Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Pilih nama yang baik untuk anak kita

Posted by epondok di April 8, 2015


SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

 

SETIAP insan mempunyai nama tersendiri. Islam menetapkan pemberian nama kepada si anak adalah tanggungjawab dipikul orang tuanya.

Dewasa ini, ramai dalam kalangan ibu bapa cakna perihal nama yang diberikan kepada anak. Ini petanda baik menunjukkan ibu bapa mementingkan pemilihan nama anak mereka.

Satu tanggungjawab

Pendakwah, Mohd Shahrizal Nasir berkata, beliau kerap kali menerima pertanyaan daripada rakan yang memintanya menyemak makna nama yang sesuai untuk anak mereka.

“Perkara pokok yang perlu difahami ibu bapa di luar sana ialah pemberian nama si anak adalah tanggungjawab. Apabila disebut tanggungjawab, ia tak boleh secara sambil lewa.

“Ada seorang lelaki menemui Rasulullah SAW dan bertanya mengenai hak anaknya yang perlu ditunaikannya.

Nabi SAW bersabda: “Engkau berikan nama yang baik dan mengambil berat mengenai pendidikannya, kemudian engkau tempatkannya di tempat yang baik. Perbaikilah namamu kerana dengan nama itu kamu akan dipanggil pada hari kiamat.” (Riwayat Abu Dawud)

“Rasulullah SAW ada menggariskan panduan mengenai tatacara memberi nama anak. Antaranya ialah dengan memberi nama kepada anak pada hari ketujuh dan melakukan beberapa lagi perkara termasuk dalam sunnahnya.

Banyak hikmah yang boleh difahami daripada pemilihan hari ketujuh, antaranya ialah memberi tempoh yang cukup bagi memastikan bayi yang lahir sihat dan hidup sepertimana insan lain,” katanya kepada Rehal.

Beliau menganjurkan kepada semua ibu bapa yang baru memperoleh anak, agar mengikut sunnah pemberian nama anak pada hari ketujuh dan menguar-uarkan nama tersebut kepada orang ramai pada hari tersebut.

Mudah-mudahan ia termasuk dalam amalan sunnah yang  mendapat ganjaran pahala daripada ALLAH SWT serta memperoleh keberkatan buat si anak.

Maksud yang baik

Beliau yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjelaskan, apabila memberi nama kepada si anak, beberapa perkara perlu diambil perhatian.

“Paling utama, beri nama yang bermaksud baik kepada si anak. Perkara ini perlu menjadi keutamaan ibu bapa. Rata-rata ibu bapa mendahulukan aspek “sedap dipanggil dan didengar” daripada “makna baik” yang sepatutnya diutamakan.

“Apabila soal sedap didengar ini diutamakan, maka akan timbullah seribu satu sebutan nama yang dicedok dari sini sana. Dan biasanya, selepas nama itu dipilih, maka langkah seterusnya ialah untuk mendapatkan pengesahan “rasmi” daripada ustaz dan ustazah. Perkara ini perlu diperbetulkan,” katanya.

Beliau berkata, perkara utama ialah mencari atau memilih nama yang membawa maksud baik. Apa gunanya nama yang dipilih itu sedap didengar tetapi hakikatnya membawa maksud buruk.

Usah jadikan ustaz dan ustazah tempat untuk mendapat pengesahan sahaja, sebaliknya perlu berbincang atau minta pandangan mereka semasa proses pemilihan nama dilakukan.

DALAM Kitab Tarbiyah al-Awlad, Syeikh Abdullah Nasih ‘Ulwan memberikan beberapa panduan dalam memberikan nama yang baik kepada anak, antaranya:

Pertama: Tidak dibenarkan memberi nama yang secara langsung merujuk kepada ALLAH seperti Khaliq (pencipta). Dianjurkan untuk memberi nama yang merujuk kepada hamba ALLAH seperti Abdullah (hamba ALLAH), ‘Abd al-Rahman (hamba ALLAH yang Maha Pemurah), ‘Abd al-Rahim (hamba ALLAH yang Maha Mengasihani) dan sebagainya.

Kedua: Tidak memberi nama yang merujuk hamba kepada tuhan dalam kepercayaan lain. Umat Islam dilarang sama sekali mengiktiraf kewujudan tuhan lain selain ALLAH.

Ketiga: Menjauhi nama yang membawa makna melampau meskipun ia membawa makna yang baik seperti Nafi’ yang bermaksud selalu memberi manfaat.

Keempat: Tidak memberi nama anak yang membawa makna negatif seperti bodoh, lemah dan sebagainya. Hal ini kerana ia memberi kesan negatif kepada kelakuan si anak.

Kelima: Tidak memberi nama anak yang membawa makna tidak selari dengan fitrah Islam seperti nama Harb (peperangan dan keganasan).

Keenam: Memilih nama tokoh hebat dalam sejarah Islam terdiri daripada sahabat Rasulullah SAW dan juga alim ulama yang berjuang menegakkan Islam. Mengambil nama dalam kalangan nabi dan rasul yang terdapat dalam al-Quran juga digalakkan.

Ketujuh: Memilih nama yang membawa makna yang baik meskipun ia bukan dalam bahasa Arab.

Nama dalam lahjah Arab?

Anak jati Johor ini menjelaskan, dalam soal pemilihan nama anak juga, perkara yang perlu diambil perhatian ialah memberi nama anak dengan nama yang  bermaksud baik. Namun, bukanlah menjadi satu kemestian memberikan nama dalam bahasa atau lahjah Arab.

“Benar, nama yang baik adalah nama yang merujuk kepada hamba ALLAH, atau nama rasul dan nabi, nama sahabat dan tokoh Islam yang majoritinya dalam kalangan orang Arab, namun pemilihan nama yang baik tidak semestinya dalam bahasa Arab. Terdapat sesetengah orang mengutamakan nama dalam sebutan Arab tetapi mengetepikan makna yang dibawa nama tersebut.

“Dalam bahasa Arab juga terdapat nama yang maksudnya tidak baik. Sebagai contoh, menamakan anak dengan nama “Muhammad baik” lebih afdal daripada memberi namanya dengan Zani bermaksud penzina dan ia adalah perkataan bahasa Arab yang turut terdapat dalam al-Quran.

Sunnah tukar nama

Menjadi satu sunnah apabila seseorang yang memiliki nama tidak baik menukarnya kepada nama lain yang membawa makna baik. Hal ini juga melibatkan soal nama bagi golongan yang baru masuk Islam.

Sekiranya nama sebelum Islam mereka membawa makna yang baik dan tidak bertentangan dengan Islam, bukanlah satu kemestian untuk dia menukar namanya.

Namun sekiranya nama sebelum dia memeluk agama Islam bercanggah dengan akidah Islam, baik jika nama tersebut ditukar kepada nama yang dibenarkan Islam.

Perkara ini berlaku kepada Abdul Rahman bin ‘Auf. Beliau adalah salah seorang daripada sahabat Rasulullah SAW.

Penulis kitab Tasmiyah al-Mawlud ada menukilkan pandangan Ibn al-Qayyim, nama yang diberikan kepada si anak mempengaruhi sifat dan kelakuan si anak. Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab ibu ayah memberikan nama yang baik kepadanya.

Hakikatnya, nama yang kita berikan kepada si anak digunakan orang ramai untuk memanggilnya. Justeru, ia dilihat sebagai satu doa kepada si anak.

Oleh itu, sekiranya nama anak tersebut membawa makna yang buruk dan negatif, maka tidak mustahil perangai si anak akan menterjemahkan maksud nama itu. Malah, nama tersebut bukan sahaja digunakan semasa di dunia, tetapi juga di akhirat kelak.

Nama terlalu panjang  

“Saya menasihati ibu bapa agar tidak memberikan nama terlalu panjang kepada si anak. Ia bukan sahaja akan membebankan si anak untuk membawa nama itu, tetapi menyusahkan pihak yang berurusan dengan si anak nanti.

“Begitu juga dari segi ejaan, elakkan mengeja nama anak dengan ejaan yang rumit hanya kerana ingin nama tersebut kelihatan seperti nama Barat dan sebagainya.

Khuatir sekiranya kita tidak berusaha untuk mempermudah urusan si anak, akibatnya si anak berdepan dengan masalah melibatkan nama khususnya dalam urusan rasmi,” katanya.

Menurutnya, pemberian nama yang panjang kepada si anak boleh menyebabkan timbul nama singkatan untuk si anak. Ini adalah trend terkini khususnya dalam kalangan anak remaja.

Apa gunanya nama yang diberikan itu membawa makna yang baik tetapi akhirnya menjadi panggilan kepada si anak adalah nama yang disingkatkan rakan mereka.

Nama singkatan seperti “Mamat” contohnya, kerap kali didengar sebagai satu nama timangan. Sedangkan dalam bahasa Arab, nama ‘Mamat’ bermaksud mati. Cuba bayangkan apabila semua orang mendoakan kematian buat anak kita. Hal ini perlu diambil perhatian secara serius.

ALLAH berfirman: “… dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk…” (Surah al-Hujurat, 11)

Elak nama agungkan diri

Dalam pemilihan nama untuk anak, perlu dielakkan juga nama yang menampakkan secara jelas merujuk kepada usaha menyucikan diri atau mengagungkan diri sendiri.

Kita dianjurkan untuk memberikan nama yang baik kepada si anak, namun bukan dengan tujuan diagung-agungkan dan diberi penghormatan melampaui batas ditetapkan Islam.

Kita dilarang untuk membesarkan diri sendiri kerana hakikatnya kita adalah makhluk-Nya yang memiliki seribu satu kekurangan. Hanya Dia sahaja yang memiliki sifat kesempurnaan.

Marilah sama-sama kita berusaha memberi nama yang baik kepada anak-anak kerana ia satu daripada tanggungjawab ayah dan ibu.

Itu adalah tanggungjawab pertama yang perlu dilaksanakan dengan baik sebelum menyusul tanggungjawab lain yang lebih besar iaitu memberi didikan Islam yang sempurna kepada anak-anak.

Bertanyalah kepada golongan alim ulama sekiranya tidak pasti mengenai perkara melibatkan agama Islam dan ambillah pandangan mereka.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: