Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Antara doa, medium sosial saluran luah perasaan

Posted by epondok di April 1, 2015


Syafiq Zulakifli

Perkembangan teknologi hari ini menjadikan manusia semakin mencari medium baharu untuk meluahkan perasaan.

Kemunculan blog, Facebook, Twitter dan Instagram memberi peluang untuk sesiapa sahaja meluahkan serta melepaskan perasaan, lalu dibaca oleh jutaan orang di luar sana.

Nilai kesedihan kita dapat dicatat, dikongsikan dan dimuat naik bagi memastikan ada pihak yang bersimpati serta memberikan jawapan terhadap permasalahan sedang dihadapi. Begitulah cara kita mengurus kesedihan.

Minggu lalu, satu lagi perbincangan berkenaan dengan usaha ditunjukkan oleh seorang nabi dibincangkan dalam rancangan Ibrah oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman. Perbincangan menumpukan kepada Nabi Zakaria.

Nabi Zakaria adalah penjaga kepada Saidatina Maryam, ibu Nabi Isa. Kisah bagaimana seorang yang sudah berusia 90 tahun mengurus kesedihan meluahkan perasaan kepada Allah SWT untuk dikurniakan zuriat. Nabi Zakaria menjadikan Allah SWT sebagai tempat mengadu segala hal dan permasalahan.

Ini dirakamkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “(Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hamba-Nya Zakaria. (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.” (Surah Maryam, 2-3)

Berdoa dengan penuh pengharapan

Allah SWT mendidik Baginda Nabi Muhammad SAW melalui kisah Nabi Zakaria. Allah SWT memberitahu Baginda bagaimana Nabi Zakaria memohon doa secara perlahan dan penuh dengan pengharapan.

Sebahagian ulama menyatakan, Nabi Zakaria berasakan Allah SWT terlalu hampir dengannya, menyebabkan Nabi Zakaria seolah-olah merayu supaya permintaannya dikabulkan.

Firman-Nya yang bermaksud: “Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah berasa hampa dengan doa permohonanku kepada-Mu.” (Surah Maryam, ayat 4)

Nabi Zakaria seorang yang tidak pernah berasa hampa dan kecewa dengan doanya. Walau bagaimanapun, beliau berasa gerun kerana mengikut logik akalnya, dalam keadaan usianya yang terlalu tua sehingga ubannya telah putih, memungkinkan dia tidak mendapat zuriat.

Isterinya pula dalam keadaan mandul. Namun, Nabi Zakaria menguruskan kesedihannya dengan merayu penuh pengharapan kepada Allah SWT kerana sebagai seorang Nabi tentulah dirasakan hanya Allah SWT sebagai tempat bergantung.

Nabi Zakaria merayu lagi, “Dan sesungguhnya aku berasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas agama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisi-Mu seorang anak lelaki. Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia – wahai Tuhanku seorang yang diredai serta disukai.” (Surah Maryam, ayat 5-6)

Baginda memohon dikurniakan seorang anak lelaki untuk menyambung tugasnya sebagai Nabi jika dia sudah menemui Ilahi nanti. Lalu, akhirnya Allah SWT memakbulkan permintaan Nabi Zakaria .

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya): Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang menggembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya.” (Surah Maryam, ayat 7)

Kisah dirakamkan dalam al-Quran ini adalah cerita yang memberikan motivasi kepada kita bagi memahami rakaman Allah SWT terhadap seorang daripada hamba-Nya yang penuh dengan ketaatan dan pengharapan akan dikabulkan permintaannya.

Pertama, Nabi Zakaria mengurus kesedihan dengan doa yang penuh lemah-lembut dan merasai Allah SWT betul-betul mendengar permintaannya. Sebahagian ulama menyatakan, Nabi Zakaria menghilangkan perkataan ‘Ya Allah’, tetapi diganti ‘Allah, Engkau Tuhanku’ dengan penuh rasa jiwa kehambaan.

Kedua, faktor pendesak seperti telah terlalu tua sehingga banyaknya uban, menjadikan Nabi Zakaria amat merasakan kesedihan dalam hatinya tidak dikurniakan seorang zuriat untuk menyambung perjuangannya.

Sebagai hamba, jika kita memohon sesuatu daripada Allah SWT, tentulah mempunyai sebab mengapa ingin doa kita dimakbulkan oleh Allah SWT. Bukanlah permintaan dan permohonan kita itu hanya untuk melepaskan hajat semata-mata tetapi mempunyai ‘asbab’ penting supaya diterima.

Nabi Zakaria tak pernah bosan berdoa

Ketiga, Nabi Zakaria tidak pernah berasa bosan meluahkan permintaannya dalam doa. Oleh itu, dalam keadaan kita diuji dengan sesuatu perkara yang tidak mampu ditanggung, wajar sebagai hamba untuk terus berdoa tanpa henti biarpun dalam keadaan senang atau susah.

Keempat, kepercayaan terhadap kuasa Allah SWT menentukan sesuatu perkara itu adalah lebih utama. Memikirkan logik akal, seorang yang sudah di hujung usia dan mempunyai isteri yang mandul, pastilah tidak akan dapat melahirkan zuriat.

Bagaimanapun, Allah SWT ingin mendidik jiwa hamba bahawa faktor penentu sesuatu kehendak dan keputusan bukanlah di tangan kita sebagai makhluk, tetapi atas kudrat Allah SWT.

Justeru, memahami perjalanan kisah Nabi Zakaria memberi teladan kepada kita sejauh mana untuk kita (hamba) mengurus kesedihan. Kita berhak meminta, Allah SWT berhak memakbulkan permintaan hamba-Nya

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: