Tip untuk menjaga silaturahim; pertama, kita kena hilangkan minat untuk melabel atau menghukum orang. Punca pergaduhan biasanya berlaku kerana kita suka melabel dan menghukum orang. Kedua, kita tidak mahu mengalah dan tidak mahu menerima kenyataan. Jika berlaku perselisihan faham kita suka  menegakkan benang yang basah dan tidak mahu mengaku kesilapan. Ketiga, kita susah hendak memaafkan dan melupakan.

Tetapi, kita berdendam dan kita tidak berpuas hati selagi kita tidak dapat membalas dengan menyakitkan hatinya kembali. Keempat, sentiasa menjadikan orang lain itu penting dalam hidup kita bukan kita mementingkan diri. Kelima, melayani orang sebaik mungkin sebagai mana kita harapkan orang melayan kita dengan baik. Keenam, jadikan setiap pertemuan kita dengan seseorang itu sebagai satu pengalaman terindah buatnya, hingga dia teruja untuk meneruskan silaturahim dengan kita.

Usah menyalahkan diri sendiri atau menyalahkan antara satu sama lain. Jauhi perasaan rendah diri terutama apabila kita berada dalam status yang berbeza, dari segi pangkat, rupa paras, akademik dan darjat keturunan. Bukan senang untuk menghadapi situasi perbezaan status dan pendapat, iaitu kita berada dalam kalangan orang yang bijak pandai, dan kita berasa idea kitalah yang paling baik, dan idea kita boleh menolong orang, tetapi orang tidak terima, kerana mereka memandang siapa yang bercakap, bukan apa yang diperkatakannya.  Inilah yang dipanggil “jihad fikiran”.

Cara untuk mempraktikkan silaturahim yang positif dalam perbezaan status ini. Pertama, kita mesti mendengar segala yang diperkatakan oleh orang lain terhadap sesuatu perkara atau isu yang sedang dibincangkan. Kedua, apabila idea kita tidak diterima, kita senyum sahaja. Jangan tunjukkan muka tidak berpuas hati. Cuba kita terima idea orang dan tunjukkan kita bersikap profesional, iaitu kita bertanggungjawab mengeluarkan pendapat atau idea, terpulang kepada mereka untuk menunjukkan hak mereka untuk menolaknya. Setiap perbuatan negatif  orang terhadap kita, terima secara positif. PERISTIWA NEGATIF – RESPONS POSITIF – TINDAKAN POSITIF – HASIL KEHIDUPAN POSITIF.

Seandainya dibantah atau tidak diterima idea kita, tidak mengapa. Apabila kita terima pendapat orang, Allah akan izinkan orang juga boleh menerima pendapat kita. Tetapi, kalau pendapat kita sering tidak diterima, audit diri kita. Adakah kita ini seorang yang mudah menerima pendapat orang ataupun tidak, sehingga kita sentiasa mendapat bantahan setiap kali kita mengemukakan pandangan atau idea, sebelum kita berprasangka buruk kepada orang.

Dalam menjaga silaturahim, tiga perkara yang payah orang hendak lakukan. Pertama, kita berbuat baik kepada orang yang tidak berbuat baik kepada kita. Kedua, kalau orang itu diumpat, kita pertahankan jangan sama-sama kita menokok tambah cerita tentang orang itu, bagi menyedapkan lagi umpatan itu. Yang ketiga, kita mengaku kesilapan kita. Maknanya kita mesti mengaku bahawa, apa-apa yang kita buat itu salah, dan kita mengaku bahawa apa yang kita dapat hari ini adalah hasil daripada pilihan yang kita buat. Jadi kita tidak ada sifat menyalahkan, maknanya menyalahkan semua orang kecuali diri kita.

Berikhlas  hati adalah satu cara menjaga silaturahim. Ikhlas bermaksud, apabila kita hendak membuat kebaikan, kita sembunyikan kebaikan yang kita buat sebagaimana kita sembunyikan kejahatan kita. Lupa semua kebaikan kita kepada orang dan ingat semua kejahatan kita kepada orang. Lupakan kejahatan orang kepada kita dan ingatlah kebaikan orang kepada kita. Sebenarnya orang akan melayan kita, sebagaimana kita mengajak orang melayan kita.

Adab bersilaturahim dalam Islam; pertama, apabila berbicara cari perkataan yang menyeronokkan dan menyenangkan hati orang yang mendengar. Kalau kita berasa sukar hendak mengeluarkan perkataan yang baik, bermakna kurang kebaikan dalam diri kita. Kedua, jangan sesekali menghina terutama menghina peribadi. Sebagaimana kita tidak suka dihina, kita juga tidak suka menghina orang. Ketiga, beradab walaupun dalam keadaan bergurau. Keempat, jangan amalkan sikap yang kononnya kutuk mengutuk membawa bahagia. Kelima, maafkan orang. Biarpun kepada orang yang berbuat salah kepada kita. Maknanya, kita ada hak untuk membalasnya, tetapi kita tidak membalas, sebaliknya kita memaafkannya. Kalau bersua muka, salam, selawat, senyum, sapa dan sayang.

Jangan sesekali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik, walaupun hanya sekadar senyuman. Mungkin kita tidak sedar atau terlepas pandang, bahawa senyuman adalah ubat yang paling mujarab. Orang yang hebat akan membuatkan orang lain berasa hebat. Tetapi, orang yang lemah dan kecil jiwanya, suka melemahkan dan memperkecil orang lain. Orang yang suka membuka keaiban orang lain dan mencari kesilapan orang, sebenarnya banyak keaiban pada dirinya sendiri.