Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Menerap nilai ihsan dalam kehidupan

Posted by epondok di Mac 12, 2015


Oleh Maslina Alias

USTAZAH Norhafizah Musa dalam rancangan Usrati mengupas isu ihsan dalam rumah tangga, bagaimana kita harus mendahulukan berbuat baik untuk mendapat ihsan daripada semua orang.

Sering kali dalam rumah tangga perkataan ‘sepatutnya’ dituturkan sama ada suami kepada isteri atau sebaliknya dan ibu bapa kepada anak. Pernahkah kita mengatakan perkataan ‘sepatutnya’ kepada diri sendiri? Pernahkah kita fikirkan untuk memperbaiki diri selain sibuk memperbaiki orang lain.

Dalam rancangan Usrati yang bersiaran hari Khamis, jam 5.15 petang, minggu lalu di IKIMfm, Ustazah Norhafizah Musa mengupas isu ihsan dalam rumah tangga iaitu bagaimana kita seharusnya dahulu membuat kebaikan dengan seikhlas hati kepada semua orang dalam kita mengharapkan kebaikan orang kepada kita.
Contohnya, suami yang mahukan isterinya berlemah-lembut terhadapnya dalam apa saja urusan, maka suami terlebih dahulu perlu berlemah-lembut terhadap isterinya. Begitu juga jika ibu bapa mahukan anak melayan mereka dengan kebaikan, maka ibu bapa terlebih dahulu perlu melayan anak dengan kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda: “Allah merahmati orang tua yang menolong anaknya untuk berbakti kepadanya.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Semai nilai ihsan dalam diri

Tidak dinafikan akan berlaku pertengkaran dalam rumah tangga. Oleh itu, setiap ahli keluarga perlu memainkan peranan untuk menanamkan nilai ihsan dalam diri masing-masing dan berusaha melakukan kebaikan terlebih dahulu.

Alangkah indah rumah tangga sekiranya setiap ahli berlumba-lumba memberikan ihsan terlebih dahulu daripada yang lain.

Norhafizah Musa mengajak anak yang selalunya menganggap ibu bapa tidak memberikan perhatian atau tidak mahu melayan kehendak mereka berusaha untuk mendengar nasihat serta teguran daripada kedua-dua ibu bapa terlebih dahulu bagi mendapat layanan yang sama daripada ibu bapa.

Rasulullah SAW bersabda: “Ihsan itu, hendaklah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, sekalipun kamu tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat mu.” (Riwayat Muslim)

Bagaimanakah untuk kita fahami nilai ihsan yang disebut dalam hadis yang boleh menjadikan kita insan salih khususnya dalam rumah tangga. Fitrah manusia, apabila perbuatannya dilihat oleh orang lain, maka dia akan mengawal gerak-gerinya, malah boleh menahan kesabaran untuk tidak marah.

Oleh itu, nilai ihsan yang dibicarakan dalam hadis ini yang jauh lebih luas maksudnya, Allah SWT bersama kita di mana sahaja kita berada dan sesungguhnya Dia Maha Melihat segala perbuatan kita. Maka dengan itu, kita dapat mendidik diri untuk menjadi hamba yang lebih baik.

Nilai ihsan perlu sentiasa diterapkan dalam rumah tangga bagi memastikan ahli sentiasa melakukan kebaikan walau di mana kerana setiap makhluk berada di bawah pengawasan Allah SWT. Atas sebab itu, seseorang berasa malu kepada Allah SWT untuk melakukan perkara tidak baik dan zalim.

Malah, Allah SWT menyuruh manusia berbuat baik (ihsan) bukan sahaja kepada manusia, bahkan makhluk lain seperti maksud hadis: “Apabila kamu hendak menyembelih haiwan, maka sembelihlah dengan cara yang paling baik iaitu dengan menajamkan alat sembelihan dan hendaklah meletakkan haiwan dalam keadaan yang selesa.” (Riwayat Muslim)

Apabila kita diuji atau marah, kita akan memberi tindak balas. Oleh itu, kita perlu menyiapkan diri supaya merasakan Allah SWT sentiasa melihat perbuatan kita walau di mana kita berada. Persiapan ini perlu dilatih sejak awal untuk menahan diri daripada terus bertindak balas dengan apa yang berlaku.

Setiap ujian yang datang adalah sebagai latihan untuk menahan diri daripada marah dan bertindak zalim. Muhasabah diri bahawa Allah SWT sedang melihat dan berusaha memperbaiki ke arah kebaikan. Ujian yang dilalui satu latihan dan proses memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Istighfar ketika berdepan ujian

Norhafizah berkata, sentiasa istighfar dan berdoa kepada Allah SWT dalam setiap perkara yang dilakukan, terutamanya ketika menghadapi ujian.

Antara doa yang Rasulullah SAW anjurkan ialah: “Ya Allah, aku berlindung dengan pengampunan-Mu dari seksa-Mu, aku berlindung dengan keredaan-Mu dari kemurkaanMu, dan aku berlindung dengan azab-Mu dari rahmat-Mu. Ya Allah, aku tidak dapat memuji-Mu dengan baik meskipun aku sudah bersungguh-sungguh. Akan tetapi aku hanya dapat memuji-Mu seperti mana Engkau memuji diri-Mu sendiri.”

Doa ini boleh diamalkan bagi memohon perlindungan Allah SWT daripada sifat mendatangkan kemurkaan dan azab Allah SWT kepada kita. Setiap manusia tidak akan lari daripada ujian Allah SWT sama ada ringan ataupun berat.

Ujian adalah rahmat daripada Allah SWT untuk menjadikan kita hamba yang lebih bertakwa dan dekat dengan-Nya. Kisah Nabi Yusof boleh dijadikan panduan sebagai persediaan berdepan ujian serta cara bermuhasabah diri.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya barang siapa yang bertakwa kepada Allah SWT, yang bersabar, maka sesungguhnya Allah SWT tidak pernah mensia-siakan ganjaran kebaikan kepada orang yang berbuat baik. Allah SWT telah mengangkat kedudukan Nabi Yusuf dengan ketakwaan dan kesabaran baginda terhadap ujian yang telah diberikan. Janji Allah SWT itu pasti kepada hamba-Nya yang bertakwa dan sabar dengan ujian. Bersyukurlah apabila Allah SWT telah memilih kita untuk menjadi orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Yusuf, ayat 90)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: