Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ikhlas, tekun laksana tugas angkat imej ummah

Posted by epondok di Mei 9, 2015


Oleh Zamanuddin Jusoh

Islam menggalakkan manusia supaya bekerja elak daripada meminta-minta. Kekangan kehidupan hari ini menjadikan kita kehilangan fokus kepada kerjaya masing-masing dan ia sudah tentu akan menjejaskan kelangsungan generasi seterusnya. Seharusnya perkara ini tidak berlaku dan usaha perlu ditingkatkan kerana keimanan dan keyakinan terhadap Pencipta mestilah utuh sentiasa. Ia selaras tuntutan agama supaya kita berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan kesejahteraan dan kualiti amalan kita, keluarga, masyarakat serta negara.

Tuntutan terhadap rezeki yang halal adalah pegangan setiap individu muslim. Baginda SAW bersabda: “Mencari rezeki yang halal adalah suatu kewajipan selepas kewajipan lain.” (Riwayat Baihaqi).

Ia sekali gus memahamkan kita bahawa Islam menempelak mereka yang malas dan hanya bergantung nasib kepada pertolongan orang lain. Menjadi suatu musibah jika negara menghadapi peningkatan pengangguran kerana ia boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi, taraf hidup serta mendorong kepada taraf kemiskinan yang tinggi. Ia juga akan mengakibatkan krisis kemasyarakatan, keluarga serta jenayah yang berleluasa. Sempena sambutan Hari Pekerja semalam, suatu mekanisme baru hendaklah digarab bagi membendung segala permasalahan serta ketidakstabilan dalam pembangunan ekonomi umat. Angkat maruah umat Islam Umat Islam mestilah berusaha mengangkat kembali maruah serta jati diri mereka tanpa bergantung kepada orang lain dalam membina sahsiah diri.

Baginda Nabi SAW telah mengingatkan kita bahana sikap berpeluk tubuh serta mengharapkan bantuan orang lain. Diriwayatkan oleh Imam Tabrani, Rasulullah SAW bersabda; “Mereka yang mencari kehidupan dunia dengan cara yang baik serta berusaha untuk menampung keluarganya serta menahan diri daripada sikap meminta-minta, belas kasihan terhadap orang lain, kasih sayang terhadap tetangganya, nescaya pada hari kiamat akan bertemu Allah SWT dengan wajah yang berseri umpama bulan purnama pada waktu malam.”

Mencari nafkah mempunyai hubung kait dengan sifat belas kasih yang mendorong kepada keharmonian sesebuah negara. Bermula daripada usaha sendiri, dapat membantu orang lain dan seterusnya memakmurkan masyarakat. Itulah prinsip diletakkan Islam dalam melakukan pekerjaan supaya sentiasa fokus. Jika sifat tekun menjadi sebahagian daripada pakaian hidup, maka kita akan berjaya dalam bidang yang diceburi kerana seorang mukmin mestilah bersungguh-sungguh dalam bidang masing-masing. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah, tiap-tiap orang berbuat menurut keadaannya masing-masing. Maka Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya.” (Surah al-Isra’, ayat 84)

Justeru, sifat tekun dan bersungguh-sungguh menjadi salah satu modal untuk mencapai kejayaan. Namun, umat Islam sering dilabelkan sebagai pekerja yang lemah dan tidak berdedikasi kerana tidak menerapkan nilai Islam dalam pekerjaan sedangkan Islam telah meletakkan sifat kesempurnaan. Allah SWT meletakkan umat Islam sebagai umat terbaik dengan syarat keimanan yang tinggi. Bagi mereka yang memahami hakikat kehidupan dan kematian, tentulah akan bekerja bersungguh-sungguh supaya apa yang dihasilkan di dunia dan akhirat sentiasa baik serta berkualiti. Bina insan berdaya saing Demikianlah semangat yang dianjurkan Islam yang menjurus kepada pembinaan insan berdaya saing, cemerlang dan berkualiti tinggi. Kecanggihan teknologi dan kekuatan rohani yang diadun dengan akhlak tinggi dapat membantu dalam proses menghasilkan pekerja berkualiti.

Pudarnya sifat amanah dan jati diri, akan melahirkan manusia yang tidak beramanah, salah guna kuasa serta melakukan penyelewengan yang merosakkan masyarakat dan negara. Nabi Musa berbekalkan kekuatan dan sifat amanah dapat menyelamatkan Bani Israel sehingga mereka diangkat oleh Allah SWT pada suatu ketika kemudian dilaknat akibat penyelewengan dan keingkaran.

Imam Syafie telah meletakkan beberapa asas untuk mencapai kecemerlangan dan kedudukan yang tinggi antaranya berkata benar kerana hanya kebenaran yang akan menghasilkan kejayaan.

Keduanya, kerahsiaan yang perlu disimpan bagi menjamin kesejahteraan sejagat demi memastikan kekuatan sesuatu jabatan.

Seterusnya Imam Syafie menegaskan bahawa menepati janji adalah asas kepada kecemerlangan kerana pergaulan antara manusia suatu kemestian dan segala-galanya tidak terlepas daripada pertemuan dan perjanjian. Oleh itu, segala janji yang dilafazkan akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT.

Keempat, mendahulukan nasihat kerana nasihat asas kepada agama. Ia dapat menghidupkan semangat dan kuasa yang sudah mati supaya berfungsi semula meneruskan kerjaya seseorang. Kunci terakhir adalah amanah bagi memastikan kecemerlangan. Tanpa kunci yang disebutkan itu, sudah pasti berlaku kepincangan seterusnya menghilangkan integriti dan kekuatan seseorang untuk menempa kejayaan.

Jana peningkatan, kualiti Tema hari pekerja pada tahun ini ‘Pekerja Sihat Produktiviti Meningkat’ menekankan faktor kesihatan yang boleh menjamin kelangsungan kerjaya serta peningkatan kualiti. Islam juga meletakkan kesihatan sebagai salah satu didikan supaya umatnya sentiasa cergas dan ceria dalam menjalani kehidupan mereka. Sekali gus dapat menjana peningkatan dan kualiti. Selain pemakanan, bersukan dan beriadah adalah sebahagian amalan gaya hidup sihat. Islam menggalakkan umatnya mengamalkan aktiviti latihan jasmani yang bersesuaian.

Hari Pekerja yang telah diraikan setiap tahun hendaklah dimanfaatkan oleh golongan pekerja untuk bermuhasabah sejenak peranan dan sumbangan masing-masing. Hikmahnya adalah untuk menimbulkan kesedaran bahawa sikap, budaya dan prestasi mereka mempunyai impak terhadap produktiviti. Pekerjaan juga adalah ibadah. Maka menjadi misi setiap pekerja meletakkan pekerjaan sebagai ibadah yang akan dinilai sepanjang masa oleh Allah SWT. Semoga kerja yang dilakukan serta rezeki yang diperoleh beroleh keberkatan

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: