Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Usah melampau dalam agama

Posted by epondok di Mei 14, 2015


ABD RAZAK MUTHALIB

 

ISLAM menganjurkan kita supaya tidak melampau atau berlebih-lebihan walaupun dalam melakukan ibadah dan ketaatan. Sikap ini dikhuatiri akan membawa kepada rasa jemu, malas dan berat untuk melakukan ibadah tersebut.

Akhirnya, kita tidak konsisten dan tinggalkan terus.

Ibadat cara Nabi SAW

Dalam satu hadis, Nabi Muhammad SAW mengingatkan seorang wanita: “Aisyah RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW masuk bertemu dengannya dan turut berada bersama Aisyah ialah seorang wanita. Baginda SAW bertanya: “Siapakah wanita ini?” Aisyah menjawab:
“Dia ialah wanita yang terkenal dengan solatnya.” Rasulullah SAW bersabda: “Seharusnya kamu melakukan apa yang kamu mampu, kerana demi ALLAH SWT, ALLAH tidak akan jemu menerima amalan kamu sehinggalah kamu yang jemu beramal.” Agama yang paling
Baginda SAW suka ialah apa yang dilakukan oleh seseorang itu secara berterusan (istiqamah). (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dalam satu peristiwa lain, Rasulullah SAW menegur hasrat tiga orang sahabat yang masing-masing mempunyai niat yang baik untuk beribadat. Namun, niat yang baik sahaja tidak memadai. Ia perlu disertai dengan cara melakukan ibadat juga mesti baik. Tiadalah cara yang
lebih baik melainkan apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Anas RA menceritakan ada tiga sahabat yang mendatangi rumah isteri Rasulullah SAW demi menanyakan bagaimana Baginda SAW dalam beribadah. Setelah mereka bertiga diberitahu perihal perbuatan Baginda SAW, mereka berasa ibadat mereka selama ini sangat
sedikit, lalu berkatalah ketiga-tiganya: “Kita ini siapa dibandingkan dengan Rasulullah?! Padahal Baginda seorang yang telah diampuni dosa-dosanya baik yang lalu mahu pun yang akan datang.”

Kemudian seorang daripada mereka bertiga berkata: “Kalau begitu aku akan solat malam terus menerus (dan tidak tidur).”

Seorang lagi berkata: “Adapun aku, aku akan berpuasa seharian penuh dan tidak berbuka.”

Seorang lagi berkata: “Kalau aku, aku akan memisahkan diri daripada wanita dan tidak akan menikah selamanya.”

Tidak berapa lama kemudian, Rasulullah SAW mendatangi mereka seraya bertanya: “Apakah kalian yang tadi berkata demikian dan demikian? Adapun aku, demi ALLAH, sungguh aku adalah orang yang paling takut dan bertakwa kepada ALLAH di antara kalian. Akan tetapi bersamaan dengan itu, aku berpuasa dan aku pun berbuka. Aku solat dan aku pun tidur. Aku pun menikah dengan wanita. Dan siapa saja yang tidak suka dengan sunnahku, maka dia bukan daripada golonganku.” (Riwayat Muslim)

Lihatlah betapa Rasulullah SAW meraikan fitrah insan yang ada rasa letih, jemu, malas dan sebagainya. Fitrah ini jika dilanggar batasannya, ia akan membinasakan diri manusia. Bagi memastikan ibadah yang kita lakukan berkualiti dan dapat dihayati, Rasulullah SAW melarang kita melakukannya sehingga mengabaikan aspek fitrah dan hak-hak yang lain.

Sebagai contohnya, Rasulullah SAW melarang kita solat dalam keadaan yang sangat mengantuk. Sebaiknya elok berehat bagi memberikan hak kepada tubuh badan.

‘Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang daripada kamu berasa mengantuk di saat dia sedang solat, maka tidurlah supaya hilang rasa mengantuk tersebut. Ini kerana jika dia solat dalam keadaan mengantuk, maka dia tidak sedar kemungkinan dia ingin memohon ampun tetapi dia mencaci dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Berlebihan akan tertewas

Islam ini agama yang mudah jika amalannya berdasarkan kepada sunnah Rasulullah SAW. Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya agama itu mudah. Tidak ada seseorang yang berlebih-lebihan dalam agama kecuali akan tertewas.” (Riwayat Bukhari)

Terus melakukan amal soleh. Pastikan sesuatu amalan itu berdasarkan dalil yang sahih. Kemudian lakukanlah ia mengikut kadar kemampuan. Amalan yang sedikit secara berterusan lebih baik daripada yang banyak tetapi terputus-terputus.

Teruskan segala amal soleh yang dikerjakan. Berusaha untuk meningkatkan kualiti ibadah kita dari semasa ke semasa. Sama ada yang melibatkan ibadah khusus mahu pun ibadah umum.

Dalam usaha kita untuk meningkatkan kualiti ibadah khusus seperti solat, puasa, haji, membaca al-Quran dan sebagainya, jangan lupa bahawa urusan kehidupan kita sehari-harian juga boleh dijadikan sebagai ibadah.

Pekerjaan, hubungan persaudaraan, persahabatan, hubungan dengan haiwan, interaksi dengan alam dan lain-lain lagi juga termasuk di dalam ibadah, sekiranya dilakukan dengan niat yang ikhlas dan dengan cara yang menepati syariat.

Islam itu sederhana

Ada orang yang bersungguh-sungguh menunaikan ibadah khusus, namun tidak mengambil berat hal kehidupan lain yang sebenarnya boleh dijadikan ibadah juga. Rajin menunaikan solat berjemaah, mesti rajin juga dalam pekerjaannya.

Teliti dalam mengambil wuduk, perlu teliti juga menjaga kebersihan alam sekitar. Puasa sunat setiap minggu, harus difikirkan juga bagaimana untuk membantu golongan gelandangan dan mereka yang kemiskinan. Semangat membaca al-Quran, perlu bersemangat juga
melakukan kerja dakwah.

Muslim yang baik bukan sahaja mementingkan ibadah khusus, namun turut juga mengambil berat mengenai aspek kehidupan yang lain berlandaskan ajaran agama.

Inilah agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Islam bukan hanya berlegar dalam masjid, bahkan menyelinap masuk dalam segenap aspek urusan lain.

Islam mesti dibawa ke pejabat, ladang ternakan, kebun tanaman, restoran, pasar malam, atas daratan, dalam lautan, tengah hutan, padang sukan, institusi pendidikan sehinggalah ke dalam parlimen dan pusat pemerintahan.

Jika di dalam masjid, kita begitu beradab sopan, menunaikan solat dengan mengikut peraturan, tidak berani melakukan perkara yang membatalkan solat, sentiasa fokus kepada hubungan seorang hamba dengan Tuhannya. Maka, sepatutnya nilai, prinsip dan disiplin yang sama juga diaplikasikan dalam kehidupan luar masjid.

Islam bukan hanya di masjid. Sebab itu, Islam adalah al-Din, sebuah cara hidup. Cara hidup yang ideal. Justeru, kehidupan Muslim harus menjadi kehidupan yang ideal. Tidak kurang dan tidak berlebihan melampaui batasan yang ditetapkan.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: