Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Doa ibu mustajab

Posted by epondok di Mac 30, 2015


Seorang ibu perlu sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anaknya. Ibu tidak boleh berasa lemah atau berputus asa mendoakan yang lebih baik untuk anak.

Sekalipun menghadapi kesukaran dan kesedihan, janganlah meletakkan diri sebagai ibu yang lemah untuk terus berdoa demi kebaikan. Bagaimanakah untuk seorang ibu itu terus bersemangat berdoa tanpa rasa bosan atau putus asa?

Allah SWT menyeru hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya, namun tidak ramai yang menyahut seruan itu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Kami limpahkan pelbagai ihsan kepada rasul-rasul itu (ialah kerana) sesungguhnya mereka itu sentiasa berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh pengharapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk dan taat kepada Kami.” (Surah al-Anbiyaa’, ayat 90)

Terlalu banyak ruang yang perlu diperbaiki dalam kita berdoa. Apabila kita berasakan banyak perkara baik yang belum dilakukan, maka perasaan untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan akan timbul dari dalam diri.

Doa ibu penuh pengharapan

Bagi mendapat nikmat dan berkat dalam berdoa, perlulah meletakkan rasa khusyuk yang penuh pengharapan kepada Allah SWT bahawa hanya Dia Yang Maha Berkuasa memberikan segala-galanya. Ingatlah Allah SWT sentiasa ada dan Maha Mendengar rintihan hamba-Nya yang berdoa khususnya doa seorang ibu.

Doa ibu sentiasa memberi harapan dan kekuatan kepada anak. Ustazah Norhafizah Musa berkongsi kehebatan doa seorang ibu melalui rancangan Usrati di IKIMfm yang bersiaran setiap Khamis, jam 5.15 petang.

Doa ibu adalah dengan kesempurnaan dan kehebatan kasih sayang yang terdapat pada dirinya. Bayangkan jika kasih sayang yang sepatutnya ada pada seorang ibu itu hilang, maka anak akan dipukul, syariat Islam tidak dididik dengan sempurna dan akhirnya mereka terbiar dengan kehidupan tanpa bimbingan yang betul.

Ibu bapa yang kasih dan sayang kepada anak sudah pasti tidak mahu melihat anaknya diazab kerana tidak mengenal Allah SWT. Bagaimanakah yang dikatakan sebagai kasih sayang seorang ibu kepada anak?

Berilah pendidikan agama supaya mereka mengenal Allah SWT. Mendidik anak perlu sabar dan jangan sekali-kali berputus asa dengan kerenah mereka kerana melalui kesabaran itu Allah SWT akan memberi ganjaran apa yang diusahakan.

Norhafizah menyarankan ibu bapa sentiasa memberi nasihat kepada anak walaupun mereka tidak menghindarkan nasihat itu. Ada kala anak tidak menunjukkan reaksi terhadap nasihat yang diberikan kepada mereka kerana mereka masih belum matang untuk menilainya.

Namun, apabila mereka telah matang dan tahu menilainya, ketika itulah mereka akan sedar bahawa nasihat diberikan adalah demi kebaikan. Oleh itu, ibu bapa jangan sekali-kali berputus asa memberikan nasihat kepada anak dan sentiasa berharap nasihat itu akan memberikan panduan kelak. Doa ibu menjadi kuat dan mustajab kerana kasih sayang dalam hatinya adalah kerana Allah SWT.

Jangan jadikan kesibukan bekerja sebagai alasan untuk tidak mempunyai ruang bersama anak. Setiap minit yang terluang cuba mendalami perasaan, kehendak dan keperluan anak. Amalkan membelai dan memeluk anak dengan rasa penuh kasih kasih sayang di samping bergurau senda dengan mereka.

Dorong anak dengar kata ibu bapa

Ini bukan sahaja akan membangkitkan rasa hormat anak kepada ibu bapa, malah akan mendorong mereka menjadi anak yang mendengar kata ibu bapa. Norhafizah menyarankan kepada ibu bapa mengungkapkan sayang kepada anak ketika berbual, terutama dalam berdoa selepas solat berjemaah dengan mereka.

Doa ibu bapa juga merangkumi keikhlasan dan ketulusan. Ada kala seseorang itu berdoa untuk kebaikan orang lain atas sebab mendapatkan kebaikan pada dirinya. Akan tetapi doa ibu bapa adalah sama sekali daripada hati yang tulus ikhlas untuk kebaikan anak, bukan mendapat balasan atas kejayaan yang diperoleh.

Seorang ibu mendoakan kebaikan kepada anak sebelum mereka dilahirkan di dunia lagi, mengharapkan diberi perlindungan oleh Allah SWT. Sudah pasti Allah tidak akan mensia-siakan doa seorang ibu terhadap anaknya demi kebaikan di dunia dan akhirat.

Doa ibu adalah doa yang bersatu antara hati, lidah dan fizikal. Hati yang sentiasa berharap kepada Allah SWT, lidah yang sentiasa berdoa kepada Allah SWT dan menasihati anak, manakala fizikal berusaha serta berkorban melakukan yang terbaik untuk anak.

Selain itu, doa ibu terdapat nilai kesungguhan sehingga menitiskan air mata demi untuk kebaikan anak. Di samping itu, ibu tidak pernah berhenti berdoa untuk kebaikan anak walaupun hatinya dilukai oleh anak.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: