Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hikmah hidup dalam bermusafir

Posted by epondok di Mac 13, 2015


Oleh Mohd Hassan Adli Yahya
Ingin saya kongsikan serba sedikit mengenai permusafiran. Ia bukan mengenai hukum atau kaedah Fiqh perihal orang yang bermusafir, sebaliknya lebih kepada kelebihan yang bakal diperoleh melalui permusafiran itu sendiri.
Dalam bermusafir, sebenarnya terlalu banyak hikmah yang dapat dicapai dan boleh dijadikan penenang jiwa. Istilah musafir diambil daripada kata dasar bahasa Arab iaitu safara, bererti pergi atau melakukan perjalanan. Dalam sejarah Islam, pengembaraan ialah satu tradisi yang biasa dilakukan oleh ulama dan pencari ilmu.
Kita mengenal agama Islam adalah hasil pengembaraan orang terdahulu yang giat menyebarkan Islam dari satu tempat ke tempat lain.
Sejarah Islam juga menunjukkan, pengembaraan adalah faktor mengembangkan ajaran Islam seperti dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW ketika mula menyebarkan Islam ke Taif.
Begitu juga dengan sejarah penaklukan kota Konstantinopel dan Andalusia. Kalangan pahlawan Islam yang hebat dan berani pada zaman dulu mengembara ke tempat baru untuk meluaskan wilayah kekuasaan Islam.
Hampir seluruh ulama Islam pernah mengembara dari satu kota ke kota lain untuk menuntut ilmu. Setelah puas mengembara, ulama dan pencari ilmu ini menetap di satu kota hingga ke akhir hayat mereka.
Namun makna bermusafir tidaklah disempitkan untuk tujuan berdakwah saja. Orang yang melakukan perjalanan jauh ke satu tempat dengan niat dan tujuan baik disebut sebagai musafir.
Niat yang baik itu termasuk untuk melancong, menimba ilmu, merehatkan minda, mencari ketenangan dan berniaga.
Sebaliknya, jika perjalanan itu didasari niat buruk, orang yang melakukan perjalanan itu tidak disebut sebagai musafir.
Ini termasuk berniat untuk bermain judi dan pergi ke tempat yang sememangnya terkenal dengan maksiat seperti pelacuran.
Bermusafir atau berjalan dari satu tempat ke tempat asing dapat meluaskan lagi pandangan kita. Apatah lagi jika kita memandang keindahan tempat lain itu dengan mata hati, pasti kita dapat melihat betapa berkuasanya Allah SWT menciptakan bumi yang indah ini.
Gesaan untuk bermusafir disebutkan dalam al-Quran melalui surah Yunus ayat 101 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi.”
Dalam surah al-An’aam, ayat 11 pula Allah SWT berfirman: “Berjalanlah kalian di muka bumi, kemudian perhatikanlah.”
Imam Shafie Rahimahullah pula menjelaskan, setiap orang bermusafir itu akan mendapat lima kebaikan iaitu:
1. Jika dia memerhatikan ciptaan Allah di tempat itu dengan iman, dia akan memperoleh iman.
2. Jika dia berhajat untuk mencari ilmu, dia akan mendapat ilmu.
3. Jika dia berjalan untuk menimba pengalaman, dia akan mendapat pengalaman. Melalui pengalaman, dia mendapat asas hikmah.
4. Jika dia bermusafir untuk mencari kenalan, dia akan mendapat kawan.
5. Jika dia mencari peluang untuk berniaga, dia akan mendapat rezeki.
Imam Shafie juga memperihalkan gesaan untuk tidak statik atau kaku di tempat sama, sebaliknya menggesa umat Islam untuk bermusafir.
“Bukan satu orang yang mempunyai akal dan budi yang bagus duduk di satu tempat. Hendaklah dia tinggalkan tanah airnya dan pergi berdagang dan berasingan. Bermusafirlah, nescaya kau akan dapat ganti orang yang kau tinggalkan.
“Mengembaralah kerana kelazatan hidup itu ada dalam pengembaraan. Aku lihat air yang tidak bergerak itu merosakkan air itu sendiri.
Air itu jika ia mengalir, ia adalah air yang baik. Singa jika tidak meninggalkan hutan, nescaya ia tidak menjadi garang. Dan anak panah jika tidak meninggalkan busar, ia tidak mengenai sasaran.”
Untuk keluarga atau pasangan suami dan isteri, permusafiran bersama selalunya dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dan kadangkala dapat mengendurkan sedikit tekanan dan ketegangan dalam hubungan rumah tangga.
Bermusafir tidak semestinya pergi ke tempat jauh dan memerlukan kos tinggi. Di Malaysia juga kita sememangnya terkenal dengan pelbagai tempat indah dan menarik untuk dilawati.
Paling penting, kita bersedia untuk melaburkan sedikit masa dan wang untuk menikmati lebih ketenangan serta manfaat daripada permusafiran, insya-Allah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: