DR RIDZWAN BAKAR

 

REJAB, salah satu bulan yang disebut dalam al-Quran. Jika al-Quran menyebutnya, sudah tentu ia sangat istimewa. Bulan Rejab sinonim dengan peristiwa israk mikraj. Ia bukan cerita dongeng. Rejab bukanlah sekadar satu perjalanan pemimpin agung
bertemu Pencipta-Nya. Ia adalah perjalanan signifikan hamba menemui Pencipta-Nya, mengambil amanah dan menyampaikan amanah. Ia adalah perjalanan ukiran iman, takjubnya cinta dan geloranya perjuangan. Rejab, bulan bermulanya hadiah istimewa dari langit khusus bagi umat yang mahu mengerti.

Uji keimanan

Peristiwa israk mikraj benar-benar menguji keimanan sahabat dan pendukung risalah Islam. Di kala Baginda SAW berasa begitu gembira saat bertemu dengan ALLAH SWT, perkongsian perjalanan suci ini ditempelak dengan cacian oleh kaum Quraisy.

Baginda SAW ditertawakan, digelar gila dan berbagai cemuhan lain menjadi santapan telinga. Kisah itu merobek kepercayaan masyarakat Quraisy terhadap Nabi SAW. Al-Amin gelaran istimewa Rasulullah SAW sudah tiada nilai di saat manusia mempunyai hati yang rosak dan menolak risalah Islam. Di saat kekecewaan itu, muncul insan mulia bernama Abu Bakar As-siddiq membenarkan peristiwa israk dan mikraj. Beliau membenarkan apa yang dikatakan Baginda SAW lantas menyuntik semangat untuk terus berdakwah.

Dalam kehidupan, iman dan semangat kita sering naik dan turun. Di saat kita senang, kita terlupa sedikit dengan ALLAH dan di saat kita sukar, ramai pula teman yang meminggir. Itu adalah fitrah.

Jika Rasulullah SAW mendapat israk mikraj sebagai hadiah istimewa daripada ALLAH, maka kisah itu juga mengundang hadiah ALLAH buat kita. ALLAH memberi bulan Rejab agar kita dapat memperkukuhkan iman berdasarkan:-
– Iman kewujudan petugas ALLAH berupa malaikat
– Iman kepada kewujudan kitab suci
– Iman adanya rasul dan nabi serta Rasululah SAW
– Iman adanya hari akhirat
– Iman akan qadak dan qadar, perkara ghaib, beriman terhadap ketentuan ALLAH.

Pupuk rasa kecintaan

Di kala Baginda SAW berdukacita dengan kehilangan insan tersayang, ALLAH menunjukkan Dia lebih menyayangi. Diangkat-Nya darjat Rasulullah SAW melalui peristiwa israk dan mikraj. Justeru, dalam konteks ini, ALLAH menghadiahkan Rejab,

Syaaban dan Ramadan sebagai tanda cinta dan kasih kepada hamba-Nya. Di saat kita lalai dengan nikmat dunia, Ramadan melambai melalui lorong Rejab dan Syaaban. Rejab memberi kita ruang untuk menggapai cinta ALLAH, cinta Rasulullah SAW dan cinta sahabat Baginda SAW.

Hadiah khas yang kita terima melalui Rasulullah SAW iaitu perintah solat lima waktu sehari semalam. Ia adalah tanda cinta ALLAH dan Rasulullah SAW kepada kita. Solat adalah asas kejayaan. Perintah solat mengajar kita untuk menguruskan masa dengan baik, mengikut perintah dan tertib solat dan menjadi terapi kepada persoalan kehidupan yang sentiasa kita tempuhi setiap detik dan saat.

Kita dapat berbicara dengan ALLAH secara gratis dalam solat dan ketika memanjatkan doa. Lantas, bagaimana untuk berjaya jika seruan kejayaan (hayya alassolah) tidak diambil peduli?

Perjuangan

Rejab meninggalkan banyak kesan sejarah yang perlu dihayati. Sejarah bukan untuk disimpan sebagai khazanah dalam muzium. Sejarah dihayati, diambil iktibar dan pencetus perubahan tamadun insan.

Antara peristiwa signifikan berlaku dalam bulan Rejab adalah:-

Lahirnya  Imam As-Shafie

Imam Syafie dilahirkan di Ghuzah sebuah daerah di Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masihi.

Beliau menghafal 30 juzuk  al-Quran ketika berumur 9 tahun. Mengkaji dan memahami  kitab Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ dihafalnya pada usia 19 tahun. Kerana kebijaksanaannya ketika berumur 15 tahun beliau dibenarkan  memberi fatwa kepada masyarakat dan menjawat jawatan sebagai guru  ilmu hadis serta menjadi mufti. Ketika berusia 20 tahun, beliau telah merantau untuk mendalami ilmu  dengan  Imam Malik di Madinah kemudian ke Iraq, Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah.

Pembebasan Palestin oleh Salahudin Al-Ayubi

Di bulan Rejab  tahun 583 H (1187 M), Shalahudin Al-Ayubi  memimpin pasukannya berangkat ke Baitulmuqaddis untuk membebaskannya daripada cengkeraman tentera salib yang menguasainya selama hampir satu abad. Kemenangan Shalahudin sangatlah istimewa kerana berjaya mengembalikan bumi israk mikraj dan kiblat pertama kaum Muslimin ke dalam pangkuan Islam.

Jatuhnya Kerajaan Uthmaniah

Pada 28 Rejab 1342 Hijrah (3 Mac 1924M), Khilafah Uthmaniah berjaya dikuburkan secara rasmi oleh Mustafa Kemal At-Tarturk di Turki dengan dokongan Britain dan Perancis.  Di saat kerajaan Uthmaniah tamat,  umat kehilangan asas kepimpinan. Tiada lagi institusi yang mampu melindungi umat secara kolektif dan global. Syariah tidak lagi dijadikan asas negara dan ideologi sekular dan kapitalisme ditanam ke dalam jiwa umat dengan penjajahan terancang. Kerajaan besar Uthmaniah dipecahkan kepada lebih 40 negara kecil dengan berpaksikan kaum, wilayah dan semangat kebangsaan yang merosakkan. Akibatnya, umat Islam terus berkelahi, merebut wilayah dan kekuasaan dan dipisahkan antara negara kaya dan miskin.

Rumusannya, Rejab bukan sekadar bulan berkisar perjalanan Rasulullah SAW  melalui peristiwa israk dan mikraj untuk kita kenang.  Tetapi bulan Rejab adalah bulan untuk menilai tahap iman kita, status cinta kita kepada ALLAH, Rasulullah SAW dan Islam serta bulan di mana kita menilai dan menghayati sejarah Islam agar umat akan lebih progresif.

Imam As-Shafie menunjukkan contoh terbaik untuk umat menguasai ilmu, Salahudiin Al-Ayubi menunjukkan contoh membebaskan Baitulmuqaddis  dan umat perlu bangkit demi mengembalikan kepimpinan dunia ke tangan umat Isla