Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Didik anak bermusafir

Posted by epondok di Mac 21, 2015


MOHD. RADZI MOHD. ZIN
Setiap kali musim cuti sekolah, ramai ibu bapa yang turut bercuti. Tujuannya untuk meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak. Maklumlah ramai anak-anak yang sekolah di asrama, jadi masa cuti beginilah antara waktu yang ditunggu-tunggu untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan antara satu sama lain.
Antara program yang selalu diatur adalah bercuti di luar daerah sama ada ke pulau, menikmati keindahan pantai atau juga ke luar negara. Untuk itu, ibu bapa diharap tidak melepaskan peluang ini untuk mendidik anak-anak bagaimana bermusafir.
Islam adalah agama yang indah lagi sempurna dan sesuai dengan fitrah manusia. Untuk itu, kita diajar supaya solat musafir sebelum bercuti atau bertugas di luar daerah. Pelaksanaan solat dua rakaat ini amat mudah dan tidak sampai pun lima minit.
Selesai solat, berdoalah memohon keselamatan sama ada bagi yang bermusafir atau keluarga yang ditinggalkan. Antara doanya adalah seperti berikut: “Ya Allah, Engkaulah pemandu semasa di dalam musafir, dan Engkaulah pengawal terhadap keluarga, hartaku, anak-pinakku, dan sahabat-handai, peliharalah akan daku dan mereka daripada sebarang malapetaka dan wabak penyakit.”
Setiap insan yang ingin melakukan perjalanan atau bermusafir dengan tujuan yang baik dan dituntut oleh Islam seperti bermusafir kerana menuntut ilmu, melaksanakan sesuatu urusan keagamaan seperti mengerjakan umrah atau haji, menziarahi keluarga, kenalan atau mencari rezeki yang halal untuk memenuhi keperluan keluarganya, mereka tergolong dalam orang yang menempuh perjalanan yang diredai Allah.

Apabila di dalam kenderaan pula, jangan lupa membaca doa menaiki kenderaan. Adalah digalakkan supaya tugas membaca doa ini digilir-gilirkan antara ibu bapa dan anak-anak. Ini secara tidak langsung dapat melatih mereka membudayakan berdoa apabila menaiki kenderaan.
Lebih mudah lagi, bolehlah dibeli pelekat kenderaan yang memaparkan doa tersebut supaya anak-anak kita yang masih kecil iaitu di peringkat tadika pun boleh dilatih membacanya. Antara doa yang sunat dibaca adalah seperti berikut: Segala puji bagi Allah, Maha Suci Allah yang telah menjinakkan (memudahkan) bagi kami kenderaan ini, padahal sebelumnya kami takkan mampu menguasainya dan sungguh kami nanti akan pulang kembali kepada Tuhan kami. (al-Zukhruf: 13-14)
Insya-Allah, perjalanan itu akan dicatat sebagai ibadah di sisi-Nya. Ini juga adalah bentuk kepasrahan kita kepada Allah Sang Pencipta. Kita berharap untuk selamat. Namun kita juga harus bersiap kalau berlaku apa-apa dalam perjalanan. Paling utama, yakinlah, ada Yang Maha Melindungi.
Dalam keseronokan bercuti atau melancong, jangan diabai solat fardu lima waktu. Bagi yang bermusafir, mereka diberi keringanan (rukhsah) untuk solat jamak dan qasar. Jamak ertinya himpun iaitu menghimpunkan solat Zuhur dan Asar; Maghrib dan Isyak. Adapun, qasar bermaksud pendek iaitu memendekkan solat empat rakaat kepada hanya dua rakaat.
Antara dalil mengharuskan perbuatan ini adalah hadis Rasulullah SAW daripada Anas yang bermaksud: “Apabila Nabi SAW ingin menjamakkan dua solat semasa bermusafir, baginda akan mengakhirkan/melambatkan Zuhur sehingga masuk waktu Asar, kemudian baginda menjamakkan kedua-duanya.” (Riwayat Muslim)
Keterangan mengenai qasar solat pula berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu. (al-Nisa’: 101)
Justeru, marilah kita mengamalkannya mudah-mudah­an perjalanan atau musafir kita bukan sahaja yang bermanfaat dan dipenuhi keseronokan tetapi juga dicatat sebagai ibadah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: