Bahan bakar dan barisan penjaganya yang cukup taat kepada perintah Allah SWT, sudah cukup membuat kita tidak mahu menjadikannya sebagai tempat tinggal selepas kiamat.

Firman Allah SWT dalam surah at-Tahriim ayat keenam yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya; manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Lain pula dengan syurga. Gambaran indah dan cantik yang diterangkan di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW cukup menawan hati setiap yang mendengarnya.

Apa tidaknya, ramai kalangan manusia, termasuk bukan Islam, berusaha mencipta syurga dunia masing-masing. Tetapi fantasi itu tetap ada hadnya berbanding syurga ciptaan Allah SWT.

Hal ini diakui sendiri oleh pensyarah kanan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim ketika berceramah dalam forum perdana bartajuk, Jalan Ke Syurga

“Iman Malik apabila ditanya oleh seorang sahabatnya mengenai syurga menjawab, “Mata ini kalau hendak bayang apa yang kamu tengok atas muka bumi ini tidak boleh katakan ini adalah syurga kerana ia hanya anggapan kamu sahaja.

“Ini kerana syurga ini sangat hebat. Kalau hendak diceritakan, orang akan kata macam tidak masuk akal. Hati pun tidak boleh bayangkan macam mana bentuk syurga ciptaan Allah SWT,” katanya.

Dr. Mohd Izhar memberitahu bahawa ada tiga sifat syurga yang sebagaimana diceritakan oleh Allah SWT dalam surah Naba’ dan ketiga-tiga sifat tersebut itu ada kaitan rapat dengan fitrah manusia itu sendiri.

Beliau berkata, Allah SWT tidak akan menukar fitrah manusia apabila makhluk-Nya itu memasuki syurga ciptaan-Nya tetapi Allah SWT meningkatkan tahap fitrah manusia itu menjadi lebih baik berbanding ketika hidup di dunia.

“Pertama adalah manusia suka kepada kehijauan kerana dalam syurga dipenuhi dengan taman-taman yang cantik dan segar. manakala sifat kedua, manusia suka berteman kerana dalam syurga setiap makhluk bertuah itu akan dikurniakan teman yang tiada tolok bandingannya.

“Ketiga pula, syurga dilimpahi dengan makanan dan minuman tanpa had dan manusia boleh makan apa sahaja tanpa menjejaskan kesihatannya,” katanya.

Sejajar dengan kenikmatan syurga itu, Allah SWT telah menggariskan banyak panduan untuk makhluk-Nya yang berazam menjadi antara penghuni syurga dan kesemua itu ada dijelaskan di dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.