Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Agama kriteria utama pilih jodoh

Posted by epondok di Mei 2, 2015


Oleh Mohd Hassan Adli Yahya

 

Tahun lalu, saya dijemput sebuah stesen televisyen untuk satu rancangan bual bicara, dan tajuk dibualkan berkenaan pasangan hidup. Antara ditekankan ialah tip atau panduan memilih pasangan hidup. Memang tidak dinafikan, melihat statistik dikeluarkan Jabatan Agama Islam sebuah negeri, kes penceraian yang didaftar dan direkodkan sangat membimbangkan akhir-akhir ini.

Justeru di manakah silapnya, sedangkan kebanyakan perkahwinan pada zaman ini adalah atas pilihan sendiri dan dasar suka sama suka. Jarang sekali pada zaman ini kita lihat atau dengar perkahwinan diatur oleh keluarga.

Begitu juga pelbagai berita pasangan selebriti yang turun naik mahkamah syariah untuk pelbagai kes membabitkan rumah tangga yang sering dilaporkan menerusi media massa.

Malah, ada juga kes yang bertahun-tahun kita dengar dan tidak juga selesai bagaikan tiada berkesudahan. Justeru di mana silapnya?

Mengapa sesetengah perkahwinan pada zaman sekarang begitu ‘rapuh’ untuk dilayari, tidak seperti perkahwinan zaman ibu bapa dan nenek moyang kita dulu?

Dalam bual bicara itu, saya memetik sebuah hadis Rasulullah SAW yang masyhur me­ngenai keutamaan dalam memilih pasangan hidup. Sabda Rasulullah SAW: “Dikahwini wanita itu kerana empat perkara – kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana cantiknya dan kerana agamanya. Maka nikahlah dengan wanita yang beragama, nescaya engkau beruntung.” (riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Saya ditanya oleh pengacara, apakah dimaksudkan oleh hadis ini mengenai keturunan bakal pasangan kita. Saya menghuraikan secara ringkas, setiap pasangan yang ingin berkahwin hendaklah melihat hadis ini sebagai panduan.

Saya juga menekankan aspek keturunan sebagaimana disebut dalam hadis itu kerana pesanan seorang guru saya yang sangat menekankan aspek keturunan.

Katanya, pada zaman sekarang, sangat penting untuk melihat keturunan pasangan kita kerana zaman ini ramai anak dilahirkan sebagai ‘tidak sah taraf’.

Tujuannya untuk meneruskan generasi yang soleh dan solehah, sebagaimana juga Nabi Muhammad SAW lahir daripada keturunan yang baik, Saidatina Khadijah isteri baginda juga daripada keturunan yang baik, maka lahirlah generasi yang baik-baik.

Baru-baru ini, rakan saya mendapat panggilan daripada seorang wanita yang mengaku dirinya kaunselor. Panggilannya beremosi, sesekali marah dan sesekali kedengaran dia teresak-esak di hujung telefonnya.

Luahannya kepada rakan saya ialah berkenaan penjelasan ‘anak tidak sah taraf’ yang saya nyatakan dalam rancangan temubual itu. Beliau mengambil anak angkat yang pada perkiraan saya, anak itu adalah anak tidak sah taraf. Beliau mendidik anak berkenaan dengan penuh kasih sayang berserta nilai agama dan melihat anak itu sangat istimewa serta anugerah Allah kepadanya.

Namun, apabila saya me­ngatakan ‘keturunan’ yang baik antara faktor yang boleh dipertimbang­kan untuk memilih pasangan, beliau menjadi sedikit kesal. Mungkin apa yang saya perkatakan itu adalah perkara sensitif dalam masyarakat kita.

Saya memohon ribuan kemaafan kepada mereka yang tersinggung dengan apa yang saya perkatakan. Bukan niat saya untuk menyinggung sesiapa, cuma menyampaikan apa yang dimaksud­kan daripada hadis berkenaan.

Pelbagai persoalan yang timbul, bagaimana nasib anak ini jika besar kelak, tidak layakkah mereka berkahwin dengan pasangan yang baik? Apakah yang dimaksudkan dengan ‘keturunan’ yang baik dalam hadis itu?

Seolah-olah ia diskrimasi terhadap anak sedemikian pada hal mereka tidak berdosa, dan boleh jadi anak ini lebih baik daripada anak yang berketurunan mulia.

Ya, benar iman tidak dapat diwarisi walaupun ibu bapanya ustaz dan ustazah. Anak seorang alim belum tentu akan jadi sealim bapanya. Kerana itu, dalam hadis itu dinyatakan pada hujungnya iaitu pilihlah yang beragama kerana itulah pilihan yang sangat menguntungkan.

Secara kesimpulannya, jika ingin memilih pasangan, pilih yang paling beragama walaupun pasangan kita tidak diketahui status siapa ayah dan ibunya.

Seandainya kita mengetahui bakal pasangan itu daripada keturunan yang baik-baik (dikenali sebagai keturunan yang kuat pegangan agamanya), itu serupa bonus.

Menjadi tanggungjawab pasangan suami isteri pula untuk mendidik anaknya menjadi anak yang kuat pegangan agamanya supaya dapat meneruskan jalur keturunannya yang mulia.

Bagi suami yang mengetahui pasangan isterinya dilahirkan tanpa ayah yang sah di sisi Islam, itu bukan halangan. Perkahwinan itu sah, dan bersama-samalah dalam rumah tangga mendidik anak supaya menjadi soleh dan solehah.

Untuk itu akan lahirlah generasi yang mulia. Sekali lagi saya tekankan, penilaian yang utama pastilah dari segi faktor pegangan agama.

Kita hendaklah memilih pasangan hidup bukan kerana terpesona dengan kecantikannya atau hartanya mahupun keturunannya kerana itu sekali-kali tidak menjamin kebahagiaan rumah tangga pada masa depan, insya-Allah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: