Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Bercakap perkara baik juga sedekah

Posted by epondok di April 3, 2015


Oleh Nik Hasnah Ismail

 

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam al-Nawawi, hadis itu menganjurkan supaya berbicara hal yang baik. Apabila dia masih ragu kemaslahatan itu, maka hendaklah dia diam.

Menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm yang bersiaran setiap Jumaat, jam 10.15 pagi, Ustaz Zulkifli Aini menjelaskan pentingnya kita memelihara lidah supaya tidak tergolong penghuni neraka.

Justeru, hendaklah kita benar-benar memanfaatkan mulut dengan mengungkap bicara yang hanya memberi kebaikan buat diri kita dan orang lain. Seorang yang bercakap sesuatu kalimah, ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya ke dalam neraka.

Kita bakal dibangkitkan pada hari pembalasan dan pada masa itu setiap anggota badan akan berbicara. Walaupun mulut kita ditutup, ia tetap akan menjadi saksi terhadap buah bicara kita di atas dunia ini.

Sebab itulah Nabi Muhammad SAW menekankan kepada kita untuk menggunakan kebijaksanaan dalam berbicara dan jika kita tidak mampu melakukannya adalah lebih baik berdiam sahaja.

Hikmah bijak berkomunikasi

Berbicara dengan hikmah selain mengungkap perkara yang baik-baik juga berbicara dengan berlandaskan ilmu. Berbicara berasaskan ilmu bermakna kita tahu berkomunikasi dan disesuaikan dengan siapa kita berbicara.

Contohnya, pendekatan berbeza digunakan apabila kita berbicara dengan suami, isteri, orang tua ataupun kanak-kanak. Perbezaan dan pendekatan yang betul ini menjadikan kita berbicara untuk menatijahkan sesuatu yang baik.

Kegagalan dan seni berbicara inilah yang selalu membawa kepada masalah komunikasi seperti salah faham, bercakap kasar, saling tidak menghormati perbezaan pandangan yang akhirnya boleh membawa kepada perbalahan dan bermasam muka.

Menurut Zulkifli, keretakan dalam rumah tangga kebanyakan berlaku disebabkan kelemahan dalam berkomunikasi. Salah faham yang terjadi menyebabkan tiada persefahaman antara suami isteri. Lebih memudaratkan lagi apabila masing-masing tidak ada ilmu untuk memperbaiki masalah komunikasi menyebabkan perkahwinan menjadi semakin rapuh.

Kebanyakan ahli motivasi berpendapat kerukunan rumah tangga boleh terus dikekalkan jika suami isteri saling berbicara dengan berhemah, lemah lembut, menghormati pandangan antara satu sama lain dan berkata hal baik-baik yang boleh membuahkan sebuah rumah tangga bahagia.

Sedekah itu tidak dikhususkan dengan duit, bahkan setiap apa yang mendekatkan kepada Allah SWT, maka ia sedekah dengan makna yang umum. Kerana perbuatan menunjukkan atas kebenaran pelakunya dalam mencari reda Allah SWT.

Begitu juga dengan kata-kata, buah bicara yang mengundang kebaikan kepada si pendengar boleh diibaratkan umpama satu sedekah. Ini kerana kata-kata yang baik boleh mendatangkan kegembiraan kepada orang lain atau mendorong seseorang untuk membuat kebaikan.

Contoh akhlak terpuji

Sebaik-baik ikutan akhlak berbicara, kita mengambil akhlak Rasulullah SAW yang telah mempamerkan akhlak unggul dan terpuji dalam setiap gerak geri aspek kehidupan, daripada tindakan sehingga kepada perbualan Baginda, segala-galanya dilakukan dengan hikmah dan penuh kebaikan.

Maka akhlak yang baik serta contoh teladan terpuji itu harus diterapkan dalam diri setiap Muslim, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bergiat dalam medan dakwah, penyampaian ilmu dan tarbiah.

Malah, kepada sesiapa sekalipun, perlu juga ditanam di dalam diri hanya sepotong perkataan jika mendatangkan manfaat ia adalah satu bentuk pahala kepada kita yang akan bertemu Allah SWT kelak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Nahl, ayat 125)

Ayat al-Quran ini mendidik menggunakan sebaik-baik kata dalam bercakap tidak kira dalam apa juga keadaan dan waktu, sehinggalah pada saat kita ingin menegur atau mencegah sebarang kemungkaran hendaklah menggunakan hikmah supaya kata-kata itu tidak hanya mencegah tetapi menjadi satu bentuk dakwah yang membawa kepada kebaikan.

Diriwayatkan oleh Aisyah, katanya, “Rasulullah tidaklah berbicara seperti yang biasa kamu lakukan (iaitu berbicara dengan nada cepat). Namun beliau berbicara dengan nada perlahan dan dengan perkataan yang jelas dan terang lagi mudah dihafal oleh orang yang mendengarnya.” (Riwayat Abu Daud)

Begitu jugalah dalam kehidupan sehari-hari kita, marilah bersama kita mengamalkan teladan Rasulullah SAW. Berbicaralah dengan perlahan dan jelas. Jangan terburu-buru, sehingga apa yang diucapkan menjadi tidak jelas didengar oleh orang lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, bertakwalah kamu sekalian kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki amalanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Barang siapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.” (Surah al-Ahzab, ayat 70-71)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: