Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for April 2015

8 Jenis angin baik dan buruk

Posted by epondok di April 30, 2015

ANGIN adalah makhluk Allah SWT yang sangat hebat. Ada masa tiupan mesranya membawa rahmat dan ada masanya hembusan ganasnya memusnahkan alam. Dalam bicara al-Quran, perkataan “angin yang muncul dalam lafaz banyak (plural) – al-riyah membawa erti tiupan angin yang baik bersadur rahmat, manakala perkataan “angin yang muncul dalam lafaz tunggal (singular) – al-rih membawa maksud tiupan angin azab yang memusnahkan manusia.

Ayat ini menjadi contohnya, Allah berfirman yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya, jika Kami hantarkan angin (menyerang tanaman) lalu mereka melihat tanaman itu menjadi kuning kering, nescaya mereka sesudah itu, terus kembali kufur (tidak mengenangkan nikmat-nikmat Allah serta berputus asa). (al-Rum: 51)

Saya langsung terpegun ketika meneliti tafsir ayat ini. Imam Ibnu Kathir mengutip sebuah athar (riwayat daripada sahabat) daripada Imam Ibnu Abi Hatim yang menceritakan bagaimana Abdullah ibnu Amru membahagikan angin yang disebut al-Quran kepada lapan jenis. Empat angin baik dan empat angin azab. (Tafsir Ibnu Kathir)

Empat angin rahmat itu adalah al-dhariyat, al-mursalat, al-mubasysyirat dan al-nasyirat. Semua angin ini disebut pada awal surah al-Dhariyat (51:1), surah al-Mursalat (77: 1 & 3) dan surah al-Rum (30:46).

Angin pemusnah

Angin azab juga berjumlah empat, dua daripadanya memusnahkan makhluk di darat dan dua lagi di lautan. Angin pemusnah di daratan adalah al-sarsar dan al-‘aqim. Manakala dua jenis angin pemusnah di daratan ini disebut dalam kisah pemusnahan kaum ‘Ad dalam surah al-Dhariyat (51:41) dan surah al-Haqqah (69:6).

Dua angin pemusnah di lautan pula al-qasif dan al-‘asif. Kedua-duanya disebut dalam surah al-Isra’ (17:69) dan surah Yunus (10:22).

Subhanallah! Hebat sungguh para sahabat yang bernafas dengan al-Quran kerana mampu melihat rahsia alam dengan memerhatikan isi kandungan al-Quran. Jika riwayat ini sahih, penemuan Abdullah ibnu Amru ini berlaku jauh sebelum ilmu kaji cuaca atau meteorologi ditemui manusia moden.

Inilah sebabnya Allah SWT mengarahkan kita memerhatikan isi kandungan al-Quran secara mendalam kerana padanya terdapat banyak rahsia alam yang sangat berguna untuk manusia. Ya Allah! Kayakan ilmuku dengan al-Quran

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Ujian Allah mengukur tahap iman

Posted by epondok di April 29, 2015

dr. muhaya muhamad

 

Usah bersedih jika kita diuji Allah. Hidup ini merupakan satu ujian kepada makhluk Allah, dan di akhirat kita akan mendapat balasan ke atas apa-apa jua yang kita lakukan di dunia ini. Oleh sebab itu, setiap yang berlaku terhadap diri kita merupakan satu ujian. Lagi susah kita mendapat ujian, lagi tinggilah makam kita di sisi Allah SWT. Jangan mengeluh, menyalahkan, dan merungut apabila menerima ujian Allah, kerana Allah sedang menyediakan markah atau pahala yang tinggi kepada hamba-Nya yang reda.

Terimalah semua perkara yang berlaku, sebagai qada dan qadar Allah. Yang semuanya telah ditakdirkan Allah kepada kita hamba-Nya, dan tidak terdaya kita mengelakkannya. Sebab kita tidak boleh kawal apa yang berlaku ke atas kita, tetapi kita hanya boleh kawal respons kita terhadap apa yang berlaku berdasarkan pilihan kita (negatif atau positif). PERISTIWA + RESPONS = HASIL KEHIDUPAN kita. Oleh sebab itu faktor yang menentukan HASIL KEHIDUPAN kita (4K= Ketenangan, Kebahagiaan, Kesihatan dan Kekayaan) adalah respons kita.

Bagaimanakah kita hendak menghadapi ujian Allah? Kita mesti yakin, bahawa Allah hanya beri ujian atas apa yang hamba-Nya boleh tangani. Sebab itu setiap orang akan menghadapi, cabaran, cubaan atau ujian yang berlainan atau berbeza-beza berdasarkan kemampuan kita.

Contohnya, kalau ada orang yang diuji Allah, ditakdirkan kematian seorang anak terunanya kerana kemalangan jalan raya, ada orang pula diuji kematian seluruh keluarganya kerana kemalangan jalan raya.

Lantaran itu, setiap kali kita berhadapan dengan ujian Allah, pada saat kita hendak berasa sedih dan hilang semangat, lihatlah dan kenangkanlah orang lain yang lebih berat ujiannya, jika dibandingkan dengan yang kita alami. Itu adalah satu cara proses “reset minda”.

Jom audit diri dan marilah kita melihat masalah atau ujian Allah itu, sebagai satu peluang untuk kita dapat dua perkara. Pertama, macam mana dengan sebab ujian itu kita akan menjadi lebih dekat dengan Allah. Kedua, bagaimana dengan peristiwa itu, kita belajar tentang diri kita. Sebab kita akan lebih mengenali diri kita sebaik-baik sahaja kita ada masalah.

Dalam keadaan bahagia manusia tidak tahu dirinya yang sebenar. Tetapi, dalam keadaan bermasalah dan krisis, baru kita tahu diri kita yang sebenar. Iaitu ukurannya berdasarkan respons atau tindak balas kita terhadap sesuatu peristiwa negatif itu.

Apakah reaksi spontan kita apabila berlaku peristiwa negatif? Contohnya, kalau orang yang hidup dengan kesedaran ketuhanan (mukmin sejati), apabila berlaku kemalangan kereta, reaksi spontannya, dia akan pergi tengok kereta orang dahulu, sama ada kemek atau tidak, bukan dia tengok keretanya dahulu.

Seorang mukmin sejati, sangat sayang sesama manusia dan dia akan segera memohon maaf dan mengambil tanggungjawab atas kesilapannya. Tetapi, orang yang kesedaran keegoannya tinggi, tidak pedulikan perasaan dan kebajikan orang, asyik fikir dirinya, yang penting keretanya dan dia hanya mencari siapa salah, serta sikapnya akan menyalahkan orang. Perhatikan, dua peristiwa yang sama, tetapi menghadapi respons yang berbeza.

Respons itu positif atau negatif, berdasarkan atau bergantung pada kemantapan akidah, ibadah dan akhlak seseorang itu dalam menangani ujian Allah.

Bagaimanakah pula kita melihat ujian Allah itu? Bagi orang yang berjiwa besar, masalah akan menjadi kecil. Orang berjiwa kecil semua masalah menjadi besar. Kalau hendak tahu kita berada dalam kelompok yang mana, sama ada dalam kalangan orang yang kesedaran ketuhanan yang tinggi atau kesedaran keegoan yang tinggi, kita nilai percakapan yang keluar daripada mulut kita apabila ditimpa musibah.

Menyalahkan

Kalau berlaku sesuatu musibah atau ujian Allah, kita akan berkata perkara yang negatif seperti, “saya serabut,” “memang Tuhan tidak sayang saya,” “Allah tak adil,” dan “nasib saya memang malang selalu,” maka kita perlu “reset minda.”

Iaitu ubah cara atau persepsi kita terhadap kejadian buruk yang berlaku ke atas kita itu, dengan melihat segala kejadian buruk itu sebagai ujian Allah untuk melihat tahap keimanan kita. Jika kita asyik merungut, mengeluh dan menyalahkan orang serta menyalahkan ketidakadilan Allah, kita akan menjadi semakin lemah, hilang semangat dan keyakinan, untuk terus menempuh hidup yang lebih mencabar setelah ditimpa ujian Allah.

Oleh sebab itu, kalau kita hendak tahu kuat atau tidak akidah kita, apabila sesuatu berlaku sama ada positif atau negatif, kita mesti ingat Allah dahulu. Kalau sesuatu yang berlaku kita ingat makhluk, itulah yang penat.

Kita penat sebab kita sibuk dengan makhluk. Kalau kita bermasalah pun kita letakkan harapan dan pergantungan kita kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Bayangkan kalau kita sedang berjalan mengangkat satu beg atau beban yang berat, tiba-tiba datang orang hendak membantu kita, tentu kita akan berasa lega kerana ada orang yang sanggup bersama-sama kita menggalas beban yang berat itu.

Tetapi, kalau kita hendak berkongsi menggalas beban yang berat bersama-sama orang yang lemah sama seperti kita (makhluk Allah), tentu tiada maknanya. Makhluk tidak dapat meringankan atau menyelesaikan masalah kita, bahkan sebaliknya membuatkan masalah kita menjadi lebih rumit. Jangan sesekali bergantung kepada makhluk, jangan minta orang bimbing kita tetapi kita pergilah mencari ilmu. Mantapkan ilmu, berguru dan perbetulkan diri kita.

Contohnya, ada orang yang diuji Allah kehilangan penglihatan, sesudah tamat pengajiannya. Orang yang menerima ujian ini perlu mencari penyelesaian dari segi luarannya, dengan mendaftar sebagai orang cacat penglihatan bagi membolehkannya mencari peluang pekerjaan bersesuaian dengan kemampuannya.

Seterusnya carilah penyelesaian dari segi dalaman pula, dengan cara hapuskan kesedihan, perasaan rendah diri dan merungut akan kelemahan dirinya dengan cara pertama, jangan fokus kepada apa yang kita tidak ada, tetapi fokuslah kepada apa yang kita ada, (terlalu banyak lagi yang kita ada yang masih sempurna).

Kedua, jangan kita terlalu fokus kepada perkara yang lepas (dahulu kita nampak, sekarang sudah tidak nampak), kerana akan melemahkan semangat). Ketiga, kita fokus kepada apa yang orang hendak untuk kita, bukan apa yang kita hendak. Ingatlah, Allah tidak akan memberi sesuatu kecuali untuk kebaikan hamba-Nya, biarpun ia merupakan perkara yang buruk di mata kita hamba-Nya. Sabar dan reda, serta rasakan dugaan daripada Allah itu tanda Allah sayang akan kita.

Pejamkan mata rapat-rapat, kita akan dapat bayangkan banyak perkara baik yang boleh kita fokus, sebab apabila kita menutup “mata fizikal”, “mata hati” akan terbuka. Bayangkan, orang yang diuji Allah di dunia nampak susah, tetapi dari segi akhirat jika kita sabar dan reda, kita akan mendapat kesejahteraan hidup di sana.

Penyakit dan masalah manusia hari ini adalah kerana lebih yakin kepada manusia daripada keyakinan kepada Allah. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

‘Hati mati’ doa tak makbul

Posted by epondok di April 28, 2015

Oleh Nik Hasnah Ismail

Cepat atau lambatnya doa diperkenankan adalah urusan Allah SWT. Bagaimanapun doa yang tidak dimakbulkan disebabkan jiwa dan hati berprasangka buruk terhadap Allah SWT selain tidak menuruti adab berdoa. Oleh itu, amalan baik menjadi kunci doa dimakbulkan.

Ikuti kupasan doa oleh Ustaz Syed Mohd Norhisyam dalam rancangan Tarbiah. Rasulullah SAW bersabda: “Doa seseorang sentiasa akan dimakbulkan selama dia tidak berdoa untuk perbuatan dosa atau pun untuk memutuskan tali silaturahim dan tidak terburu-buru. Seorang sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan terburu-buru? Rasulullah SAW menjawab: Yang dimaksudkan dengan terburu-buru adalah apabila orang yang berdoa itu mengatakan: Aku telah berdoa dan terus berdoa, tetapi belum juga dikabulkan. Setelah itu, ia berasa putus asa dan tidak pernah berdoa lagi.” (Riwayat Muslim)

Doa adalah satu bentuk harapan kerana manusia sangat mengharap pertolongan dan bantuan daripada Allah SWT. Rasulullah SAW menjelaskan doa adalah senjata bagi Mukmin. Ini bermakna besarnya peranan dan kedudukan doa pada saat tiada tali kebergantungan selain doa kepada Allah SWT. Menerusi rancangan Tarbiah, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang menjelaskan, Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang tidak pernah lupa untuk memakbulkan doa hamba-Nya yang ikhlas mengharap ihsan-Nya. Allah SWT tahu apakah perkara baik dan tidak baik untuk setiap hamba-Nya. Doa kita kepada Allah SWT ada yang dimakbulkan-Nya dan ada juga belum diperkenankan. Malah ada doa yang tidak dimakbulkan langsung. Allah berhak tidak makbul doa Allah SWT yang Maha Berkuasa berhak untuk tidak memakbulkan doa hamba-Nya jika perkara yang diminta itu tidak membawa sebarang kebaikan. Hikmah di sebalik setiap doa yang tidak dimakbulkan kerana Allah SWT memberikan apa yang manusia perlu bukan apa yang dia mahu. Berkongsi lebih lanjut mengenai doa yang tidak dimakbulkan Allah SWT, Syed Mohd Norhisyam berkata, sesungguhnya kita perlu yakin dan percaya bahawa Allah SWT telah berjanji tidak akan membiarkan dan menghampakan hamba-Nya yang memohon sesuatu dengan sepenuh hati kepada-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan aku perkenankan permohonan itu.” (Surah Mukmin, ayat 60)

Antara ciri-ciri doa yang tidak dimakbulkan adalah doa yang tidak dilakukan secara sepenuh hati. Ertinya, doa yang dimohon kepada Allah SWT, tetapi tidak disertakan dengan keyakinan terhadap kasih sayang dan kekuasaan Allah SWT. Melalui satu riwayat mengenai ulama terkenal iaitu Al-Imam al-Faqih Abu al-Lais yang didatangi satu kumpulan pemuda, ingin menanyakan perihal doa mereka. Selepas berkali-kali mereka berdoa, tetapi tidak pernah dimakbulkan oleh Allah SWT. Lalu mereka mempertikaikan ayat al-Quran mengenai Allah SWT memperkenankan doa mereka. Antara ayat itu ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Apabila hamba-Ku bertanya mengenaiKu, maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku perkenankan orang yang berdoa.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Lalu mereka bertanya lagi, apakah ayat al-Quran itu silap atau salah? Al-Imam al-Faqih menjawab: “Ayat itu tidak ada yang silap atau salah. Tetapi yang berdoa itu tidak pernah ambil tahu mengenai kesalahan atau kesilapannya. Oleh itu, wahai orang muda! Jangan pernah ada di hati kamu mempertikaikan ayat al-Quran itu. Seterusnya imam yang mulia itu berkata: Sebab doa tidak disahut oleh Allah SWT kerana hati orang yang berdoa itu mati.” Begitu juga dalam satu riwayat lain, kisah seorang ahli sufi yang sangat masyhur bernama Ibrahim Adham. Beliau pernah ditanya oleh orang ramai ketika berada di tengah pasar Basrah di Iraq: “Mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah SWT, pada hal kami selalu berdoa? Lalu Ibrahim Adham menjawab: Doa tidak dikabulkan kerana hati kamu telah buta (mati).” Bersih jiwa daripada prasangka Oleh itu, setiap Mukmin wajib membersihkan jiwa dan hatinya daripada sebarang prasangka buruk terhadap Allah SWT. Sebaliknya, memperbanyakkan istighfar dan amalan yang mendekatkan diri kepada-Nya. Hati yang hidup dengan zikrullah dan selawat kepada Baginda Rasulullah SAW akan sentiasa hidup dan dekat dengan-Nya. Amalan yang baik inilah menjadi kunci kepada mudahnya doa kita dimakbulkan Allah SWT.

Menurut Mohd Norhisyam, ada beberapa adab dan peraturan disunahkan supaya mendapat kelebihan dan barakah daripada Allah SWT serta supaya doa dimakbulkan. Berdoalah dengan suara yang lembut, penuh keyakinan terhadap Allah SWT, menghadap kiblat, berwuduk, berdoa pada waktu mustajab dengan merendah diri dan mengharapkan hanya kepada Allah SWT. Doa orang yang tidak dimakbulkan oleh Allah SWT antaranya disebabkan seorang itu mengakui wujudnya Allah SWT, tetapi tidak pernah menunaikan hak dan tanggungjawab kepada Allah SWT. Membaca al-Quran, tetapi tidak pernah mengamalkannya, mengakui umat Nabi Muhammad SAW, tetapi tidak pernah mengamalkan sunahnya, tidak pernah bersyukur terhadap segala nikmat kurniaan Allah SWT, mengakui mati itu adalah benar, tetapi tidak pernah bersedia untuknya. Oleh itu, marilah kita membersihkan hati dengan menjadi Mukmin yang bertakwa kepada Allah SWT dan pada masa sama meyakini ayat suci al-Quran serta hadis Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kita menuruti adab berdoa kepada Allah SWT supaya doa kita dimakbulkan-Nya. Diriwayatkan oleh at-Tarmizi, “Rasulullah SAW pernah ditanya: Doa yang manakah yang paling didengar (diterima)? Jawab Baginda: Doa pada akhir malam dan selepas solat wajib.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kebajikan keluarga patut diutamakan

Posted by epondok di April 27, 2015

Oleh Maslina Alias

Meluangkan masa makan bersama keluarga dapat mengeratkan lagi silaturahim.

Allah SWT sentiasa berpesan supaya kita menjaga silaturahim sesama manusia kerana ia amat dituntut dalam agama.

Ikuti kupasan Ustaz Basir Mohamed mengenai pentingnya memupuk kasih sayang terhadap keluarga dalam Usrati di radio IKIMfm. Allah SWT berpesan supaya menjaga hubungan silaturahim sesama manusia. Malah Allah SWT memberi peringatan menjaga silaturahim adalah satu nikmat yang tidak semua orang dapat merasainya, kecuali mereka diberikan hati yang sentiasa berlapang dada terhadap orang lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah SWT dan ingatlah akan nikmat Allah SWT kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah SWT menyatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah SWT orang yang bersaudara dan kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya.” (Surah al-Hujurat, ayat 103)

Jika silaturahim sesama manusia dituntut dalam agama, apatah lagi hubungan silaturahim dalam keluarga yang juga satu tanggungjawab besar. Allah SWT memberi peringatan kepada Nabi Muhammad SAW untuk menjaga dirinya dan ahli keluarganya daripada azab neraka. Firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Keluarga adalah perkara utama dalam membina masyarakat harmoni dan berkasih sayang. Keluarga yang baik akan melahirkan masyarakat yang baik dan berakhlak mulia. Oleh itu, dalam melakukan kebaikan, ahli keluarga kelompok paling utama perlu diberi perhatian. Rasulullah SAW adalah model terbaik dalam membina keluarga, seterusnya membina masyarakat dan ummah yang mempunyai keperibadian mulia. Baginda SAW begitu sayang kepada ahli keluarga dan menyantuni bapa saudaranya, Abi Talib yang masih belum beriman dengan agama Allah SWT. Baginda bukan sahaja mengharapkan kebaikan pada dirinya, bahkan mengharapkan kebaikan untuk ahli keluarganya. Dakwahnya tidak terhenti kepada Abi Talib sehinggalah bapa saudaranya itu meninggal dunia. Janganlah kita mengharap untuk memasuki syurga Allah SWT bersendirian, tetapi tanamlah perasaan dalam diri untuk memasuki syurga bersama ahli keluarga kita.

Golongan salihin dahulu menghafal nama ahli keluarga mereka sehinggalah pada nasabnya kerana mereka begitu menyayangi ahli keluarga. Contohi Imam Syafie Ustaz Basir Mohamed mengambil contoh kisah Imam Syafie yang pernah ditanya siapakah namanya. Maka dijawab oleh Imam Syafie nama beliau sehinggalah pada nasabnya Nabi Adam. Ini menunjukkan betapa mereka menyayangi dan mengambil tahu berkenaan ahli keluarga mereka. Agak malang jika kita bukan sahaja tidak mengambil berat akan ahli keluarga, malah langsung tidak mengenali mereka.

Perkara utama dalam menjaga kebajikan ahli keluarga adalah dengan menasihati, mengajar dan membimbing mereka mengetahui secara jelas perintah serta larangan Allah SWT. Seterusnya mentaati segala perintah itu sebagai usaha berterusan untuk selamat daripada azab neraka. Dua perkara tauhid yang paling besar adalah menyembah Allah SWT dan sekali-kali tidak mensyirikkan-Nya. Suruhan utama yang datang selepas itu adalah berbuat baik dan ihsan kepada ahli keluarga. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sembahlah Allah SWT dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, ahli keluarga, anak yatim, orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri. Sebelum kita melakukan kebaikan kepada orang lain, perlu dilihat adakah kebaikan atau ihsan kita sampai kepada kedua-dua ibu bapa dan ahli keluarga kita terlebih dahulu.” (Surah an-Nisaa’, ayat 36)

Lakukan kebaikan dengan ikhlas Basir mengajak pendengar jangan sekali-kali melakukan kebaikan hanya untuk mendapat pengiktirafan manusia. Tidak kurang manusia yang melakukan kebaikan hanya kepada orang lain untuk diperlihatkan kebaikan itu kepada masyarakat, sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga sendiri. Kebaikan yang dilakukan adalah untuk mendapat keredaan daripada Allah SWT, bukan pengiktirafan manusia. Jika kebaikan yang diberikan kepada orang lain, maka kepada ahli keluarga adalah lebih daripada itu iaitu memberikan ihsan. Ada kala melakukan kebaikan kepada orang lain itu sangat mudah berbanding melakukan kebaikan kepada ahli keluarga. Belum tentu seseorang yang dipandang masyarakat itu baik adalah orang yang baik terhadap ahli keluarganya.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi) Basir memetik firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya (sakinah) dan dijadikan-Nya di antaramu mawaddah dan rahmah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah ar-Ruum, ayat 21)

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Perlakuan ibu bapa cermin peribadi anak

Posted by epondok di April 26, 2015

Oleh Norhayati Padari

Bapa berperanan menekankan ajaran Islam dalam diri anak bagi melahirkan generasi yang berakhlak mulia.
Anak adalah anugerah Tuhan dan sebagai amanah kepada ibu bapa untuk mengenalkan kepada Pencipta. Anak yang terdidik dengan acuan Pemberi amanah tidak akan menderhaka.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi turut menekankan keikhlasan ibu bapa dalam mendidik anak menerusi program Islam itu Indah. Kisah yang pernah berlaku pada zaman Khalifah Umar al Khattab, menunjukkan besarnya peranan mendidik anak. Riwayat masyhur itu bermula apabila seorang lelaki mengadukan hal anaknya yang derhaka. Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta lupa kepada hak bapanya. Anak itu menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas bapanya?” Umar menjawab: “Ya.” Dia bertanya lagi, “Apakah ia wahai Amirul Mukminin?” Jawab Umar, “Memilih ibunya, memberikan nama yang baik dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran).” Anak itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya bapaku tidak pernah melakukan satu pun perkara itu. Mengenali ibu saya, dia dahulunya seorang hamba berkulit hitam dan tuannya seorang Majusi. Saya pula dinamakan ‘Ju’olan’ iaitu sejenis kumbang biasa berwarna hitam. Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf daripada al-Quran”. Umar lantas berkata kepada lelaki itu, “Kamu datang mengadukan kederhakaan anakmu, walhal kamulah yang telah menderhakainya. Kamulah yang telah berlaku jahat sebelum dia berlaku demikian terhadapmu.”

Begitulah, Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran kecuaiannya dalam mendidik anaknya. Didikan, tarbiah seumpama akar atau nyawa generasi Sungguh besar peranan mendidik ini sehingga digambarkan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah minggu lalu bahawa didikan dan tarbiah seumpama akar atau nyawa bagi generasi. Bahananya, generasi yang berdiri tanpa didikan memang masih mampu berdiri, tetapi dalam keadaan lemah dan sentiasa terjajah oleh musuh-musuhnya. Setiap individu ada peranan dalam mendidik. Menjadi kewajipan ibu bapa mengenalkan anak kepada Rasulullah SAW dan cinta terhadap Baginda. Ia hanya akan terlestari jika ibu bapa terlebih dahulu kenal dan cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Mengenali dan mencintai tidak hanya terletak kepada pengetahuan salasilah Baginda SAW, tetapi ia sangat berkait rapat dengan rasa dan tindakan. Seni memindahkan rasa cinta kepada diri anak bukan sekadar menerusi lisan, malah perbuatan yang hadir dari hati dan dilakukan sepenuh hati.

Anak adalah cermin dan pantulan daripada pelakuan ibu bapanya. Setiap yang terzahir daripada sifat dan tabiat anak seharusnya menjadi musabab buat ibu bapa dan bukannya modal melampiaskan marah. Sebagaimana ingatan Umar kepada si ayah, sesungguhnya anak derhaka itu hanyalah produk hasil ibu bapa yang derhaka terlebih dahulu. Tidak dapat dinafikan, terkadang kita tergelincir dalam mendidik anak. Maka, perbanyakkan taubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT. Bersungguh dalam memohon keampunan menerusi keinginan dan kemahuan untuk terus belajar dalam mendidik tanpa mengira faktor usia dan status dalam masyarakat dan keluarga. Anak adalah anugerah, tetapi ia tidak terhenti sekadar itu. Ia juga adalah amanah. Kita perlu sentiasa ingat bahawa anak itu dipinjamkan Allah untuk diusahakan kerana pada akhir nanti anugerah itu akan kembali kepada Penciptanya.

Disebabkan anak itu amanah, wajib bagi ibu bapa mendidik mereka mengikut acuan Pemberi amanah. Acuan yang ditetapkan berupa tujuan hidup anak itu iaitu menjadi hamba Allah dan menjadi khalifah yang memberi manfaat kepada yang lain. Menjadi anak yang baik dan memberi kebaikan. Oleh itu, penting bagi anak ini diterapkan dari awal lagi berkenaan ilmu wahyu untuk mengenal Penciptanya dan perlu juga menguasai ilmu fardu kifayah bagi memudahkan matlamat kedua iaitu untuk memberi manfaat pada yang lain. Anak cinta Allah akan kenal ibu bapa Ibu bapa perlu yakin, anak yang kenal dan cinta Allah secara tidak langsung akan kenal dan cinta ibu bapanya. Anak yang lupa Allah, bukan sekadar lupa ibu bapanya bahkan akan lupa dirinya. Hilang cinta pada diri ini menuju kepada kebinasaan. Apabila anak itu sedar mengenai cinta Allah, sekali gus terdidik bahawa reda Allah terletak pada reda ibu bapanya.

