunakan untuk menentukan arah kiblat.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Falak, Bahagian Penyelidikan Jakim, Che Alias Che Ismail, berkata penentuan arah kiblat yang tepat amat penting terutama dalam pembinaan masjid atau surau bagi memastikan ia tidak tersasar.

Beliau menegaskan, ketepatan arah kiblat bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana biarpun cuma satu darjah terpesong ia bersamaan kira-kira 125 kilometer tersasar dari arah Kaabah.

Bagaimanapun, muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan had berpaling yang dibenarkan tidak melebihi tiga darjah dan ia tidak perlu difatwakan tetapi boleh dijadikan garis panduan dalam pembinaan masjid dan surau baru.

Che Alias menunjukkan cara untuk mencari kiblat dengan menggunakan Ushikata.

Katanya, dua alat digunakan untuk menentukan arah kiblat iaitu kompas Ushikata dan Teodolite tetapi ia juga berpandukan kepada keadaan tertentu seperti diletakkan di tanah rata untuk mendapatkan ukuran tepat.

“Peralatan itu selalunya digunakan untuk menentu arah kiblat untuk tujuan pembinaan masjid atau surau. Bagi orang perseorangan atau ingin menentukan arah kiblat di rumah, cara tradisional masih boleh digunakan.

“Setiap tahun, ada dua keadaan yang boleh digunakan umat Islam menentukan arah kiblat iaitu ketika matahari berada betul-betul di atas Kaabah. Ia berlaku pada 28 Mei jam 5.16 petang dan sekali lagi pada 17 Julai jam 5.28 petang.

“Caranya dengan meletakkan tiang atau sesuatu yang lurus di tanah lapang pada waktu berkenaan dan perhatikan bayang objek itu. Oleh kerana di Malaysia ia berlaku pada waktu petang, arah kiblat diukur dari hujung bayang hingga ke pangkal tiang ,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin, berkata falak ialah disiplin ilmu astronomi Islam yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu falak takwim membabitkan pengiraan hari, bulan bagi menentukan puasa dan hari raya.

“Kedua ialah falak waktu solat iaitu menentukan masuknya waktu solat berdasarkan kedudukan matahari dan ketiga, yang paling besar dan penting falak penentuan arah kiblat.

“Arah kiblat diukur menggunakan kompas Ushikata atau Teodolite. Caranya tidak banyak berbeza tetapi penggunaan Teodolite lebih tepat kerana kadang-kadang bacaan kompas dipengaruhi unsur lain seperti besi dan sebagainya,” katanya.

Zamihan berkata, cara tradisi masih boleh digunakan untuk menentukan arah kiblat dengan berpandukan arah matahari yang membabitkan dua hitungan.

“Pertama, berdasarkan kedudukan matahari di atas Kaabah yang berlaku pada Mei dan Julai setiap tahun. Seluruh dunia boleh menyemak kedudukan kiblat berdasarkan fenomena itu.

“Cara kedua ialah dengan menghitung waktu matahari setiap hari. Kaedah kedua banyak risiko kerana kedudukan matahari berubah setiap hari terutama di kalangan mereka yang tidak mahir dalam ilmu falak. Cuma pakar falak yang dapat berbuat demikian kerana ia membabitkan kaedah separa hitungan,” katanya.

Beliau berkata, masalah yang timbul sekarang ialah umat Islam tidak menguasai ilmu falak sepenuhnya dan pada masa sama masih tidak terlatih menggunakan teknologi moden.

“Justeru, ILIM berperanan melatih pegawai Islam untuk menggunakan alat ukur ini dengan mahir dan menjemput pakar dari universiti tempatan bagi tujuan itu,” katanya.

Penentuan arah kiblat boleh dicari dari pelbagai sudut dalam kehidupan serba canggih ini dan ia bergantung kepada ‘mahu atau tidak’ berusaha mencari ketepatan yang menjadi syarat sah solat, seterusnya membentuk peribadi menjadi Muslim sejati.

Rujuk Jabatan Mufti untuk panduan

SELANGOR mendahului negeri lain dalam memastikan setiap bangunan mengandungi surau atau ruang solat yang bakal didirikan mempunyai arah kiblat betul menerusi jalinan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kontraktor.

Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Selangor, Rizal Ramli, berkata pihaknya mengambil tindakan pencegahan dengan mencadangkan kepada PBT di seluruh negeri supaya meletakkan syarat tambahan kepada sebarang pelan pembangunan dirujuk terlebih dulu kepada jabatan mufti untuk mendapatkan arah kiblat yang tepat sebelum kerja pembinaan dijalankan.

“Langkah ini bertujuan mencegah kesilapan dalam menentukan arah kiblat. Dalam hal ini, PBT akan merujuk kepada Jabatan Mufti untuk mendapatkan arah kiblat yang tepat. Kita tidak mewajibkan pembinaan bangunan menghadap kiblat, memadai surau atau ruang solat mempunyai arah kiblat yang betul.

“Ia meliputi bangunan perumahan, pejabat, kilang, kompleks beli belah, stesen minyak, hotel, hospital dan pelbagai lagi. Namun bangunan masjid dan surau keseluruhannya perlu menghadap kiblat,” katanya.

Beliau menegaskan langkah itu mendapat sambutan baik dan kontraktor sendiri yang memahami keperluan itu, malah ada kontraktor yang mengunjungi pejabat mufti dengan membawa pelan bangunan untuk dirujuk bagi mendapatkan arah kiblat yang tepat.

Rizal berkata, Selangor juga mengambil inisiatif membuat ketetapan supaya semua tanah perkuburan di seluruh negeri mempunyai replika tanda arah kiblat bagi memudahkan urusan penggalian kubur.

“Dengan adanya replika itu, ia memudahkan kerja penggali kubur dan memastikan tidak timbul lagi sebarang kekeliruan mengenai arah kiblat.

“Bagi memudahkan orang ramai, jabatan mufti melancarkan permohonan menentukan arah kiblat secara online yang boleh didapati di laman web http://www.muftiselangor.gov.my. Maklum balas yang diterima amat menggalakkan dan sehingga September lalu, 45 permohonan diterima.

“Khidmat diberikan secara percuma dan ia dilakukan dalam tempoh tidak lebih 12 hari dari tarikh permohonan diterima. Ia bertujuan memberikan kemudahan kepada orang ramai,” katanya sambil setakat ini tiada aduan diterima mengenai arah kiblat salah di Selangor.

Beliau berkata, pihaknya selalu menerima permohonan daripada ahli jawatankuasa masjid dan surau yang meminta mereka menyemak semula arah kiblat dan selepas mendapatkan arah yang tepat, jemaah akan mengikut arah baru dengan sekadar mengubah permaidani atau sejadah.

INFO: Cara mengukur arah kiblat

  • Hanya boleh menggunakan kaedah matahari terbenam pada 28 Mei jam 5.16 petang dan 16 Julai jam 5.28 petang setiap tahun
  • Dirikan objek lurus seperti tiang di tanah lapang dan rata
  • Pastikan ia tegak dan lurus. Bagi menyemak ketegakan tiang, letakkan tali yang diikat pemberat pada hujung tiang
  • Tempat yang dipilih tidak terlindung sinaran matahari
  • Semakan perlu dibuat tepat mengikut waktu yang ditetapkan Sirim seperti waktu televisyen dan radio. Oleh kerana fenomena itu berlaku pada waktu petang di Malaysia, bayang tiang akan jatuh ke arah timur. Dengan itu, arah kiblat ialah yang menghadap barat.

Posted in Klinik Agama | 3 Comments »

Israk Mikraj dinilai ikut iman bukan logik akal

Posted by epondok di Mei 25, 2015

OLEH NIK HASNAH ISMAIL
Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa penting yang menjadi anugerah tinggi nilainya dari segi kerohanian. Peristiwa ini juga sebenarnya memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan Allah SWT.
Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm setiap Jumaat jam 10.15 pagi, menjelaskan mengenai peristiwa Israk Mikraj yang juga satu peristiwa tidak logik apabila difikirkan oleh akal manusia yang lemah, tetap ia benar-benar berlaku malah tidak mustahil jika dinilai dengan iman. Di sini letak bezanya antara logik akal dan iman. Bagi orang Mukmin, yang didahulukan ialah iman dan bukannya logik akal kerana ada ketikanya akal tidak mampu menanggapi sesuatu perkara yang di luar kemampuannya.
Pengajaran dan asas terpenting di sebalik peristiwa tersebut selain daripada kewajipan solat serta keadaan penghuni syurga dan neraka, lebih penting dari itu adalah untuk memaku akidah umat Islam terhadap ajaran Islam itu sendiri.
Bilakah terjadi peristiwa Israk Mikraj? Beberapa riwayat menjelaskan pendapat berbeza. Ulama berpendapat bahawa peristiwa Israk Mikraj itu terjadi pada hari Jumaat, 27 Rejab. Pengajaran di sebalik Israk Mikraj Ini pandangan paling mahsyur dalam kalangan umat Islam. Imam al-Nawawi sendiri memiliki dua pendapat yang berlainan. Dalam kitab al-Raudah beliau menegaskan bahawa Israk Mikraj berlaku pada 27 Rejab. Sementara dalam kitab Fatawa, beliau mengatakan ia berlaku pada 27 Rabiulawal. Apapun bila secara tepat peristiwa Israk Mikraj itu berlaku bukan perkara pokok, yang lebih penting ialah mengimani ia berlaku dan mengambil pengajaran daripada peristiwa tersebut.
Peristiwa Israk Mikraj tertulis di dalam al-Quran, melalui Surah al Israa’ ayat pertama di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya, Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Perjalanan spiritual Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Baginda SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit ketujuh, seperti mana yang digambarkan oleh al-Quran dalam Surah an-Najm, ayat 13 hingga 18, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat Jibril (dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain di Sidratul Muntaha. Di situ ada syurga tempat tinggal (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang dilihatnya itu dan tidak pula melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar. Dengan ini jelas bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah satu perjalanan spiritual Nabi Muhammad SAW pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha, bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
Sememangnya peristiwa Israk Mikraj ini sangat hebat dan luar biasa, bahkan jika dinilai oleh logik akal manusia yang lemah tidak mampu untuk mempercayai peristiwa ini, namun kerana keimanan yang tinggi akan kekuasaan Allah SWT sudah pasti ia adalah perkara yang sebenar-benar berlaku dan dengan izin Allah tidak pernah ada perkara mustahil di dalam dunia ini. Teladani akhlak sahabat Nabi Apabila berbicara tentang soal sama ada peristiwa Israk Mikraj perkara benar atau sebaliknya, Tuan Syed Norhisyam mengajak pembaca mengambil teladan dari akhlak sahabat Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang membenarkan dan meyakini sepenuhnya akan peristiwa ini. Saidina Abu Bakar dengan keimanan yang tinggi tidak mempertikaikan apatah lagi meragui peristiwa luar biasa yang dilalui oleh Baginda Rasulullah SAW pada saat ada penduduk Makkah ketika itu yang ragu tentang peristiwa tersebut.
Hari ini banyak pandangan ilmiah daripada ahli sains yang membuktikan peristiwa Israk Mikraj bukan perkara mustahil berlaku. Misalannya mengambil teori kelajuan cahaya iaitu kaitan perjalanan dan kelajuan perjalanan Israk dan Mikraj ini melalui teori kecepatan kelajuan cahaya. Perkara ini didedahkan oleh pakar fizik iaitu Albert Einstein, yang mengambil masa kira-kira 12 tahun untuk melengkapkan Teori Relativiti Khas kepada Teori Relativiti Umum. Teori ini menjelaskan mengenai cahaya iaitu kelajuan cahaya, seseorang itu tidak akan tertakluk atau terhad kepada masa dan tempat. Bagaimanapun, sebagai umat Islam yang beriman, tidak perlu kita untuk mencari bahan bukti bagi mempercayai peristiwa Israk Mikraj ini. Marilah sama-sama kita menuruti apa yang dilakukan oleh Abu Bakar yang menerima peristiwa tersebut tanpa ragu-ragu kerana keimanan yang tinggi kepada Allah SWT. Peristiwa Israk Mikraj adalah suatu perjalanan agung yang mengandungi makna tersirat yang perlu digali dan dihayati bagi menumbuhkan rasa ketakwaan terhadap Allah SWT menerusi sebahagian tanda kebesaran-Nya yang telah diperlihatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »