SITI ZURAIDAH ISMAIL

 

ZAMAN semakin berlalu dan ia bergerak sangat pantas, demikian juga kehidupan manusia yang hidup dalam pelbagai bentuk informasi yang terlampau banyak persamaannya.

Jika tidak berhati-hati, individu berkenaan akan berterusan lalai dibuai berita dan maklumat yang hangat tanpa kesahihan dipaparkan dalam medium media masa dan juga media elektronik ditambah dengan media sosial yang semakin meluas penggunaannya.

Sering kali kisah yang tersebar itu langsung tidak dapat dipastikan kesahihannya! Dari mana hujung pangkalnya dan siapa yang menyebarluaskannya. Maklumat atau khabar yang diperoleh pastinya perlu diselidik dengan ilmu dan jika ia berlaku sebaliknya, pastinya kita akan menjadi orang yang rugi. Rugi kerana terlalu leka dalam memanfaatkan waktu, boleh jadi kita akan mengabaikan keutamaan yang akhirnya terbengkalai.

Padahal, hidup dalam pandangan Islam adalah pertanggungjawaban. Bagaimana kita mampu bertanggungjawab atas apa yang kita lakukan jika tidak memiliki ilmu atas apa yang menjadi pilihan hidup kita sehari-hari. Itulah mengapa Islam mewajibkan setiap Muslim untuk menuntut (mencintai) ilmu.

Abu Bakar Jabir Al-Jazairi dalam kitabnya Al-’Ilmu wal menjelaskan: “Ulama mengutip kenyataan seorang ahli hikmah mengenai pentingnya ilmu ini. Ilmu seseorang adalah anaknya yang kekal.”

Maksudnya jelas, ilmu yang dimiliki seseorang akan sentiasa diingati. Jika terus diamalkan orang yang lain, dia turut mendapat pahalanya selama orang itu mengamalkan dan mempraktikkan ilmunya.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Sesiapa menunjukkan pada kebaikan, maka dia akan mendapatkan pahala seperti orang yang mengamalkannya.”

Keutamaan ilmu atas harta

Abu Bakar Jabir Al-Jazairi mengutip riwayat yang disampaikan oleh Saidina Ali perihal keutamaan ilmu: “Ilmu lebih utama daripada harta kerana tujuh alasan, iaitu:

Ilmu adalah warisan nabi, sedangkan harta adalah warisan Firaun.

Ilmu tidak akan berkurang dengan diberikan kepada orang lain, sedangkan harta berkurang jika dinafkahkan.

Harta perlu dijaga, sedangkan ilmu dapat menjaga pemiliknya.

Jika seseorang meninggal dunia, dia akan meninggalkan hartanya, sedangkan ilmu akan dibawa ke dalam kubur.

Harta dapat dicapai oleh orang Mukmin dan kafir, sedangkan ilmu hanya dapat dicapai oleh Mukmin.

Semua orang memerlukan seorang yang berilmu yang mengetahui urusan agama dan mereka tidak memerlukan pemilik harta.

Ilmu akan menguatkan seseorang dalam meniti sirat (jalan menuju syurga), sedangkan harta akan menghalanginya.”

Kemudian Mush’ab bin Zubair RA berwasiat kepada anaknya seperti ini: “Wahai anakku, tuntutlah ilmu kerana ilmu akan menjadi keindahan jika kamu memiliki harta dan ilmu itu akan menjadi harta jika kamu tidak memiliki harta.”

Ilmu juga akan menjadi penentu sama ada seseorang Muslim itu berada di jalan yang benar atau sebaliknya. Dengan kata lain, bagus atau tidak agamanya ditentukan dengan kebenaran ilmu yang dimilikinya.

Diriwayatkan oleh Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seseorang yang berusaha mencari sesuatu seperti keutamaan ilmu yang dapat memberikan petunjuk kepada pemiliknya atau mengangkatnya daripada kehinaan, dan tidaklah seseorang akan lurus
agamanya hingga lurus ilmunya.” (Riwayat Thabrani)

 Ilmu angkat darjat

Menurut Abu Bakar Jabir Al-Jazairi, hadis tersebut menunjukkan ilmu adalah sesuatu yang paling baik yang harus dicari seorang Muslim dalam kehidupan ini dan itulah yang lebih utama daripada ibadah sunnah.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Wahai Abu Dzar, kamu pergi dan mempelajari satu ayat sahaja daripada kitab ALLAH SWT (al-Quran) adalah lebih baik bagi kamu daripada solat seratus rakaat dan kamu pergi, kemudian belajar satu bab daripada ilmu. Amal atau tidak
ia bukan ukurannya kerana menuntut ilmu adalah lebih baik daripada solat seribu rakaat.” (Riwayat Ibnu Majah)

Dalam al-Quran, banyak dalil yang menceritakan perihal keutamaan menuntut ilmu. Ini menunjukkan menuntut ilmu adalah kewajipan bagi umat manusia sejak lahir sehingga mati.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “…ALLAH meninggikan darjat orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama dalam kalangan kamu. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan.” (Surah
Al-Mujadalah: 11)

Daripada ayat di atas jelaslah orang yang memiliki ilmu darjatnya lebih tinggi dibandingkan dengan orang yang tidak berilmu. Kita sebagai Muslim juga tahu bahawa manusia diangkat sebagai khalifah di muka bumi ini kerana ilmunya, bukan kerana bentuknya ataupun asal kejadiannya.

Sementara itu, dalam surah yang lain, ALLAH SWT berfirman: “… Apakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sebenarnya hanya orang yang berakal sihat yang dapat menerima pelajaran.” (Surah Al-Zumar: 9)

Ayat ini jelas menyuruh manusia itu untuk berfikir apakah manusia yang berilmu itu sama dengan manusia yang tidak berilmu.

Islam memandang tinggi dan memuliakan orang yang berilmu bahkan menganggap orang yang berilmu itu sebagai penerus risalah Rasulullah SAW. Apa yang disampaikannya akan menjadi penerang jalan yang lurus. Orang yang menuntut ilmu adalah orang yang berjihad di jalan ALLAH.

Imam Al-Ghazali mengatakan: “ALLAH mengangkat darjat orang dengan ilmu, lalu menjadikan mereka kebaikan sebagai pemimpin dan pemberi petunjuk yang diikuti, petunjuk dalam kebaikan, jejak mereka diikuti dan perbuatan mereka diamalkan.”

Ilmu bukan hanya perlu dicari, tetapi juga perlu diamalkan. Itulah yang menjadi pahala berpanjangan buat kita kelak di akhirat. Ilmu yang baik, lalu diamalkan tidak akan pernah berkurang malah menjadi saham buat kita.

Semoga, usaha kita dalam menuntut ilmu ALLAH Yang Maha Luas ini mendapat barakah di sisi-Nya. Insya-ALLAH.