Diumpamakan seperti modal saham selepas meninggal dunia, mulut atau lidah merupakan anggota tubuh yang mampu menentukan langkah seseorang untuk meneruskan kehidupan sama ada di syurga atau neraka di akhirat.

Malah, pertuturan yang membawa kebaikan bukan sahaja memberikan kelebihan pahala ketika hayat, tetapi mendatangkan ganjaran yang berterusan selagi masih memberi manfaat kepada orang ramai walaupun setelah meninggal dunia.

Pendakwah bebas, Nurul Hidayah Kamarudin berkata, situasi sama juga akan berlaku kepada individu yang menyalahgunakan lidah bagi mengungkapkan perkara yang membawa kepada keburukan dan maksiat.

Lebih membimbangkan tambahnya, dosa yang diperoleh akibat perbuatan lisan itu akan diterima berpanjangan sehingga ke akhirat selagi masih diulangi dan dilakukan oleh orang ramai yang masih hidup dari sehari ke sehari.

“Dilihat suatu yang remeh, namun lidah atau lisan boleh diumpamakan sebagai modal akhirat. Ini kerana ia memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju seseorang Muslim sama ada ditempatkan ke dalam syurga atau neraka.

“Oleh itu, kita perlu bijak menggunakan lidah apabila bercakap dan bergurau. Sekiranya ungkapan yang kita ucapkan boleh menyebabkan orang yang mendengarnya sakit hati atau terguris, ia boleh mendatangkan keburukan kepada kita sehingga ke hari akhirat.

“Bagi percakapan yang baik pula, walaupun ianya hanya sedikit tetapi membawa manfaat yang besar kepada masyarakat dan dilakukan oleh orang ramai, pahala akan diperoleh walaupun kita telah meninggal dunia,” katanya yang juga merupakan bekas pendakwah program realiti televisyen.

Menyakiti orang

Nurul Hidayah berkata, Rasulullah SAW turut mengambil berat terhadap peranan mulut dengan berpesan kepada setiap Muslim agar memelihara tangan dan juga lidah daripada perbuatan menyakiti orang lain.

“Perkara ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW bermaksud: Seorang Muslim adalah seseorang memelihara lidah dan tangannya daripada menyakiti orang lain. (riwayat Bukhari)

“Ini kerana setiap Muslim mempunyai hak terhadap sesama Muslim yang lain. Begitu juga sebarang pertuturan atau gurauan kepada orang lain juga perlulah benar dan tidak boleh mempunyai unsur penipuan atau sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

“Lebih-lebih lagi apabila menyentuh hati dan perasaan orang lain. Sesuatu perbuatan yang boleh menyakitkan orang lain adalah seperti menafikan hak Muslim terhadap Muslim yang lain dan perkara itu ditegah oleh Rasulullah SAW,” ujarnya.