Disamping, cinta Allah akan merapatkannya dengan al-Quran yang terkandung di dalamnya berkenaan berbuat baik dan mendoakan ibu bapa. Sesungguhnya, apabila ada cinta Allah, individu itu memiliki segala-galanya, tetapi jika dia miliki segala-galanya tanpa cinta pada Allah nescaya dia hilang segala-galanya. Kiraannya mudah, jika kita mengajar anak mengenali Allah tanpa mengharapkan sebarang balasan, nescaya Allah akan memberi ganjaran lebih banyak. Selagi jasa selaku ibu bapa perlu dikenang oleh anak, selagi itu juga anak akan melupakan jasa baik ibu bapanya berpunca daripada terlepas didikan wajib yang utama iaitu mengenal Pencipta mereka yang juga Pencipta kepada kedua ibu bapanya. Didik anak seikhlasnya tanpa menjangkakan sebarang balasan. Proses didikan sewajarnya bermula dari hati. Didik anak itu amanah bukannya jasa. Sebelum mendidik orang lain ada baiknya terlebih dulu didiklah hati sendiri.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Perkuat akal melalui ilmu

Posted by epondok di April 23, 2015

Mazlina Ismail
Akal memainkan peranan penting dalam membina kekuatan diri. Islam menggalakkan penggunaan akal, namun bukan akal secara mutlak dan bersendirian sebaliknya akal yang dipandu dengan panduan agama dan syariat.
Felo Utama dan Pengarah Syarak, Dr Mohd Farid Mohd Syahran menyentuh hal ini dalam bicaranya mengenai ‘Membina Kekuatan Jiwa Dalam Pendidikan’ yang bersiaran dalam program Guru dan Pendidikan di radio IKIMfm, hari Selasa jam 5.15 petang.
Terdahulu, beliau mengupas perkataan jiwa itu sendiri yang sering dikenali sebagai kalbu, roh, diri dan satu lagi istilah ialah ‘akal’. Akal sentiasa dirujuk kepada intelek, aspek logik, aspek rasional dan kalau dirujuk kepada al-Quran, ‘akal’ amat rapat dan sentiasa merujuk kepada perkara yang tinggi termasuklah aspek ketuhanan. Mereka yang kuat akalnya itulah orang yang dekat dengan ketuhanan. Orang yang kuat akal akan menjadi orang yang mampu mengawal emosinya. Perkara ini perlu dijelaskan kerana kita tidak boleh menjauhkan ‘akal’ itu dari aspek ketuhanan kerana ada kecenderungan dalam masyarakat kita yang melihat bahawa penilaian akal itu tidak benar dan hanya bersifat duniawi semata-mata, tersasar daripada iman dan membawa kesesatan. Kecenderungan ini kurang tepat kerana ‘akal’ juga memainkan peranan penting dalam Islam dan lantaran itulah kita sering menemui ayat-ayat al-Quran yang menyebut ‘afala ta’qilun’ atau ‘afala tatafakkarun’ dan seumpamanya (kenapa kamu tidak berfikir?).
Galak akal berfikir kebesaran Allah Islam menggalakkan penganutnya menggunakan akal dalam memikirkan tanda kebesaran Allah SWT. Orang yang serius dalam menggunakan akalnya itu akan menghampiri kebenaran. Penggunaan akal tidak boleh dipisahkan daripada agama, tetapi akal perlu bergerak seiring agama.
Akal ini mengikut Imam al-Ghazali seperti yang dinukilkan dalam Kitab Ajaib al-Qalb yang merujuk kepada empat perkara. Pertama, pembawaan tabii dalam diri manusia yang membezakan manusia daripada makhluk lain. Maknanya apabila manusia menggunakan akal yang juga tabii dalam dirinya dengan betul dan memperkukuhkan elemen yang membawa kepada kuatnya akal, ia mampu membezakan manusia dengan haiwan. Bahkan ia menjadi manusia sebagai makhluk yang sebaik-baik kejadian (ahsanul taqwim). Oleh itu, untuk menjadi manusia yang paling baik ialah dengan cara memperkuatkan akal dan cara memperkuatkan akal itu ialah melalui ilmu. Lantaran itu, kita sering mendengar pesan orang tua-tua dahulu setiap kali menghantar anak mereka ke sekolah dengan ungkapan “kau pergi sekolah ini agar menjadi manusia”. Sebenarnya orang tua dulu faham mengenai falsafah pendidikan itu sendiri dalam konteks yang paling mudah difahami iaitu untuk melahirkan manusia kerana hanya dengan ilmu sahajalah ‘manusia’ sebenarnya akan dapat dilahirkan. Tanpa ilmu walaupun manusia itu jasadnya manusia, namun akhlak dan peribadinya mungkin lebih teruk daripada binatang bahkan lebih daripada itu sehingga adanya istilah yang sering digunakan iaitu ‘syaitan bertopengkan manusia’ sebagai menggambarkan bagaimana sifat manusiawi yang mulia itu sudah tiada pada individu berkenaan.
Maksud kedua mengikut Imam al-Ghazali, akal itu ialah apabila ilmu daruri atau ‘ilmu yang pasti’ datang pada diri seseorang. Oleh itu, dalam Islam ada istilah ‘akil baligh’ yang merujuk kepada sampainya umur akalnya dan kemampuan akal untuk menerima tanggungjawab (taklif). Justeru, mereka ini disebut mukalaf iaitu orang yang dipertanggungjawabkan. Kenapa mereka mula dipertanggungjawabkan? Kemampuan akal mereka untuk memilih baik dan buruk, benar dan jahat. Sekiranya akal mereka masih belum sempurna untuk menilai dan membezakan sesuatu, maka selama itu mereka tidak dibebankan dengan tanggungjawab. Kepentingan akal dalam agama Oleh sebab itu kanak-kanak, orang gila atau orang terlalu tua yang sudah nyanyuk atau lemah daya akalnya tidak lagi dibebankan dengan tanggungjawab agama kerana kemampuan akalnya yang sudah tidak sempurna. Ini jelas menunjukkan betapa akal itu amat penting dalam agama.
Ketiga, akal merujuk kepada pengalaman hidupnya. Jika seseorang itu lama hidupnya, lebih banyak pengalamannya dan sepatutnya lebih kuat daya akalnya.
Keempat, akal itu merujuk kepada kekuatan dalam diri membolehkan seseorang itu mengetahui akibat sesuatu itu baik atau buruk. Lagi kuat seseorang itu untuk membuat penilaian terhadap baik buruk sesuatu perkara, maka menjadi dalil betapa kuat akalnya. Sebab itu antara ciri pemimpin ialah memiliki akal yang ‘tadabbur’ iaitu mampu merenung jauh dalam setiap tindakan yang diambil. Jika pemimpin tidak mampu membuat analisis dengan lebih baik terhadap sesuatu baik atau buruk, maka beliau bukan seorang pemimpin yang baik.
Bagaimana pula cara untuk memantapkan daya pemikiran dan akalnya? Akal manusia ini mempunyai kemampuan menggambarkan (tasawur) sesuatu. Sebagai contoh konsep kecantikan mampu digambarkan secara automatik oleh akal. Akhirnya manusia seakan boleh sepakat terhadap sesuatu itu cantik, walaupun ia sesuatu yang bersifat konsep dan abstrak. Begitu juga apabila kita melihat kereta atau pokok. Kita seakan sepakat mengenai konsep kereta atau pokok dalam akal kita. Begitu juga peranan akal ialah menyusun cara berhujah, menggunakan premis yang logik dalam menyampaikan kepada kesimpulan atau rumusan. Dalam gagasan pendidikan baharu bagi melahirkan pelajar yang mampu berfikir aras tinggi, kemampuan akal perlu dipertingkatkan sehingga mampu membuat perbandingan, menganalisis (analitikal), dan mengaplikasi teori baharu dalam kehidupan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Mulut punca 
utama masuk neraka

Posted by epondok di April 22, 2015

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

IMAM al-Ghazali berkumpul dengan anak-anak muridnya dan bertanya enam soalan. Salah satu daripada soalannya adalah, “Apakah yang paling tajam di dunia ini?”.

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, “pedang”. Benar kata Imam al-Ghazali, tetapi yang paling tajam adalah “lidah manusia”. Sebabnya, dengan lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Lidah yang tidak bertulang mudah menutur dan menghamburkan kata-kata. Dengan nikmat tersebut, manusia boleh menjalin hubungan kemasyarakatan dengan lebih mudah dan lancar. Namun, awas dengan amaran Allah terhadap mereka yang gagal menjaga lidahnya sehingga sering membuat dosa dengan mengumpat dan memfitnah.

Kita juga wajib menyakini bahawa setiap perbuatan atau perkataan di dunia ini akan dipersoalkan di hadapan mahkamah Allah di akhirat kelak.

Jangan kita lupa bahawa di bahu kiri dan kanan ada malaikat pencatat segala kebaikan dan keburukan yang dilakukan. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: “Apa pun kata yang diucap pasti disaksikan oleh malaikat pengawas Raqib dan ‘Atid.” – (Qaaf:18)

Bahaya lisan itu sangat banyak. Sehinggakan pepatah Melayu pun ada menyebut ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana’. Bahkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang hamba apabila menuturkan satu-satu perkataan yang tidak dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, akan membawanya ke neraka yang jarak keluasannya adalah lebih luas dari jarak antara timur dan barat.” – (Muttafaqun ‘Alaih).

Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kini, kelancangan lidah ini boleh disamakan dengan penyebaran maklumat tidak benar melalui Internet terutama melalui laman-laman sosial dan juga khidmat pesanan ringkas (SMS). Bak kata pepatah, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.

Memang tepat bidalan orang tua-tua dahulu. Perbuatan menyebar tohmah dan fitnah akan mencemarkan nama baik orang. Walaupun selepas itu kebenaran terserlah, kerosakan (damage) nama sudah pun berlaku. Ibarat luka, walaupun sembuh tetapi parutnya tetap ada.

Justeru elakkan membuat tohmahan, mengumpat, dakwaan apatah lagi menyebar fitnah. Bagi mengelak terjebak dalam dosa, eloklah kita mendiamkan diri. Ke­cualilah, kita mempunyai fakta yang menyokong sebarang dakwaan tentang kepincangan atau salah guna kuasa yang berlaku.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam…” – (Sahih Bukhari)

Kalimah, “… Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat” membawa maksud sesiapa beriman dengan ke­imanan yang sempurna, yang (keimanannya itu) menyelamatkannya daripada azab Allah dan membawanya mendapatkan reda Allah, “… Maka hendaklah ia berkata baik atau diam” kerana orang yang beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya tentu takut kepada ancaman-Nya, mengharapkan pahala-Nya, bersungguh-sungguh melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

Apa yang utama daripada semuanya itu ialah mengendalikan gerak-geri seluruh anggota badannya. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menurut sesuatu yang tiada dalam pengetahuan (ilmu). Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya kelak pasti akan diminta pertanggungjawabkan.” -(Isra’: 36)

Bersikap diam juga suatu kebijaksanaan dan keadilan, ilmu dan pengetahuan. Malah ada yang menyebutnya sebagai medium pendidikan yang amat bagus dan telah teruji.

Nabi SAW pernah menasihati Abu Zar r.a, “Hendaknya engkau lebih baik diam, sebab diam itu menyingkirkan syaitan dan penolong bagimu dalam urusan agamamu.” – (Musnad Imam Ahmad).

Dengan menghayati peringatan Allah dan Nabi SAW, masyarakat Islam akan menjadi umat yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Sebabnya, kita sudah tiada masa lagi untuk ‘dilalaikan’ dengan mengumpat, mengadu domba dan sebagainya. Dengan yang demikian, hubungan sesama insan bertambah baik dan negara akan bertambah maju dan makmur, insya-Allah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jaga solat awal waktu

Posted by epondok di April 21, 2015

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

Solat adalah amalan paling utama dan yang pertama ditanya semasa di mahkamah Allah kelak. Jika lulus dalam perhitungan di situ, insya-Allah kita akan termasuk dalam golongan al-yamin (kanan) dan mendapat nikmat menjadi ahli syurga.

Beruntunglah bagi mereka yang istiqamah menunaikan solat kerana solat itu membezakan antara orang mukmin dan kafir. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Perbezaan antara hamba (yang beriman dan kafir) ialah meninggalkan solat. (Riwayat Muslim)

Sebagai sesi muhasabah marilah kita melihat kualiti pengibadatan kita kepada Allah SWT. Alhamdulillah bagi orang yang solat tetapi adakah kita solat di awal waktu atau sering melewatkan solat akibat kesibukan bekerja atau dilalaikan dengan urusan dunia?

Secara ringkasnya dalam Mazhab Syafie, waktu solat terbahagi kepada empat iaitu;

Pertama; Waktu Terbaik, iaitu awal waktu.

Kedua; Waktu Ikhtiyar, iaitu hingga sepertiga waktu.

Ketiga; Waktu Jawaz (harus), iaitu hingga sebelum tamatnya waktu (sebelum masuk waktu solat yang lain kecuali subuh di mana waktu tamatnya ialah sebelum terbit matahari).

Keempat; Waktu Hurmah (waktu haram), iaitu menangguh solat hingga ke saat terlalu hujung waktu di mana waktu yang masih tinggal tidak cukup untuk menyempurnakan keseluruhan rakaat solat. Solat jika sempat ditunaikan di dalam waktu sekurang-kurangnya satu rakaat maka ia dikira tunai secara keseluruhannya (sekalipun rakaat selebihnya dilakukan setelah habis waktu). Jika tidak sempat satu rakaat maka keseluruhannya dikira qada.

Solat pada awal waktu amat digalakkan supaya kita memperolehi fadilat selain mengelak daripada kelalaian sehingga terbabas dan berlalunya waktu solat. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah ditanyakan: “Apakah perbuatan-perbuatan yang lebih utama?” Baginda bersabda: “Sembahyang pada awal waktunya”. (Riwayat Abu Daud)

Bagi orang lelaki, afdal untuk mereka solat berjemaah di masjid atau surau yang mana pahalanya memang diketahui berlipat kali ganda berbanding solat bersendirian. Walaupun harus melambatkan solat fardu tetapi adalah haram melambat-lambatkannya sehingga ke suatu waktu yang tidak cukup masa untuk memenuhi semua rukun yang fardu dalam sembahyang.

Andainya memulai pekerjaan sembahyang pada ketika itu, maka tidak harus baginya melakukan yang sunat-sunat, bahkan wajib terus kepada perkara-perkara wajib sahaja dan berniat sembahyang ada’an (tunai), kiranya baki waktu yang tinggal hanya cukup satu rakaat sahaja.

Melewatkan solat juga melibatkan seseorang itu melakukan perkara yang makruh atau sebahagian ulama mengatakan perkara yang haram, iaitu meninggalkan solat berjemaah.

Begitu juga dengan persoalan ajal atau maut. Kita tidak tahu bila saatnya kita akan dijemput menghadap Allah. Yang paling dibimbangi, maut menjemput sebelum sempat solat kerana tidak menunaikannya pada awal waktu.

Tidak dinafikan dalam kesibukan kadangkala ada antara kita yang lalai atau sengaja menggabungkan solat Asar dengan Maghrib (solat di akhir waktu Zuhur dan diikuti solat Maghrib sebaik sahaja masuk waktunya). Renungkan hadis Rasulullah SAW di bawah yang menghalang perbuatan tersebut.

Saad bin Abi Waqas bertanya kepada Nabi SAW mengenai orang yang melalaikan sembahyangnya maka jawab baginda: “Iaitu mengakhirkan waktu sembahyangnya dari waktu asalnya hingga sampai waktu sembahyang lain. Mereka telah mensia-siakan dan melewatkan waktu sembahyangnya, maka mereka diancam dengan neraka wail”.

Ibn Abbas dan Said bin Al-Musaiyib turut mentafsirkan hadis di atas “Iaitu orang yang melengah-lengahkan sembahyang mereka sehingga sampai kepada waktu mereka neraka jahanam tempat kembalinya”.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengumpulkan dua sembahyang tanpa ada halangan, maka sesungguhnya dia telah memasuki pintu besar dari pintu dosa-dosa besar”. (Riwayat Al-Hakim)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Tumpu kesenangan dunia hilang habuan akhirat

Posted by epondok di April 20, 2015

Oleh Ahmad Shukri Yussof
Doa perlu diiringi dengan usaha supaya setiap yang dihajati dimakbulkan Tuhan

Huraian surah Al-Baqarah: Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka.” (Surah al-Baqarah, ayat 201)
Islam agama yang mengajar dan mendidik penganutnya mencari dua kecemerlangan iaitu di dunia dan akhirat. Golongan Mukminin akan memohon daripada Allah SWT kebajikan dan kesenangan dunia serta akhirat. Mereka tidak menentukan jenis kebajikan dan kesenangan itu, malah menyerahkannya kepada pilihan Allah SWT. Mereka mengharapkan Allah SWT memilih untuk mereka apa sahaja kebajikan diketahui-Nya baik dan mereka akan menerimanya dengan penuh kerelaan.
Semasa al-Quran diturunkan terdapat dua golongan manusia yang membulatkan hatinya kepada dunia, mereka mengaut dunia sebanyak-banyak yang mungkin dan selalu sibuk dengan dunia. Ada dua perkara ditekankan dalam ayat ini iaitu dunia dan akhirat, matlamat yang tidak boleh dihasilkan dengan cita-cita atau khayalan, tetapi dihasilkan melalui usaha serta doa berterusan. Doa menjadi pedoman yang lurus dan menguntungkan kerana seseorang boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kepada Allah SWT. Islam tidak mahu orang Mukmin menolak dunia kerana ia tempat mereka berladang untuk akhirat. Namun, pada masa sama Islam mahukan mereka sentiasa ‘mentawajjuhkan’ (menghadapkan diri dan membulatkan hati) kepada Allah SWT dalam urusan di dunia ini. Orang yang memohon hasanah di dunia dan hasanah di akhirat akan memperoleh bahagian yang baik kerana mengikut manhaj lurus.
Bagaimanapun, bahagian itu bergantung sejauh mana usaha dibuat, bukan semata-mata pada perkataan, doa dan zikir yang diamalkan. Berfikir mengenai hari akhirat dan keinginan mendapat bahagian yang sempurna di akhirat, sebagaimana dijanjikan Allah SWT dengan syurga segala kemudahan serta nikmat hanya boleh dilakukan oleh orang yang berpandangan jauh. Golongan berpandangan jauh mengimbangi antara dua tuntutan iaitu akal dan hawa nafsu serta dunia dan akhirat, lalu mereka berdoa untuk kebaikan di dunia serta akhirat. Minta kehidupan lebih baik Meminta kehidupan yang baik di dunia tentulah dengan melakukan sesuatu yang memberikan manfaat kepada usaha, sementara meminta kehidupan baik di akhirat pula adalah dengan keimanan bersih, amal salih dan berakhlak mulia.
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Anas, Nabi SAW telah memanggil seorang daripada kaum Muslimin yang keadaannya seperti anak ayam dicabut bulunya. Lalu Baginda bersabda kepadanya: “Apakah engkau meminta sesuatu daripada Allah SWT dalam doamu?” Jawabnya: “Ya, aku selalu berdoa: Ya Allah, apa yang akan aku terima sebagai azab di akhirat nanti, segerakanlah ia kepadaku di dunia ini sahaja.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Maha Suci Allah! Kalau begitu, tentu engkau tidak akan sanggup dan tidak akan mampu menerimanya. Mengapa tidak kamu ucapkan: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan Nabi mendoakan kebaikan baginya, lalu Allah SWT menyembuhkan penyakitnya.”
Jelaslah sesiapa yang berdoa kepada Allah SWT dan menyerahkan urusannya kepada-Nya dan reda menerima apa sahaja yang diputuskan Allah SWT untuknya, maka segala kebajikan dunia dan akhirat tidak akan terluput daripadanya. Tetapi sesiapa yang menumpukan minatnya kepada kesenangan dunia, maka dia akan kehilangan segala habuan kesenangan di akhirat. Islam tidak mahu orang yang beriman meninggalkan urusan dunia kerana mereka sememangnya dijadikan Allah SWT untuk memerintah dunia ini, tetapi Islam mahu mereka menghadap penuh ketaatan kepada Allah SWT ketika menjalankan urusan dunia dan tidak menyempitkan pandangan hingga menjadikan dunia sebagai pagar yang mengurung mereka. Islam mahu membebaskan manusia daripada pagar bumi yang sempit ini. Islam mahu manusia bekerja di bumi dan menganggap dirinya lebih besar daripada bumi. Islam mahu manusia melaksanakan urusan pemerintahan di bumi dan menjalinkan hubungan yang rapat dengan Allah Yang Maha Tinggi.
Doa, usaha perlu seiring Oleh sebab itu, minat yang tertumpu kepada kehidupan di bumi sahaja adalah minat yang remeh-temeh. Mereka yang minta kebahagiaan dan kebaikan dunia serta akhirat akan diberi oleh Allah SWT apa yang dipinta dalam doa mereka sesuai dengan usaha serta daya usaha mereka. Ini disebabkan mereka telah mencari dunia dengan sebabnya (caranya) dan melakukan usaha untuk akhirat sesuai dengan caranya. Oleh itu, mereka akan memperoleh balasan usaha mereka di dunia dan di akhirat sesuai dengan kadarnya. Pengertian ayat ini seiring dengan firman-Nya yang bermaksud: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata. Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan) dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (Surah as-Syura, ayat 20)
Berdasarkan perbincangan ini, Allah SWT mengajar kita supaya berakhlak semasa berdoa supaya tidak hanya menumpukan kehidupan di dunia sehingga lupa hari akhirat. Kita perlu memohon kejayaan dan kebaikan kedua-duanya serta memohon dimasukkan ke syurga serta dijauhkan dari bahang api neraka.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Niat penentu keberkatan kerja

Posted by epondok di April 19, 2015

Oleh Norhayati Paradi
Pekerjaan bukan sekadar bagi memenuhi keperluan hidup semata-mata tetapi ia mestilah selari dengan syariat supaya rezeki yang diterima diberkati Allah SWT. Ikuti kupasan Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam program Islam Itu Indah.
“Allah berfirman lagi: Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka mereka (pintu rezeki) yang melimpah ruah keberkatannya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Al-A’raaf, ayat 96)
Pekerjaan bukan sekadar memenuhi keperluan hidup, tetapi mempunyai kaitan dengan tujuan hidup iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dan menjadi khalifah yang memberi kebaikan kepada orang lain. Sesungguhnya kerja itu seharusnya bermula dari hati dan penuh hati-hati. Pertemuan bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi minggu lalu, dalam program Islam Itu Indah memberi kesempatan kepada pendengar untuk memahami makna sebenar di sebalik perkataan berkat, terutama menerusi pekerjaan yang majoriti individu dewasa akan memperuntukkan satu pertiga daripada hari dengan aktiviti tersebut.
Keberkatan inilah yang menjadi asas dalam kehidupan dengan iman dan takwa. Menyorot kaedah mencapai keberkatan iaitu iman dan takwa, ulama mentakrifkan iman sebagai sesuatu yang diikrarkan dengan lisan, diakui dengan hati kebenarannya dan dibuktikan dengan perbuatan. Takwa pula memberi makna berhati-hati dan berjaga-jaga dalam hidup agar sentiasa disusun mengikut peraturan daripada Allah SWT. Jelas kedua-dua iman dan takwa ini datangnya dari hati sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Takwa itu letaknya di sini,” sambil meletakkan tangan di dada dan di situ juga letaknya hati.
Panduan melunaskan pekerjaan dengan iman dan takwa dalam meraih keberkatan perlu dimulakan dengan niat yang lazimnya ditunjangi oleh tiga niat utama seseorang iaitu sebagai sumber rezeki bagi membiayai keluarga, untuk memberi kebaikan, menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat dan negara. Niat itu cukup baik, tetapi persoalannya di manakah Allah SWT dalam ketiga-tiga niat tersebut? Bekerja bukan sekadar mencari rezeki, tetapi untuk mencari rezeki halal yang sangat dituntut oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya: “Wahai orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu.” (Surah al-Baqarah ayat 172)
Rasulullah menegaskan juga dalam sabdanya: “Mencari yang halal adalah fardu (wajib) bagi setiap orang Islam.” (Riwayat Dailami). Sesungguhnya, mencari rezeki yang halal berkait dengan Allah SWT. Apabila kerja diniatkan untuk menyara dan membiayai keluarga bagi seorang lelaki dan suami hakikatnya ia adalah kewajipan. Wajib itu takrifan dalam syariat adalah sesuatu yang dibuat dapat pahala dan berdosa meninggalkannya di sisi Allah SWT. Tetapkan niat sebelum mula kerja Begitu juga pada niat kerja kerana ingin memberi kebaikan dan perkhidmatan kepada masyarakat dan negara. Luaskan kefahamannya dengan mengambil sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.” Melakukan tugasan dengan sesuatu yang didorong oleh Rasulullah dan seperti yang termaktub dalam al-Quran bahawa setiap tutur Rasulullah adalah dorongan daripada Allah SWT menerusi firman-Nya: “Demi bintang ketika terbenam. Kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak keliru. Dan tiadalah yang diucapkannya itu (al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (Surah al-Najm, ayat 1 hingga 4).
Dari sudut takwa pula, penting bagi pekerja menghindar perkara haram seperti curi masa, curi tulang, mengumpat, tikam belakang, memfitnah, menindas, rasuah dan banyak lagi. Bagi yang bekerja atas batas takwa, perkara seumpama itu akan dihindar dan perkara wajib yang digalakkan oleh syariat akan dilakukan dengan penuh kesungguhan, efektif, efisien dan penuh etika sebagaimana sabda Rasulullah mafhumnya: “Sesungguhnya Allah SWT mencintai seseorang yang apabila mengerjakan sesuatu pekerjaan, dilakukannya dengan penuh kesungguhan (itqan).” (Riwayat al-Baihaqi)
Berkat atau barakah dari segi bahasa bermaksud bertambah dan berkembang. Imam an-Nawawi menggariskan barakah sebagai suatu kebaikan yang melimpah-ruah secara berterusan. Tatkala bekerja dengan iman yang mempengaruhi niat dan takwa yang terjelma dalam pelaksanaan kerja akan menghasilkan barakah. Kebaikan barakah ini akan terpancar kepada tempat, orang, benda, masa dan amalan. Sebagai contoh Allah SWT berfirman mafhum-Nya: “Maha Suci Allah SWT, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa, yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra’, ayat 1)
Ini merujuk kepada keberkatan pada tempat. Selain itu, menerusi Surah Maryam merujuk keberkatan seorang nabi iaitu Nabi Isa yang akan menjadi ‘berita gembira’ buat umat Muhammad SAW membuktikan berkat yang terletak pada seseorang. Pada benda pula Allah SWT menegaskan al-Quran itu ada keberkatan. Benda di sini merujuk kepada al-Quran. Satu pertiga malam juga adalah berkat yang merujuk kepada masa seperti keberkatan berdoa di antara dua khutbah. Berkat juga Allah SWT letak pada amalan seperti amalan bersahur dan duduk di dalam majlis ilmu. Kelebihan berkat Hikmah Allah SWT meletakkan barakah pada makhluk sebagai pemangkin untuk manusia berfikir bahawa bukan makhluk yang memberi berkat tetapi Allah SWT meletakkan kebaikan untuk disebar dan dikembangkan kebaikannya kepada yang lain. Asbab kelebihan berkat yang ada pada makhluk seperti masa, tempat, benda dan sebagainya itu akan menghampirkan manusia kepada Allah SWT yang memberi berkat. Berkat itu tidak ketara pada mata, tapi dapat dirasa, tidak diukur pada kuantiti harta tapi letak pada kualiti jiwa. Dengan barakah akan peroleh ketenangan dan kesenangan. Menerusi berkat, sedikit mencukupi banyaknya bisa dibahagi dan diberi. Melalui keberkatan, kerja yang dilakukan lebih puas daripada kemanisan beribadah. Semakin tinggi prestasi kerja semakin rendah hatinya. Teruskan kerja dengan mencari berkatnya yang merata.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »