Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Syria: Bumi barakah

Posted by epondok di Mei 17, 2015


DR MOHD FAWZI ZAKARIA

 

  • Syria: Bumi barakah

DUNIA mengenali nama Syria pada zaman moden ini sebagai  sebuah daripada negara Arab yang lahir secara rasmi selepas Perang Dunia pertama (1914-1918). Negara Syria kini bersempadankan Turki di bahagian utara, Jordan di selatan, Iraq di timur sementara Lebanon dan Palestin/Israel di Persisiran Laut Mediterranean.

Sebenarnya nama Syria ini telah lama wujud sejak zaman sebelum Masihi (SM). Ia berasal daripada sebutan Greek (Asrrous), kemudiannya disebut (Assuria) dalam bahasa Latin merujuk kepada wilayah di antara Anatolia (Turki) di utara dengan Tanah Arabia  dan di antara Laut Meditarranean di barat dengan Mesopotamia di timur.

Nama awal wilayah Assuria merujuk kepada orang Assyria yang berasal daripada daerah Mosopatamia (Iraq) yang berjaya menduduki wilayah tersebut pada abad ke 5 SM. Apabila  penjajah Roman mula menduduki wilayah ini pada abad pertama Masihi (120 M), wilayah ini disebut dengan nama Syria. Bangsa Arab menyebutnya dengan nama (Suriah).

Pusat tamadun purba

Semenjak abad pertama Masihi nama Syria atau Suriah masyhur diguna pakai sehingga kini. Namun begitu Syria yang dimaksudkan dengan Assuria mahupun Suriah dalam bahasa Latin dan Arab lebih besar lengkungannya berbanding dengan negara Syria moden yang ada hari ini. Ia bukan hanya merujuk kepada sebuah negara tetapi ia lebih kepada satu daratan yang luas meliputi semua negeri yang pada zaman ini dikenali sebagai Syria, Jordan, Lebanon dan Palestin.

Syria yang besar (the greater Syria) telah lama menjadi negeri kediaman manusia. Beberapa penemuan arkeologi terkini (1991) menunjukkan wilayah ini didiami manusia seawal milenium ke 3 SM. Hal ini tidak menghairankan kerana semenjak milenium ke 5 SM telah wujud dua pusat tamadun purba iaitu Lembah Nil di Mesir dan Tamadun Mesopotamia di Iraq. Kewujudan pusat tamadun  di bahagian hujung apa yang dinamakan “jaluran tanah subur bulan sabit” turut mewujudkan pusat persinggahan di Syria.

Semenjak ribuan tahun sebelum Masihi pusat perhubungan di jaluran tanah subur bulan sabit ini telah menjadi tumpuan penting kediaman pelbagai suku kaum terutama daripada rumpun Semetik seperti Kanaan, Hebrew, Aramaen dan kaum Arab Badwi. Wilayah ini turut menjadi tumpuan dan perebutan antara kuasa penjajah serantau seperti Mesir, Hittites Assyria, Greek, Roman dan Parsi menguasainya.

Dalam Bible, nama Syria disebut seawal kisah Patriarch Abraham (Ibrahim AS) kira-kira tahun 2000 SM. Adalah dikatakan Tuhan Abraham memerintahkannya berhijrah daripada negeri asalnya Chaldan di Iraq ke negeri yang dijanjikan untuknya dan zuriatnya (Gen: 12). Maksud “bumi yang dijanjikan” adalah Palestin yang terletak di bumi Kan’an (Land of Canaan). Dicatatkan seterusnya sewaktu Abraham menetap di Palestin, beliau ada membuat perhubungan dengan pemerintah kepada  satu empayar yang berjiran dengan Palestin iaitu Syria (Gen:13).

Sebaik Moses (Musa AS) sekitar tahun 1500 SM mulai mengambi kepimpinan Bani Israel sewaktu mereka masih berada di Mesir, Tuhan Moses memberitahunya bahawa Dialah Tuhan yang memateraikan perjanjian (covenant) dengan Abraham yang menjanjikan penganugerahan Bumi Kan’an. Dan dialah Tuhan yang memilih Moses untuk meneruskan misi pelaksanaan perjanjian (covenant) yang dipersetujui untuk membawa Bani Israel ke Bumi Kan’an (Exodus: 6).

Sewaktu King David (Daud AS) sekitar tahun 1000 SM menjadi raja kerajaan Bani Israel, sekali lagi Tuhan Abraham dan Moses yang memeterai covenant  dengan kedua-duanya dahulu mendatangi King David dan memperbaharui covenant perihal penganugerahan Bumi Kan’an kepada Bani Israel (Psalm: 105). King David akhirnya memperluaskan empayar penguasaannya ke Syria dan turut menguasai Damascus (2 Samuel: 8).

Dengan ini menurut perspektif Bible berdasarkan janji Tuhan di dalam covenant kedua-dua wilayah Syria dan Palestin adalah sebahagian daripada Bumi Kan’an yang dijanjikan (A Promised Land). Menurut catatan tradisi ilmiah Islam, Syria yang besar (the greater Syria) itu ataupun Bumi Kan’an menurut Bible lebih dikenali sebagai bumi Syam yang diberkati ALLAH. Walaupun dalam al-Quran tidak ada sebutan nama kepada bumi ini, sama ada Syam atau Kan’an tetapi ia disebut atas nama “bumi yang diberkatkan”.

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam satu tulisan mengenai Palestin di dalam journal Islamic Jerusalem (1997) mencatatkan terdapat lima tempat dalam al-Quran di beberapa surah yang berbeza ALLAH berfirman bumi yang diberkatkan dalam memerihalkan kisah rasul-Nya yang berbeza. Antaranya ALLAH menyebut kisah penghijrahan Nabi Ibrahim AS dalam Surah Al-Anbiyaa’ ayat 71.  Manakala ayat kedua yang menyebut bumi yang diberkati adalah kisah penghijrahan beramai-ramai Bani Israel bersama Musa AS dari Mesir ke Palestin. ALLAH menjelaskannya dalam Surah Al-A’raf ayat 237.

Sejarah Bani Israel

Sehubungan dengan janji ALLAH kepada Bani Israel yang telah melalui Musa dalam ayat di atas,  ALLAH berfirman kepada Nabi Daud sewaktu Baginda diangkat menjadi raja di Bait al-Maqdis: “Sesungguhnya telah Kami (ALLAH) catatkan dalam al-Zabur yang sebelumnya
dicatatkan dalam al-Zikr (Tawrah) bahawa bumi itu (bumi yang diberkatkan) akan Kami wariskan kepada hamba Kami yang soleh.” (Surah Al-Anbiyaa’: 105)

Ayat berikutnya adalah  memperihalkan hubungan Negeri Saba’ pada zaman Ratu Balqis dengan Palestin pada zaman Nabi Sulaiman AS, ALLAH berfirman: “Dan Kami (ALLAH) jadikan antara mereka bumi yang diberkatkan dengan negeri yang berdekatan dan kami tetapkan jarak perjalanan. Berjalanlah kamu di negeri-negeri itu pada malam hari dan siangnya dengan aman.” (Surah Saba’: 18)
Akhirnya kepada Nabi Muhammad SAW, ALLAH menyebut perihal perjalanan israk mikraj juga turut melibatkan perjalanan ke bumi yang diberkatkan.

Sementara Bible dan al-Quran membawa kisah yang hampir sama mengenai kehidupan nabi dan rasul di Palestin, namun kisah kedua-dua sumber kitab ini membawa perspektif berbeza. Bible mengisahkan kisah tersebut secara miring sebagai kisah sejarah Bani Israel dan  menjadikannya hujah asas hak mereka ke atas bumi Kan’an (Palestin).

Al-Quran membawakan kisah dengan memaparkan kehidupan hamba ALLAH yang soleh. Kehidupan mereka di Bait al-Maqdis, pusat kehidupan bumi Syam yang sentiasa dipenuhi dengan ibadah kepada ALLAH, itulah yang menjadikan Syam sebagai bumi yang diberkatkan.

Hal ini jelas apabila diteliti kepada rangkaian ayat yang menyebut mengenai bumi yang diberkatkan di atas, di mana ayat satu Surah Al-Isra’ memberikan jawapannya. Ia adalah kerana  wilayah Palestin di bumi Syam terdapat padanya Masjidil Aqsa yang didirikan di kota suci Baitil Maqdis (Al-Quds).

Ulama terutamanya mufassirin (ulama tafsir) bersetuju ayat yang menyebut bumi yang diberkatkan dalam ayat Quran itu adalah bumi Syam. Imam al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat (Surah Al-Isra’: 1) serta ayat lain berkenaan dengan konsep tersebut dengan tegas mengatakan ia adalah Bumi Syam yang wilayah utamanya Suriah dan Palestin. Katanya, bumi Syam dianggap berkat kerana ia adalah bumi subur, sungai besar mengalir, banyak pokok buah-buahan tumbuh dan mengeluarkan buah yang lazat.

Namun apa yang jauh lebih penting daripada semuanya itu adalah di atas bumi itu dahulunya ramai anbiyaa’ dan auliyaa’ ALLAH yang solehin hidup dan melaksanakan ibadah kepada ALLAH sewaktu hayat mereka dan sesudah wafat  mereka bersemadi dalamnya.

Menurut Kitab Qadiyyah al-Palestiniyyah munzu Adam AS, sesungguhnya Kota Suci Baitul al-Maqdis adalah pusat nadi kehidupan (‘asimah) kepada bumi Syam sejak hari pertama ALLAH menciptakan dunia ini.

Dalam Kitab Akhbaru Makkah terdapat satu sumber athar yang sahih daripada Saidina Ali bin Abi Talib, asal bumi ini diliputi oleh air. Kemudian apabila liputan air mulai mengering yang mula-mula  timbul di permukaan air tiga tanah daratan. Itulah Makkah, Madinah dan Bait al-Maqdis. Satu bukti yang jelas, Bait al-Maqdis adalah pusat nadi kehidupan (‘asimah) kepada bumi Syam sejak azali ialah hadis Qudsi diriwayatkan Muaz bin Jabal, ALLAH berkata kepada bumi Syam: “Wahai Syam! engkaulah bumi pilihanku. Nantikan akan Aku bawa
kepada mu hamba pilihan-Ku.”

Adalah dikatakan janji ALLAH ini kepada bumi Syam sejak hari pertama bumi Syam diwujudkan. Pada ketika itu manusia pertama, Adam pun masih belum diciptakan. Bilakah ALLAH menunaikan janji-Nya kepada bumi Syam. ALLAH menunaikan janji-Nya kepada bumi Syam pada malam israk dan mikraj di mana hamba pilihan ALLAH iaitu Nabi SAW dibawa ke pusat nadi kehidupan bumi Syam iaitu Baitul Maqdis.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: